VIDEO – [Durasi – 9m 59s] – [HADITH – MENDIDIK JIWA] – Siri 1 – Kaya Sejati Ialah Kaya Jiwa
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ejcaNZZmmZQ ]
Video penuh asal – • Sesi 4 – Kaya Sejati Ialah Kaya Jiwa – [Sa…
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
وَقَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى [ أَيَحْسِبُونَ أَنَّ مَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ ] إِلَى قَوْلِهِ تَعَالَى [ مِنْ دُونِ ذَلِكَ هُمْ لَهَا عَامِلُونَ ] قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ لَمْ يَعْمَلُوهَا لَا بُدَّ مِنْ أَنْ يَعْمَلُوهَا ٦٤٤٤- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو حَصِينٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
Bab – Kaya Sejati Ialah Kaya Jiwa
Dan firman Allah ta’ala: “Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu”, sehingga firman-Nya: “Lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini; dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya”. Ibnu ‘Uyaynah berkata: Mereka belum mengerjakannya (amalan jahat itu) tetapi mesti mengerjakannya. . Ahmad bin Yunus telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Bakr telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Hashin telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda: “Kekayaan sebenar bukanlah dengan kerana banyaknya harta benda tetapi kaya yang sebenar itu adalah kaya jiwa.”
[RINGKASAN]
1. “Kekayaan sejati ialah kekayaan jiwa”. Islam tidak menafikan kekayaan di segi harta tetapi apa yang ditekankan ialah kekayaan sebenar iaitu kekayaan jiwa. Ini bermakna, semua orang berpeluang menjadi “kaya” tidak kira sama ada mempunyai harta yang banyak atau tidak.
2. Adakah manusia menyangka kekayaan harta benda dan anak pinak yang dikurniakan Allah adalah sebagai “anugerah” atau “keistimewaan” kepada mereka? Tidak! Sebenarnya orang yang beruntung ialah mereka yang takut kepada Allah, percaya kepada ayat-ayat Allah, tidak menyengutukan Allah, memberikan harta dalam keadaan hati mereka takut kerana ingat mereka akan dikembalikan kepada Allah. Tetapi kebanyakan manusia tenggelam dalam kemewahan dunia dan melakukan berbagai kedurhakaan dengan harta yang mereka miliki.
3. Kelebihan, manfaat dan faedah dari harta dan anak-anak diperolehi bila adanya kebajikan dari mereka dan adanya sifat-sifat di atas (takut kepada Allah dsb). Oleh itu, orang yang tidak mendapat kebaikan ini, tidaklah seorang yang kaya walaupun mempunyai harta yang banyak.
4. Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan (takut kepada Allah dsb), secara otomatik seseorang itu akan merasa kaya jiwa.
5. Kebaikan sesuatu harta bukan kerana semata-mata adanya harta itu tetapi berkait dengan kebaikan dan kebajikan yang diperolehi daripadanya seperti dibelanjakan di jalan yang diredhai Allah.
6. Orang yang tidak mempunyai banyak harta tetapi menggunakan harta yang sedikit yang dia miliki untuk melakukan kebajikan sebenarnya adalah seorang yang kaya, sebaliknya orang yang mempunyai banyak harta tetapi tidak mengeluarkannya di jalan kebajikan atau mensia-siakannya adalah seorang yang miskin.
7. Agama Islam melihat sesuatu perkara di segi manfaat jangka panjang (seperti manfaat di akhirat).
8. Orang miskin yang sebenar ialah orang yang berharta tetapi tidak menggunakannya untuk kebaikan di dunia, apatah lagi untuk kebaikan akhirat; mereka sama ada tidak membelanjakan langsung harta tersebut (disebabkan takut habis) atau membelanjakannya di jalan yang sia-sia.
9. Orang yang kaya jiwa, berpuas hati dengan apa yang ada, tidak dengki dengan orang yang mempunyai lebih harta daripadanya. Orang yang kaya sebenar ialah orang yang lebih utamakan akhirat tanpa meninggalkan dunia.
