[KENALI HADITH PALSU – USUL DIRAYAT HADITH NO. 1] – Hadith bercanggah dengan kebesaran Allah s.w.t. dan menyerupakan-Nya dengan makhluk seperti berjisim (berkaifiyat dan sebagainya, kecuali apa yang tersebut di dalam al-Quran dan tsabit di dalam hadith sahih) adalah hadith palsu. (Video – Hadith Bercanggah Dengan Kebesaran Allah)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 8m 35s] – [RINGKAS – USUL DIRAYAT] – Hadith Palsu – Usul No 1 – Hadith Bercanggah Dengan Kebesaran Allah

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/mw7THG840OU ]

USUL DIRAYAT HADITH PERTAMA – Hadith-hadith yang bercanggah dengan kebesaran Allah s.w.t. dan menyerupakan-Nya dengan makhluk seperti berjisim (berkaifiyat dan sebagainya, kecuali apa yang tersebut di dalam al-Quran dan tsabit di dalam hadith sahih) adalah hadith palsu. Setelah diitsbatkan, ia sama ada di”tafwidh”kan (diserahkan hakikat maknanya kepada Allah) atau di”ta’wil”kan, jika ada ruang-ruang dan alasan-alasan yang kukuh membolehkannya dita’wil, disamping diyakini bahawa Allah tidak menyerupai sesuatu apa pun daripada makhluk-Nya.

[KENALI HADITH PALSU] – HADITH BERCANGGAH DENGAN KEBESARAN ALLAH S.W.T. DAN MENYERUPAKAN-NYA DENGAN MAKHLUK SEPERTI BERJISIM (BERKAIFIYAT DAN SEBAGAINYA, KECUALI APA YANG TERSEBUT DI DALAM AL-QURAN DAN TSABIT DI DALAM HADITH SAHIH) ADALAH HADITH PALSU

1. [ 00:01:18 ] – HADITH PALSU PERTAMA

Maksudnya: Sesungguhnya Ibnu `Umar telah menghantar seseorang kepada Ibnu `Abbaas untuk bertanya beliau begini: “Adakah (Nabi) Muhammad s.a.w. telah melihat Tuhannya?” Ibnu `Abbaas menjawab: “Ya. Baginda telah melihat-Nya (duduk) di atas kerusi emas yang dipikul oleh empat malaikat. Yang pertama dalam rupa seorang lelaki, yang kedua dalam rupa singa, yang ketiga dalam rupa lembu jantan dan yang keempat dalam rupa burung nasar di dalam sebuah bilik hijau berhamparkan emas”.

KOMENTAR [ Sila Rujuk Perbincangan: https://www.youtube.com/watch?v=6juuU7dQiQI&t=1685s ]

(a) Riwayat ini termasuk di dalam senarai “tafarrudaat” Ibnu Ishaq, iaitu riwayat yang hanya dikemukakan oleh Ibnu Ishaq seorang sahaja. Berdasarkan riwayat-riwayat seperti inilah para `ulama’ telah menganggap Ibnu Ishaq sebagai seorang pendusta dan seorang “mujassimah”. Sedia dimaklumi bahawa “tafarudaat” Ibnu Ishaq tidak diterima dan tertolak, tidak boleh dipakai dan dipertanggungjawabkan.

(b) Ia juga “munqathi’ ” (terputus sanadnya) kerana dalam riwayat ini tidak diketahui siapakah yang dihantar oleh Ibnu `Umar untuk pergi bertanya kepada Ibnu `Abbaas.

(c) Riwayat ini jelas menyerupakan Allah dengan makhluk. Padahal Allah telah berfirman tentang diri-Nya di dalam al-Quran, bermaksud: .”Tiada suatu pun yang serupa dengan Nya.” (Surah as-Syura, Ayat 11) dan ayat al-Quran bermaksud: “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya” (Surah al-Ikhlas, Ayat 4). Maka adalah jelas palsunya riwayat ini kerana ianya bercanggah dengan keterangan al-Quran.

