Mustalah Al Hadith – Sesi 23 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 01- Nov-15
AL-MUSAHHAF
Definisinya
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “al-tashif” iaitu kesilapan dalam catatan. “Al-Sahafi” iaitu orang yang melakukan kesilapan dalam membaca catatan lalu mengubah beberapa lafaz kerana salah membaca.
Dari segi istilah pula, “tashif” ialah mengubah perkataan dalam hadis kepada yang bukan diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah secara lafaz atau makna.
Kepentingan Mengetahui Al-Musahhaf
Ia merupakan ilmu yang sangat utama dan halus. Kepentingannya sangat jelas dalam menerangkan kesilapan yang dilakukan oleh para perawi. Tugas yang begitu berat ini hanya dapat dipikul oleh ulama hadis yang bijaksana dan tajam pemikirannya seperti al-Daruqutni.
Pembahagian
Ulama telah membahagikan al-musahhaf kepada tiga pengelasan.
1) Berdasarkan kepada tempat berlaku
Dilihat kepada tempat berlaku, al-Musahhaf terbahagi kepada dua iaitu,
- i) Tashif pada sanad
Contohnya hadis Shu’bah daripada al-`Awwam bin Ibn Muraajim. Ibn Ma’in telah melakukan tashif dengan mengatakan daripada al-`Awwam bin Muzaahim.
- ii) Tashif pada matan
Contohnya hadis Zayd bin Thabit bahawa “Rasulullah s.a.w. membuat bilik di dalam masjid”
Ibn Lahi’ah telah melakukan tashif dengan mengatakan
“Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam masjid”.
2)Berdasarkan kepada punca
Dilihat kepada puncanya, musahhaf terbahagi kepada dua:
- Tashif penglihatan.
Ini yang sering berlaku. Tulisan mengelirukan penglihatan pembaca sama ada tulisan yang jelek atau tidak bertitik.
Contohnya hadis:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya enam hari dalam bulan Shawwal” Abu Bakar al-Suli telah melakukan “tashif” dengan menyebutkan:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya dengan sesuatu dalam bulan Shawwal”…
- ii) Tashif Pendengaran
Tashif yang berpunca daripada pendengaran yang tidak jelas atau pendengar berada jauh dan sebagainya lalu dia terkeliru dengan sesetengah perkataan kerana ia mempunyai kesamaan timbangan soraf.
Contoh hadis yang diriwayatkan oleh `Asim al-Ahwal. Sebahagian perawi telah melakukan tashif dengan menyebut daripada Wasil al-Ahdab.
2) Berdasarkan kepada lafaz atau makna
Dilihat kepada lafaz dan makna, tashif terbahagi kepada tashif pada lafaz dan tashif pada makna.
- Tashif pada lafaz
- Tashif ini banyak berlaku. Contohnya sama seperti contoh-contoh di atas.
Tashif pada makna
Iaitu perawi yang melakukan tashif itu mengekalkan lafaz dengan keadaannya tetapi dia mentafsirkannya dengan cara dia memahami makna itu tidak mengikut makna yang asal. Contohnya kata-kata Abu Musa al-Anazii:
“Kami adalah kaum yang mempunyai kemuliaan. Kami dari kabilah `Anazah. Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap ke arah kami”
Beliau maksudkan dengan hadis:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap `anazah (tombak)”
Beliau telah waham bahawa baginda s.a.w bersembahyang menghadap ke kabilah mereka sedangkan `anazah itu ialah tombak yang dipacakkan di hadapan orang yang bersembahyang.
Pembahagian al-Hafiz Ibn Hajar
Al-Hafiz Ibn Hajar telah membahagikan tashif kepada pembahagian lain dengan menjadikannya dua bahagian iaitu:
Musahhaf dan Muharraf
- Musahhaf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada titik huruf dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.
- Muharraf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada baris dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.
Adakah Tashif Menjejaskan Keadilan Perawi?
Apabila tashif itu jarang-jarang terbit daripada seorang perawi maka itu tidak menjejaskan ketepatannya kerana tidak ada orang yang terselamat daripada kesilapan dan tashif walaupun sedikit. Sebaliknya jika sering berlaku maka menjejaskan ketepatannya, menunjukkan kepada kelemahannya dan dia bukanlah tokoh dalam bidang ini.
