[HUDUD DAN DIYAT] – Siri 1 -TAKRIF HUKUMAN HUDUD & HUKUMAN HUDUD MENUTUP DOSA [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 11m 26s] – [HUDUD DAN DIYAT] – Siri 1 -TAKRIF HUKUMAN HUDUD & HUKUMAN HUDUD MENUTUP DOSA [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/4LrMhTvQ6Zk ]

Video penuh asal – 1. Sahih al-Bukhari – Kitab Hudud    • Sesi 1 – Ancaman Daripada Hudud — [Sahih …  

2. Sahih Musiim-Kitab Hudud-    • Sesi 11 – Hukuman Hudud Merupakan Penutup …  

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

كتاب الحدود

‏‏باب الْحُدُودُ كَفَّارَاتٌ لأَهْلِهَا

‏‏ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ، وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَمْرٌو النَّاقِدُ وَإِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَابْنُ نُمَيْرٍ كُلُّهُمْ عَنِ ابْنِ عُيَيْنَةَ، – وَاللَّفْظُ لِعَمْرٍو قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي إِدْرِيسَ، عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي مَجْلِسٍ فَقَالَ ‏ “‏ تُبَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ تَزْنُوا وَلاَ تَسْرِقُوا وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَعُوقِبَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَسَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ ‏

HUKUMAN HUDUD MERUPAKAN PENUTUP DOSA PELAKU-PELAKUNYA

Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Ubadah bin as-Shamit, beliau berkata: Pernah kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam satu majlis, maka Baginda bersabda, “Kamu berbaiahlah denganku untuk kamu tidak menyengutukan Allah (atau menyengutukan sesuatu dengan Allah), kamu tidak berzina, mencuri, membunuh orang yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran. Sesiapa yang menjaga semua yang tersebut itu maka pahalanya dijamin Allah dan sesiapa yang melanggar mana-mana yang tersebut tadi lalu dihukum dia dengan sebabnya maka hukuman itu menjadi “kaffarah” (penutup dosa) kepadanya dan sesiapa yang melanggar mana-mana yang tersebut tadi lalu Allah menutup kesalahannya itu maka keadaannya terserah kepada Allah. Jika Allah mahu mengampunkannya, diampunkan-Nya orang itu, dan jika Allah mahu menyeksanya, Dia akan menyeksanya”.

[RINGKASAN] Takrif Hukuman Hudud Dan Hukuman Hudud Menutup Dosa Pelakunya

1. Hukuman “hudud” di segi bahasa bermaksud, “Hukuman tertentu yang dapat menghalang seseorang dari melakukan kesalahannya semula”, manakala di segi syarak ianya bermaksud, “Hukuman berupa seksaan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. dan merupakan hak Allah”.

HUKUMAN HUDUD MERUPAKAN PENUTUP DOSA PELAKU-PELAKUNYA

1. Jika seseorang dikenakan hukuman hudud di dunia ini maka dosanya diampunkan. Jika dia berzina dan dia dihukum sebat atau rejam, dosa zinanya akan dihapuskan.

2. Sahabat-Sahabat berbaiah dengan Rasulullah s.a.w. untuk tidak melakukan syirik, berzina, mencuri atau membunuh orang tanpa hak. Mereka yang tidak melakukan perkara di atas kerana mentaati perintah Allah, dijamin akan diberi pahala oleh Allah. Kita mendapat pahala bukan hanya kerana melakukan ketaatan tetapi juga kerana menjauhi maksiat.

3. Sesiapa yang melakukan dosa-dosa di atas dan dihukum dengan hukuman hudud, hukuman hudud itu menjadi “kaffarah” (penghapus dosa).

4. Jika Allah menutup perbuatan dosanya maka terpulanglah kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau menyeksanya. Menutup dosanya mungkin dalam bentuk tidak diketahui oleh orang ramai atau dia tidak memberitahu orang lain tentang maksiatnya itu kerana faktor takut atau malu dll. .

5. Jika Allah tidak terus mengampunkan seseorang yang berdosa, mungkin Dia memalukannya di padang mahsyar, menyeksanya di dalam kubur atau menyeksanya di dalam neraka.

6. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang sama ada hukuman hudud sebenarnya menghapuskan dosa atau tidak. Majoriti ulama’, termasuk Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat diampunkan dosa orang yang telah dihukum hudud manakala Imam Abu Hanifah pula mengatakan dosanya diampunkan jika dia menyesal dan bertaubat. Imam Abu Hanifah berdalilkan ayat al-Quran, Surah al-Maaidah, ayat 33 yang menyatakan orang yang melakukan kerosakan di muka bumi yang dihukum di dunia akan dihukum juga di akhirat. Manakala ada satu hadith dari Abu Hurairah pula menyatakan Nabi tidak pasti sama ada orang yang telah dijatuhkan hukuman hudud diampunkan dosanya atau tidak. Kedua-dua pendapat ini adalah baik.

7. Sebelum ini ada disebutkan bahawa orang yang ditutup maksiatnya, mungkin juga diampunkan oleh Allah. Oleh itu jelas bahawa dikenakan hukuman hudud bukanlah syarat untuk mendapat pengampunan dari Allah.

8. Dalam senarai dosa yang disebut, dosa syirik tidak termasuk antara dosa yang diampunkan. Ini berdasarkan dari ayat al-Quran surah an-Nisaa’, ayat 48, yang menyatakan Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik. Dosa syirik terhapus hanya jika seseorang itu bertaubat dan meninggalkan syirik sebelum meninggal dunia. Jika dia mati dalam keadaan syirik, dosanya tidak akan diampunkan.

9. Hadith ini termasuk dalam kategori, ” ‘Am makhsus ” (nas umum dikhususkan oleh nas lain yang terperinci).

Leave a comment