[KEUTAMAAN (ORANG-ORANG TERTENTU)] – Siri 1 -Keutamaan Nabi s.a.w & Nasab Baginda [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 15m 17s] – [KEUTAMAAN (ORANG-ORANG TERTENTU)] – Siri 1 -Keutamaan Nabi s.a.w & Nasab Baginda [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Wx5j_AzF50E ]

Video penuh asal – •    • Sesi 1 –  Kelebihan Nabi s.a.w Daripada Or…  

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فَضْلِ نَسَبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَتَسْلِيمِ الْحَجَرِ عَلَيْهِ قَبْلَ النُّبُوَّةِ. ‏‏ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مِهْرَانَ الرَّازِيُّ، وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَهْمٍ، جَمِيعًا عَنِ الْوَلِيدِ، – قَالَ ابْنُ مِهْرَانَ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ، – حَدَّثَنَا الأَوْزَاعِيُّ، عَنْ أَبِي عَمَّارٍ، شَدَّادٍ أَنَّهُ سَمِعَ وَاثِلَةَ بْنَ الأَسْقَعِ، يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ ‏”‏‏‏

Hadith Pertama – Kelebihan Keturunan (Nasab) Nabi – Daripada Wathilah Bin Asqa’ katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah daripada anak-anak Ismail. Dia telah memilih Quraisy daripada Kinanah dan memilih daripada Quraisy Bani Hashim dan dipilih-Nya saya daripada Bani Hashim”.

وَحَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي بُكَيْرٍ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ طَهْمَانَ، حَدَّثَنِي سِمَاكُ بْنُ حَرْبٍ، عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنِّي لأَعْرِفُ حَجَرًا بِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَىَّ قَبْلَ أَنْ أُبْعَثَ إِنِّي لأَعْرِفُهُ الآنَ ‏”‏ ‏.‏

Hadith Kedua – Batu Memberi Salam Kepada Nabi s.a.w. – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir Bin Samurah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya saya kenal benar satu batu di Mekah yang selalu memberi salam kepada saya sebelum saya diutuskan (sebagai Nabi). Sesungguhnya saya benar-benar kenal dia sekarang”

. حَدَّثَنِي الْحَكَمُ بْنُ مُوسَى أَبُو صَالِحٍ، حَدَّثَنَا هِقْلٌ، – يَعْنِي ابْنَ زِيَادٍ – عَنِ الأَوْزَاعِيِّ، حَدَّثَنِي أَبُو عَمَّارٍ، حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ فَرُّوخَ، حَدَّثَنِي أَبُو هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ ‏‏

Hadith Ketiga – Bab Kelebihan Nabi Kita Daripada Sekelian Makhluk – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku adalah prenghulu anak Adam pada hari kiamat nanti dan aku adalah orang yang mula-mula terbelah kubur untuknya. Aku adalah orang yang mula-mula yang memberi syafaat dan orang yang mula-mula diterima syafaatnya”.

[RINGKASAN] Keutamaan Nabi Muhammad Dan Nasab Baginda

1. “Manaqib” – kelebihan orang-orang tertentu berdasarkan hadith. Terdapat banyak sekali hadith-hadith dhaif dan palsu di dalam kitab-kitab hadith (kecuali dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim) terutamanya berkenaan Saiyidin Ali.

2. Hadith Pertama – Kelebihan Keturunan (Nasab) Nabi – Nabi s.a.w. menyatakan Baginda dipilih oleh Allah dari nasab yang mulia bukan untuk berbangga tetapi menjalankan tanggungjawabnya menyampaikan perkara sebenar. Tidak semua manusia menjadi mulia, tetapi hanya segelintir sahaja yang terpilih menjadi baik dan mulia.

3. Hadith Kedua – Batu Memberi Salam Kepada Nabi s.a.w. – Perkara-perkara ajaib yang berlaku pada Nabi s.a.w. sebelum Baginda dilantik sebagai nabi dinamakan “irhas” (kalau selepas menjadi Nabi dinamakan “mukjizat”). Manusia pilihan Allah sama ada Nabi atau orang awam dianugerahkan Allah perkara-perkara istimewa dan diberi tanda-tanda awal. Untuk orang awam yang taat diberi keistimewaan yang dinamakan “keramat”. Walapun begitu ada juga orang kafir yang mendapat keajaiban (Bukan kerana ketaatan tetapi sebagai tipu daya – “istidraj” – penyunting). Ada orang belajar dan mengamalkan ilmu tertentu yang nampak ajaib (seperti tidak “lut” bila ditetak) tetapi ianya tidak dinamakan “keramat”, tetapi hanya merupakan “ilmu dunia”.

4. Hadith Ketiga – Kelebihan Nabi Kita Daripada Sekelian Makhluk – Nabi s.a.w. adalah orang yang pertama dibangkitkan di alam barzakh, orang yang pertama meminta syafaat dan diterima syafaatnya oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w. menyatakan bahawa Baginda adalah penghulu anak Adam. Baginda menyatakan demikian bukan dengan maksud untuk berbangga atau sombong, tetapi adalah taggungjawab Baginda memberitahu umatnya dan juga sebagai tanda syukur atas nikmat Allah. Adalah menjadi aqidah ahli sunnah wal jamaah bahawa Nabi s.a.w. adalah makhluk yang paling utama melebihi malaikat, kaabah, syurga dan lain-lain makhluk.

5. Dalam pada itu ada hadith yang melarang kita melebih-lebihkan di antara nabi-nabi Allah. Imam an-Nawawi memberi penjelasn bahawa,

i) Nabi s.a.w. bersabda begini sebelum Baginda tahu bahawa Baginda adalah penghulu anak Adam,

Ii) Menunjukkan betapa beradab dan merendah dirinya Nabi s.a.w.,

iii) Larangan ini adalah untuk mengelakkan dari menjatuhkan martabat nabi-nabi lain.

iv) Untuk mengelakkan perselisihan dan kekacauan dan,

v) larangan dari melebihkan seorang nabi dari seorang nabi yang lain di segi pangkat “kenabian” itu sendiri. Diharuskan melebihkan seorang nabi dari seorang nabi yang lain dengan anugerah istimewa dari Allah seperti boleh menguasai jin dan haiwan dsb

Leave a comment