[MEMUTUSKAN PENGADILAN]- Siri 2- Larangan Banyak Bertanya (Dan Bercakap Sia-Sia), Meminta Tanpa Keperluan Dan Tidak Suka Memberi

VIDEO – [Durasi – 17m 8s] – [MEMUTUSKAN PENGADILAN]- Siri 2-Larangan Banyak Tanya, Bercakap Sia-Sia & Tak Suka Memberi [TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/8gpu4P99AVM ]

Video penuh asal – https://youtu.be/xyBlhVD-8mA – Sahih Muslim (Kitab Memutuskan Pengadilan)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب النَّهْيِ عَنْ كَثْرَةِ الْمَسَائِلِ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ وَالنَّهْيِ عَنْ مَنْعٍ وَهَاتٍ وَهُوَ الاِمْتِنَاعُ مِنْ أَدَاءِ حَقٍّ لَزِمَهُ أَوْ طَلَبُ مَا لاَ يَسْتَحِقُّهُ حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ سُهَيْلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلاَثًا فَيَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَحَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْحَنْظَلِيُّ، أَخْبَرَنَا جَرِيرٌ، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ وَرَّادٍ، مَوْلَى الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلاَثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ ‏”‏ ‏.‏

LARANGAN DARIPADA BANYAK BERTANYA (ATAU MEMINTA DENGAN TIDAK ADA KEPERLUAN) DAN LARANGAN DARIPADA TIDAK SUKA MEMBERI TETAPI SUKA MENERIMA, TIDAK MAHU MENUNAIKAN HAK ORANG YANG ADA PADANYA ATAUPUN MENUNTUT SESUATU YANG IA TIDAK BERHAK MENDAPATNYA Hadith

Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, beliau berkata Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah redha untuk kamu tiga perkara. Dia tidak suka untuk kamu tiga perkara. Dia suka untuk kamu mengabdikan diri kepada-Nya dengan tidak menyengutukan sesuatu dengan-Nya. Dan kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak berpecah belah. Allah tidak suka untuk kamu, “kata si fulan, kata si anu”, banyak bertanya (ataupun banyak meminta) dan menyia-nyiakan harta”.

Hadith Kedua – Dengan sanad yang lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Mughirah bin Syu’bah daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah azzawajalla mengharamkan ke atas kamu menderhakai ibu-ibumu, menanam hidup-hidup anak-anak perempuan dan enggan memberi sesuatu yang patut diberi dan meminta sesuatu yang tidak patut diminta. Allah tidak suka untuk kamu tiga perkara yakni banyak bercerita (atau cerita-cerita yang tidak berfaedah), banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta benda”.

[RINGKASAN] Larangan Banyak Bertanya, Bercakap Sia-Sia, Meminta Tanpa Keperluan Dan Tidak Suka Memberi

1. Redha atau murka Allah berkait dengan ganjaran pahala atau balasan dosa dan azab dari Allah.

2. Allah suka manusia menyembah-Nya, tidak menyengutukan apa-apa dengan-Nya, berpegang teguh dengan tali Allah (agama Allah) dan jangan berpecah-belah (maksudnya, jangan berpecah belah dalam akidah, bukannya dalam perbezaan pendapat).

3. Allah tidak suka “qiil waqaal”. Antara maksud “qiil waqaal” ialah,

i) bercakap tentang orang lain atau bercakap tentang apa saja yang terlintas di fikiran yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kita, atau,

ii) berbual kosong, atau,

iii) “Kata fulan, kata si anu”, iaitu hanya tahu mengutip kata-kata dan menukilkan pendapat orang lain tanpa mempunyai pendapat kita sendiri. Kita dikehendaki dapat mengeluarkan pendapat kita sendiri, dan ini adalah saranan secara halus supaya kita menjadi orang yang berilmu. Kita juga hendaklah sayugianya dapat menilai sama ada betul atau salah pendapat orang lain tersebut dan tidak “bertaqlid buta”.

