Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 3

Mustalah Al Hadith -Sesi 3- Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 19 Apr 15

DEFINISI-DEFINISI ASAS

1. Ilmu al-Mustalah علم المصطلح :

Ilmu tentang prinsip-prinsip dan kaedah untuk mengetahui keadaan sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.

2. Subjeknya:

Sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.

3. Faedahnya: membezakan di antara hadis yang sahih daripada hadis yang bermasalah.

4. Al-Hadith الحديث

Dari sudut bahasa: yang baru, ahadith أحاديث merupakan kata jama’nya yang dibuat dengan tidak mengikut kaedah qiyas.

Dari segi istilah: Perkara yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dalam bentuk ucapan, perbuatan, pengakuan atau sifat.

5. Al-Khabar الخَبَر

Dari segi bahasa bermaksud berita, jama’nya akhbarأخبار . Dari segi istilah ada tiga pendapat:

1. Ia adalah kata seerti dengan al-Hadith dari segi istilah.

2. Kata berlawanan dengan al-Hadith iaitu al-Hadith ialah perkara yang datang daripada Rasulullah s.a.w. manakala al-Khabar datang daripada orang lain.

3. Lebih umum daripada al-Hadith iaitu al-Hadith sesuatu yang berpunca daripada Rasulullah s.a.w. sedangkan al-Khabar berpunca daripada Rasulullah s.a.w. dan juga orang lain.

6. Al-Athar الأثَر

Dari sudut bahasa bererti baki sesuatu benda.

Manakala dari segi istilahnya ada dua pendapat:

1. kata seerti bagi al-Hadith.

2. kata berlawanan bagi al-Hadith iaitu al-Khabar ialah sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabi’in sama ada ucapan atau perbuatan.

7. Al-Isnad الإسناد: Mempunyai dua pengertian iaitu,

1. Menyandarkan hadis kepada pengucapnya dengan secara bersanad.

2. Turutan perawi-perawi yang sampai kepada matan.

8. Al-Sanad السند

Dari segi bahasa bermaksud yang dipegang dinamakan begitu kerana hadis itu disandarkan kepada al-Sanad dan berpegang kepadanya.

Dari segi istilah bermaksud turutan jaluran perawi-perawi sehingga sampai kepada matan.[1]

9. Al-Matn المتن (Matan)

Dari segi bahasa ia bererti tanah yang keras dan tinggi.

Manakala dari segi istilah ia bermaksud ucapan yang menjadi tempat yang berakhirnya sanad.[2]

10. Al-Musnad المُسْنَد

Dari segi bahasa ia bermaksud kata nama objek dari asnada al-shay` ilayh dengan erti menyandarkan dan menisbahkan.

Dari segi istilahnya ia mempunyai tiga ma’na:

a) Setiap kitab yang terkumpul padanya riwayat-riwayat semua sahabat secara berasingan.

b) Hadith marfu’ yang bersambung sanadnya atau yang sanadnya bersambung.

c) Semakna dengan sanad atau dengan erti sanad dengan itu adalah al-musnad masdar mimi (masdaryang dimulakan dengan huruf mim).

11. Al-Musnidالمُسْنِد

Seorang yang meriwayatkan hadis dengan bersanad sama ada dia memahaminya atau semata-mata meriwayatkan.

12. Al-Muhaddith المُحدّث

Seorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadis riwayah dan dirayah dan mengetahui kebanyakan riwayat-riwayat hadis serta mengenali keadaan perawi-perawinya.

13. Al-Hafiz الحافظ

Ada dua pendapat

d) Sema’na dengan al-Muhaddith. Ini mengikut kebanyakan ahli-ahli hadis.

e) Seorang yang lebih tinggi kedudukan daripada al-Muhaddith iaitu pengetahuannya terhadap riwayat dalam setiap tabaqat lebih banyak daripada yang tidak diketahuinya.[3]

14. Al-Hakim الحاكِم

Seorang yang ilmunya yang meliputi kesemua hadis sehingga tidak terlepas daripadanya kecuali beberapa hadis sahaja.[4] Ini mengikut sebahagian ulama.

FASAL PERTAMA: Pembahagian Al-Khabar Berdasarkan Kepada Jalan Dan Cara Sampainya Kepada Kita

Berdasarkan kepada sampainya kepada kita, al-Khabar terbahagi kepada dua iaitu:

a) Sekiranya ia mempunyai beberapa jalan yang tidak dapat dihitung bilangannya ia adalah Al-Mutawatir

b) Sekiranya ia mempunyai beberapa jalan yang dapat ditentukan bilangannya ia adalah Al-Ahad.

Setiap bahagian ini mempunyai beberapa bahagian dan perincian yang akan disentuh nanti, Insha`Allah.

PERBAHASAN PERTAMA:

AL-KHABAR AL-MUTAWATIR الخبر المتواتر

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku daripada perkataan al-tawatur iaitu yang berturut-turut seperti contohتواتر المطر tawatara al-matar iaitu hujun turun berturut-turut.

Dari segi istilah ia bererti khabar yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai dan pada kebiasaannya mustahil mereka berpakat untuk berdusta.[5]

Huraian Definisi

Al-khabar atau al-hadith yang diriwayatkan oleh setiap tabaqat sanad oleh ramai perawi yang menurut hukum ‘aqal atau secara logiknya mustahil mereka bersetuju untuk mereka-reka khabar ini.

