VIDEO – [Durasi – 12m 36s] – [KELEBIHAN MADINAH] – Siri 1 – Madinah Adalah Tanah Haram & Tak Boleh Lakukan Bid’ah [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/E2izYVH7ORw ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Haram Madinah – [Sahih al-Bukhari… – [Sahih Al-Bukhari (Kitab Kelebihan Madinah) ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
أَبُو النُّعْمَانِ، حَدَّثَنَا ثَابِتُ بْنُ يَزِيدَ، حَدَّثَنَا عَاصِمٌ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ الأَحْوَلُ، عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ الْمَدِينَةُ حَرَمٌ، مِنْ كَذَا إِلَى كَذَا، لاَ يُقْطَعُ شَجَرُهَا، وَلاَ يُحْدَثُ فِيهَا حَدَثٌ، مَنْ أَحْدَثَ حَدَثًا فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ” .دَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ، عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ، عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ فَأَمَرَ بِبِنَاءِ الْمَسْجِدِ فَقَالَ “ يَا بَنِي النَّجَّارِ ثَامِنُونِي ”. فَقَالُوا لاَ نَطْلُبُ ثَمَنَهُ إِلاَّ إِلَى اللَّهِ. فَأَمَرَ بِقُبُورِ الْمُشْرِكِينَ، فَنُبِشَتْ، ثُمَّ بِالْخِرَبِ فَسُوِّيَتْ، وَبِالنَّخْلِ فَقُطِعَ، فَصَفُّوا النَّخْلَ قِبْلَةَ الْمَسْجِدِ.
KELEBIHAN-KELEBIHAN MADINAH – BAB HARAM MADINAH
Hadith Pertama – Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Anas Bin Malik daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Madinah itu haram (tanah haram) daripada sekian (tempat) kepada sekian (tempat); tidak boleh dipotong pokoknya dan tidak boleh diada-adakan sesuatu yang baru di situ. Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baru (mengadakan bid’ah) di situ, ke atasnya laknat Allah, malaikat dan manusia sekeliannya”. Hadith Kedua – Dengan sanadnya, Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Anas, katanya Nabi s.a.w. datang ke Madinah dan dia suruh bina masjid. Beliau berkata, “Wahai Bani Najjar letak hargalah kepada aku tanah engkau itu”. Mereka berkata, “Kami tidak mahu harga melainkan kepada Allah”. Nabi s.a.w. pun suruh bongkarkan kubur-kubur orang musyrikin. Kemudian tanah-tanah yang runtuh lalu disamakan tanah itu. Kemudian Rasulullah suruh tebang pokok tamar yang ada di situ (lalu ditebang pokok yang ada di situ). Mereka pun aturkan batang-batang tamar tadi di sebelah kiblat masjid.
[RINGKASAN] Madinah Adalah Tanah Haram & Tidak Boleh Melakukan Perkara Bid’ah Di Dalamnya
1. Daripada hadith Nabi s.a.w., kawasan tertentu di Madinah adalah tanah haram. Apakah maksud Madinah sebagai “tanah haram”? Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang maksud “tanah haram” Madinah yang disebut dalam hadith Nabi.
2. Pendapat pertama (Imam Zuhri, Malik dan as-Syafie) – Madinah adalah tanah haram seperti Mekah, di mana pokoknya tidak boleh ditebang dan binatang tidak boleh diburu, tetapi tiada “dam” (denda) jika larangan ini dilanggar. Pendapat kedua (Sufyan at-Tsauri, Ibn Mubarak dan Imam Abu Hanifah) – Madinah bukanlah tanah haram seperti Mekah tetapi “haram” yang maksudnya dihormati. Nabi melarang pokoknya ditebang atau haiwan diburu adalah untuk mengekalkan kecantikannya supaya menjadi bahan tarikan orang. Pada pendapat golongan kedua ini, menebang pokok dan berburu binatang adalah makruh sahaja, bukannya haram. Malah ianya menjadi harus jika keadaan tidak memerlukan untuk menjaga kecantikannya. Arahan-arahan Nabi dianggap sebagai dalam rangka perancangan untuk membangunkan bandar Madinah.