4. Allah tidak suka orang yang banyak “su’al”. “Su’al” ada beberapa maksud iaitu, maksud pertama, banyak bertanya seperti menanyakan perkara yang tidak berlaku dan andaian semata-mata, dan maksud kedua ialah meminta harta atau apa-apa yang ada pada orang lain.

5. Maksud “su’al” yang ketiga ialah banyak bertanya dan suka ambil tahu tentang orang lain atau peristiwa dan kejadian yang tiada kaitan dengan kita dan kita tidak perlu pun tahu maklumat tersebut. Contohnya, cerita-cerita atau peristiwa yang berlaku di seluruh dunia yang tiada kaitan dengan kita dan kita pun tidak dapat melakukan apa-apa terhadapnya kecuali sekadar tahu sahaja. Ianya menghabiskan masa dan umur kita yang berharga. Tetapi jika maklumat tersebut boleh dimanfaatkan seperti sebahagian dari kerjaya kita atau kita seorang pelajar maka ianya dibolehkan.

6. Maksud lain “su’al” ialah banyak bertanya hal-hal peribadi seseorang. Pertanyaan-pertanyaan ini akan menyebabkan orang itu tidak selesa, terpaksa berbohong dsb. Ianya tidak bermanfaat dan akan mengeruhkan keadaan.

7. Hafiz Ibnu Hajar menyatakan antara sifat banyak bertanya ialah bertanya perkara-perkara ghaib yang di luar pengetahuan manusia. Kita diminta berpada dan berpuas hati dengan perkara-perkara ghaib setakat yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. Tetapi jika dalam proses belajar, kita boleh berdiskusi tentang perkara-perkara ghaib ini dengan panduan guru-guru.

8. Kita tidak dibenarkan untuk bertanyakan soalan-soalan dengan niat untuk menguji ilmu seseorang atau dengan niat untuk menjatuhkan maruah seseorang.

9. Kesimpulannya, pertanyaan yang tiada faedah kepada diri sendiri dan orang lain adalah dilarang tetapi jika ianya bermanfaat ianya adalah digalakkan.

10. Allah tidak suka orang yang mensia-siakan harta iaitu membazirkan harta. Contoh pembaziran harta ialah peniaga-peniaga memusnahkan barang dagangan yang berlebihan di pasaran untuk memastikan harga barang tersebut tidak jatuh. Ini boleh berlaku di peringkat rakyat sehingga pemerintah.

11. Nota: Perbincangan tentang harta ada kaitannya dalam bab “Memutuskan Pengadilan (Oleh Hakim)”, contohnya, hakim boleh menahan harta seseorang bila didapati berlaku pembaziran yang berlebihan disebabkan orang itu kurang cerdik atau tidak matang.

12. Allah mengharamkan manusia menderhakai ibu-ibu mereka. Dalam hadith ini, ibu didahulukan berbanding bapa kerana ibu lebih banyak bersusah payah untuk anak-anak.

13. Allah tidak suka kepada orang yang tidak suka memberi lebih-lebih lagi pemberian yang wajib seperti zakat.

14. “Tahu menerima tetapi tidak tahu memberi” luas maksudnya dan bukan terhad kepada perkara berkaitan harta sahaja tetapi mencakup juga hal-hal lain seperti pelajaran dan pengajian. Ini adalah motivasi supaya seseorang boleh “memberi” (sesuatu). Untuk memberi “sesuatu” seseorang perlu memiliki perkara tersebut, jika ianya berkaitan harta dia perlu bekerja untuk mengumpulkan harta untuk diberi kemudiannya. Kalau seorang pelajar, dia perlu belajar sehingga mahir dan boleh mengajar di kemudian hari. Dalam sistem ekonomi, seseorang hendaklah berusaha menjadi “pengeluar” dan bukannya sebagai “pengguna”.

