[HADITH AHAD] – Siri 1- Keharusan Menerima Hadith Daripada Hanya Satu Orang [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 17m 31s] – [HADITH AHAD] – Siri 1- Keharusan Menerima Hadith Daripada Hanya Satu Orang [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/U_huSPk8jq4 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Hadith-hadith Ahad – [Sahih al-Bu…   – Sahih al-Bukhari (Kitab Hadith Ahad)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ مَا جَاءَ فِي إِجَازَةِ خَبَرِ الْوَاحِدِ الصَّدُوقِ فِي الأَذَانِ وَالصَّلاَةِ وَالصَّوْمِ وَالْفَرَائِضِ وَالأَحْكَامِ

وَقَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى: {فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ}. وَيُسَمَّى الرَّجُلُ طَائِفَةً لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا}. فَلَوِ اقْتَتَلَ رَجُلاَنِ دَخَلَ فِي مَعْنَى الآيَةِ. وَقَوْلُهُ تَعَالَى: {إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا}. وَكَيْفَ بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَرَاءَهُ وَاحِدًا بَعْدَ وَاحِدٍ، فَإِنْ سَهَا أَحَدٌ مِنْهُمْ رُدَّ إِلَى السُّنَّةِ.

KEHARUSAN MENERIMA BERITA (HADITH) DARIPADA HANYA SATU ORANG (YANG BENAR) DALAM BAB HUKUM HAKAM

Seorang lelaki dinamakan “thoifah” kerana firman Allah, “Jika dua golongan orang-orang mukmin daripada orang-orang mukmin berkelahi atau berperang… “, jika dua orang berkelahi atau berperang sudah termasuk dalam makna ayat ini dan firman Allah taala.,”JIka datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita maka hendaklah kamu berhati-hati, takut-takut kamu menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa pengetahuan dan bagaimana Nabi s.a.w. menghantar pembesar-pembesarnya seorang demi seorang. Jika seseorang dari mereka terlupa dikembalikan dia kepada sunnah.

[RINGKASAN] Keharusan Menerima Berita (Hadith) Daripada Hanya Satu Orang (Yang Benar) Dalam Bab Hukum Hakam

1. Di segi sanad dan cara hadith sampai kepada kita, hadith dibahagikan kepada dua kategori iaitu hadith mutawatir dan hadith ahad. Hadith mutawatir ialah hadith yang mempunyai perawi yang ramai yang tidak mungkin perawi-perawinya bersepakat untuk berdusta. Manakala hadith ahad adalah selain dari hadith mutawatir dan hadith ahad ini pula ada beberapa pecahannya.

2. Berbanding dengan hadith mutawatir, hadith ahad ialah yang paling banyak sampai kepada kita. Kita wajib menerima dan mengamalkannya dalam bab hukum-hakam sekiranya ianya sahih atau hasan dan maknanya terang dan jelas. Hadith ahad tidak boleh dijadikan hujjah dalam bab aqidah kecuali hadith ahad yang banyak “qarinah-qarinah” (sokongan-sokongan) yang menunjukkan ianya seolah-olah hadith mutawatir. Hadith ahad yang mempunyai qarinah-qarinah inilah yang dimaksudkan oleh mereka yang mengatakan hadith ahad boleh dijadikan hujjah dalam bab aqidah.

3. Hadith ahad (termasuk hadith yang diterima dari hanya satu orang yang dipercayai) boleh digunakan dalam bab sembahyang, puasa dan hukum-hakam serta ibadat-ibadat fardhu yang lain.

4. Adalah salah pendapat yang mengatakan hadith ahad (semata-mata) boleh menjadi asas aqidah kecuali hadith ahad yang mempunyai petunjuk bahawa apa-apa yang didakwa adalah benar-benar berlaku dan orang yang mengamalkannya adalah ramai.

5. Ulama’ membahagikan hadith mutawatir kepada empat kategori iaitu mutawatir tabaqah, mutawatir isnad, tawatur tawaruth dan mutawatir al-qadri musytarak.

