[MIMPI] – Siri 4 – Salah Faham Hadith Jumpa Nabi Dalam Jaga Selepas Mimpi Jumpa Nabi [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 4m 48s] – [MIMPI] – Siri 4 – Salah Faham Hadis Jumpa Nabi Dalam Jaga Selepas Mimpi Jumpa Nabi [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/V0S4epXQrZw ]

Video penuh asal –    • Sesi 3 -Sesiapa Yg Melihat Nabi Di Dalam T…   – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

وَحَدَّثَنِي أَبُو الطَّاهِرِ، وَحَرْمَلَةُ، قَالاَ أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ، شِهَابٍ حَدَّثَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ “‏ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ أَوْ لَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ لاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي ‏”‏ ‏.‏

“SESIAPA YANG BERMIMPI MELIHAT AKU, DIA AKAN MELIHAT AKU DALAM JAGA” .

Abu Hurairah berkata saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku (atau bertemu dengan aku) dia akan melihat aku semasa jaga (atau, “seolah-olah dia telah melihat aku dalam sedar”). Syaitan tidak boleh menyerupaiku”.

[RINGKASAN] Membetulkan Salah Faham Tentang Hadith “Siapa Yang Bermimpi Melihat Nabi Dia Akan Melihat Nabi Dalam Jaga”

1. Apakah maksud sabda Nabi s.a.w., “Sesiapa yang bermimpi melihat aku, dia akan melihat aku dalam jaga”? Ada ulama’ berpendapat sesiapa yang bermimpi melihat Nabi, di akhirat nanti dia pasti akan melihat Nabi. Tetapi ramai ulama’ lain membantah pendapat ini kerana orang yang tidak bermimpi pun akan dapat melihat Nabi di akhirat nanti. Pendapat yang lebih tepat ialah sesiapa yang bermimpi melihat Nabi di zaman Nabi (semasa Nabi masih hidup) adalah isyarat dia akan berjumpa Nabi (untuk memeluk agama Islam).

2. Hadith ini tidak sekali-kali bermaksud sesiapa (yang hidup di zaman selepas kewafatan Nabi) yang bermimpi berjumpa Nabi akan berjumpa Nabi dalam keadaan jaga (“yaqazah”). Tiada ulama’ yang mentafsirkan hadith ini sedemikian.

3. Imam an-Nawawi berkata, ada beberapa pendapat tentang maksud hadith ini, iaitu,

i) Di zaman Nabi, bila seseorang yang belum berhijrah atau belum memeluk Islam bermimpi berjumpa Nabi, Allah akan beri “taufik” kepadanya untuk berhijrah dan berjumpa Nabi untuk memeluk Islam,

ii) Dia akan melihat kebenaran mimpinya di akhirat nanti (kerana dia akan melihat Nabi di sana),

iii) Dia akan melihat Nabi di akhirat nanti dengan istimewa. lebih istimewa dari orang lain.

4. Di dalam kitab-kitab ada disebut bahawa ada ulama’-ulama’ yang berjumpa dengan Nabi dalam keadaan jaga. Adakah ulama’ tersebut menjadi “Sahabat” Nabi kerana berjumpa Nabi dalam keadaan jaga? Jawapannya, tidak. Ini adalah kerana “Sahabat” ialah mereka yang berjumpa Nabi semasa Nabi masih hidup.

5. Imam as-Suyuti dikatakan pernah berjumpa dengan Nabi dalam keadaan jaga. Walaupun dalam keadaan sedar (tidak bermimpi), ianya berlaku bukan di alam nyata (“musyahadah”) tetapi di alam “mithal” (gambaran). Apa yang berlaku adalah seperti seorang bomoh nampak hantu, dimana hanya dia seorang sahaja yang nampak walaupun ada ramai orang bersamanya. Begitu juga peristiwa berjumpa Nabi yang dikatakan dialami oleh ulama’ tertentu, hanya dia seorang sahaja yang nampak Nabi walaupun ada orang lain bersamanya.