15. Bercakap kosong dan banyak bertanya perkara yang tidak berfaedah adalah seperti mensia-siakan harta, kerana masa itu berharga. Orang-orang yang berjaya dan hebat dalam sejarah Islam terlalu menjaga masa. Contohnya, ulama’ besar, Ibnu Rusyd diketahui tidak pernah berehat dari aktiviti keilmuan kecuali dua kali iaitu ketika berkahwin dan ketika ayahnya meninggal dunia. Maulana Wahiduzzaman, pengarang terjemahan dan syarah Sunan Sittah dalam bahasa Urdu menetapkan tempoh maksima selama lima minit sahaja untuk seseorang berjumpa dengannya.

[MEMUTUSKAN PENGADILAN] – Siri 1 – Keputusan Hakim Tidak Mengubah Kedudukan Sebenar

VIDEO – [Durasi – 12m 12s] – [MEMUTUSKAN PENGADILAN] – Siri 1 – Keputusan Hakim Tidak Mengubah Kedudukan Sebenar [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/-QRhA7LuXcA ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 -Wajib Menghukum, Memutuskan Mengik…   – Sahih Muslim (Kitab Memutuskan Pengadilan)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب الْحُكْمِ بِالظَّاهِرِ وَاللَّحْنِ بِالْحُجَّةِ ‏‏

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ، أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَىَّ وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ عَلَى نَحْوٍ مِمَّا أَسْمَعُ مِنْهُ فَمَنْ قَطَعْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلاَ يَأْخُذْهُ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ بِهِ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ . وَحَدَّثَنِي حَرْمَلَةُ بْنُ يَحْيَى، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ، شِهَابٍ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سَمِعَ جَلَبَةَ خَصْمٍ بِبَابِ حُجْرَتِهِ فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ ‏ “‏ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّهُ يَأْتِينِي الْخَصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَهُمْ أَنْ يَكُونَ أَبْلَغَ مِنْ بَعْضٍ فَأَحْسِبُ أَنَّهُ صَادِقٌ فَأَقْضِي لَهُ فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنَ النَّارِ فَلْيَحْمِلْهَا أَوْ يَذَرْهَا ‏”‏ ‏.‏

HUKUM (KEPUTUSAN) HAKIM TIDAK MENGUBAH “BATIN” (KEDUDUKAN) YANG SEBENARNYA

Hadith Pertama – Dengan sanadnya, Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummi Salamah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya kamu mengadukan perkara kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai berhujjah dari sebahagian yang lain kerana itu aku memutuskan kemenangan untuknya mengikut apa yang aku dengar daripadanya. Sesiapa yang aku berikan sesuatu kepadanya daripada hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya kerana sebenarnya aku memberi sepotong api neraka kepadanya”. Hadith Kedua – Daripada Ummi Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mendengar riuh rendah orang yang bertengkar di pintu rumahnya. Nabi s.a.w. keluar kepada mereka lalu Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku hanya manusia. Orang yang membawa kes kepadaku, boleh jadi sebahagian daripada mereka lebih pandai daripada sebahagian yang lain (dalam mengemukakan hujjahnya) sehingga aku ingat dia benar, maka aku memutuskan kemenangan untuknya. Sesiapa yang aku putuskan kemenangan untuknya dengan mendapat hak seseorang muslim maka itu sebenarnya adalah sepotong daripada api neraka. Terserahlah kepadanya sama ada mahu mengambilnya atau meninggalkannya”.

[RINGKASAN] Hukum (Keputusan) Hakim Tidak Mengubah “Batin” (Kedudukan) Yang Sebenarnya

1. Hukum (keputusan) yang dikeluarkan oleh hakim tidak mengubah hakikat yang sebenar bagi sesuatu perkara, contohnya, jika hakim menghukum sesuatu yang haram itu halal, ianya tidak menjadikan perkara itu halal atau jika seorang hakim mengatakan suatu harta itu milik seseorang padahal ianya bukan milik orang tersebut, ianya tidak halal diambil oleh orang tersebut.

