Mustalah Al Hadith – Sesi 19 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 04 Okt 15
AL-MATRUK
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah tuduhan berdusta maka hadisnya itu dinamakan hadis matruk.
Definisinya
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-tark iaitu meninggalkan. Orang Arab menamakan telur yang telah menetas dan keluar anak burung darinya sebagai al-tarikah iaitu yang ditinggalkan kerana tidak mempunyai faedah.
Dari segi istilah pula hadis yang sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.
Sebab Dituduh Berdusta
Perawi dituduh berdusta dengan salah satu daripada sebab berikut:
- Hadis tersebut hanya diriwayatkan melaluinya sahaja dan bercanggah dengan kaedah-kaedah umum.
- Perawi itu diketahui berdusta dalam percakapan biasa tetapi tidak jelas dia berdusta dalam hadis.
Contohnya
Hadis `Amar bin Shamir al-Ju’fi al-Shi’i daripada Jabir daripada Abu al-Tufayl daripada `Ali dan `Ammar kata mereka berdua: “Rasulullah s.a.w membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bertakbir pada hari `Arafah pada sembahyang Zuhur dan berhenti dari bertakbir pada sembahyang Asar pada hari tashriq yang terakhir”
Al-Nasa’i, al-Daruqutni dan ulama lain berkata tentang `Amar bin Shamir: Dia seorang matruk al-hadith.
Kedudukannya
Kita telahpun mengetahui bahawa hadis dha’if yang paling jelek ialah mawdu’ kemudian matruk kemudian munkar kemudian mu’allal kemudian mudraj kemudian maqlub dan mudtarib. Begini tertib kedudukannya yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar.
AL-MUNKAR
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kesilapan yang jelek atau sering lalai maka hadisnya itu dinamakan hadis munkar.
Definisinya
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-inkar iaitu mengingkari lawan kepada mengakui.
Dari segi istilah pula ulama memberikan beberapa ta’rif yang paling masyhur ialah:
- Hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi jelek kesilapannya atau sering lalai atau jelas kefasikannya.
Ta’rif ini disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar dan beliau menisbahkan kepada orang lain. Al-Bayquni di dalam nazamnya menggunakan ta’rif ini:
“Dan munkar itu perawi yang berseorangan yang ta’dilnya itu tidak menerima tafarrud”
- “Hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah”.
Inilah ta’rif yang disebutkan dan diterima oleh Ibn Hajar. Dalam ta’rif ini ada tambahan kepada ta’rif pertama iaitu percanggahan perawi da’if dengan riwayat perawi thiqah.
Perbezaan Di Antara Munkar Dan Shadh
Hadis shadh diriwayatkan oleh perawi maqbul dalam keadaan bercanggah perawi da’if dengan perawi yang lebih utama daripadanya.
Hadis munkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah.
Dengan ini, kedua-dua ta’rif ini mempunyai persamaan dari sudut percanggahan dan berbeza dari segi perawi shadh adalah maqbul manakala perawi munkar adalah da’if. Kata Ibn Hajar: “Orang yang telah menyamakan kedua-duanya sesungguhnya dia tidak memerhati dengan baik”.
Contoh
- Contoh munkar mengikut ta’rif pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah daripada riwayat Abu Zukayr Yahya bin Muhammad bin Qays daripada Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada Aishah secara marfu’: “Makanlah buah kurma mengkal (hampir masak) dengan yang kering kerana apabila anak Adam memakannya maka syaitan akan marah”. Kata al-Nasa’i: “Ini hadis munkar, Abu Zukayr berseorangan meriwayatkannya. Dia seorang sheikh yang soleh. Muslim mengeluarkan hadisnya pada mutaba’at, cumanya beliau tidak mencapai tahap perawi yang keseorangannya itu dalam periwayatan dapat diterima.
- Contoh munkar mengikut ta’rif kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim melalui jalan Hubayyib bin Habib al-Zayyat daripada Abu Ishaq daripada al-Ayzar bin Hurayth daripada Ibn `Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa dan melayani tetamu maka dia akan memasuki syurga”. Kata Abu Hatim: dia seorang munkar kerana perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan inilah yang ma’ruf.
