[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 20m 39s] – [HADIS PALSU] – Hadis (Nabi) Khadhir hidup sampai hari ini, jumpa orang itu dan orang ini adalah palsu
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/KPsN5z_UMFA ]
USUL DIRAYAT NO. 52 – Hadith-hadith yang menyatakan Khadhir dikurniakan umur yang panjang dan beliau masih hidup di zaman Rasulullah s.a.w, malah telah bertemu Baginda s.a.w. semuanya maudhu’. Sama ada pertemuannya ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup atau Baginda hampir wafat. Begitu juga dengan hadith yang menyebut tentang kedatangannya untuk menziarahi Rasulullah s.a.w. yang telah wafat dan mengucapkan ta’ziah kepada para Sahabat serta ahli keluarganya. Hadith-hadith yang menyatakan Khadhir hidup hingga ke akhir zaman juga sama keadaannya (maudhu’).
[ 00:01:09 ] – MITOS TENTANG KHADIR ADALAH FITNAH AKHIR ZAMAN
Kepercayaan bahawa Khadir masih hidup adalah salah satu fitnah akhir zaman. Dakwaan bahawa beliau hidup sampai akhir zaman, berjumpa dengan seseorang, mengajarkan ilmu-ilmu agama dsb. adalah mitos yang tiada asasnya dalam agama Islam.
[ 00:15:10 ] – KOMENTAR UMUM TETANG RIWAYAT KHADIR BERUMUR PANJANG DAN MASIH HIDUP
1. Majoriti ulama’ berpendapat Khadir telah meningal dunia. Antaranya ialah Imam Bukhari, Ibrahim al-Harbi, Abu Ja`far Ibnu al-Munaadi, Abu Ya`la bin al-Farraa’, Abu Thahir al-`Abbaadi, Abu Bakar Ibnu al- `Arabi, Ibnu al-Jauzi, Ibnu Taimiyyah, Ibu al-Qaiyyim, Ibnu Katsir, Hafiz Ibnu Hajar dan lain-lain.
2. Pendapat yang mengatakan Khadir telah mati adalah berdasarkan hadith sahih dan ayat al-Quran. Hadith tersebut ialah, Baginda s.a.w. bersabda begini kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda: “Tidak ada seorang pun manusia yang bernyawa (hidup) hari ini akan terus hidup selepas seratus tahun akan datang.”. Ayat al-Quran pula ialah, ayat 34, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud, “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”.
3. Jika Khadir masih hidup di zaman Nabi s.a.w. sepatutnya dia datang menolong Nabi untuk menegakkan Islam.
4. Ibnu Sholah dan Imam an-Nawawi berpendapat Khadir masih hidup tetapi pendapatnya dibantah oleh Pengarang `Aunu al-Ma`bud Syarah Sunan Abi Daud, Maulana Syamsul Haq al-‘Azimabaadi dan Abu Haiyyaan di dalam Tafsirnya.
5. Mengikut hukum adat tidak ada orang yang boleh hidup selama lebih 2000 tahun. Tiada dalil yang kukuh yang menyatakan Khadir boleh hidup selama itu
[KENALI HADITH PALSU] – HADITH KHADIR BERUMUR PANJANG DAN MASIH HIDUP DI ZAMAN RASULULLAH MALAH TELAH BERTEMU BAGINDA SEMUANYA MAUDHU’. HADITH KHADIR HIDUP HINGGA KE AKHIR ZAMAN JUGA MAUDHU’ .
1. [ 00:03:04 ] – HADITH PALSU PERTAMA
Bahawasanya pernah Rasulullah s.a.w. berada di dalam masjid, lalu Baginda mendengar ada orang sedang bercakap di belakangnya. Rupa-rupanya dia sedang berdoa, katanya: “Ya Allah! Tolonglah aku dalam melakukan sesuatu yang dapat menyelamatkanku daripada ancaman-Mu terhadapku.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar ucapannya itu, Baginda terus bersabda, “Kenapa engkau tidak sambungkan doa itu dengan doa seterusnya?”. Maka orang itu meneruskan doanya dengan berkata, “Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku kerinduan orang-orang shaleh kepada apa yang Engkau telah buatkan mereka merinduinya.” Mendengar doa itu, Rasulullah s.a.w. lantas berkata kepada Anas bin Malik, “Pergilah engkau kepadanya wahai Anas, dan katakan kepadanya, “Rasulullah s.a.w. meminta supaya engkau beristighfar untuknya.” Maka pergilah Anas menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w. itu kepadanya. Orang itu pun berkata, “Wahai Anas, pergilah kembali kepada Rasulullah s.a.w. dan dapatkan kepastian daripadanya”. Lantas Nabi s.a.w. bersabda, “Katakanlah kepadanya, ya.” Setelah itu barulah dia berkata kepada Anas, “Pergi dan ceritakanlah kepadanya (Nabi s.a.w.), sesungguhnya Allah telah melebihkanmu daripada nabi-nabi yang lain seperti Dia telah melebihkan bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain, dan Dia melebihkan umatmu daripada umat-umat yang lain seperti Dia melebihkan hari Jumaat daripada segala hari. Mereka kemudiannya pergi (untuk) melihat, rupa-rupanya dia Khadhir a.s.”