6. Keadaan ini (berjumpa Nabi dalam keadaan jaga) tidak terjamin bahawa syaitan tidak boleh berupa Nabi kerana yang dijamin benar ialah berjumpa Nabi dalam mimpi. Walaupun begitu ada ulama’ mengatakan ianya benar kerana berlaku di alam “mithal” yang mirip dengan mimpi. Apa-apa ajaran dari Nabi yang diperolehi dari peristiwa ini boleh diamalkan sekiranya tidak bercanggah dengan syariat.

[MIMPI] – Siri 3 – Persoalan Bermimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan & Hikmahnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 16m 33s] – [MIMPI] – Siri 3 – Persoalan Bermimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan & Hikmahnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/XQGlct5_Q0w ]

Video penuh asal –    • Sesi 3 -Sesiapa Yg Melihat Nabi Di Dalam T…   – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي ‏”‏

‏‏ حَدَّثَنَا أَبُو الرَّبِيعِ، سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْعَتَكِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، – يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ – حَدَّثَنَا أَيُّوبُ، وَهِشَامٌ، عَنْ مُحَمَّدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ بِي ‏”‏ ‏.‏

“SESIAPA YANG MELIHAT AKU DALAM MIMPI TELAH BENAR-BENAR MELIHAT AKU”

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang melihat aku (bermimpi melihat – bertemu dengan – aku), maka sesungguhnya dia telah benar-benar melihat aku (atau bertemu denganku) kerana sesungguhnya syaitan itu tidak boleh berupa dengan rupaku”.

[RINGKASAN] Persoalan Mimpi Berjumpa Nabi – Penjelasan Dan Hikmahnya .

1. Nabi s.a.w. bersabda sesiapa yang bermimpi melihat Baginda sesungguhnya dia benar-benar telah melihat Baginda.

2. Tiga persoalan besar tentang mimpi berjumpa Nabi yang menjadi perbahasan di kalangan ulama’ ialah,

i) adakah disyaratkan mimpi berjumpa Nabi yang benar adalah dalam rupa sebenar Nabi (iaitu mimpi yang dikatakan syaitan tidak dapat campur tangan)?

ii) bolehkah kita menjadikan perintah oleh Nabi di dalam mimpi sebagai hujjah syariat?

iii) Adakah orang yang berjumpa Nabi s.a.w di dalam mimpi dianggap sebagai “Sahabat” Nabi?

PERSOALAN PERTAMA – APAKAH DISYARATKAN MIMPI NABI YANG BENAR ADALAH DALAM RUPA SEBENAR NABI (IAITU MIMPI YANG DIKATAKAN SYAITAN TIDAK DAPAT CAMPUR TANGAN)?

1. Pendapat golongan pertama (Imam al-Bukhari, Muhammad Bin Sirin, Qadhi Iyadh dll), jika seseorang melihat Nabi hanya dalam rupanya yang sebenar, maka dia benar-benar melihat Rasulullah. Dalam hal ini, syaitan tidak boleh campur tangan.

2. Pendapat golongan kedua, tidak disyaratkan mimpi itu benar bila hanya Nabi dalam rupanya yang sebenar. Wajah Nabi tidak sentiasa sama dari muda sampai dewasa, jadi persoalan timbul, pada peringkat umur manakah wajah Nabi adalah wajah yang sebenar. Ulama’ kumpulan kedua berpendapat, walaupun Nabi bukan dalam rupa sebenar, mimpi itu masih dianggap sebagai benar sekiranya orang yang bermimpi itu rasa, faham atau diceritakan kepadanya dalam mimpi itu bahawa itulah Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini pun, syaitan tidak boleh campur tangan.

3. Perbezaan pendapat tentang hadith, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku bererti dia sesungguhnya telah melihat aku”:

i) Bila seseorang melihat Nabi dalam rupa yang betul-betul sebagaimana yang digambarkan di dalam hadith (sebagaimana pendapat golongan pertama di atas), maka dia melihat zat Nabi yang sebenar.

ii) Apa yang dilihatnya hanyalah gambaran (“mithal”) Nabi. Imam al-Ghazali berpendapat sesiapa yang bermimpi melihat Nabi tidak bermaksud dia melihat jisim Nabi tetapi dia melihat gambaran Nabi yang menjadi saluran untuk sampainya mesej Nabi kepadanya. Imam al-Ghazali juga berpendapat seseorang yang bermimpi Nabi melihat hakikat roh Nabi yag suci.