3. Nabi s.a.w. melarang melakukan perkara-perkara baru (bid’ah) di Madinah. Larangan ini bukan bermaksud bid’ah boleh dilakukan di tempat-tempat lain. Larangan daripada melakukan bid’ah lebih ditekankan di Madinah kerana Madinah menjadi tempat rujukan dan pusat agama Islam, tempat Nabi wafat dan di situlah sunnah tertegak. Nabi ingin supaya sunnahnya benar-benar terpelihara di sini. Dosa melakukan bid’ah di Madinah lebih besar berbanding tempat lain oleh kerana Madinah adalah tempat mulia yang dikunjungi ramai orang sehingga menjadi rujukan yang berpengaruh dalam hal-hal agama. Pelaku-pelaku bid’ah di Madinah khususnya dilaknat oleh Allah, malaikat dan sekelian manusia.
4. Bid’ah amat dibenci dalam Islam kerana ianya merosakkan sunnah dan rupa bentuk Islam. Berbeza dengan “syirik” yang menghilangkan “zat” Islam, “bid’ah” akan menghilangkan rupa dan wajah Islam yang sebenar. Amalan-amalan bid’ah akan menyebabkan orang menyangka itulah ajaran Islam padahal Nabi s.a.w. tidak memerintahkan melakukannya. Malangnya, ramai dari kita menganggap perbuatan-perbuatan bid’ah itu baik padahal Nabi melarang dari perbuatan bid’ah adalah untuk kebaikan dan untuk memudahkan hidup kita.
5. Antara contoh perbuatan bid’ah ialah menyembelih binatang untuk menjamu orang ramai bila berlaku kematian. Orang awam akan menyangka bahawa ianya amalan Nabi kerana ianya dianjurkan oleh ustaz-ustaz dan tok-tok lebai. Amalan ini walaupun popular tetapi tiada dalilnya. Amalan memberi makan adalah suatu ibadat, dan sesuatu ibadat perlu bersandar kepada dalil. Amalan memberi makan kepada orang semasa berlaku kematian akan menyusahkan keluarga si mati kerana harta yang ada sepatutnya digunakan untuk menyara hidup keluarga dalam tempuh berkabung. Hakikatnya, walaupun amalan bid’ah ini pada luarannya nampak baik, ianya akan menyusahkan kita pada akhirnya.
6. Sahabat-sahabat Nabi amat menjaga sunnah dan menentang keras bid’ah. Ibnu Umar menghalau sesiapa yang bersembahyang dhuha di masjid. Dia tidak suka “rupa” Islam berubah, kerana sembahyang dhuha sepatutnya dilakukan di rumah, bukannya di masjid. Walaupun pada asalnya sembahyang dhuha itu baik, tetapi ia bertukar menjadi bid’ah bila dilakukan tidak sebagaimana yang ditunjukkan atau diperintahkan oleh Nabi s.a.w.
7. Sambutan Maulidur Rasul adalah salah satu perkara bid’ah yang popular dalam masyarakat kita. Hari lahir Nabi tidak disambut oleh Nabi, Sahabat-Sahabat dan ulama’-ulama’ muktabar. Apatah lagi tarikh 12hb Rabiul Awwal dikatakan, selain dari tarikh lahir Nabi, adalah juga tarikh kewafatan Baginda! Tiada dalil yang sahih tentang amalan sambutan hari kelahiran Nabi ini kecuali apa yang direka-reka oleh orang-orang tertentu.
8. Sahabat-Sahabat Nabi mementingkan cara atau “rupa” bagaimana sesuatu ibadat dilakukan. Cara atau rupa inilah yang mengubah sesuatu amalan daripada sunnah kepada bid’ah. Dengan melakukan perkara-perkara bid’ah kita mendedahkan Islam kepada fitnah. Amalan-amalan bid’ah ini akan dipandang serong oleh orang bukan Islam, contohnya dalam kes sambutan maulidur rasul, mereka mengatakan Islam meniru amalan-amalan dalam agama mereka.
9. Amalan bid’ah tidak boleh dilakukan lebih-lebih lagi di Madinah kerana Madinah menjadi contoh dan rujukan kepada orang Islam di seluruh dunia. 10. Laknat Allah tidak hanya kepada mereka yang melakukan bid’ah sahaja tetapi juga kepada mereka yang melindungi orang-orang yang melakukan bid’ah. Dengan adanya orang-orang yang melindungi orang yang melakukan bid’ah, amalan bid’ah akan terus bercambah dan kuat.