(d) Riwayat-riwayat seperti ini tentunya hasil rekaan golongan “Mujassimah” (mempercayai Allah berjisim) dan “Musyabbihah” (mempercayai Allah menyerupai makhluk-Nya).

2. 00:03:57 – HADITH PALSU KEDUA

Maksudnya: Ibnu `Abbaas meriwayatkan, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah turun pada tiap-tiap malam Jumaat ke dunia bersama enam ratus ribu malaikat. Dia duduk di atas kerusi daripada cahaya. Dihadapannya ada sekeping lauh daripada yaqut (permata delima) merah. Di dalamnya tercatat nama-nama orang yang mengisbatkan ru’yah (dapat melihat ‘Allah), kaifiyat (Allah) dan shurah (rupa bentuk Allah) dari kalangan umat Muhammad s.a.w. Maka Allah berbangga dengan mereka kepada para malaikat seraya berkata: “Mereka inilah hamba-hamba-Ku yang tidak mengingkari sifat-sifat-Ku dan menegakkan sunnah Nabi-Ku. Mereka tidak takut kerana-Ku celaan yang yang mencela. Aku jadikan kamu wahai para malaikat-Ku sebagai saksi: “Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku, pasti Aku akan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab”.

KOMENTAR [Sila Rujuk Perbincangan: https://www.youtube.com/watch?v=6juuU7dQiQI&t=2870s ]

Imam Ibnu al-Jauzi mengulas: “Hadith ini maudhu’. Semoga Allah melaknat perekanya dan tidak mengasihaninya, kerana dia adalah seorang yang paling hina dari kalangan golongan Musyabbihah dan paling jelik kepercayaannya. Saya percaya perkara seumpama ini tidak akan dinyatakan kecuali oleh pelampau-pelampau Musyabbihah yang tidak pernah duduk bersama mana-mana orang `alim. Hadits ini adalah hasil rekaan Abi as-Sa’adaat. Sesungguhnya dia dikatakan berfahaman sesat, suka bergaul dengan orang-orang yang tidak dikenali sebagai tokoh dalam agama dan tidak mengambil berat tentang agama. Dia telah mencipta seorang peribadi yang bernama al-Karukhi dan mengemukakan namanya. Pada hal al-Karukhi seorang yang langsung tidak dikenali tokoh-tokoh hadith. Allah sesungguhnya telah memelihara orang-orang seperti al-Thabaraani (Nota: al-Thabaraani ditohmah mengemukakan hadith ini) dan juga perawi-perawi di atasnya daripada mengemukakan hadith-hadith seperti ini”.

3. 00:07:28 –  HADITH PALSU KETIGA

Maksudnya: “Aku telah melihat Tuhanku di Mina menaiki unta kelabu. Dia memakai jubah daripada bulu bebiri di hadapan orang ramai”

KOMENTAR [Sila Rujuk Perbincangan: https://www.youtube.com/watch?v=6juuU7dQiQI&t=3550s ]

Mulla `Ali al-Qari berkata, “Hadith ini maudhu, tiada asalnya.”

Imam adz-Dzahabi menceritakan , “Kata Abu al-Qasim Ibnu `Asaakir, orang yang dituduh mereka hadith ini ialah al-Ahwaazi. Abu al-Fadlh Ibnu Khairuun menganggapnya sebagai seorang yang lemah. Hafiz `Abdullah bin Ahmad as-Samarqandi berkata: “Hafiz Abu Bakar al-Khathib mengatakan dia seorang pendusta besar dalam hadith dan qira’at kedua-dua sekali”.

Ibnu `Asaakir di dalam “Tabyiin Kazibi al-Muftari” menulis: “Tidak hairanlah jika orang jahil pun mendustakan apa saja cerita yang dikemukakan oleh al-Ahwaazi ini, kerana dia adalah antara yang paling pembohong dalam mengemukakan riwayat-riwayat qira’atnya.

VIDEO PENUH ASAL – https://youtu.be/6juuU7dQiQI

Leave a comment