VIDEO – [Durasi – 12m 55s] – [MIMPI] – Siri 2 – Panduan Dari Hadith Bila Bermimpi Buruk Atau Baik [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/3HljbyeRtc8 ]
Video penuh asal – • Sesi 2 – KitabTentang Mimpi – [Sahih Musli… – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ، وَإِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، وَابْنُ أَبِي عُمَرَ، جَمِيعًا عَنِ ابْنِ عُيَيْنَةَ، – وَاللَّفْظُ لاِبْنِ أَبِي عُمَرَ – حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، قَالَ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا أُعْرَى مِنْهَا غَيْرَ أَنِّي لاَ أُزَمَّلُ حَتَّى لَقِيتُ أَبَا قَتَادَةَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ “ الرُّؤْيَا مِنَ اللَّهِ وَالْحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلْمًا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفُثْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلاَثًا وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ ”.
HADITH PANDUAN DARI RASULULLAH S.A.W. BILA BERMIMPI BURUK
Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abi Salamah katanya: Saya selalu bermimpi. kerananya saya menggigil (demam), cuma saya tidak diselimuti, sehinggalah saya bertemu Aba Qatadah. Saya sebutkan perkara itu kepadanya, maka beliau berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Mimpi yang baik itu daripada Allah dan mimpi buruk daripada syaitan. Apabila seseorang daripada kamu bermimpi buruk yang tidak disenanginya maka hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung dengan Allah daripada keburukan mimpinya itu kerana ia tidak akan memudaratkannya”.
[RINGKASAN] Panduan Dari Hadith Bila Bermimpi Buruk Atau Bermimpi Baik
1. Mimpi yang baik adalah dari Allah dan mimpi yang buruk adalah dari syaitan. Apabila seseorang bermimpi buruk yang tidak disenanginya maka hendaklah dia menghembus ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung dengan Allah dari keburukan mimpi itu. Dengan itu, apa yang dilihatnya dalam mimpi itu tidak akan memudaratkannya.
2. Daripada hadith-hadith lain, ada maklumat tambahan seperti jika seseorang bermimpi buruk, dia hendaklah mengalihkan kedudukan atau beralih tempat tidur. Jika perlu, dia hendaklah bangun dan bersolat. Dia dilarang dari memberitahu orang lain tentang mimpi buruknya itu.
3. Jika seseorang bermimpi baik, hendaklah dia bergembira dan beritahu hanya kepada orang yang disenanginya dan jangan sesekali memberitahu musuhnya.
4. Mimpi boleh mempengaruhi emosi kita selepas tersedar dari tidur seperti bimbang, sedih atau murung. Dengan mengamalkan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. gangguan emosi ini akan hilang.
5. Mimpi yang buruk adalah dari syaitan (walaupun pada hakikanya ianya adalah dari Allah juga). Ianya disebut dari syaitan kerana syaitan bergembira dengannya dan mungkin menjadi penyebabnya.
6. Kita boleh menghembus (meludah) ke kiri selepas kita sedar atau semasa tidak sedar (dalam tidur). Tujuan meludah ke kiri ialah untuk menghina dan menyakiti syaitan yang suka sebelah kiri.
7. Ajaran Nabi s.a.w. supaya meludah ke kiri, kemudian berlindung dengan Allah dari keburukan mimpi itu, menukar posisi atau tempat tidur dan akhirnya bersembahyang akan menyebabkan syaitan lari dari kita. Kita boleh buat sebahagian atau semua yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini bergantung kepada tahap gangguan mimpi tersebut.
8. Dengan mengamalkan ajaran Nabi ini, ianya menjadi sebab terselamatnya kita dari apa yang tidak diingini daripada mimpi tadi.
9. Jika sesuatu mimpi itu tepat dan benar, ianya akan kekal lama dalam ingatan kita. Sebagai panduan, mimpi akan lebih tepat jika kita tidur dalam keadaan berwudhu’, tidur dengan mengikut sunnah Nabi, tidur dalam keadaan tenang dan mimpi berlaku pada sepertiga akhir malam.
10. Jangan ceritakan mimpi kita kepada sesiapa kecuali kepada orang yang kita senangi dan dipercayai tidak akan mengambil kesempatan. Ini adalah kerana,
i) tiada gunanya kita beritahu kepada orang yang tidak tahu menta’bir (mentafsir) mimpi.
ii) jika memberitahu kepada orang yang tahu menta’bir mimpi, tetapi musuh kita, ianya akan menjadi petunjuk kepadanya untuk mengambil kesempatan ke atas kita. Dia juga boleh memberi tafsiran yang sebaliknya dari mimpi itu. Dengan memberi tahu kepada orang yang kita senangi, sekurang-kurangnya dia boleh menenangkan kita.
11. Mimpi ini ibarat “sesuatu yang terletak di kaki burung”, yang menggambarkan sesuatu yang mudah hilang (mudah jatuh seperti biji gadum yang terlekat di hujung kaki burung), mudah dilupakan sehingga tidak boleh menjadi panduan kepada kita. Oleh itu, kita hendaklah bersegera mendapatkan ta’bir (tafsiran) mimpi tersebut daripada orang yang mahir dan amanah. Elok juga mencatat mimpi itu dengan terperinci.
