[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 18m 20s] – [PUASA – Siri 1] – Selayang Pandang Puasa & Kelebihan Ramadhan [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ReUehEdZ6xs ]
Video penuh asal – Sesi 1 – Kelebihan Bulan Ramadhan – [Sahih…
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ، وَقُتَيْبَةُ، وَابْنُ، حُجْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، – وَهُوَ ابْنُ جَعْفَرٍ – عَنْ أَبِي سُهَيْلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، – رضى الله عنه – أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ ” .
Bab – Kelebihan Bulan Ramadhan
Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dipasungkan syaitan-syaitan”.
SELAYANG PANDANG TENTANG IBADAT PUASA
1. Menjalani ibadat puasa adalah lebh berat dan membebankan kepada manusia berbanding ibadat lain kerana terpaksa menekan nafsu makan, minum dan hubungan kelamin. Tiada yang terkecuali dari kewajipan berpuasa tidak kira sama ada dia kaya atau miskin, tua atau muda.
2. Di segi bahasa “saum” (puasa) bermaksud menahan diri dari apa-apa perkara. Di segi syarak ianya bermaksud, “menahan diri dengan cara-cara tertentu, pada masa tertentu, oleh orang-orang tertentu dengan syarat-syarat tertentu”.
3. Puasa disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Puasa juga telah diwajibkan kepada kaum -kaum terdahulu sebelum Islam.
4. Tujuan disyariatkan berpuasa ialah, i) supaya mudah-mudahan kita menjadi orang yang bersyukur dan, ii) supaya menjadi orang yang bertaqwa.
5. Kita akan bersyukur jika kita tahu betapa tingginya nilai nikmat yang kita perolehi. Dengan berpuasa kita tahu tingginya nilai nikmat makan dan minum. Selepas berlapar dan dahaga berpuasa, kita akan lebih mensyukuri nikmat makan minum yang kita miliki dan kita lebih cakna kepada orang-orang susah di sekeliling kita.
6. Puasa melatih kta taat dengan perintah Allah yang melarang kira dari menikmati makanan yang selama ini halal, juga hubungan dengan isteri kita yang sah. Latihan mentaati Allah dalam perkara-perkara yang sebelumnya halal ketika berpuasa, akan menyebabkan kita secara nalurinya mengelak diri dari perkara yang sememangnya haram dari awal.
[RINGKASAN] Kelebihan Bulan Ramadhan
1. Bila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dipasungkan syaitan-syaitan.
2. Selain dari itu, antara kelebihan Ramadhan ialah diwajibkan berpuasa di bulan tersebut dan al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan.
3. Imam an-Nawawi menyebut, ada tiga pendapat tentang apakah maksud “pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dipasung (dirantai)”.
Pendapat pertama: Menerimanya sebagai zahir hadith iaitu pintu-pintu syurga benar-benar dibuka, pintu neraka benar-benar ditutup dan syaitan benar-benar dipasung. Selari dengan pendapat ini, pintu syurga ditutup di luar bulan Ramadhan dan pintu neraka dibuka di luar bulan Ramadhan. Tetapi ada satu hadith yang seolah-olah bercanggah dengan hadith ini iaitu pintu neraka dibuka dua kali dalam setahun. Penyelesaiannya mungkin dengan menganggap syurga dan neraka ada banyak pintu dan kita tidak tahu pintu manakah yang terbuka dan tertutup. .
Pendapat kedua: Hadith ini difahami secara “majazi” (bahasa pinjaman). Pintu-pintu syurga dan neraka bukan benar-benar terbuka atau tertutup tetapi mengisyaratkan kepada banyaknya pahala yang keampunan dalam bulan Ramadhan ini.
Syaitan pula sedikit gangguan dan tipu dayanya seolah-olah seperti orang yang terbelenggu. Syaitan “diberkas”, tetapi bukan untuk semua perkara, dan kesannya bukan ke atas semua orang. Ia dihalang mengganggu manusia tetapi tidak kepada semua manusia. “Ditutup pintu neraka” bermaksud Allah tidak hendak manusia melakukan kederhakaan sehingga dihumbankan ke dalam neraka. “Pintu syurga” pula bermaksud pintu rahmat. Dalam hadith lain, syaitan yang “diberkas” ialah syaitan yang ganas sahaja, tidak semua syaitan.
Pendapat ketiga: Maksud buka pintu syurga ialah Allah buka bentuk-bentuk ketaatan dan ibadat di bulan Ramadhan yang tidak ada di bulan lain seperti puasa, qiam, lailatul qadr, gandaan pahala dsb. Jika diamalkan, ibadat ini akan membuka pintu kepada syurga dan menutup jalan ke neraka. Syaitan di”berkas” bermaksud manusia menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah. Orang Islam yang terdidik dengan Ramadhan akan menghindarkan diri dari melakukan maksiat kepada Allah.
4. Ramai ulama’ yang menerima pendapat pertama dan tak kurang yang setuju dengan pendapat kedua. Antara persoalannya, mengapa masih ada orang Islam, lebih-lebih lagi orang kafir yang melakukan maksiat di bulan Ramadhan sedangkan syaitan sudah dirantai. Pendokong pendapat pertama mengatakan bahawa maksiat adalah hasil dari godaan hawa nafsu yang tidak terkawal sebelum ini, bukannya dari godaan syaitan.
5. Kemusykilan dan bantahan lain terhadap pendapat pertama ialah terdapatnya gangguan-gangguan dari makhluk halus di bulan Ramadhan sedangkan syaitan-syaitan telah dirantai.
6. Sebagai kesimpulannya, ulama’ berbeza pendapat tentang maksud hadith ini, tetapi pendapat kedua (hadith ini difahami secara “majazi”) mungkin lebih tepat kerana ianya tidak bercanggah dengan hadith pintu neraka dibuka dua kali dalam setahun, masih terdapat ramai yang melakukan maksiat di bulan Ramadhan walauapun syaitan dirantai dan masih ada makhluk-makhluk halus (syaitan) melakukan gangguan-gangguan “fizikal’ ke atas manusia di bulan Ramadhan.
SELINGAN – Amalan berpuasa terbukti mengurangkan kesan beberapa penyakit. Gaya hidup di segi makan minum banyak mempengaruhi tahap kesihatan kita.
