[HELAH-HELAH] – Siri 1 – Meninggalkan Helah (Seseorang Mendapat Apa Yang Diniatnya) [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 14m 26s] – [HELAH-HELAH – Siri 1 ] -Meninggalkan Helah (Seseorang Mendapat Apa Yang Diniatnya) [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Nf2UTslyZjE ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Tentang Pelbagai Helah & Hadith T…  

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

فِي تَرْكِ الْحِيَلِ وَأَنَّ لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فِي الأَيْمَانِ وَغَيْرِه حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَلْقَمَةَ بْنِ وَقَّاصٍ، قَالَ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ـ رضى الله عنه ـ يَخْطُبُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ “‏ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ هَاجَرَ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ ‏” ا

KITAB TENTANG PELBAGAI HELAH

Bab – Hadith-Hadith Tentang Meninggalkan Helah. “Dan sesungguhnya seseorang itu mendapat apa yang diniatnya baik dalam masalah sumpah atau lainnya”.

HADITH – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Alqamah bin Waqqas beliau berkata: Saya telah mendengar Umar bin Al-Khattab berucap, beliau berkata: Saya telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “Wahai manusia! Sesungguhnya segala amalan itu dikira dengan niat (mengikut niat). Dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu dikira kerana Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang berhijrah untuk mendapat dunia atau kerana perempuan untuk dikahwininya maka hijrahnya itu dikira untuk apa yang dia lakukan”.

[RINGKASAN] Meninggalkan Helah (Seseorang Itu Mendapat Apa Yang Diniatnya)

1. “Helah” dalam istilah asal (dalam bahasa Arab) ialah mencari jalan untuk melepaskan sesuatu, ianya boleh jadi baik dan boleh jadi tidak baik. Maksudnya berbeza dengan istilah “tipu helah” dalam bahasa Melayu, yang menetapkan helah sebagai sesuatu yang tidak baik.

2. Imam al-Bukhari berpendapat tidak harus melakukan “helah”. Ianya lebih berkaitan dengan perkara yang melibatkan ketentuan dan hukum Allah. Ini adalah kerana adalah tidak mungkin ketentuan dan hukum-hukum Allah akan menekan dan menganiaya kita.

3. Ulama’-ulama’ yang bependapat tidak harus melakukan helah ialah Imam Al-Bukhari, Imam Malik dan Imam Ahmad. Manakala ulama’ yang berpendapat adalah harus melakukan helah ialah Imam Abu Hanifah dan Imam asy-Shafie. Mereka mengharuskan melakukan helah hatta dalam perkara yang berkaitan ibadat. Walaupun begitu, Imam Abu Hanifah dan Imam asy-Shafie tetap mengatakan haram melakukan helah dengan tujuan untuk mengambil hak orang lain atau untuk menegakkan yang batil.

4. DALIL ULAMA’ YANG TIDAK MEMBENARKAN HELAH

a) Kisah Ashaab As-Sabt – Allah telah menukar orang-orang Yahudi menjadi kera kerana telah mengadakan helah untuk menentang larangan Allah dari menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu tetapi mengepung ikan pada hari Sabtu supaya boleh ditangkap pada keesokan harinya.

b. Ayat al-Quran diturunkan mencela orang Yahudi yang mengadakan helah untuk menghalalkan lemak. Allah mengharamkan lemak (yang berketul) tetapi kaum Yahudi ini mencairkan lemak lalu menjualnya. Mereka tidak memakan lemak tetapi memakan hasil jualan lemak.

c. Nabi s.a.w. melarang perbuatan “tanajus” iaitu menipu dalam berjual beli dengan berpura-pura untuk membeli sesuatu barang dengan harga yang mahal untuk mendorong orang ramal supaya berminat membeli barang tersebut. Di zaman sekarang ianya mirip seperti iklan-iklan produk yang menonjolkan kelebihan yang tidak benar sesuatu produk. d. Islam mengharamkan amalan kahwin “cina buta” iaitu berpura-pura kahwin dengan seorang janda yang ditalak tiga oleh suaminya dengan tujuan membolehkan bekas suaminya mengahwininya semula.

5. DALIL ULAMA’ YANG MEMBENARKAN HELAH

a) Kisah Nabi Ayyub yang bersumpah untuk menyebat isterinya 100 kali. Allah telah memberi jalan keluar kepada Nabi Ayyub dengan memerintahkan baginda memukul isterinya sekali dengan 100 jerami yang diikat sebagai satu ikat.

b) Hukuman 100 kali sebat ke atas penzina yang sakit teruk di zaman Nabi. Nabi memerintahkan penzina tersebut disebat sekali dengan tandan (manggar) kurma yang mempunyai seratus tangkai.

c) Nabi s.a.w. melarang menukar kurma yang rendah kualitinya dengan kurma yang berkualiti tinggi dengan timbangan yang berbeza. Baginda menyarankan supaya kurma tersebut dijual dan hasil jualannya digunakan untuk membeli kurma yang satu lagi. d) Kisah Nabi Yusuf yang meletakkan cupak atau piala pada kenderaan adiknya Bunyamin supaya adiknya dituduh mencuri dan tidak dibenarkan pulang. Tujuan sebenarnya ialah supaya dia dapat bersama adiknya dan “memaksa” ibu bapanya supaya datang dan berpindah ke negerinya.

6. HADITH – SESUNGGUHNYA AMALAN ITU DIKIRA MENGIKUT NIAT

Imam al-Bukhari berpendapat sekiranya seseorang itu melakukan helah untuk lari dari hukum Allah, amalannya tidak diterima. Tetapi jika ianya dipaksa (seperti mengucapkan perkataan kufur) padahal ia tidak redha, apa yang dikira adalah niat, bukan perkataannya. Ulama’ lain yang membenarkan melakukan helah pula berpendapat, helah yang dilakukan adalah kerana Allah juga. Ianya bertujuan baik dan untuk mengelakkan kezaliman dan ianya tidak bercanggah dengan hadith ini.