[MIMPI] – Siri 3 – Persoalan Bermimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan & Hikmahnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 16m 33s] – [MIMPI] – Siri 3 – Persoalan Bermimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan & Hikmahnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/XQGlct5_Q0w ]

Video penuh asal –    • Sesi 3 -Sesiapa Yg Melihat Nabi Di Dalam T…   – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي ‏”‏

‏‏ حَدَّثَنَا أَبُو الرَّبِيعِ، سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْعَتَكِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، – يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ – حَدَّثَنَا أَيُّوبُ، وَهِشَامٌ، عَنْ مُحَمَّدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ بِي ‏”‏ ‏.‏

“SESIAPA YANG MELIHAT AKU DALAM MIMPI TELAH BENAR-BENAR MELIHAT AKU”

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang melihat aku (bermimpi melihat – bertemu dengan – aku), maka sesungguhnya dia telah benar-benar melihat aku (atau bertemu denganku) kerana sesungguhnya syaitan itu tidak boleh berupa dengan rupaku”.

[RINGKASAN] Persoalan Mimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan Dan Hikmahnya .

1. Nabi s.a.w. bersabda sesiapa yang bermimpi melihat Baginda sesungguhnya dia benar-benar telah melihat Baginda.

2. Tiga persoalan besar tentang mimpi berjumpa Nabi yang menjadi perbahasan di kalangan ulama’ ialah,

i) adakah disyaratkan mimpi berjumpa Nabi yang benar adalah dalam rupa sebenar Nabi (iaitu mimpi yang dikatakan syaitan tidak dapat campur tangan)?

ii) bolehkah kita menjadikan perintah oleh Nabi di dalam mimpi sebagai hujjah syariat?

iii) Adakah orang yang berjumpa Nabi s.a.w di dalam mimpi dianggap sebagai “Sahabat” Nabi?

PERSOALAN PERTAMA – APAKAH DISYARATKAN MIMPI NABI YANG BENAR ADALAH DALAM RUPA SEBENAR NABI (IAITU MIMPI YANG DIKATAKAN SYAITAN TIDAK DAPAT CAMPUR TANGAN)?

1. Pendapat golongan pertama (Imam al-Bukhari, Muhammad Bin Sirin, Qadhi Iyadh dll), jika seseorang melihat Nabi hanya dalam rupanya yang sebenar, maka dia benar-benar melihat Rasulullah. Dalam hal ini, syaitan tidak boleh campur tangan.

2. Pendapat golongan kedua, tidak disyaratkan mimpi itu benar bila hanya Nabi dalam rupanya yang sebenar. Wajah Nabi tidak sentiasa sama dari muda sampai dewasa, jadi persoalan timbul, pada peringkat umur manakah wajah Nabi adalah wajah yang sebenar. Ulama’ kumpulan kedua berpendapat, walaupun Nabi bukan dalam rupa sebenar, mimpi itu masih dianggap sebagai benar sekiranya orang yang bermimpi itu rasa, faham atau diceritakan kepadanya dalam mimpi itu bahawa itulah Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini pun, syaitan tidak boleh campur tangan.

3. Perbezaan pendapat tentang hadith, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku bererti dia sesungguhnya telah melihat aku”:

i) Bila seseorang melihat Nabi dalam rupa yang betul-betul sebagaimana yang digambarkan di dalam hadith (sebagaimana pendapat golongan pertama di atas), maka dia melihat zat Nabi yang sebenar.

ii) Apa yang dilihatnya hanyalah gambaran (“mithal”) Nabi. Imam al-Ghazali berpendapat sesiapa yang bermimpi melihat Nabi tidak bermaksud dia melihat jisim Nabi tetapi dia melihat gambaran Nabi yang menjadi saluran untuk sampainya mesej Nabi kepadanya. Imam al-Ghazali juga berpendapat seseorang yang bermimpi Nabi melihat hakikat roh Nabi yag suci.

PERSOALAN KEDUA – BOLEHKAH KITA MENJADIKAN PERINTAH OLEH NABI DI DALAM MIMPI SEBAGAI HUJJAH SYARIAT?

1. Ulama’ bersepakat (ijmak) bahawa suruhan atau larangan yang Nabi s.a.w. berikan di dalam mimpi tidak boleh dijadikan hujjah dalam agama. Jika perintah itu tidak bercanggah dengan syariat, adalah elok ianya diikuti kerana menghormati “gambaran” Nabi yang hadir di dalam mimpinya.

