[KENALI HADITH PALSU – USUL DIRAYAT HADITH NO. 22] – Riwayat Keajaiban Semasa Kelahiran Nabi Dan Keajaiban Dialami Ibunda Nabi Semasa Mengandungkannya Semuanya Palsu (Video – Cerita Ajaib Masa Nabi Lahir Semuanya Palsu!)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 17m 31s] –[HADIS PALSU] – Cerita Ajaib Masa Nabi Lahir Semuanya Palsu!

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Y3GJaLYCSTk ]

USUL DIRAYAT KE-22 – Riwayat-riwayat yang memperihalkan keajaiban semasa kelahiran Nabi s.a.w., begitu juga riwayat-riwayat yang menyatakan keajaiban yang dialami ibunda Nabi s.a.w. semasa mengandungkannya boleh dikatakan semuanya palsu.

NOTA: Hikayat-hikayat palsu kelahiran Nabi ini popular di dalam majlis-majlis sambutan maulid Nabi s.a.w.

00:00:53 ] – MENGAPA RIWAYAT-RIWAYAT PALSU INI TERSEBAR DENGAN LUAS?

Antara faktor tersebar luasnya riwayat-riwayat palsu ini ialah kerana pengarang-pengarang yang menukilkan riwayat-riwayat ini adalah ulama’-ulama’ ahli sunnah yang dikagumi dan dihormati. Kaedah penyampaian ilmu di zaman awal Islam ialah menyampaikan apa saja yang tersebar dalam masyarakat tetapi ianya disertakan dengan sanad untuk membolehkan pembacanya menilai kedudukan riwayat tersebut. Tugas orang kemudian ialah menyelidiki sanad tersebut untuk menentukan status kesahihan riwayat tersebut. Adalah perlu dititikberatkan kedudukan kitab-kitab yang dirujuk berbanding dengan siapa pengarangnya untuk menilai kedudukan sesuatu riwayat.

00:15:00 ] – SEBAB-SEBAB MUNCULNYA RIWAYAT PALSU TENTANG KELAHIRAN NABI

1. Umat Islam menganggap Nabi s.a.w. terlalu istimewa, oleh itu amat mudah untuk menerima perkara-perkara ajaib walaupun kelihatan Nabi seolah-olah bukan manusia biasa.

2. Keinginan umat untuk mengesahkan benarnya tentang Nabi akhir zaman ini dan mengharapkan sokongan dari alam ghaib untuk menguatkan dakwaan-dakwaan tersebut.

3. Cerita dan “khayalan” sasterawan tentang sempurnanya dan ajaibnya Nabi yang kemudiannya dianggap benar oleh orang-orang kemudian.

4. Cerita keajaiban semasa kelahiran untuk mengisyarakan perkara-perkara istimewa yang akan berlaku di kemudian hari

5. Keinginan untuk menonjolkan sebanyak mungkin mukjizat yang ada pada Nabi s.a.w.

6. Tidak cermat dalam menukilkan lafaz-lafaz riwayat

[KENALI HADIS PALSU] – RIWAYAT KEAJAIBAN SEMASA KELAHIRAN NABI DAN KEAJAIBAN DIALAMI IBUNDA NABI SEMASA MENGANDUNGKANNYA SEMUANYA PALSU

1. [ 00:02:50 ] – RIWAYAT PALSU PERTAMA

[RINGKASAN] Bergoyang istana Kisra dan jatuh menara-menaranya. Kering sungai di negeri Parsi atau Sham. Terpadam rumah api di Parsi yang tidak pernah padam sejak beribu tahun. Kisra juga bermimpi dengan mimpi yang buruk. Kisah ini dinukilkan dalam kitab-kitab “dala’il” al-Baihaqi, Ibnu Asakir dan Abu Nua’im lengkap dengan sanadnya.

00:03:43 ] – KOMENTAR

Ayah kepada Makhzum Bin Hani’, perawi utama yang meriwayatkan hadith ini, tidak dapat dibuktikan sebagai seorang penganut Islam dan Makhzum sendiri tidak dikenali (perawi majhul). Hafiz Ibnu Hajar menolak hadith ini.

2. [ 00:05:01 ] – RIWAYAT PALSU KEDUA

[RINGKASAN] Bila Nabi dilahirkan kedengaran satu suara ghaib dan nampak cahaya yang cerah di sebelah timur dan barat sehingga nampak istana di Syam. Bila Nabi diselimuti, tiba-tiba jadi gelap, kemudiannya ada cahaya di sebelah kanan dan berbunyi suara,”Hendak dibawa ke mana?”. Kedengaran malaikat menjawab, “Ke sebelah barat”…dan seterusnya. [Sumber – Dala’il Abu Nu’aim]

00:06:30 ] – KOMENTAR

Perawi-perawinya dipertikaikan dan kebanyakannya tidak dikenali (majhul).