6. Mutawatir tabaqah (generasi demi generasi), contohnya al-Quran, tidak memerlukan sanad kerana terlalu ramai yang mengamalkannya di setiap generasi. Kedua, mutawatir isnad kerana banyaknya sanad di setiap peringkat sehingga tidak mungkin ianya dipalsukan. Contohnya hadith, “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka”. Ketiga, mutawatir tawaruth (amalan), sanadnya tidaklah banyak tetapi ianya menjadi amalan yang diwarisi turun temurun dan tiada ulama’ yang membantah malah mereka menerima bahawa amalan itu wujud dalam agama. Antara contoh hadith mutawatir tawaruth ialah khitan dan azan. Walaupun ianya hadith ahad (di segi sanad), oleh kerana adanya sokongan luaran (amalan umum masyarakat) ianya boleh menjadi sandaran aqidah. Ini tidak bermakna amalan popular di negara kita seperti sambutan maulidurasul atau tunggu kubur termasuk dalam kategori ini. Ini adalah kerana amalan tersebut tidak berlaku di semua tempat di dunia Islam atau diterima oleh semua ulama’ malah ramai yang membantahnya. Keempat ialah mutawatir al-qadri musytarak. Hadith dalam kategori ini, lafaznya tidak mutawatir tetapi di segi maknanya mutawatir, contohnya, hadith tentang dajjal dan Imam Mahdi. Dalam hadith-hadith ini terdapat perbezaan di segi lafaz tetapi maknanya menjurus kepada perkara yang sama.

7. Imam al-Bukhari berpendapat hadith ahad yang diriwayatkan oleh hanya seorang perawi (yang amanah dan dipercayai) boleh diterima jika ianya berkaitan amalan seperti azan, sembahyang, puasa dan hukum hakam tetapi tidak boleh diterima dalam perkara-perkara aqidah. Pada beliau, istilah “thoifah” yang disebut di dalam ayat al-Quran boleh juga bermaksud hanya satu orang walaupun pada asalnya ianya merujuk kepada satu kumpulan manusia yang melebihi satu orang. Beliau berdalilkan kepada ayat al-Quran, Surah at-Taubah ayat 122, yang bermaksud, “…hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama…”. Ayat Quran ini yang menyebut “sebilangan kecil” bermaksud perlu ada sekurang-kurangnya satu orang dalam sesuatu masyarakat yang mendalami agama. Dengan hanya ada seorang sahaja yang mendalami ilmu agama dalam masyarakat sudah cukup untuk mengangkat tanggungan fardhu kifayah. Jika tiada seorangpun dalam masyarakat yang mendalami ilmu agama maka seluruh masyarakat akan berdosa.

8. Ayat al-Quran, Surah a-Hujuraat, ayat 9, “Dan jika dua golongan daripada orang-orang mukmin berperang (berkelahi), maka damaikanlah di antara keduanya…”, bermaksud jika hanya dua orang (satu orang mukmin bergaduh dengan seorang mukmin yang lain) sudah masuk dalam maksud ayat ini, iaitu kita hendaklah mendamaikan mereka.

9. Ayat Quran, Surah al-Hujuraat, ayat 6, bermaksud, “Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini…”, menunjukkan yang perlu diselidiki ialah berita dari satu orang yang fasiq, bukan berita dari satu orang yang amanah.

10. NabI s.a.w. hanya menghantar seorang wakil ke sesuatu tempat untuk menyampaikan perintan-perintah atau pesanan Baginda. Ini menunjukkan “khabar wahid”, berita dari satu orang yang amanah, boleh diterima. Jika wakil Nabi tersebut terlupa atau tersilap, wakil Nabi seterusnya akan membetulkannya dan mengembalikannya kepada sunnah.

11. Pada zaman ini ada suatu golongan (kumpulan anti hadith) yang mempertikaikan hadith ahad dan mengatakan ianya tidak boleh digunakan sebagai hujjah dalam agama kerana adanya kemungkinan berlaku kesilapan dalam hadith-hadith tersebut. Mereka bertegas mahu menggunakan hadith mutawatir sedangkan hadith mutawatir amatlah sedikit. Sebenarnya, hadith-hadith ahad yang diguna pakai mempunyai sokongan-sokongan yang menyebabkan ianya dipercayai benar dari Nabi s.a.w.

Leave a comment