VIDEO – [Durasi – 16m 46s] – [MEMINTA IZIN] – Siri 1 – Zina Anggota Selain Faraj (Kemaluan) [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RqUxnxkCRm0 ]
Video penuh asal – • • Sesi 2 – Salam Itu Salah Satu Nama Allah -… . ] – [Sahih Al-Bukhari (Kitab Meminta Izin) ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب زِنَا الْجَوَارِحِ دُونَ الْفَرْجِ
حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنِ ابْنِ طَاوُسٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ لَمْ أَرَ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِنْ قَوْلِ أَبِي هُرَيْرَةَ. حَدَّثَنِي مَحْمُودٌ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنِ ابْنِ طَاوُسٍ عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم “ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ ”.
[RINGKASAN] Zina Anggota Selain Faraj (Kemaluan) .
1. Zina anggota selain faraj (kemaluan) ialah zina mata, mulut dan fikiran. Tahap kesalahannya kurang dari zina sebenar (zina kemaluan).
2. Ibnu Abbas berpendapat bahawa “al-lamam” (dosa kecil, atau yang kurang daripada itu, yang dimaafkan) yang disebut di dalam al-Quran Surah an-Najm, ayat 32, ialah dosa zina anggota yang tidak dibiarkan berlarutan dan bertambah parah. Kesilapan-kesilapan (dosa-dosa kecil) ini adalah payah untuk dielakkan atau ianya berlaku dengan tidak disengajakan. Sebagai manusia yang lemah, perkara-perkara seperti ini boleh berlaku kepada seseorang. Allah akan maafkan dan tidak mengambil kira sebagai suatu kesalahan (yang berdosa – penyunting) ke atas kesalahan-kesalahan “al-lamam”.
3. Nabi s.a.w. bersabda, Allah mentakdirkan manusia ini akan ada bahagiannya daripada perzinaan (setiap orang akan mengalaminya mengikut takdir masing-masing). Ada yang diselamatkan (tidak terpalit), ada orang terpalit dengan sederhana dan ada yang terkena dengan berat (contohnya sehingga ke tahap menggoda dan menceroboh isteri orang, dan kesalahan ini bukan lagi dalam kategori “al-lamam”).
4. Zina mata ialah memandang dengan syahwat dan seolah-olah “menikmati” apa yang dipandangnya. Ianya berbeza dengan melihat tanpa ada apa-apa perasaan dalam interaksi biasa dalam urusan yang dibenarkan. ZIna lidah ialah bercakap perkara-perkara yang tidak sesuai antara lelaki dan wanita manakala zina jiwa ialah berangan-angan, berkhayal, berkeinginan dan bernafsu menikmatinya. Perkara-perkara ini (pada sesetengah orang-penyunting) tidak dapat dielakkan. Ada yang terselamat dari fitnah ini dan ada yang terjerumus sehingga mengganggu fikirannya. Jika ianya berlaku, jangan biarkan ianya berterusan dan menjadi lebih parah contohnya sehingga menyebabkan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Sekiranya sekadar “terpikat” dan bergelora jiwa sahaja ianya masih dimaafkan. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh mengelak dari melakukan kesalahan-kesalahan kecil (inilah yang dikatakan “al-lamam” yang tidak dikira berdosa). Tahap perasaan dan gangguan berbeza antara individu. Kalau sekadar ingatan dan kenangan kepada peristiwa lepas tanpa apa-apa tindakan susulan di luar batasan agama ianya masih dibenarkan. Dia perlulah menolak keinginan untuk bertindak lebih jauh dan berusaha supaya tidak mempengaruhi pemikiran dan jiwanya.
5. Faraj (kemaluan) akan membenarkan atau mendustakan keinginan nafsu dari anggota-anggota tadi. Kemuncak dari zina anggota ialah terjadinya zina sebenar (kemaluan). Oleh itu kita dilarang dari menurut perasaan atau dorongan nafsu dari anggota anggota tadi.
6. Kita perlu berfikiran rasional dan teliti dalam menangani perasaan terhadap lain jantina. Bertindaklah berdasarkan norma-norma agama. Jangan ambil mudah akibat dari pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Di zaman ini ujian amat besar, contohnya suasana pekerjaan yang menyebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Semoga kita dipelihara Allah dari terlanjur dan terlibat dengan fitnah ini.
