VIDEO – [Durasi – 14m 54s] – [PUASA] – Siri 2 – Permulaan Fardhu Puasa (Termasuk Takrif Dan Hikmah Puasa) [VIDEO TEMATIK HADITH]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/edNfln5wLYM ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Permulaan Fardhu Puasa – [Sunan A… – (Sunan Abi Daud – Kitab Puasa)
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
باب مَبْدَإِ فَرْضِ الصِّيَامِ
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ شَبُّويَةَ، حَدَّثَنِي عَلِيُّ بْنُ حُسَيْنِ بْنِ وَاقِدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ يَزِيدَ النَّحْوِيِّ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ } فَكَانَ النَّاسُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذَا صَلَّوُا الْعَتَمَةَ حَرُمَ عَلَيْهِمُ الطَّعَامُ وَالشَّرَابُ وَالنِّسَاءُ وَصَامُوا إِلَى الْقَابِلَةِ فَاخْتَانَ رَجُلٌ نَفْسَهُ فَجَامَعَ امْرَأَتَهُ وَقَدْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَلَمْ يُفْطِرْ فَأَرَادَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَجْعَلَ ذَلِكَ يُسْرًا لِمَنْ بَقِيَ وَرُخْصَةً وَمَنْفَعَةً فَقَالَ سُبْحَانَهُ { عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ } . وَكَانَ هَذَا مِمَّا نَفَعَ اللَّهُ بِهِ النَّاسَ وَرَخَّصَ لَهُمْ وَيَسَّرَ .
حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيِّ بْنِ نَصْرٍ الْجَهْضَمِيُّ، أَخْبَرَنَا أَبُو أَحْمَدَ، أَخْبَرَنَا إِسْرَائِيلُ، عَنْ إِسْحَاقَ، عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ كَانَ الرَّجُلُ إِذَا صَامَ فَنَامَ لَم يَأْكُلْ إِلَى مِثْلِهَا وَإِنَّ صِرْمَةَ بْنَ قَيْسٍ الأَنْصَارِيَّ أَتَى امْرَأَتَهُ وَكَانَ صَائِمًا فَقَالَ عِنْدَكِ شَىْءٌ قَالَتْ لاَ لَعَلِّي أَذْهَبُ فَأَطْلُبُ لَكَ شَيْئًا . فَذَهَبَتْ وَغَلَبَتْهُ عَيْنُهُ فَجَاءَتْ فَقَالَتْ خَيْبَةً لَكَ . فَلَمْ يَنْتَصِفِ النَّهَارُ حَتَّى غُشِيَ عَلَيْهِ وَكَانَ يَعْمَلُ يَوْمَهُ فِي أَرْضِهِ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَزَلَتْ { أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ } قَرَأَ إِلَى قَوْلِهِ { مِنَ الْفَجْرِ }
Permulaan Fardhu Puasa
Hadith Pertama – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas berhubung dengan firman Allah s.w.t. “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Orang ramai di zaman Nabi s.a.w. bila selesai bersembahyang Isya’ haramlah kepada mereka makan, minum dan perempuan-perempuan (menyetubuhi isteri-isteri) dan mereka terus berpuasa hingga malam keesokannya. Tiba-tiba ada seorang lelaki mengkhianati dirinya dengan menyetubuhi isterinya. Ketika itu dia telah pun bersembahyang Isya’ tetapi belum lagi berbuka. Maka Allah azzajawalla hendak menjadikan pengkhianatan lelaki itu terhadap dirinya sebagai (sebab kepada) kemudahan untuk orang-orang kemudian (lain) dan sebagai “rukhsah” dan manfaat untuk semua orang. Kerananya Allah s.w.t. berfirman, “Allah tahu kamu sebelum ini mengkhianati diri-diri kamu…” dan ini adalah perkara hukum yang Allah telah berikan manfaatnya kepada manusia. Allah telah memberikan kemudahan dan kesenangan kepada mereka.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada al-Bara’ katanya: Seseorang itu (di zaman Nabi s.a.w.) bila telah berpuasa lalu dia tertidur dia tidak boleh makan sampai keesokan malam. Sirmah bin Qais al-Ansari kebetulan pulang kepada isterinya. Dia berpuasa. Dia bertanya isterinya, “Adakah sesuatu (makanan) pada kamu?”. Isterinya menjawab, “Tidak ada. Tapi mudah-mudahan nanti saya carikan untuk kamu”. Dia pun pergi. Dan Sirmah pun terlelap. Bila isterinya pulang, isterinya berkata, “Ruginya kamu”. Belum sampai separuh hari keesokannya dia telah jatuh pengsan. Dia sepanjang hari bekerja di tanahnya (ladangnya). Apa yang berlaku itu disebutkan kepada Nabi s.a.w. maka turunlah ayat, “Dihalalkan kepada kamu pada malam hari (Ramadhan) bersetubuh dengan isteri-isteri kamu….”. Nabi membaca ayat itu sehingga sampai kepada, “… waktu fajar”.