2. Persoalannya, mengapa kita tidak boleh berhujjah dengan perintah Nabi di dalam mimpi sedangkan syaitan tidak boleh berupa Nabi? Penjelasan: Jika Nabi datang dalam rupa yang berbeza (walaupun sedikit) daripada rupa sebenar, ianya tidak boleh diterima sebagai hujjah; ini adalah menurut pendapat golongan pertama. Kita tidak boleh pastikan sama ada Nabi datang dalam rupa yang sebenar, oleh itu terdapat syubhat (kesamaran) di sini, menyebabkan ianya tidak boleh dijadikan hujjah. Sekiranya kita berpandukan pendapat golongan kedua, perintah dalam mimpi ini juga tidak boleh dijadikan hujjah dalam syariat. Ini adalah kerana Nabi bersabda, “…dia benar-benar melihat aku…”. Apa yang dijamin benar oleh Nabi ialah apa yang “dilihat” , bukannya apa yang “diberitahu”. “Mesej” yang ingin disampaikan dari mimpi Nabi perlu dita’bir (tafsir) maksudnya. Mungkin terdapat beberapa tafsiran yang berbeza dari mimpi yang sama, maka mesej itu masih tidak jelas. Hadith ini menyebut syaitan tidak boleh berupa dengan rupa Nabi, tetapi orang yang bermimpi itu boleh dipengaruhi (terpesong) fikirannya menyebabkan dia tidak mendapat gambaran yang sebenar. Mungkin juga orang yang bermimpi tidak menceritakan atau tertinggal beberapa perkara dari mimpinya menyebabkan tafsiran mimpinya tidak tepat.

3. Ada satu kisah di mana seorang hakim bermimpi Nabi membantahnya kerana menerima persaksian seorang yang pada umumnya dikenali sebagai seorang yang adil. Ibnu Rusyd berkata, sekiranya hakim tersebut menurut arahan Nabi di dalam mimpinya, dia telah membatalkan hukum syariat. Hanya mimpi oleh Nabi-nabi a.s. adalah wahyu yang dijamin benar dan bukannya mimpi seseorang yang berjumpa Nabi!

4. As-Subki bercerita ada seseorang bermimpi berjumpa Nabi lalu Nabi menyuruhnya minum arak. Seorang ulama’ membantah lelaki tersebut dengan mengatakan bahawa Nabi sebenarnya berkata, jangan minum arak sambil meneka bahawa lelaki tersebut adalah seorang peminum arak. Lelaki tersebut mengaku bahawa dia sememangnya seorang peminum arak!

5. Ringkasnya, hakikat (mesej) sebenar mimpi boleh terpesong disebabkan oleh khayalan atau imaginasi orang yang bermimpi, orang yang bermimpi terlupa bahagian-bahagian tertentu dalam mimpi tersebut atau ta’bir yang berbeza-beza terhadap mimpi yang sama.

PERSOALAN KETIGA – ADAKAH ORANG YANG BERJUMPA NABI S.A.W. DI DALAM MIMPI DIANGGAP SEBAGAI SAHABAT NABI?

Jawapannya tidak! Ini adalah kerana Sahabat Nabi ditakrifkan sebagai mereka yang berjumpa Nabi di dalam keadaan beriman dan dalam keadaan jaga semasa Nabi hidup. Oleh itu, pertemuan dengan Nabi di dalam mimpi tidak memenuhi syarat untuk menjadi Sahabat Nabi.

BEBERAPA KISAH MENARIK TENTANG MIMPI BERJUMPA NABI

1. Kisah Pertama: Seseorang telah bermimpi berjumpa Nabi dalam keadaan Nabi tidak berjanggut padahal tidak ada satu hadith pun yang menyatakan Nabi pernah mencukur janggutnya. Ada ulama’ berpendapat bahawa ini menunjukkan umat Islam berada di zaman di mana kebanyakan mereka tidak berjanggut.

2. Kisah Kedua: Seorang yang berpenyakit kulit sejak kecil telah bermimpi Nabi seolah-olah menyuruhnya memakan labu air lalu dia mematuhinya. Tidak lama selepas itu penyakit kulitnya sembuh.

3. Kisah Ketiga: Tariq bin Ziyad r.a. bermimpi Nabi dan Sahabat-Sahabat dalam perjalanan untuk menyertai rombongan perang yang dipimpinnya untuk menyerang Sepanyol (yang kemudiannya menjadi wilayah Islam, Andalusia).

MIMPI NABI ADALAH PANDUAN KEPADA UMAT

Hadith ada menyatakan bahawa mimpi ialah salah satu dari 46 juzuk dari kenabian, seolah-olah Nabi tidak putus hubungan dengan umatnya sepanjang zaman.

Leave a comment