Kedudukannya
Daripada dua ta’rif di atas, dapat diketahui bahawa munkar termasuk dalam kategori hadis da’if jiddan (sangat da’if) kerana berdasarkan ta’rif pertama ia adalah periwayatan perawi da’if yang melakukan kesilapan yang buruk atau sering lalai atau fasiq. Manakala menurut ta’rif kedua-duanya mempunyai kedai’fan yang bersangatan. Oleh kerana itu, kita telah sebutkan ia berada selepas hadis matruk dari sudut sangat da’if.
AL-MA’RUF
Definisi
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada ‘arafa iaitu mengenali.
Dari segi istilah hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang menyanggahi riwayat perawi da’if.
Dengan makna ini, hadis ma’ruf ialah lawan kepada hadis munkar atau dengan ungkapan yang lebih tepat lawan kepada hadis munkar mengikut definisi Hafiz Ibn Hajar.
Contohnya
Contoh bagi hadis ma’ruf ialah hadis disebutkan pada contoh yang kedua bahagian munkar tetapi melalui jalan perawi-perawi thiqah iaitu secara mawquf setakat Ibn `Abbas kerana setelah mengemukakan hadis Hubayyih yang ma’ruf, Ibn Abi Hatim berkata: Ia adalah munkar, kerana perawi-perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan itulah yang ma’ruf.
AL-SHADH
Definisi
Dari segi bahasa Shadh ialah kata nama pelaku daripada shadhdha iaitu berseorangan. Shadh bermakna seseorang yang bersendirian daripada orang lain.
Dari segi istilah pula: Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang maqbul dalam keadaan bercanggah perawi yang lebih utama daripadanya.
Huraian Ta’rif
Perawi maqbul ialah perawi adil tamm al-dabt ya’ni yang sempurna ketepatannya atau perawi adil yang kurang ketepatannya. Perawi yang lebih utama daripadanya ialah perawi yang lebih kuat dan utama kerana mempunyai kelebihan ketepatannya atau lebih bilangan atau mempunyai kelebihan sudut-sudut tarjih yang lain. Bagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam mengemukakan definisi hadis shadh tetapi inilah ta’rif yang dipilih Hafiz Ibn Hajar dan beliau mengulas: ta’rif inilah diakui berkenaan dengan istilah shadh.”
Di Mana Berlakunya Shadh
Sebagaimana shadh berlaku pada sanad begitu juga terdapat pada matan.
Contoh shadh pada sanad ialah:
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, al-Nasai dan Ibn Majah melalui jalan Ibn `Uyaynah dari `Amar bin Dinar daripada `Awsajah daripada Ibn `Abbas bahawa:
“Seorang lelaki telah meninggal dunia pada zaman Rasulullah s.a.w. dalam keadaan tidak meninggalkan waris kecuali seorang hamba miliknya yang telah dibebaskan.”
Ibn Jurayj menjadi mutabi’ kepada Ibn `Uyaynah dan perawi lain dengan mewasalkannya (menyambungkannya) tetapi Hammad bin Zayd menyanggahinya dengan meriwayatkan daripada `Amar bin Dinar daripada `Awsajah tanpa menyebut Ibn `Abbas.
Oleh kerana itu, Abu Hatim mengatakan: “Hadis yang mahfuz (terpelihara) ialah hadis Ibn `Uyaynah Hammad bin Zayd adalah dari kalangan perawi yang adil dan kemas bagaimanapun Abi Hatim mentarjihkan riwayat perawi yang lebih ramai bilangan.
Contoh shadh pada matan:
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmidhi dari hadis `Abdul Wahid bin Ziyad daripada al-A’mash daripada Abi Salih daripada Abu Hurayrah secara marfu’:
“Apabila salah seorang dari kamu telah sembahyang sunat subuh hendaklah dia berbaring atas lambung kanannya.”
Kata al-Bayhaki, `Abdul Wahid telah menyanggahi perawi yang ramai dalam perkara ini. Sebenarnya mereka meriwayatkan hadis itu sebagai perbuatan Rasulullah bukan ucapannya. Dari kalangan murid al-A’mash, `Abdul Wahid telah berseorangan meriwayatkan dengan lafaz ini.
AL-MAHFUZ
Hadis yang berlawanan dengan Shadh ialah Mahfuz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah dalam keadaan bercanggah dengan perawi thiqah. Contohnya adalah sama dengan contoh bahagian shad
Hukum Hadis Shadh Dan Mahfuz
Sebagaimana diketahui shadh adalah hadis yang ditolak manakala hadis Mahfuz adalah hadis maqbul.
