Mustalah Al Hadith – Sesi 35 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 24- Jan-16
RIWAYAH AL-ABNAA ‘AN AL-AABAA
RIWAYAH AL-ABNA `AN AL-ABA
Definisi
Terdapat di dalam sanad hadis seorang anak meriwayatkan daripada bapanya sahaja atau daripada bapanya daripada datuknya.
Bahagiannya Yang Paling Penting
Bahagian periwayatan ini yang paling penting ialah yang tidak disebutkan nama bapa atau datuk kerana ia memerlukan kepada kajian untuk mengetahuinya.
Bahagian-Bahagiannya
Ada dua:
- Periwayatan anak daripada bapanya sahaja iaitu tanpa meriwayatkan daripada datuk. Ini yang banyak berlaku. Contohnya seperti riwayat Abu al-`Ushara’ daripada bapanya.
- Periwayatan seorang perawi daripada bapanya daripada datuknya atau daripada bapanya daripada datuknya dan sehingga ke atas. Contohnya seperti riwayat `Amr bin Shu’ayb daripada bapanya daripada datuknya.
Antara Faedahnya
- Mengkaji dan menyelidik bagi mengetahui nama bapa atau datuk bila tidak dinyatakan dengan jelas.
- Menjelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan datuk. Adakah itu datuk kepada anak atau datuk kepada bapa.
Kitab-Kitab Yang Paling Masyhur
- “Raiwayah al-Abna’ `An Aba`ihim” oleh Abu Nasr `Ubaydullah bin Sa’id al-Wa`ili.
- “Juz`Man Rawa `An Abihi `An Jaddih” oleh Ibn Abi Khaythamah
- “Kitab al-Washy al-Mu’lim Fi Man Rawa `An Abihi `An Jaddihi `An a-Nabiyy s.a.w.” karangan al-Hafiz al-`Ala`i.
AL-MUDABBAJ WA RIWAYAH AL-AQRAN
Definisi al-Aqran
Bahasa: “al-Aqran” jama’ “qarin” dengan makna orang sentiasa mendampingi temannya, sebagaimana disebutkan dalam al-Qamus al-Muhit.
Istilah: Perawi-perawi yang hampir sama dari segi umur dan sanad.
Definisi Riwayah al-Aqran
Salah seorang “qarin” yang meriwayatkan daripada seorang lagi. Seperti riwayat Sulayman al-Taymi daripada Mis’ar bin Kidam. Mereka berdua adalah qarin tetapi tidak diketahui Mis’ar ada meriwayatkan daripada al-Taymi.
Definisi al-Mudabbaj
Bahasa: Kata nama objek daripada “Tadbij” dengan makna menghiaskan. “Tadbij” itu berasal daripada perkataan “Dibajatay al-Wajh” iaitu dua belah pipi seolah-olah dinamakan “al-Mudabbaj” kerana persamaan antara-antara perawi dengan orang yang diriwayatkan daripadanya sebagaimana persamaan pada dua pipi. Istilah: dua orang qarin yang saling meriwayatkan hadis antara satu sama lain .
Contoh al-Mudabbaj
- Pada Sahabat riwayat `A`ishah daripada Ab Hurayrah dan riwayat Abu Hurairah daripada `A’ishah.
- Pada tabi’in: riwayat al-Zuhri daripada `Umar bin `Abd al-`Aziz dan riwayat `Umar bin `Abd al-‘Aziz daripada al-Zuhri
- Pada tabi’in al-Tabi’in: riwayat Malik daripada al-Awza’i dan riwayat al-Awza’i daripada Malik.
Antara Faedahnya
- Supaya tidak disangka terdapat penambahan perawi pada sanad
- Supaya tidak disangka lafaz (‘an) ditukar dengan lafaz (waw)
Kitab-Kitab Yang Terkenal
- “Al’ Mudabbaj” oleh al-Daruqutni
- “Riwayah al-Aqran” oleh Abu al-Shaykh al-Ashfahani.
