[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 17m 52s] – [HADIS PALSU] – (Nabi) Khadir, Nabi Ilyas, Alyasa’ dan Nabi Idris Masih Hidup Sampai Hari Ini!
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/izIEcIjbl4g ]
USUL DIRAYAT KE – 55 – Riwayat-riwayat yang menyebutkan sebab-sebab kenapa Khadir diberikan umur yang panjang dan beliau akan hidup sampai akhir zaman hanya berpunca daripada riwayat-riwayat Israiliyyat dan semuanya adalah maudhu’. Demikian juga dengan riwayat yang menyatakan Nabi Ilyas atau Nabi Alyasa’ dan Nabi Idris masih hidup hingga ke hari ini dan sebab-sebab kenapa mereka diberikan umur yang panjang semuanya maudhu’, kecuali riwayat-riwayat yang menyatakan Nabi Isa a.s. masih hidup, kerana ia sahih, bahkan sampai ke peringkat mutawatir ma’nawi. Firman Allah di dalam al-Quran juga membuktikan Nabi Isa a.s. masih hidup tetapi bukan kehidupan di bumi.
[ 00:16:30 ] – TEORI KHADIR YANG BERUMUR PANJANG DAN HIDUP SEHINGGA HARI INI DIPROMOSIKAN OLEH SYIAH UNTUK MENYOKONG FAHAMAN MEREKA YANG MENGATAKAN IMAM MAHDI MASIH HIDUP SEHINGGA KE HARI INI
[KENALI HADITH PALSU] – RIWAYAT KENAPA KHADIR DIBERIKAN UMUR PANJANG DAN AKAN HIDUP SAMPAI AKHIR ZAMAN BERPUNCA DARI RIWAYAT ISRAILIYYAT
1. [ 00:00:50 ] – HADITH PALSU PERTAMA
Mengapa Khadir dikurniakan umur yang panjang? Dzul Qarnain bercita-cita dikurniakan umur yang panjang dengan harapan untuk beribadat kepada Allah sebenar-benarnya. Kawannya dari kalangan malaikat bernama Ziafil memberitahunya ada satu mata air yang bernama “Mata Air Kehidupan” yang mana jika diminum sekali saja sudah cukup untuk memanjangkan umur seseorang selama yang dia mahu. Mata air kehidupan itu dipercayai berada di kawasan gelap di bumi. Dzul Qarnain mengembara selama dua belas tahun untuk mencari mata air tersebut. Bersamanya ialah Khadir yang memimpin salah satu pasukan tentera Dzul Qarnain. Dzul Qarnain pula memimpin satu pasukan lain. Khadir berjumpa dengan mata air tersebut lalu meminum airnya, tetapi Dzul Qarnain tersesat dan tidak menjumpainya sampai akhir. Dengan itu Khadir dikurniakan umur yang panjang manakala Dzul Qarnain gagal mencapai hasratnya.
[ 00:05:08 ] – KOMENTAR HADITH PALSU PERTAMA
i. Riwayat ini adalah salah satu riwayat Israiliyyat.
ii. Riwayat ini menunjukkan Khadir telah berkhianat kepada ketuanya iaitu Dzul Qarnain dengan meminum dari mata air kehidupan dan mendapat umur yang panjang sedangkan Dzul Qarnainlah yang berusaha mencari mata air tersebut.
iii. Dzul Qarnain ialah seorang manusia biasa tetapi digambarkan sebagai amat luar biasa kerana bersahabat baik dengan malaikat dan boleh berinteraksi dengan malaikat Israfil.
2. [ 00:06:38 ] – HADITH PALSU KEDUA
Adapun sebab umur Nabi Ilyas dipanjangkan, maka ia berdasarkan apa yang diriwayatkan bahawa sesungguhnya beliau a.s. diutuskan kepada Bani Israil, dan banyaklah gangguan yang terpaksa dihadapinya daripada mereka. Semakin lama semakin mereka derhaka. Maka beliau memohon kepada tuhannya agar merehatkannya daripada gangguan mereka. Lalu dikatakan kepadanya, menurut dakwaan mereka: “Tunggulah hari sekian-sekian, dan keluarlah ke tempat sekian-sekian pada hari itu. Terus naikilah apapun (kenderaan) yang datang kepadamu, jangan engkau gerun kepadanya.” Maka keluarlah Ilyas, ia disertai Ilyasa’. Apabila mereka sampai di tempat yang diperintahkan, datanglah kuda dari api. Ada orang mengatakan, “Warnanya seperti warna api.” Apabila ia berhenti di hadapan Ilyas, teruslah beliau menaikinya. Dan teruslah kuda itu membawanya pergi. Ilyasa’ lantas menyerunya dengan berkata, “Wahai Ilyas! Apa yang hendak engkau perintahkan aku?” Maka Ilyas mencampakkan selimutnya dari lapisan udara yang tertinggi. Ia menandakan Ilyasa’ lah yang menjadi penggantinya memimpin Bani Israil. Itulah peristiwa terakhir yang diketahui orang tentang ilyas. Allah telah mengangkatnya di hadapan mereka. Semenjak itu tidak lagi beliau merasai kelazatan makanan dan minuman. Allah telah memakaikannya bulu (seperti burung). Kerana itu beliau menjadi malaikat bumi yang berada di langit.
