VIDEO – [Durasi – 5m 49s] – [MENDIDIK JIWA] – Siri 4 – Hiduplah Di Dunia Ini Umpama Orang Dagang [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/JIFbCBeIFUM ]
Video penuh asal – • • Sesi 1 – Tidak Ada Kehidupan Sempurna Mela…
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ” كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ”
Bab – Nabi s.a.w. Bersabda, “Hendaklah Kamu Berada Di Dunia Ini Seperti Orang Dagang”.
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَبُو الْمُنْذِرِ الطُّفَاوِيُّ، عَنْ سُلَيْمَانَ الأَعْمَشِ، قَالَ حَدَّثَنِي مُجَاهِدٌ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبِي فَقَالَ “ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ”. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ.
HADITH – Nabi s.a.w. memegang bahu Ibnu Umar. Baginda bersabda, “Hendaklah engkau berada di dunia ini seperti orang dagang (atau, orang yang lalu di sesuatu tempat). Ibnu Umar berkata, “Kalau kamu berada di waktu petang, jangan tunggu pagi. Kalau engkau berada di waktu pagi, jangan tunggu petang”.
[RINGKASAN] Hidup Di Dunia Umpama Orang Dagang
1. Orang dagang ialah bukan orang tempatan, orang yang datang dari luar dan tinggal di negeri kita untuk tempoh tertentu dengan syara-syarat tertentu. Dia tinggal hanya sementara di negeri ini. Ianya berbeza dengan penduduk setempat yang tenang di dalam negerinya.
2. Kita hendaklah berada di dunia ini seumpama orang dagang, sentiasa ingat bilakah akan berakhirnya tempoh masa berada di dunia ini. Oleh sebab kita tidak tahu bilakah tamat tempoh kita di dunia ini, bersegeralah mengambil apa-apa bekal yang perlu.
3. Ingatlah, nyawa kita bukan milik kita. Oleh itu kita tidak boleh leka atau main-main. Perlu tumpukan perhatian sepenuhnya. Alangkah ruginya jika kita tidak dapat memperolehi syurga yang istimewa walaupun kita telah hidup di dunia ini.
4. Kedatangan kita ke dunia ini seumpama penumpang “transit”, pemandu tidak akan tunggu kita, tapi kitalah yang perlu berwaspada.
5. Nabi s.a.w. memegang bahu Ibnu Umar lalu bersabda, “Hendaklah engkau hidup di dunia ini sebagai orang dagang”. Ibnu Umar berkata, “Jika engkau berada di waktu petang, jangan tunggu pagi, dan jika engkau berada di waktu pagi, jangan tunggu petang”.
6. “Atsar” (kata-kata Sahabat) ini tidak bermaksud supaya kita meninggalkan dunia tetapi hendaklah mengambil manfaat secepat dan sebanyak mungkin kerana kita tidak tahu sampai bila kita akan hidup.
7. Sebahagian manusia terus meninggalkan dunia kerana kononnya ingin mengejar akhirat. Ambillah kesempatan dengan sebaik mungkin, jangan tangguhkan. Ingatlah apa-apa perbuatan yang ada kaitan dengan Allah dan akhirat, ianya adalah perkara akhirat walaupun pada mata kasar ianya seolah-olah perkara dunia. Contohnya bila kita berniaga dengan niat untuk menanggung keluarga atau menjaga masyarakat, ianya adalah perkara akhirat.
8. Orang yang memahami hakikat ini akan menjadi lebih rajin dan bersemangat. Ambillah peluang dari kesihatan sebelum tibanya masa sakit.. Ambillah peluang dari kehidupan ini sebelum maut datang menjemput.