3. [ 00:07:09 ] – RIWAYAT PALSU KETIGA

[RINGKASAN] Aminah, ibunda Nabi s.a.w., semasa mengandungkjan Nabi telah bermimpi, ada orang berkata kepadanya, ” Wahai Aminah. Kamu sedang mengandungkan penghulu sekelian alam. Bila lahir nanti, kamu namakannya Ahmad dan juga Muhammad” Dia kemudian memberi azimat untuk dipakaikan kepada Nabi selepas dilahirkan. Selepas tersedar dari mimpi, Aminah dapati ada sekeping emas yang tertulis beberapa rangkap syair. [Sumber – Dala’il Abu Nu’aim]

00:07:56 ] – KOMENTAR

Perawi riwayat ini dikatakan pereka hadith dan dituduh mencuri hadith. Hafiz al-Iraqi mengatakan riwayat-riwayat ini tidak berasas.

4. [ 00:08:52 ] – RIWAYAT PALSU KEEMPAT

[RINGKASAN] Apabila ibunda Nabi s.a.w. Aminah sakit hendak bersalin, semua bintang-bintang sujud ke bumi. Bila Nabi s.a.w. lahir seluruh alam menjadi terang. Riwayat ini dinukilkan dalam kitab-kitab Abu Nu’aim, at-Tabarani dan al-Baihaqi.

00:09:42 ] – KOMENTAR

Perawi-perawi yang bermasalah dalam riwayat ini ialah Yaakub Bin Muhammad az-Zuhri (hadithnya ditinggalkan) dan Abdul Aziz Bin Umar Bin Abdurrahman Bin Auf (tukang cerita dan pendusta)

5. [ 00:10:29 ] – RIWAYAT PALSU KELIMA

[RINGKASAN] Ibunda Nabi s.a.w. Aminah berkata dia tidak merasakan apa-apa tanda bila mengandungkan Nabi dan tidak mengalami kesulitan yang biasa dialami oleh wanita yang mengandung.

00:11:04 ] – KOMENTAR

Semua saluran riwayat berpunca dari Waqidi, seorang pendusta besar dan cerita ini terhenti setakat Zuhri. Zuhri bukan seorang Sahabat Nabi, oleh itu riwayat ini terputus.

6. [ 00:11:39 ] – RIWAYAT PALSU KEENAM

[RINGKASAN] Bila sampai masa Nabi hendak dilahirkan, Allah memerintahkan para malaikat membuka pintu-pintu langit dan pintu-pintu syurga. Malaikat saling memberi berita gembira di antara satu sama lain. Matahari berpakaian baharu. Pada tahun itu, semua wanita seluruh dunia mengandungkan anak lelaki. Semua pokok mengeluarkan berbuah. Kelihatan tiang-tiang dari permata zabarjad dan yakut tegak ke langit. Di tepi Sungai Kautsar tumbuh pokok-pokok dari kasturi. Semua berhala di Mekah jatuh tersungkur.

00:12:48 ] – KOMENTAR

Imam as-Suyuti mengatakan riwayat ini mungkar. Kebanyakan sanadnya tidak lengkap dan maudhu’.

7. [ 00:12:57 ] – RIWAYAT PALSU KETUJUH

[RINGKASAN] Ketika Nabi s.a.w. dalam kandungan ibunya, banyak keajaiban berlaku. Antaranya, semua binatang peliharaan orang Quraisy boleh bercakap dan semuanya berkata, “Demi tuhan Kaabah! Penghulu sekelian alam sudah ada di dalam perut ibunya. Dia akan membawa keamanan dan menjadi penyuluh kepada penduduk bumi ini”. Semua tukang-tukang tenung perempuan dari kalangan Quraisy kehilangan jin-jin mereka dan mereka hilang ilmu tenung. Takhta semua raja-raja di atas muka bumi ini terjatuh dan semua raja-raja jadi bisu pada hari Nabi dilahirkan. Binatang-binatang berlari-lari untuk menyampaikan berita gembira ini. Sungai-sungai saling memberi berita gembira antara satu sama lain. Di sepanjang bulan mengandung, ibunda Nabi mendengar satu suara mengucapkan tahniah kepadanya yang mengandungkan Abul Qassim dan memberitahu tidak lama lagi Abul Qassim akan dilahirkan.

(VIDEO PENUH ASAL – https://youtu.be/uCOHZ5Vx7SQ )

Leave a comment