[00:08:47] – KOMENTAR HADITH PALSU KEDUA
i. Kisah ini adalah riwayat Israiliyyat yang tidak mempunyai sanad.
ii. Cerita-cerita Israiliyyat tentang nabi-nabi adalah cerita-cerita dongeng dan khurafat, contohnya dalam hadith ini, Nabi Ilyas dipakaikan bulu seperti burung.
iii. Riwayat ini tidak sesuai dengan kedudukan seorang nabi di mana Nabi Ilyas digambarkan sebagai seorang yang tidak sabar dan lari dari tanggungjawabnya.
iv. Apakah dengan meninggalkan tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai seorang nabi, Nabi Ilyas dimuliakan dengan dijadikan pula sebagai malaikat?!
3. [ 00:10:42 ] – HADITH PALSU KETIGA
Kata Wahhab (Bin Munabbih): “Setiap hari amalan Nabi Idris a.s. diangkat sebanyak amalan sekelian penduduk bumi di zamannya. Maka hairanlah para malaikat dengannya dan rindulah Malakul Maut kepadanya, lalu ia meminta izin kepada Tuhan untuk menziarahi Idris. Tuhan membenarkannya. Malakul Maut pun datanglah kepadanya dalam rupa seorang manusia. Idris adalah seorang yang sentiasa berpuasa. Bila tiba waktu berbuka beliau memanggilnya untuk makan, tetapi ia (Malakul Maut) enggan makan bersamanya. Setelah berlalu tiga malam berturut-turut, Idris berasa pelik. Maka bertanyalah Idris pada malam ketiga, “Sesungguhnya aku ingin tahu siapa engkau (sebenarnya)?”. Jawabnya, “Aku Malakul Maut”. Aku telah meminta izin kepada Tuhan untuk bersahabat denganmu”. Kata Idris, “Aku ada hajat denganmu”. Kata Malakul Maut, “Apa hajatmu”. Jawab Idris, “Engkau mengambil nyawaku”. Maka Allah mewahyukan kepadanya supaya mengambil nyawa Idris. Sejenak selepas diambil Malakul Maut nyawa Idris, Allah mengembalikan kepadanya nyawanya. Malakul Maut bertanya Idris, “Apa tujuan mu meminta supaya diambil rohmu”. Jawab Idris, “Untuk merasai keresahan mati dan kedukaannya lalu aku menjadi lebih bersedia menghadapinya.” Kemudian Idris berkata pula, “Aku ada satu lagi hajat denganmu”. Tanya Malakul Maut, “Apa hajatmu itu?”. Jawab idris, “Engkau bawakan aku ke langit untuk ku lihat langit, syurga dan neraka.” Allah mengizinkan Idris diangkat ke langit. Apabila sampai dekat neraka, Idris berkata, “Aku ada satu lagi hajat, engkau mintalah penjaga neraka membukakan pintu-pintunya supaya dapat aku masuk ke dalamnya”. Malakul Maut terus memenuhi hajat Idris. Setelah itu Idris berkata, “Sebagaimana engkau telah menunjukkan kepadaku neraka, tunjukkanlah pula kepadaku syurga. Malakul Maut pun membawanya ke syurga. Idris meminta pintu-pintunya dibuka. Setelah dibuka pintu-pintunya masuklah Idris ke dalam syurga. Kemudian Malakul Maut berkata, “Keluarlah untuk engkau kembali ke tempat tetapmu dengan bergayut di satu pokok”. Idris pula berkata, “Aku tidak akan keluar darinya”. Maka Allah mengutuskan seorang malaikat sebagai pengadil. Kata malaikat itu kepada Idris, “Kenapa engkau tidak mahu keluar?” Jawab Idris, “Kerana Allah berfirman (bermaksud). “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian” (Aali ‘Imraan, 185). Aku telahpun merasai kematian. Allah juga berfirman (bermaksud), “Tiada siapa pun daripada kamu melainkan akan memasukinya” (Maryam, 71). Aku telah pun memasukinya. Allah juga berfirman (bermaksud), “Dan mereka tidak akan dikeluarkan daripadanya (syurga)” (al-Hijr:48). Kerana itulah aku tidak mahu keluar”. Maka Allah mewahyukan kepada Malakul Maut bahawa dengan keizinan-Ku dia telah masuk syurga, dengan perintah-Ku pula dia tidak akan keluar. Dengan itu hiduplah Idris di sana. Itulah maksud firman Allah: “Dan kami angkatkannya ke tempat yang tinggi”.
[ 00:14:37 ] – KOMENTAR HADITH PALSU KETIGA
i. Hadith palsu ini ialah cerita Israiliyyat riwayat Wahab bin Munabbih. Sumber utama riwayat Israiliyyat yang berlegar di kalangan orang Islam ialah dari Wahab bin Munabbih dan Ka’ab al-Ahbar
ii. Terdapat berbagai versi berbeza cerita tentang Nabi Idris. Terdapat ‘”idhthirab” (ketidak tetapan) dalam matannya, yang menunjukkan kepalsuannya.
iii. Hadith ini tidak mempunyai sanad (perawi-perawi).
iv. Sumber utama riwayat Israiliyat yang tersebar di dalam dunia Islam berpunca dari Wahhab bin Munabbih dan Ka’ab al-Ahbar.
VIDEO PENUH ASAL –