PERSOALAN KEDUA – BOLEHKAH KITA MENJADIKAN PERINTAH OLEH NABI DI DALAM MIMPI SEBAGAI HUJJAH SYARIAT?

1. Ulama’ bersepakat (ijmak) bahawa suruhan atau larangan yang Nabi s.a.w. berikan di dalam mimpi tidak boleh dijadikan hujjah dalam agama. Jika perintah itu tidak bercanggah dengan syariat, adalah elok ianya diikuti kerana menghormati “gambaran” Nabi yang hadir di dalam mimpinya.

2. Persoalannya, mengapa kita tidak boleh berhujjah dengan perintah Nabi di dalam mimpi sedangkan syaitan tidak boleh berupa Nabi? Penjelasan: Jika Nabi datang dalam rupa yang berbeza (walaupun sedikit) daripada rupa sebenar, ianya tidak boleh diterima sebagai hujjah; ini adalah menurut pendapat golongan pertama. Kita tidak boleh pastikan sama ada Nabi datang dalam rupa yang sebenar, oleh itu terdapat syubhat (kesamaran) di sini, menyebabkan ianya tidak boleh dijadikan hujjah. Sekiranya kita berpandukan pendapat golongan kedua, perintah dalam mimpi ini juga tidak boleh dijadikan hujjah dalam syariat. Ini adalah kerana Nabi bersabda, “…dia benar-benar melihat aku…”. Apa yang dijamin benar oleh Nabi ialah apa yang “dilihat” , bukannya apa yang “diberitahu”. “Mesej” yang ingin disampaikan dari mimpi Nabi perlu dita’bir (tafsir) maksudnya. Mungkin terdapat beberapa tafsiran yang berbeza dari mimpi yang sama, maka mesej itu masih tidak jelas. Hadith ini menyebut syaitan tidak boleh berupa dengan rupa Nabi, tetapi orang yang bermimpi itu boleh dipengaruhi (terpesong) fikirannya menyebabkan dia tidak mendapat gambaran yang sebenar. Mungkin juga orang yang bermimpi tidak menceritakan atau tertinggal beberapa perkara dari mimpinya menyebabkan tafsiran mimpinya tidak tepat.

3. Ada satu kisah di mana seorang hakim bermimpi Nabi membantahnya kerana menerima persaksian seorang yang pada umumnya dikenali sebagai seorang yang adil. Ibnu Rusyd berkata, sekiranya hakim tersebut menurut arahan Nabi di dalam mimpinya, dia telah membatalkan hukum syariat. Hanya mimpi oleh Nabi-nabi a.s. adalah wahyu yang dijamin benar dan bukannya mimpi seseorang yang berjumpa Nabi!

4. As-Subki bercerita ada seseorang bermimpi berjumpa Nabi lalu Nabi menyuruhnya minum arak. Seorang ulama’ membantah lelaki tersebut dengan mengatakan bahawa Nabi sebenarnya berkata, jangan minum arak sambil meneka bahawa lelaki tersebut adalah seorang peminum arak. Lelaki tersebut mengaku bahawa dia sememangnya seorang peminum arak!

5. Ringkasnya, hakikat (mesej) sebenar mimpi boleh terpesong disebabkan oleh khayalan atau imaginasi orang yang bermimpi, orang yang bermimpi terlupa bahagian-bahagian tertentu dalam mimpi tersebut atau ta’bir yang berbeza-beza terhadap mimpi yang sama.

PERSOALAN KETIGA – ADAKAH ORANG YANG BERJUMPA NABI S.A.W. DI DALAM MIMPI DIANGGAP SEBAGAI SAHABAT NABI?

Jawapannya tidak! Ini adalah kerana Sahabat Nabi ditakrifkan sebagai mereka yang berjumpa Nabi di dalam keadaan beriman dan dalam keadaan jaga semasa Nabi hidup. Oleh itu, pertemuan dengan Nabi di dalam mimpi tidak memenuhi syarat untuk menjadi Sahabat Nabi.

