Mustalah Al Hadith -Sesi 4 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 26-Apr-15
(SAMBUNGAN) PERBAHASAN PERTAMA: Al-KHABAR AL-MUTAWATIR
(Nota: Untuk bahagian awal perbincangan sila rujuk Sesi 3)
Hukumnya
Al-Mutawatir menghasilkan ilmu yang pasti iaitu ilmu yang diyakini dan seseorang itu mempercayai atau membenarkan dengan tegas dan putus seperti orang menyaksikan sendiri sesuatu peristiwa dan dia tidak teragak-agak untuk membenarkannya maka begitulah halnya dengan hadis mutawatir. Oleh kerana itu, seluruh hadis mutawatir diterima dan tidak perlu lagi mengkaji keadaan perawinya.
Bahagiannya
Mutawatir terbahagi kepada dua:
Al-Mutawatir Al-Lafzi المتواتر اللفظي iaitu hadis yang mutawatir pada lafaz dan maknanya seperti hadis:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا ، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya di dalam api neraka.”
Hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih 70 orang sahabat.
Al-Mutawatir Al-Ma’nawi المتواتر المعنوي iaitu hadis yang mutawatir pada makna tidak pada lafaz seperti hadis mengangkat dua tangan ketika berdoa. Ianya telah diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w. hampir atau lebih kurang seratus hadis. Setiap hadis menyebutkan baginda mengangkat tangan ketika berdoa cumanya dalam keadaan yang berbeza-beza. Dari segi keadaan ianya tidak mutawatir tetapi masing-masing menyebut mengangkat tangan ketika berdoa. Dengan itu ia menjadikan tawatur berdasarkan kepada keseluruhan atau gabungan jalan-jalan sanad.
Kewujudannya
Terdapat bilangan yang cukup banyak hadis mutawatir antaranya hadis tentang kolam, menyapu khuf , mengangkat dua tangan di dalam solat, hadis “semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar hadis” dan banyak lagi.
Bagaimana pun kalau dibandingkan dengan hadis ahad, bilangan hadis mutawatir sangatlah sedikit.
Karya Yang Terkenal.
Ulama memberi perhatian khusus dalam menghimpun hadis-hadis mutawatir di dalam karangan berasingan bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan antaranya:
“Al-Azhar al-Mutanathirah Fi al-Akhbar al-Mutawatirah” karangan Imam al-Suyuti. Kitab ini disusun mengikut bab-bab.
“Qatf al-Azhar” juga karangan al-Suyuti yang merupakan ringkasan kitab yang pertama.
“Nazm al-Mutanathir Min al-Hadith al-Mutawati”r karangan Muhammad bin Ja’far al-Kattani.
PERBAHASAN KEDUA: KHABAR AL-AHAD خبر الآحاد
Ta’rifnya
Dari segi bahasa: al-Ahad adalah jama’ bagi ahad أحد yang bermaksud tunggal, khabar al-wahid pula ialah periwayatan seorang individu. Manakala dari segi istilah ia memberi pengertian: Khabar yang tidak memenuhi syarat mutawatir.
Hukumnya
Khabar ahad menghasilkan ilmu nazari iaitu ilmu yang bergantung kepada pengamatan dan pendalilan.
Bahagiannya Berdasarkan Kepada Bilangan Tariqnya:
Mashhur
‘Aziz
Gharib
Al-Mashhur المشهور
Ta’rif
Dari segi bahasa: kata nama objek daripada shahartu al-amr شهرتُ الأمرiaitu saya menjadikan perkara itu terkenal apabila saya telah mengumumkan dan menyatakannya. Dinamakan hadis mashhur kerana penonjolannya.
Dari segi istilah: Hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih pada setiap tabaqah tetapi tidak mencapai taraf mutawatir.