Sebab Berlakunya Tashif Yang Banyak Pada Perawi
Kebiasaannya tashif yang banyak berlaku pada perawi kerana dia mengambil hadis melalui kitab dan catatan tanpa memerima daripada guru-guru. Ulama hadis berkata: “Janganlah kamu mengambil hadis daripada sahafi maksudnya jangan kamu mengambil hadis daripada orang yang mengambilnya melalui catatan tanpa guru”.
Kitab Yang Masyhur
- “Al-Tashif” oleh al-Daruqutni
- “Islah Khata`al-Muhaddithin” oleh al-Khattabi
- “Tashifat al-Muhaddithin” oleh Abu Hamid al-Askari
KETIDAKTAHUAN TENTANG PERAWI
Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi “jahila” – tidak tahu atau lawan kepada mengetahui. Ketidaktahuan tentang perawi bermaksud tidak mengenalinya. Dari segi istilah pula ialah tidak mengetahui diri perawi atau keadaannya.
Sebab-sebabnya
Ada tiga sebab mengapa perawi tidak dikenali:
- Banyak pengenalan pada perawi, sama ada nama, kuniyah, gelaran, sifat, kemahiran atau nisbah dan dia dikenali dengan salah satu daripadanya lalu disebutkan bukan dengan sebutan yang dia dikenali dengan tujuan-tujuan tertentu. Ini menyebabkan dia dianggap perawi yang berlainan dan ini menyebabkan ketidaktahuan tentang keadaan.
- Sedikit riwayatnya, dengan itu tidak ramai perawi yang meriwayatkan daripadanya.
- Tidak dijelaskan namanya, disebabkan untuk meringkaskan atau sebagainya. Perawi yang tidak dijelaskan namanya dipanggil sebagai perawi mubham.
Contoh-contohnya
Banyak sifat pada perawi: Muhammad bin al-Sa’ib bin Bishr al-Kalbi. Sebahagian perawi menisbahkan kepada datuknya dengan mengatakan Muhammad bin Bishr. Sebahagiannya pula meletakkan kuniyah Abu al-Nadr, ada yang menyebutkan Abu Sa’id, Abu Hisham lalu menyebabkan dia disangka sebagai ramai sedangkan seorang sahaja.
Sedikit riwayatnya dan sedikit pula perawi daripadanya: Abu al-`Ashara’al-Darimi seorang tabi’i tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hammad bin Salamah.
Tidak dijelaskan namanya: seperti kata perawi: “Si fulan atau syeikh atau seorang lelaki telah menkhabarkan kepadaku”.
Ta’rif al-Majhul
Iaitu perawi yang tidak dikenali diri dan sifatnya. Maksudnya perawi yang tidak diketahui siapa sebenarnya atau peribadinya atau peribadinya diketahui tetapi tidak diketahui keperibadiannya iaitu keadilan dan ketepatannya.
Bahagian Perawi Majhul
Perawi Majhul dapat dibahagian kepada tiga:
Majhul al-`Ayn
Ta’rifnya: perawi yang disebutkan namanya tetapi tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali seorang sahaja.
Hukum periwayatannya:
Tidak diterima kecuali bila dinyatakan tentang ke”thiqah”annya.
Bagaimana ke”thiqahan”nya dinyatakan:
Kethiqahannya dapat dibuktikan dengan salah satu daripada dua cara ini: dia dinyatakan sebagai thiqah oleh perawi yang bukan meriwayatkan daripadanya. Atau dinyatakan thiqah oleh perawi yang meriwayatkan daripadanya dengan syarat dia dari kalangan ulama al-Jarh Wa al-Ta’dil.
Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?
Hadisnya itu tidak mempunyai nama khusus tetapi diletakkan di bawah hadis dha’if.
Majhul al-Hal (dinamakan juga al-Mastur)
Definisi: Perawi yang diriwayatkan daripadanya oleh dua orang atau lebih tetapi tidak di”tawsiq”kan.
Hukum periwayatannya:
Tidak diterima mengikut pendapat yang sahih di sisi majoriti ulama.
Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?
Hadisnya itu tidak mempunyai nama khusus tetapi diletakkan di bawah hadis dha’if.
AL-MUBHAM
Definisi
Perawi yang tidak dinyatakan dengan jelas namanya di dalam hadis.
Hukum periwayatannya:
Tidak diterima sehinggalah perawi yang meriwayatkan daripadanya menyatakan namanya atau namanya diketahui, melalui jalan yang lain yang menyebutkan dengan jelas namanya.
