[MENDIDIK JIWA] – Siri 6 – Tentang Harapan Dan Keinginan Manusia Dan Panjangnya Harapan Itu

VIDEO – [Durasi – 12m 43s] – [MENDIDIK JIWA] – Siri 6 – Tentang Harapan Dan Keinginan Manusia Dan Panjangnya Harapan Itu [HADIS]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/IbIRNgNBUi0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tidak Ada Kehidupan Sempurna Mela…   ] – [Sahih Al-Bukhari (Kitab Melembutkan Hati) ]

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH –https://syarahanhadits.school.blog/ha… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي الأَمَلِ وَطُولِهِ‏

وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ}، {ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الأَمَلُ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ}.

وَقَالَ عَلِيٌّ ارْتَحَلَتِ الدُّنْيَا مُدْبِرَةً، وَارْتَحَلَتِ الآخِرَةُ مُقْبِلَةً، وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا بَنُونَ، فَكُونُوا مِنْ أَبْنَاءِ الآخِرَةِ، وَلاَ تَكُونُوا مِنْ أَبْنَاءِ الدُّنْيَا، فَإِنَّ الْيَوْمَ عَمَلٌ وَلاَ حِسَابَ، وَغَدًا حِسَابٌ وَلاَ عَمَلَ. {بِمُزَحْزِحِهِ حَدَّثَنَا صَدَقَةُ بْنُ الْفَضْلِ، أَخْبَرَنَا يَحْيَى، عَنْ سُفْيَانَ، قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ مُنْذِرٍ، عَنْ رَبِيعِ بْنِ خُثَيْمٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ خَطَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم خَطًّا مُرَبَّعًا، وَخَطَّ خَطًّا فِي الْوَسَطِ خَارِجًا مِنْهُ، وَخَطَّ خُطُطًا صِغَارًا إِلَى هَذَا الَّذِي فِي الْوَسَطِ، مِنْ جَانِبِهِ الَّذِي فِي الْوَسَطِ وَقَالَ ‏ “‏ هَذَا الإِنْسَانُ، وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ ـ أَوْ قَدْ أَحَاطَ بِهِ ـ وَهَذَا الَّذِي هُوَ خَارِجٌ أَمَلُهُ، وَهَذِهِ الْخُطُطُ الصِّغَارُ الأَعْرَاضُ، فَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا، وَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا ‏”‏‏. حَدَّثَنَا مُسْلِمٌ، حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ إِسْحَاقَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ خَطَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم خُطُوطًا فَقَالَ ‏ “‏ هَذَا الأَمَلُ وَهَذَا أَجَلُهُ، فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ جَاءَهُ الْخَطُّ الأَقْرَبُ ‏”‏‏.‏

Bab – Tentang Harapan Dan Keinginan Manusia Dan Panjangnya Harapan Dan Keinginan Manusia Itu

Firman Allah, “Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga sesungguhnya telah berjayalah dia. Sesungguhnya dunia ini tidak lebih daripada mata benda yang memperdayakan. Biarkan mereka terus makan dan berseronok-seronok dan dipermainkan oleh harapan (keinginan). Nanti mereka akan mengetahui juga perkara yang sebenar”.

Ali r.a. berkata, “Dunia berangkat dengan berpaling belakang dan akhirat berangkat dengan menghadap kepada kita. Masing-masing dari keduanya mempunyai anak-anak. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat. Jangan kamu menjadi anak-anak dunia. Hari ini adalah amalan (hari ini untuk bekerja), tidak ada sebarang perhitungan. Besok ada perkiraan tidak ada lagi amalan”. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud, beiau berkata, pernah Nabi s.a.w. melakarkan suatu lakaran yang bersegi empat dan menggariskan satu garis di tengah yang terkeluar dari garisan empat segi itu dan Nabi s.a.w. menggariskan garisan-garisan kecil di tepi (di sebelah) garisan yang berada di tengah. Nabi s.a.w. bersabda, “Ini manusia dan ini ajalnya yang mengepungnya (atau menguasainya) dan yang keluar ini ialah harapannya dan keinginannya. Garis-garis kecil ini ialah peristiwa-peristiwa (atau malapetaka-malapetaka). Kalau yang ini terlepas dia akan dibaham oleh yang ini. Kalau yang ini pula terlepas dia akan dibaham (atau dipatuk) oleh yang ini”. Riwayat daripada Anas, katanya, Nabi s.a.w membuat beberapa garisan. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Ini harapan (atau keinginan) manusia dan ini ajalnya. Dalam keadaan manusia itu leka, tiba-tiba sampai kepadanya garisan yang terdekat dengannya”.

[RINGKASAN] Tentang Harapan Dan Keinginan Manusia Dan Panjangnya Harapan Dan Keinginan Manusia Itu

1. Adalah tidak salah untuk kita mempunyai cita-cita, harapan dan keinginan di dalam kehidupan ini (ianya disebut “al-‘amal” iaitu harapan atau keinginan yang boleh dicapai). Ianya berbeza dengan angan-angan (“tamanni”) yang tidak mungkin dicapai.

