VIDEO – [Durasi – 8m 42s] – [KELEBIHAN MADINAH] – Siri 2 – Madinah Keluarkan Orang Yang Tidak Baik Daripadanya [HADITH TEMATIK]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/cp6JueLPBJ4 ]
Video penuh asal – • Sesi 1 – Haram Madinah – [Sahih al-Bukhari… – [Sahih Al-Bukhari (Kitab Kelebihan Madinah) ]
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/ha… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH
أَ اب فَضْلِ الْمَدِينَةِ، وَأَنَّهَا تَنْفِي النَّاسَ
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْحُبَابِ، سَعِيدَ بْنَ يَسَارٍ يَقُولُ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم. “ أُمِرْتُ بِقَرْيَةٍ تَأْكُلُ الْقُرَى يَقُولُونَ يَثْرِبُ. وَهْىَ الْمَدِينَةُ، تَنْفِي النَّاسَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ ”.
KELEBIHAN MADINAH DAN MADINAH ITU MENGHALAU (MENGELUARKAN) ORANG-ORANG YANG TIDAK BAIK DARIPADANYA
Riwayat daripada Abi Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku diperintahkan supaya berhijrah ke suatu negeri yang akan memakan negeri-negeri yang lain. Mereka panggil negeri itu Yathrib (Madinah). Dia menghalau atau mengeluarkan manusia (yang tidak baik) seperti mana relau membersihkan besi daripada kekotorannya”
[RINGKASAN] Kelebihan Madinah Dan Madinah Itu Menghalau (Mengeluarkan) Orang-Orang Yang Tidak Baik Daripadanya
1. Salah satu kelebihan Madinah yang tidak disebut untuk tempat-tempat lain ialah “ia menghalau orang-orang yang tidak baik daripadanya”. Adakah ini bermakna orang-orang yang tinggal di Madinah semuanya baik? Nampaknya tidak begitu, kerana ada ayat al-Quran yang menyebut di Madinah itu ada orang-orang yang berkeras di atas nifaq (orang-orang munafik) [Surah at-Taubah, Ayat 101]. Ada juga yang salah faham bahawa yang dimaksudkan dengan “menghalau” ialah dengan ditimpakan penyakit ke atas orang-orang jahat dan inipun tidak berlaku.
2. Maksud sebenar hadith ini ialah, oleh kerana kebaikan yang lebih menguasai Madinah, orang-orang yang tidak baik dan tidak suka kebaikan akan dengan sendirinya tidak suka tinggal di sana dan mereka berpindah ke tempat-tempat yang ada maksiat yang sesuai dengan jiwa mereka. Malah akan datang suatu masa nanti, orang-orang jahat (orang-orang kafir dan munafik) akan benar-benar “dihalau” (keluar) dari Madinah iaitu bila berlakunya gempa bumi sebanyak tiga kali di Madinah. Sebelum berlakunya perisitiwa gempa bumi ini, kita boleh mengambil makna pertama daripada ungkapan “Madinah menghalau keluar orang yang tidak baik” iaitu orang yang keluar dari Madinah kerana tidak sesuai dengan jiwa mereka, seolah-olah Madinah menghalau mereka.
3. Bermacam-bermacam cara orang-orang jahat “dihalau” dari Madinah. DI zaman Nabi orang mukmin sejati akan selesa tinggal di Madinah tetapi orang-orang munafik akan resah gelisah yang menyebabkan mereka berpindah dari situ. Orang Yahudi pula bersekongkol dengan kafir Quraisy untuk menghancurkan orang Islam, menyebabkan mereka dihalau oleh Nabi s.a.w. dari Madinah.
4. Oleh kerana hadith-hadith seperti ini, sesetengah ulama’ seperti Imam Malik berpendapat Madinah adalah lebih utama daripada Mekah. Hadith ini menyatakan bahawa Nabi s.a.w. akan berhijrah ke suatu negeri yang akan “memakan” negeri-negeri yang lain, maksudnya, Islam akan berkembang daripada Madinah dan akan menguasai atau mengalahkan negeri-negeri lain termasuk Mekah. Gerakan dakwah dan penyebaran Islam oleh Rasulullah dan Sahabat-Sahabat bermula di Madinah.
5. Imam Malik berkata: Dari Madinahlah Islam berkembang menunjukkan ianya lebih utama dari tempat-tempat lain termasuk Mekah. Nabi s.a.w. dikuburkan di Madinah. Lagipun Madinah diisytiharkan sebagai tanah haram oleh Nabi sendiri manakala Mekah diisytiharkan sebagai tanah haram oleh Nabi Ibrahim, maka dengan itu Madinah adalah lebih utama.
6. Ramai ulama’ lain membantah pendapat Imam Malik termasuk Imam as-Shafie, Abu Hanifah dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal. Mereka berpendapat, jika Madinah lebih utama dari Mekah, nescaya Madinah dijadikan kiblat. Al-Quran sendiri mengatakan Mekah adalah tanah yang aman (antaranya ayat 35, Surah Ibrahim), manakala tiada ayat al-Quran yang menyebut Madinah sebagai yang demiikian. Sementelahan lagi, orang-orang yang keluar dari Madinah tidak semestinya orang yang tidak baik. Ramai Sahabat Nabi yang keluar dari Madinah untuk berdakwah. Manakala fakta bahawa Nabi s.a.w. dikebumikan di Madinah tidak boleh dijadikan hujjah bahawa Madinah lebih mulia. Memang diakui kubur Nabi adalah tempat yang paling mulia, lebih mulia dari Kaabah, Arasy atau Kursyi, tetapi ianya merujuk kepada kubur Nabi sahaja, bukan Madinah secara keseluruhan.
7. Memang terdapat khilaf di kalangan ulama’ tentang manakah yang lebih utama di antara Mekah atau Madinah. Imam Malik amat memuliakan Madinah sehingga beliau berpendapat tidak perlu pergi ke tempat lain (untuk menuntut ilmu, contohnya). Salah satu usul digunakan oleh Imam Malik ialah amalan penduduk Madinah. Beliau tidak naik kenderaan di Madinah kerana tidak mahu menghina Nabi memijak tanah dengan kenderaan di atas bumi di mana jasad Baginda dikebumikan.