[ 00:05:04 ] – KOMENTAR HADITH PALSU PERTAMA
i. Dua orang perawi hadith ini dilabel sebagai tidak bernilai langsung oleh tokoh-tokoh hadith, iaitu Abdullah bin Nafi’ dan Khatsir bin Abdillah. Matan hadith ini adalah jelas suatu yang diada-adakan (direka).
ii. Ulama’-ulama’ yang cenderung kepada orang-orang sufi biasanya akan terpengaruh dan tidak menghukum dengan berat hadith-hadith berkaitan Khadir.
iii. Di segi dirayat, adalah agak ganjil seorang yang berada di zaman Nabi s.a.w. tidak mengambil peluang untuk berjumpa dengan Baginda. iv. Di dalam hadith ini, Nabi s.a.w digambarkan lebih rendah kedudukannya dari Khadir sehingga meminta Khadir beristighfar untuknya padahal Allah telah menjamin untuk mengampunkan Nabi s.a.w. v. Kepada sesetengah golongan sufi, kedudukan wali adalah lebih tinggi dari kedudukan Nabi dan hadith-hadith sebegini dijadikan bukti untuk menegakkan hujjah mereka.
vi. Di antara sifat Khadir yang ganjil ialah suka menyembunyikan diri dari orang ramai termasuk dari Nabi s.a.w. sendiri!
2. [ 00:09:17 ] – HADITH PALSU KEDUA
Anas bin Malik meriwayatkan, katanya: Setelah nyawa Rasulullah s.a.w. diambil, mata para Sahabat terpaku pada Baginda. Mereka menangis di sekeliling Baginda. Tiba-tiba masuk seorang lelaki berjanggut perang, gempal dan cantik wajahnya. Setelah melangkah tengkuk-tengkuk mereka, dia menangis. Kemudian berpaling kepada para Sahabat Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Sesungguhnya pada Allah ada penghibur untuk setiap musibah (yang menimpa), pengganti untuk setiap yang hilang dan pengganti untuk setiap yang musnah. Kepada Allah hendaklah kamu kembali. Kepada-Nya jua hendaklah kamu berharap. Ada pengajaran untuk kamu pada bala (ujian yang menimpa) ini. Oleh itu kamu hendaklah mengambil pengajaran (daripadanya). Orang yang ditimpa malapetaka sebenarnya ialah orang yang tidak tertampung kesedihannya. Orang itu pun pergi. Maka sebahagian mereka (Sahabat) bertanya kepada sebahagian yang lain, kamu kenalkah orang tadi? Jawab Abu Bakar dan `Ali: “Ya”. Itulah saudara Rasulullah s.a.w. al-Khadhir a.s.
[ 00:10:32 ] – KOMENTAR HADITH PALSU KEDUA
i. Perawi hadith ini ‘Abbaad bin Abdus Shamad telah meriwayatkan banyak hadith-hadith palsu dari Anas bin Malik.
ii. Ibnu Taimiyah pada mulanya berpendapat Khadir masih hidup di zaman Nabi tetapi kemudiannya menukar pendapatnya kerana jika Khadir hidup di zaman Nabi s.a.w. beliau wajib datang kepada Nabi dan membantu Baginda menegakkan Islam.
iii. Di dalam hadith ini, Abu Bakar dan Ali rhum. dikatakan mengenali Khadir a.s. Bagaimana mereka kenal Khadir sedangkan mereka tidak pernah berjumpa dengannya, malah Nabi s.a.w. sendiri pun tidak pernah berjumpa dengan Khadir.
3. [ 00:12:18 ] – HADITH SAHIH TETAPI ADA TAMBAHAN DARIPADA PERAWI YANG TIDAK SAHIH
Pernah pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bercerita panjang tentang Dajjaal. Antara yang diceritakan oleh Baginda tentangnya ialah kata Baginda: “Ia (Dajjaal) akan datang – Ia tidak akan dapat masuk ke lorong-lorong (jalan-jalan) Madinah – sehingga ke sebahagian kawasan tanah tidak subur dekat Madinah. Maka keluarlah kepadanya pada hari itu seorang lelaki yang merupakan sebaik-baik manusia atau antara manusia terbaik. Lalu lelaki itu berkata kepadanya: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya engkau adalah Dajjaal yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.” Kata Dajjaal: “Bagaimana kalau aku bunuh orang ini kemudian aku hidupkannya. Adakah kamu masih ragu tentang da`waanku (sebagai tuhan)?” Jawab orang-orang yang ada di situ: “Tidak”. Kata Nabi s.a.w.: “Maka dibunuhnya lelaki itu. Kemudian dihidupkannya. Setelah dihidupkan semula, lelaki itu terus berkata: “Demi Allah! Keyakinanku (tentang kebohonganmu) tidak pernah sekuat sekarang.” Nabi s.a.w. (terus) bercerita, kata Baginda: “Dajjaal hendak membunuhnya (sekali lagi), tetapi tidak mampu.” Kata Abu Ishaq, dikatakan lelaki (yang tersebut di dalam hadith) itu ialah al-Khadhir a.s.
[ 00:13:52 ] KOMENTAR
Hadith riwayat Imam Muslim ini sahih. Tetapi di bahagian akhir terdapat tambahan dari perawi Abu Ishaq, murid Imam Muslim yang menyebut, “Dikatakan lelaki (yang tersebut di dalam hadith) itu ialah al-Khadhir a.s.”. Apa yang disebut oleh Abu Ishaq bukanlah hadith dan ianya tidak boleh dijadikan hujjah dalam agama. Apatah lagi beliau menyatakannya dengan ungkapan “dikatakan” yang bermaksud, “kononnya”.
VIDEO PENUH ASAL – Sesi 86-[PALSU] Khadir Dikurniakan Um…
NOTA KULIAH – https://syarahanhadits.school.blog/wp…