2. Dalam al-Quran (Surah Al-Kahfi, ayat 110), Nabi (diperintahkan supaya) bersabda, “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu…”. Sebagai manusia, Nabi mungkin melakukan salah dan silap. Baginda boleh sakit, lapar, gembira dan tidak suka kepada sesuatu sebagaimana orang lain juga. Walaubagaimanapun begitu, sifat manusia biasa yang ada pada Nabi ialah sesuatu yang tidak mencacatkan kedudukannya sebagai Nabi atau menyebabkan orang menjauhinya seperti gila atau penyakit teruk seperti berbau terlalu busuk. (Nota: Cerita Nabi Ayyub a.s. yang sakit kulit terlalu teruk sehingga berbau amat busuk sehingga orang ramai melarikan diri dari Baginda adalah cerita palsu daripada Israiliyyat).

3. Nabi s.a.w. menyebut bahawa Baginda hanyalah seorang manusia untuk mengingatkan bahawa Baginda tidak mengetahui perkara ghaib (kecuali apa yang diberitahu Allah) dan apa-apa perkhabaran ghaib yang Nabi sampaikan adalah wahyu dari Allah. Harus berlaku juga kepada Nabi apa yang berlaku kepada orang lain. Dalam bab memutuskan hukum (keputusan penghakiman), Nabi berpandukan apa yang zahir seperti dari pernyataan saksi, bukti-bukti, sumpah dan seumpamanya. Sebagai contoh, Nabi menerima penyataan (pengakuan) memeluk Islam (lailahaillallah) seseorang secara zahir tanpa menyelidiki hatinya dan menyerahkan hakikatnya kepada Allah. Dengan pengakuan itu maka terpeliharalah nyawa, diri dan harta benda seseorang.

4. Apa yang Nabi lakukan (dalam memutuskan hukum) adalah untuk menjadi contoh dan ikutan kepada hakim-hakim di kemudian hari dan supaya hakim-hakim tidak berdukacita atau menyesal bila terbukti salah membuat keputusan (selepas berusaha dengan sebaik mungkin untuk menghukum dengan betul). Ini adalah contoh praktikal dari Nabi tentang perbicaraan yang benar iaitu berdasarkan saksi, bukti dan seumpamanya. Kesilapan dari saksi (contohnya berdusta) adalah tanggungan saksi tersebut dan bukannya hakim. Orang yang menang dalam kes ini tidak boleh mengambil hak orang yang kalah.

5. Sesiapa yang mengambil hak saudaranya, sebenarnya mengambil potongan api neraka. Imam as-Syafie, Malik, Ahmad bin Hanbal dan majoriti ulama’ berpendapat tidak halal orang yang menang kesnya tetapi mengetahui itu bukan haknya, mengambil harta tersebut. Begitu juga dalam kes jenayah seperti bunuh atau kes nikah cerai. Dalam kes nikah cerai, seorang lelaki tidak boleh mengahwini bekas isteri seseorang yang diketahuinya diputuskan oleh hakim telah bercerai dengan isterinya berdasarkan saksi palsu. Inilah kelebihan orang yang beraqidah, iaitu tidak mengambil hak orang lain walaupun berpeluang mengambinya, kerana sedar ianya tidak bermanfaat.

6. Nabi s.a.w. mengingatkan bahawa harta yang diperolehi secara batil adalah hak saudaranya, bukannya hak orang lain yang tidak ada kena mengena dengannya.

7. Walaupun dalam hadith disebut hak “saudaranya” dan hak “seorang muslim”, ianya tidak bermakna kita boleh mengambil dengan sewenang-wenangnya harta orang kafir “zimmi” (orang kafir yang berlindung di bawah pemerintah Islam), kafir “muahid” (orang kafir yang tidak bernaung di bawah pemerintahan Islam tetapi mempunyai perjanjian damai dengan pemerintah Islam) atau orang-orang murtad. Yang terkecuali ialah kafir “harbi” (orang kafir yang memerangi orang Islam).