VIDEO – [Durasi – 6m 4s] – [MENDIDIK JIWA] – Siri 3 – Tiada Kehidupan Yang Sebenar Selain Daripada Kehidupan Akhirat [HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/FPELLpJdhsE ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Tidak Ada Kehidupan Sempurna Mela…
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب مَا جَاءَ فِي الرِّقَاقِ وَأَنْ لاَ عَيْشَ إِلاَّ عَيْشُ الآخِرَةِ
Bab – Tiada Kehidupan Yang Sebenar Selain Daripada Kehidupan Akhirat .
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَنَسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ اللَّهُمَّ لاَ عَيْشَ إِلاَّ عَيْشُ الآخِرَة، فَأَصْلِحِ الأَنْصَارَ وَالْمُهَاجِرَة ”.
Diriwayatkan dari Anas dari Nabi s.a.w., sabdanya, “Ya Allah! Tiada kehidupan sebenar selain dari kehidupan akhirat. Perbaikilah keadaan Ansar dan Muhajirah (Orang-orang Muhajir)”
حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ الْمِقْدَامِ، حَدَّثَنَا الْفُضَيْلُ بْنُ سُلَيْمَانَ، حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ، حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ السَّاعِدِيُّ، كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَنْدَقِ وَهْوَ يَحْفِرُ وَنَحْنُ نَنْقُلُ التُّرَابَ وَيَمُرُّ بِنَا فَقَالَ “ اللَّهُمَّ لاَ عَيْشَ إِلاَّ عَيْشُ الآخِرَهْ، فَاغْفِرْ لِلأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ ”. تَابَعَهُ سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم مِثْلَهُ.
Diriwayatkan dari Sahl bin Saad as-Sa’idi katanya: Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w. dekat parit. Ketika itu Nabi s.a.w. sedang menggali parit dan kami pula memunggah tanah. Nabi s.a.w. memandang kepada kami lalu bersabda, “Ya Allah! Tiada kehidupan sebenar selain dari kehidupan akhirat. Ampunilah orang-orang Ansar dan orang-orang Muhajirin”
[RINGKASAN] TIADA KEHIDUPAN YANG SEBENAR SELAIN DARIPADA KEHIDUPAN AKHIRAT
1. Kehidupan di dunia ini, walaupun nampak jelas dan nyata, bukanlah kehidupan yang sebenar.
2. Di dunia ini, walaupun kelihatan gembira dan bahagia, masih ada sisi yang sedih dan duka. Semuanya ada had di dunia ini, ada penghujungnya. Kita akan makan sehingga kenyang, tetapi selepas kenyang tiada lagi nikmat makanan itu. Kita seronok berkahwin, tetapi ianya datang dengan tanggungjawab yang membebankan. Kita sihat tetapi sekali sekala diuji dengan sakit, atau walaupun kita tidak pernah sakit, di penghujung kehidupan kita akan mati jua. Begitu juga dengan kecantikan wajah, suatu hari ianya akan pudar, malah boleh hilang sekelip mata. Kekayaan juga tidak akan kekal, ianya akan berkurang atau hilang, dan di zaman moden ini ianya boleh musnah dalam sekelip mata.
3. Tiada yang baik dan menyeronokkan akan benar-benar kekal di dunia ini. Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan di akhirat. Kalau hidup di syurga, kita tidak akan mati; tidak akan sakit jika berterusan makan. Begitu juga seksaan neraka, ianya berpanjangan. Manakala di dunia, kesusahan dan kesakitan adalah sementara sahaja.
4. Nabi s.a.w. berdoa supaya diampunkan golongan Ansar dan Muhajirin dari apa-apa kesalahan. Jika ada perkara yang tidak baik, Nabi berdoa agar ianya diperbaiki. Kebaikan di dunia adalah tanda kebaikan di akhirat.
5. Apabila seseorang diampunkan dosanya, tandanya dia akan berbahagia di akhirat nanti. Jika tidak diampunkan dosanya di dunia ini, dia akan kembali kepada kesusahan di akhirat.
6. Keelokan di dunia ini adalah petanda kebaikan di akhirat. Keampunan dari Allah bermakna seseorang itu akan masuk syurga dengan mudah.