Contohnya:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menarik ilmu dengan mencabutnya sekaligus tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama sehingga tidak tinggal seorang alim lalu orang ramai melantik pemimpin-pemimpin jahil. Mereka ditanya lalu memberi fatwa tanpa ilmu. Mereka sesat lagi menyesatkan.”
Hadis Mustafid مستفيض
Dari segi bahasa: kata nama pelaku daripada perkataan istafada استفاض yang berpunca daripada kalimah fada al-ma` فاض الماءair telah melimpah. Dinamakan demikian kerana kemasyhurannya.
Dari segi istilah: terdapat perbezaan pendapat tentang ta’rifnya:
Mustafid semakna dengan mashhur.
Mustafid lebih khusus daripada mashhur kerana disyaratkan (bilangan perawi) sama antara permulaan dan akhir sanad, tetapi tidak disyaratkan pula pada hadis mashhur.
Mustafid lebih umum daripada mashhur iaitu kebalikan bagi pendapat kedua.
Mashhur Bukan Istilah
Iaitu hadis yang terkenal di kalangan orang ramai yang tidak mempunyai syarat-syarat atau memenuhi syarat yang diakui dan ia meliputi:
Hadis yang mempunyai satu sanad
Hadis yang mempunyai lebih daripada satu sanad
Hadis yang tidak mempunyai sanad sama sekali
Bentuk-Bentuk Hadis Mashhur Bukan Istilah
Ianya mempunyai banyak bentuk, antaranya:
Mashhur di kalangan Ahli Hadis sahaja seperti hadis Anas:
قَنَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ
“Rasulullah s.a.w berqunut selama sebulan setelah ruku’ mendoakan keburukan ke atas Ri’l dan Dhakwan.”
Mashhur di kalangan Ahli Hadis, ulama dan orang awam, contohnya;
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“Orang Islam itu ialah orang-orang Islam terselamat daripada gangguan ucapan dan perbuatannya.”
Mashhur di kalangan fuqaha seperti hadis:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقُ
“Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. ialah perceraian.”
Mashhur di kalangan ulama usul seperti hadis:
رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
“Tersilap, lupa dan dipaksa telah diangkat dari ummatku, (iaitu tidak dikira berdosa).” Hadis ini telah dinilai sebagai sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.
Mashhur di kalangan ahli-ahli Nahu: seperti hadis:
نِعْمَ الْعَبْدُ صُهَيْب. لَوْ لَمْ يَخَفِ الله لم يَعْصِهِ
“Sebaik-baik hamba ialah Suhayb. Kalau dia tidak takutkan Allah dia tidak akan berbuat maksiat terhadap-Nya.” (hadis tidak ada sumber)
Mashhur di kalangan masyarakat. Seperti hadis
اَلْعَجَلَةُ مِنَ اَلشَّيْطَانِ
“Kegopohan itu daripada syaitan.”
Hukum Mashhur
Hadis mashhur menurut istilah dan bukan istilah tidak dikatakan sebagai sahih atau tidak sahih, kerana antaranya ada yang sahih, hasan, da’if bahkan terdapat juga mawdu’. Bagaimanapun jika hadis mashhur menurut istilah itu sahih maka ia mempunyai keistimewaan yang mengatasi hadis ‘aziz dan gharib.
Karangan-Karangan Yang Terkenal
Yang dimaksudkan dengan karangan tentang hadis mashhur ialah hadis-hadis mashhur di kalangan orang ramai bukan mashhur dari segi istilah. Antara karangan-karangan tersebut ialah:
“al-Maqasid al-Hasanah Fi Ma Ishtahara ‘Ala al-Alsinah “karangan Al-Sakhawi.
“Kashf al-Khifa` Wa Muzil al-Ilbas Fi Ma Ishtahara ‘Ala Alsinah al-Nas” karangan al-‘Ajluni.
“Tamyiz al-Tayyib Min al-Khabith Fi Ma Yaduru ‘Ala Alsinah al-Nas Min al-Hadith” hasil tulisan Ibn al-Dayba’ al-Shaybani.