BEBERAPA KISAH MENARIK TENTANG MIMPI BERJUMPA NABI

1. Kisah Pertama: Seseorang telah bermimpi berjumpa Nabi dalam keadaan Nabi tidak berjanggut padahal tidak ada satu hadith pun yang menyatakan Nabi pernah mencukur janggutnya. Ada ulama’ berpendapat bahawa ini menunjukkan umat Islam berada di zaman di mana kebanyakan mereka tidak berjanggut.

2. Kisah Kedua: Seorang yang berpenyakit kulit sejak kecil telah bermimpi Nabi seolah-olah menyuruhnya memakan labu air lalu dia mematuhinya. Tidak lama selepas itu penyakit kulitnya sembuh.

3. Kisah Ketiga: Tariq bin Ziyad r.a. bermimpi Nabi dan Sahabat-Sahabat dalam perjalanan untuk menyertai rombongan perang yang dipimpinnya untuk menyerang Sepanyol (yang kemudiannya menjadi wilayah Islam, Andalusia).

MIMPI NABI ADALAH PANDUAN KEPADA UMAT

Hadith ada menyatakan bahawa mimpi ialah salah satu dari 46 juzuk dari kenabian, seolah-olah Nabi tidak putus hubungan dengan umatnya sepanjang zaman.

[MIMPI] – Siri 2 – Panduan Dari Hadith Bila Bermimpi Buruk Atau Baik [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 12m 55s] – [MIMPI] – Siri 2 – Panduan Dari Hadith Bila Bermimpi Buruk Atau Baik [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/3HljbyeRtc8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – KitabTentang Mimpi – [Sahih Musli…   – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ، وَإِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، وَابْنُ أَبِي عُمَرَ، جَمِيعًا عَنِ ابْنِ عُيَيْنَةَ، – وَاللَّفْظُ لاِبْنِ أَبِي عُمَرَ – حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، قَالَ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا أُعْرَى مِنْهَا غَيْرَ أَنِّي لاَ أُزَمَّلُ حَتَّى لَقِيتُ أَبَا قَتَادَةَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ “‏ الرُّؤْيَا مِنَ اللَّهِ وَالْحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلْمًا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفُثْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلاَثًا وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ ‏”‏. ‏

HADITH PANDUAN DARI RASULULLAH S.A.W. BILA BERMIMPI BURUK

Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abi Salamah katanya: Saya selalu bermimpi. kerananya saya menggigil (demam), cuma saya tidak diselimuti, sehinggalah saya bertemu Aba Qatadah. Saya sebutkan perkara itu kepadanya, maka beliau berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Mimpi yang baik itu daripada Allah dan mimpi buruk daripada syaitan. Apabila seseorang daripada kamu bermimpi buruk yang tidak disenanginya maka hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung dengan Allah daripada keburukan mimpinya itu kerana ia tidak akan memudaratkannya”.

[RINGKASAN] Panduan Dari Hadith Bila Bermimpi Buruk Atau Bermimpi Baik

1. Mimpi yang baik adalah dari Allah dan mimpi yang buruk adalah dari syaitan. Apabila seseorang bermimpi buruk yang tidak disenanginya maka hendaklah dia menghembus ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung dengan Allah dari keburukan mimpi itu. Dengan itu, apa yang dilihatnya dalam mimpi itu tidak akan memudaratkannya.

2. Daripada hadith-hadith lain, ada maklumat tambahan seperti jika seseorang bermimpi buruk, dia hendaklah mengalihkan kedudukan atau beralih tempat tidur. Jika perlu, dia hendaklah bangun dan bersolat. Dia dilarang dari memberitahu orang lain tentang mimpi buruknya itu.

3. Jika seseorang bermimpi baik, hendaklah dia bergembira dan beritahu hanya kepada orang yang disenanginya dan jangan sesekali memberitahu musuhnya.

4. Mimpi boleh mempengaruhi emosi kita selepas tersedar dari tidur seperti bimbang, sedih atau murung. Dengan mengamalkan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. gangguan emosi ini akan hilang.

5. Mimpi yang buruk adalah dari syaitan (walaupun pada hakikanya ianya adalah dari Allah juga). Ianya disebut dari syaitan kerana syaitan bergembira dengannya dan mungkin menjadi penyebabnya.