Sebab hadisnya ditolak ialah tidak diketahui siapa dirinya kerana orang yang disamarkan namanya tidak akan diketahui dirinya dan apatah lagi tentang keadilannya tidak diketahui. Oleh itu periwayatannya tidak diterima.
Adakah diterima periwayatan perawi yang disamarkan dengan lafaz ta’dil? Contohnya seperti kata seorang perawi yang meriwayatkan daripadanya: “Perawi thiqah telah menceritakan kepada saya”?
Jawapan: Mengikut pendapat yang sahih riwayatnya juga tidak diterima kerana boleh jadi thiqah padanya tetapi tidak di sisi orang lain.
Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?
Jawapan: Ya, hadisnya mempunyai nama khusus iaitu hadis Mubham. Ia adalah hadis yang terdapat di dalamnya perawi yang tidak dinyatakan namanya. Kata al-Bayquni di dalam bait-bait syairnya: “Dan mubham itu di dalamnya ada perawi yang tidak dinamakan”.
Kitab-Kitab Terkenal Yang Membahaskan Sebab-Sebab “Jahalah Al-Ruwah”.
- Berkenaan perawi yang mempunyai banyak sifat: al-Khatib al-Baghdadi menulis kitab “Mudih Awham al-Jam’Wa al-Tafriq”.
- Perawi yang sedikit riwayatnya: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab “al-Wuhdaan” iaitu kitab yang mengandungi perawi yang seorang sahaja meriwayatkan daripadanya. Antara kitab ini ialah “al-Wuhdaan” karangan Imam Muslim.
- Tidak dinyatakan nama perawi: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab “al-Mubhamat” seperti kitab “al-Asma al-Mubhamah fi al-Anba’al-Muhkamah” oleh al-Khatib al-Baghdadi dan kitab “al-Mustafad min Mubhamat al-Matn Wa al-Isnad” oleh Waliyuddin al-Iraqi.
AL-BID’AH
Definisi:
Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi “bada’a” iaitu mengadakan, seperti juga “ibtada’a” sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab “al-Qamus al-Muhit”. Dari segi istilah pula bid’ah ialah perkara baru dalam agama setelah ianya disempurnakan atau perkara yang direka sama ada dalam bentuk hawa nafsu atau amalan setelah Rasulullah s.a.w wafat.
Bahagian-bahagiannya
Bid’ah “mukaffirah” iaitu bid’ah yang menyebabkan pengamalnya menjadi kafir seperti dia beri’tiqad dengan sesuatu yang membawa kepada kekufuran. Mengikut pendapat yang diakui, perawi yang ditolak periwayatannya ialah orang yang mengingkari perkara mutawatir yang diketahui sebagai kemestian ajaran agama atau beri’tiqad dengan sebaliknya.
Bid’ah mufassiqah iaitu pengamalnya difasiqkan dengan sebabnya dan ia tidak membawa kepada kekufuran sama sekali.
Hukum Periwayatan Ahli Bid’ah
Jika dia seorang pengamal bid’ah “mukaffirah”, periwayatannya ditolak. Jika dia seorang pengamal bid’ah mufassiqah, menurut pendapat yang sahih, riwayatnya diterima dengan dua syarat:
- Dia tidak menyeru kepada bid’ahnya
- Dia tidak mewarwarkan bid’ahnya.
Adakah Hadis Ahli Bid’ah Mempunyai Nama Khusus?
Hadis ahli bid’ah tidak mempunyai nama khusus kerana hadisnya sebagaimana anda ketahui termasuk dalam jenis-jenis hadis mardud, tidak boleh diterima kecuali dengan sebab-sebab yang telah disebut.
LEMAH INGATAN DAN HAFAZAN
Ta’rif perawi yang mempunyai ingatan: Perawi yang aspek “betul”nya tidak kuat berbanding dengan aspek kesilapannya.
Bentuk-bentuknya
Ada dua bentuk:
- Sekiranya lemah hafalan itu ada bersamanya sejak awal kehidupannya lalu berterusan padanya dalam semua keadaannya hadisnya dinamakan dengan shadh mengikut setengah ulama hadis.
- Hadis yang disampaikannya selepas berlaku “ikhtilat” maka hukumnya mardud.
- Hadis yang tidak dapat ditentukan sama ada disampaikan sebelum atau selepas berlaku “ikhtilat” maka hendaklah ditangguhkan sehinggalah jelas kedudukannya.
