[PERUBATAN & ORANG SAKIT] – Siri 1-Tidak Diturunkan Allah Satu Penyakit Melainkan Diturunkan Penawar

VIDEO – [Durasi – 10m 38s] – [PERUBATAN & ORANG SAKIT] – Siri 1-Tidak Diturunkan Allah Satu Penyakit Melainkan Diturunkan Penawar [VIDEO TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/ad3ARi2uRt8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tidak Diturunkan Penyakit Melaink…   – Sahih al-Bukhari (Kitab Perubatan)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلاَّ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا أَبُو أَحْمَدَ الزُّبَيْرِيُّ، حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ أَبِي حُسَيْنٍ، قَالَ حَدَّثَنِي عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلاَّ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً ‏”‏‏.‏

TIDAK DITURUNKAN ALLAH SATU PENYAKIT MELAINKAN DITURUNKAN UNTUKNYA PENAWAR

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., sabdanya, “Tidak diturunkan Allah satu penyakit melainkan diturunkan untuknya penawar”. .

[RINGKASAN] Tidak Diturunkan Allah Satu Penyakit Melainkan Diturunkan Untuknya Penawar

1. Tidak diturunkan Allah satu penyakit melainkan diturunkan untuknya penawar. Setiap penyakit ada ubatnya. Mungkin ubat itu ada di sekeliling kita tetapi kita tidak tahu kewujudannya atau mungkin kita tahu ada ubat tetapi salah kaedah rawatannya.

2. Dengan keyakinan bahawa semua penyakit ada ubatnya, ianya akan menjadi motivasi kepada kita untuk berusaha lebih gigih mencari ubat untuk setiap penyakit yang muncul. Kajian-kajian dan pengajian khusus di bidang perubatan perlu diperkasakan. Ini termasuklah penggembelingan tenaga, kolaborasi dan kerjasama antara pakar-pakar perubatan dan juga gabungan di antara aliran-aliran perubatan masa kini.

3. Kita percaya setiap penyakit ada “penawarnya” (ada juga hadith yang menyebut setiap penyakit ada “ubatnya”). “Penawar kepada penyakit” adalah lebih luas maknanya dari “ubat kepada penyakit” kerana “penawar” bermaksud kesembuhan yang sempurna (menghilangkan semuanya) tanpa kesan sampingan bukan sekadar menghilangkan kesakitan buat sementara atau sekadar memendamkannya. Sekiranya ada kesan sampingan yang memudaratkan dari sesuatu ubat, ianya tidak mencapai matlamat sebagai penawar seperti yang dimaksudkan oleh hadith ini.

4. Maksud Allah “menurunkan” penyakit dan ubatnya ialah Allah yang “mengadakan” penyakit dan ubat tersebut. Allah mengutuskan malaikat-malaikat untuk mengaturkan urusan penyakit dan ubat-ubatnya seperti mana mereka mengatur urusan-urusan lain di alam ini seperti rezeki, hujan, kemarau dan lain-lain. Ini adalah untuk mengajar kita cara mentadbirkan kehidupan kita yang memerlukan kita berkerjasama dan membahagi-bahagikan tugas. Kita juga perlu sedar bahawa di sebalik sebab-sebab zahir ada malaikat yang menguruskan dan mengendalikan urusan penyakit dan penawarnya ini.

5. Apa-apa kejadian, hidup dan mati yang ditakdirkan Allah adalah untuk menguji manusia (Surah al-Mulk, ayat 2). Adakah kita berbuat yang terbaik (setakat kemampuan kita) untuk menghadapi ujian-ujian ini? Jika di bidang perubatan, adakah kita hanya berpada dengan ilmu asas tanpa ada semangat untuk membuat kajian lebih dalam? Siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya? Jadilah yang paling baik dalam bidang masing-masing. Sentiasalah berhati-hati dan beringat dalam menjalankan tanggungjawab kita supaya tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain.

6. Semua penyakit (kecuali mati) ada ubatnya (penawarnya). Penyakit-penyakit ini adalah merupakan ujian kepada manusia. Dengan ujian ini, datang pula manfaatnya seperti menjadi sumber rezeki kepada mereka yang menekuni bidang perubatan. Sesungguhnya sakit dan sihat itu adalah dari Allah taala sebagai ujian dan juga untuk manfaat manusia. Di sebalik yang tidak baik ada perkara yang baik, malah perkara baik adalah lebih banyak dari perkara yang tidak baik, contohnya, orang yang sihat lebih ramai dari orang yang sakit. Bersama (mengiringi) kesukaran itu adalah kemudahan. Apa-apa kesukaran adalah dari Allah sebagai cabaran untuk kita berusaha.

Leave a comment