Syarat-syarat al-Mutawatir

Jelas daripada huraian istilah tadi bahawa al-tawatur tidak akan ada pada khabar melainkan dengan adanya empat syarat iaitu:

1. Diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai; terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan had minimum bagi bilangan yang ramai ini. Pendapat yang terpilih ialah seramai sepuluh orang.[6]

2. Bilangan yang ramai ini terdapat dalam setiap tabaqah sanad.

3. Pada kebiasaannya mustahil yang mereka berpakat untuk berdusta.

4. Asas bagi khabar ini adalah pancaindera seperti kami mendengar, kami melihat, kami merasai dan sebagainya. Tetapi sekiranya sandaran khabar ini ialah ’aqal seperti pendapat tentang alam ini baru, pada ketika itu khabar tidak boleh dinamakan dengan Al-Mutawatir.[7]

[1] PARA PERAWI MERUPAKAN ASAS DAN SANDARAN KEPADA AHLI HADIS DALAM MENENTUKAN KESAHIHAN DAN KEDA’IFAN HADIS. OLEH SEBAB ITU, HIMPUNAN PARA PERAWI DINAMAKAN SEBAGAI SANAD, YA’NI SEBAGAI SANDARAN MEREKA DALAM MENILAI STATUS SESEBUAH HADIS. [PENT.]
[2] MATAN MERUPAKAN LAFAZ-LAFAZ HADIS YANG MENGANDUNGI MA’NANYA. KESESUAIAN MA’NA MATAN PADA BAHASA DAN ISTILAH IALAH HADIS ITU MENJADI KUAT DENGAN ADANYA SANAD DAN MATAN ITU MERUPAKAN PENGHUJUNG KEPADA TEMPAT SAMPAINYA SANAD. ATAU MUSNID MENGUATKAN HADIS DENGAN SANAD DAN MENGANGKATNYA YA’NI MENYANDARKAN KEPADA ORANG YANG MENGUCAPKANNYA. [PENT.]
[3] ANTARA ULAMA YANG DIGELAR DENGAN GELARAN INI IALAH IBN HAJAR AL-‘ASQALANI, AL-‘AYNI, AL-‘IRAQI, IBN TAYMIYYAH, AL-DHAHABI DAN LAIN-LAIN. APABILA DIDAPATI SEBUTAN AL-HAFIZ SECARA MUTLAK MAKA IA MERUJUK KEPADA IBN HAJAR AL-‘ASQALANI.
[4] CONTOHNYA ABU ‘ABDULLAH AL-HAKIM AL-NISABURI.
[5] AL-KHATIB AL-BAGHDADI TELAH MERUMUSKAN HADIS MUTAWATIR SEBAGAI:
APA YANG DIBERITAKAN OLEH SATU KAUM ATAU KUMPULAN YANG BILANGAN MEREKA ITU MENCAPAI SATU HAD (TAHAP) DI MANA PADA KEADAAN BIASA YANG TETAP DAN DIKETAHUI DARIPADA PERSAKSIAN MEREKA BAHAWA MUSTAHIL PADA MEREKA KESEPAKATAN UNTUK BERDUSTA. KESEPAKATAN ITU DALAM TEMPOH TERSEBAR BERITA DARIPADA MEREKA ITU TERHALANG DAN APA YANG MEREKA KHABARKAN ITU TIDAK BOLEH DIMASUKI OLEH KEKELIRUAN DAN KERAGUAN DALAM KHABAR SEPERTINYA DAN SEBAB-SEBAB KEKERASAN DAN PERKARA-PERKARA YANG MENDORONG KEPADA PENDUSTA TERNAFI DARIPADA MEREKA. BILA SAHAJA TELAH MUTAWATIR (BERTURUT-TURUT) DATANGNYA BERITA DARIPADA MEREKA DENGAN CARA MEREKA INI MAKA DIPUTUSKAN AKAN KEBENARANNYA DAN MEMESTIKAN TERHASILNYA ILMU YANG DARURI. (AL-KIFAYAH, HAL. 50) [PENT.]
[6] APA YANG DISEBUTKAN OLEH PENULIS INI MERUPAKAN PILIHANNYA. MENGIKUT PENDAPAT YANG LEBIH KUAT, BILANGAN PERAWI YANG DIKEHENDAKI TIDAK DITENTUKAN. MUTAWATIR TIDAK MEMPUNYAI SATU BILANGAN MUNDABIT. BILANGAN YANG DITITIKBERATKAN IALAH YANG MELEBIHI DARIPADA KADAR PADA HADIS MASHHUR DI SAMPING PERLU ADA QARINAH LAIN IAITU BILANGAN YANG MENAFIKAN KESEPAKATAN MEREKA UNTUK MEREKA-REKA KHABAR ATAU BERDUSTA ATAS NAMA RASULULLAH S.A.W. WALAUPUN ULAMA MENETAPKAN BILANGAN YANG TERTENTU NAMUN KESEMUANYA ITU BERASASKAN KEPADA QIYAS SEMATA-MATA. [PENT.]
[7] APA YANG DILAPORKAN ITU BERKENAAN PERKARA MAHSUS, YA’NI YANG DIKETAHUI BERDASARKAN KEPADA PANCAINDERA BUKAN PENAAKULAN AQAL. DENGAN SYARAT INI, BERITA TENTANG ALAM INI BERSIFAT BARU TIDAK DIKATAKAN SEBAGAI MUTAWATIR KERANA IANYA DIKETAHUI BERASASKAN KEPADA PENAAKULAN MANTIQ. SEPERTI KATA AHLI ILMU KALAM, ALAM INI BERUBAH-UBAH, SETIAP YANG BERUBAH-UBAH ADALAH BARU MAKA ALAM INI BARU. INI KERANA PERKARA YANG DIFIKIRKAN DENGAN AKAL HANYA DIYAKINI KEBENARANNYA ITU DENGAN BURHAN, IAITU BUKTI DAN HUJAH ‘AQAL. [PENT.]

Leave a comment