VIDEO – [Durasi – 12m 02s] – [CITA-CITA] – Siri 1 – Bercita-cita Untuk Mati Syahid [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/O4NocBl-SBs ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Orang Yang Bercita-Cita Untuk Mat… – Sahih al-Bukhari (Kitab Cita-Cita)
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
كتاب التمنى
باب مَا جَاءَ فِي التَّمَنِّي وَمَنْ تَمَنَّى الشَّهَادَةَ
سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ، حَدَّثَنِي اللَّيْثُ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ خَالِدٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، وَسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ “ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْلاَ أَنَّ رِجَالاً يَكْرَهُونَ أَنْ يَتَخَلَّفُوا بَعْدِي وَلاَ أَجِدُ مَا أَحْمِلُهُمْ مَا تَخَلَّفْتُ، لَوَدِدْتُ أَنِّي أُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ، ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ، ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ ”.
KITAB CITA-CITA
.BAB – TENTANG “TAMANNI” DAN ORANG YANG MENCITA-CITAKAN MATI SYAHID
Abu Hurairah r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya, kalaulah tidak kerana beberapa orang yang tidak suka ketinggalan di belakang (tidak suka ketinggalan untuk pergi berperang bersamaku) dan aku pula tidak mendapat sesuatu kenderaan untuk diberikan kepada mereka, tentulah aku tidak ketinggalan di belakang (tidak ikut serta dalam peperangan). Aku mahu sekali terbunuh di jalan Allah dan dihidupkan, kemudian terbunuh dan kemudian dihidupkan, kemudian terbunuh dan dibangkitkan dan terbunuh”.
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ وَدِدْتُ أَنِّي لأُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأُقْتَلُ ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ، ثُمَّ أُحْيَا، ثُمَّ أُقْتَلُ، ثُمَّ أُحْيَا، ثُمَّ أُقْتَلُ، ثُمَّ أُحْيَا ”. فَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَقُولُهُنَّ ثَلاَثًا أَشْهَدُ بِاللَّهِ.
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya aku mahu sekali berperang di jalan Allah kemudian terbunuh, kemudian dihidupkan kemudian terbunuh, kemudian dihidupkan kemudian terbunuh”. Abu Hurairah mengucapkan tiga kali dengan mengatakan, “Aku bersaksi atas nama Allah bahawa Nabi s.a.w. benar-benar telah berkata begitu (tiga kali)”.
[RINGKASAN] Bercita-Cita Untuk Mati Syahid
1. “Tamanni” bermaksud bercita-cita untuk mendapat suatu yang mustahil atau yang hampir mustahil dicapai. Adakah “tamanni”, angan-angan atau cita-cita, dibolehkan dalam Islam? Ada “tamanni” yang dibenarkan dan ada “tamanni” yang tidak dibenarkan. Antara cita-cita yang dibenarkan malah digalakkan ialah bercita-cita untuk mendapat mati syahid
2. Cita-cita kita tidak sepatutnya fokus untuk mendapat perkara duniawi semata-mata tetapi sayugia untuk mendapat faedah di hari akhirat, terutamanya untuk mendapat mati syahid. Hakikatnya, mati syahid tiada keuntungan duniawi tapi inilah yang sebenarnya berguna untuk manusia.
3. Nabi s.a.w. bercita-cita untuk mati syahid walaupun Baginda s.a.w. tahu ianya mustahil dicapai (“tamanni”) kerana Allah menjamin menjaga Baginda dari manusia.
4. Perjuangan Nabi dan Sahabat-Sahabat, termasuklah dalam urusan pemerintahan, adalah untuk akhirat. Kerana itulah Allah memberi kemenangan demi kemenangan kepada mereka.
5. Ada Sahabat Nabi yang sedih kerana tidak dapat ikut berperang kerana cacat atau tiada kenderaan dan senjata perang, manakala Nabi pula tidak dapat menyediakan kenderaan dan sejata untuk mereka.
6. Perhatikan bagaimana Nabi s.a.w. mengambil kira sebab-sebab zahir untuk pergi berperang sesuai dengan sunnatullah yang menetapkan kaedah “sebab dan akibat”. Apa-apa pertolongan dari Allah dan keajaiban-keajaiban yang berlaku adalah selepas berusaha dengan sepatutnya di segi zahir. Inilah yang dicontohkan Rasulullah untuk kita terapkan dalam kehidupan seharian.
7. Oleh kerana ingin menjaga hati mereka yang tidak dapat pergi berperang, Nabi s.a.w. sengaja tidak ikut serta dalam beberapa peperangan.
8. Sahabat-Sahabat berasa sedih kerana tidak dapat ikut serta berperang. Mereka ingin pergi berperang semata-mata kerana akhirat. Kita boleh mengambil semangat jiwa Sahabat-sahabat ini dan terapkan dalam kehidupan kita.
9. Antara pengajaran dari hadith ini ialah,
i) ada ketikanya kita tergelincir dalam hidup ini seperti tertinggal sembahyang (dengan tidak sengaja atau di luar kawalan kita). Kita tidak perlu terlalu sedih atau rungsing kerana Nabi s.a.w. juga pernah tertinggal sembahyang,
ii) tidaklah wajib pemimpin tertinggi seperti presiden atau perdana menteri turut turun ke gelanggang perang. Ada kalanya, pemimpin boleh berada di belakang tabir untuk merancang strategi,
iii) Dengan tidak pergi berperang, Nabi s.a.w. (atau pemimpin) boleh menyelesaikan apa-apa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain.
10. Nabi s.a.w. ingin sekali terbunuh dalam peperangan di jalan Allah kemudian dihidupkan beberapa kali. Ini bermaksud kita boleh bercita-cita untuk mati syahid. Hadith yang bermaksud janganlah kita mencita-citakan kematian ialah tentang kematian biasa dimana seseorang berhasrat untuk mati kerana tidak mampu menghadapi tekanan-tekanan dalam hidup. Mati syahid adalah mati yang bermaruah dan cukup untuk menjadi bekalan dalam hidup kita yang singkat di dunia ini.