2. Persoalannya, adakah dengan mencapai harapan dan keinginan yang kita tetapkan dalam hidup menandakan kita sudah berjaya? Contohnya, harapan seorang pelajar adalah untuk lulus dalam peperiksaan. Selepas lulus peperiksaan, dia akan mempunyai harapan-harapan lain seterusnya. Kita mempunyai banyak keinginan dan harapan dalam hidup ini, dan ianya tiada penghujung. Oleh itu, kita tidak akan merasai kejayaan atau mendapat kepuasan sebenar dengan tercapainya harapan-harapan ini.

3. Islam mengajar kita bahawa kejayaan yang sebenar ialah terhindar daripada api neraka dan dapat memasuki syurga (al-Quran Surah Ali ‘Imran, ayat 185). Kejayaan selain dari itu adalah kejayaan yang sementara sifatnya. Dengan itu, sepatutnya harapan dan keinginan kita ialah untuk memasuki syurga dan terselamat dari api neraka, dan tidak hanya berkisar sekitar perkara-perkara kecil dalam hidup ini.

4. Apa yang dikatakan kejayaan dalam hidup di dunia ini adalah kesenangan atau mata benda yang memperdayakan. Manusia akan berseronok dengan makan minum dan kenikmatan dunia ini dan leka dengan harapan-harapan dan keinginan mereka. Sesungguhnya makan minum dan keseronokan dunia ini tidaklah begitu tinggi nilainya. Di akhirat nanti, kita akan tahu apakah tanggungjawab dan kehidupan yang sebenar. Tujuan hidup yang semata-mata untuk berseronok-seronok adalah cara hidup orang kafir.

5. Saidina Ali r.a. berkata, dunia pergi membelakangkan kita tetapi akhirat datang menghadap kita. Dunia dan akhirat masing-masing ada anaknya, maka jadilah anak-anak akhirat. Hakikat dunia ialah bila umur kita bertambah ia semakin jauh meninggalkan kita. Apa yang dianggap sebagai sebagai kejayaan di segi dunia yang kita anggap semakin hampir dengan kita sebenarnya semakin jauh dari kita (semakin meninggalkan kita). Yang patut kita utamakan ialah yang semakin hampir dengan kita iaitu akhirat.

6. “Perkara akhirat” bermaksud apa-apa perkara yang kita lakukan di dunia ini yang ada kaitannya dengan akhirat manakala perkara dunia ialah perbuatan yang tiada langsung kaitan dengan Allah dan akhirat. Perlu diingat bahawa perkara dunia tidak terhad hanya kepada maksiat sahaja tetapi juga perkara-perkara lain yang tidak dianggap maksiat tetapi tiada kaitan dengan akhirat. Contoh perkara akhirat, walaupun nampak seolah-olah perkara dunia, ialah memberi makan dan nafkah, dan memberi keselesaan dan kesenangan kepada keluarga kerana mengingati dan mematuhi perintah Allah.

7. “Jadilah kamu anak akhirat” bermaksud, jadilah kamu orang yang beragama, iaitu orang yang segala tindak tanduknya ada kaitannya dengan Allah dan akhirat. Hari ini (semasa hidup ini) adalah masa beramal, tiada sebarang perhitungan tetapi besok, selepas mati, hanya akan ada perhitungan dan tiada lagi amalan. Selagi kita hidup, sentiasalah beramal dengan apa cara sekalipun, ketika sihat atau sakit, dalam susah atau senang.

8. Tidaklah dengan diberi umur yang panjang seseorang itu akan terhindar dari azab.

9. Dari hadith riwayat Ibnu Mas’ud, Nabi s.a.w. melukis garis-garis yang membentuk segi empat dengan satu garisan panjang di tengahnya yang menembusi empat segi itu. Baginda kemudian melakar garis-garis kecil dari garisan panjang tadi. Garisan panjang bermaksud manusia dan sempadan empat segi tadi adalah ajal yang mengepungnya. Bahagian garisan panjang yang terkeluar dari segi empat adalah harapan dan keinginannya. Garis-garis kecil ialah rintangan, masalah atau peristiwa-peristiwa terutamanya yang boleh mengancam nyawanya.

10. Sepanjang perjalanan hidupnya, manusia akan diuji dengan bahaya-bahaya, rintangan-rintangan dan sebagainya. Harapan dan keinginan manusia melangkaui jangka hayatnya (iaitu sempadan simbolik pada kotak empat segi yang dilakarkan oleh Nabi s.a.w.).

11. Manusia akan terkepung dengan ajalnya yang dia tidak boleh lari darinya. Oleh itu mungkin seseorang berjaya mencapai harapannya hanya selepas dari kematiannya, contohnya harapan dan keinginan pemimpin yang berwawasan jauh yang hanya boleh dikecapi oleh generasi-generasi selepasnya. Harapan-harapan dan keinginan manusia itu panjang. Betapa ramai yang tidak mampu mencapai harapan dan keinginan mereka. Manusia akan menghadapi rintangan-rintangan dan masalah-masalah yang menyakitkan dan pedih dalam usaha untuk mencapai harapannya.

Leave a comment