[RINGKASAN] Permulaan Fardhu Puasa
1. Salah satu takrif “puasa” ialah: Seseorang menahan diri (dengan berniat) dari makan, minum, mengeluarkan air mani dan muntah dengan sengaja dari fajar hingga maghrib.
2. Faedah puasa:
i) mematahkan nafsu,
ii) mengalahkan syaitan. Kenyang adalah “sungai” dalam diri kita yang didatangi oleh syaitan, lapar pula adalah “sungai” dalam roh manusia yang didatangi oleh malaikat,
iii) menyedarkan orang kaya tentang nikmat Allah kepadanya yang menjadikannya insaf dan bersyukur terhadap anugerah yang diterimanya dan mendorongnya untuk mengasihani dan bersimpati terhadap orang-orang susah.
3. Puasa fardhu Ramadhan mula disyariatkan selepas peristiwa kiblat dipalingkan dari Baitul Maqdis ke Mekah pada tahun kedua Hijrah. Sebelum daripada itu yang ada hanya puasa-puasa sunat.
4. Hadith Pertama – Menurut hadith ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad juga diwajibkan berpuasa sebagaimana ayat 183, Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Pada peringkat awal puasa difardhukan, selepas berpuasa sepanjang hari, sekiranya mereka tidak berbuka sehingga selepas menunaikan solat Isya’ mereka hendaklah menyambung puasa itu dan tidak boleh makan dan melakukan perkara–perkara yang membatalkan puasa. Ada Sahabat yang gagal menurut perintah ini dengan melakukan persetubuhan dengan isterinya.
5. Selepas peristiwa ini peraturan puasa berubah di mana dibenarkan makan dan minum dan melakukan lain-lain larangan pada waktu malam selepas berbuka. Apa yang berlaku (iaitu Sahabat bersetubuh dengan isteri di waktu yang dilarang) adalah disebabkan Allah ingin memberi kemudahan kepada kita dalam menjalani ibadat puasa. [Nota: Kita tidak boleh menuduh sesuatu yang tidak elok dan biadab terhadap Sahabat-Sahabat Nabi kerana melanggar perintah Allah ini]. Dengan berlakunya “pelanggaran” ini, umat Muhammad mendapat kelonggaran dan kemudahan berbanding umat-umat Nabi terdahulu. Peristiwa ini juga untuk menggambarkan bahawa Sahabat-Sahabat Nabi adalah juga manusia biasa yang melakukan salah dan silap. Ianya mengajar kita supaya tidak terlalu kecewa dan berputus asa apabila terjerumus di dalam dosa dan kesalahan. Yang penting ialah kita segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Perlu dijelaskan bahawa hadith ini adalah dhaif.
6. Hadith Kedua – Jika seseorang tertidur tetapi belum berbuka puasa, dia tidak boleh makan dan minum lagi selepas itu. Seorang Sahabat, Sirmah Bin Qais pulang dari bekerja dan bertanya isterinya ada atau tidak makanan untuk berbuka puasa. Isterinya menjawab tiada tetapi dia akan keluar mencarinya. Sekembalinya ke rumah dengan membawa balik makanan, suaminya telah tertidur. Sirmah meneruskan puasanya dengan tidak berbuka pada hari itu. Sebelum tengah hari keesokan harinya dia pengsan semasa bekerja di ladangnya.
Kisah ini diceritakan kepada Nabi lalu Nabi memberitahu bahawa ada ayat al-Quran yang turun yang bermaksud, “Dihalalkan kepada kamu pada malam hari bersetubuh dengan isteri-isteri kamu…(sehingga)…iaitu waktu fajar”, (al-Baqarah, ayat 187).
7. Antara pengajaran dari hadith ini ialah:
i) Maklumat tentang sejarah bagaimana orang-orang terdahulu berpuasa,
ii) Kemesraan suami isteri. Dapat diketahui bahawa tugas menguruskan rumah tangga seperti memasak, membasuh pakaian dan seumpamanya dilakukan oleh isteri. Adalah tidak tepat pendapat sesetengah orang yang kononnya hendak menerapkan Islam meletakkan semua tugas termasuk menguruskan rumah tangga kepada suami. Adat kebiasaan masyarakat di zaman Nabi (‘uruf) adalah menyerahkan tugas menguruskan rumah tangga kepada isteri.
8. Di dalam hadith ini dinyatakan bahawa isteri Sirmah keluar mencari makanan. Sebenarnya di rumah Sirmah sudah ada buah tamar, tetapi Sirmah teringin makan gandum. Dinyatakan dalam suatu hadith yang lain, isteri Sirmah keluar mencari makanan dengan menukarkan tamar yang dipunyainya dengan gandum. Di sini dilihat isteri juga memainkan peranan dalam sebuah rumah tangga.