6. Kita boleh menghembus (meludah) ke kiri selepas kita sedar atau semasa tidak sedar (dalam tidur). Tujuan meludah ke kiri ialah untuk menghina dan menyakiti syaitan yang suka sebelah kiri.

7. Ajaran Nabi s.a.w. supaya meludah ke kiri, kemudian berlindung dengan Allah dari keburukan mimpi itu, menukar posisi atau tempat tidur dan akhirnya bersembahyang akan menyebabkan syaitan lari dari kita. Kita boleh buat sebahagian atau semua yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini bergantung kepada tahap gangguan mimpi tersebut.

8. Dengan mengamalkan ajaran Nabi ini, ianya menjadi sebab terselamatnya kita dari apa yang tidak diingini daripada mimpi tadi.

9. Jika sesuatu mimpi itu tepat dan benar, ianya akan kekal lama dalam ingatan kita. Sebagai panduan, mimpi akan lebih tepat jika kita tidur dalam keadaan berwudhu’, tidur dengan mengikut sunnah Nabi, tidur dalam keadaan tenang dan mimpi berlaku pada sepertiga akhir malam.

10. Jangan ceritakan mimpi kita kepada sesiapa kecuali kepada orang yang kita senangi dan dipercayai tidak akan mengambil kesempatan. Ini adalah kerana,

i) tiada gunanya kita beritahu kepada orang yang tidak tahu menta’bir (mentafsir) mimpi.

ii) jika memberitahu kepada orang yang tahu menta’bir mimpi, tetapi musuh kita, ianya akan menjadi petunjuk kepadanya untuk mengambil kesempatan ke atas kita. Dia juga boleh memberi tafsiran yang sebaliknya dari mimpi itu. Dengan memberi tahu kepada orang yang kita senangi, sekurang-kurangnya dia boleh menenangkan kita.

11. Mimpi ini ibarat “sesuatu yang terletak di kaki burung”, yang menggambarkan sesuatu yang mudah hilang (mudah jatuh seperti biji gadum yang terlekat di hujung kaki burung), mudah dilupakan sehingga tidak boleh menjadi panduan kepada kita. Oleh itu, kita hendaklah bersegera mendapatkan ta’bir (tafsiran) mimpi tersebut daripada orang yang mahir dan amanah. Elok juga mencatat mimpi itu dengan terperinci.

[MIMPI] – Siri 1 – Hakikat Mimpi Dari Perspektif Islam [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 6m 56s] – [MIMPI] – Siri 1 – Hakikat Mimpi Dari Perspektif Islam [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/H2ftSqHU-R0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 – KitabTentang Mimpi – [Sahih Musli…   – [Sahih Muslim (Kitab Mimpi) ]

[RINGKASAN] HAKIKAT MIMPI DARI PERSPEKTIF ISLAM

1. Antara pendapat orang awam tentang mimpi ialah,

i) mimpi tidak ada makna apa-apa, ianya adalah hanya mainan tidur,

ii) mimpi dipengaruhi perubahan dalam cairan badan (“mizaj”). Ini adalah dari pengaruh perubatan Yunani, dan,

iii) mimpi adalah pengaruh akal tidak sedar (subconcious) dan ini popular di kalangan ahli psikologi.

2. Islam menerima juga pendapat (i) di atas iaitu mimpi hanya mainan tidur, dan (iii), pengaruh akal tidak sedar. Walaupun begitu Islam dengan jelas membahagikan mimpi sebagaimana berikut,

i) mimpi daripada Allah,

ii) mimpi daripada syaitan dan,

iii) mimpi dari bisikan jiwa (hati kecil manusia).

Mimpi dari syaitan dan dari bisikan jiwa tidak boleh dijadikan panduan. Hanya mimpi dari Allah yang boleh dijadikan panduan sebagaimana yang dinyatakan hadith yang menyatakan mimpi ialah salah satu dari 46 juzuk dari kenabian. Mimpi dari Allah boleh dijadikan panduan untuk kehidupan hari ini atau masa depan, untuk diri kita dan juga untuk orang lain.

3. Allah meletakkan beberapa perkara di dalam hati orang yang tidur sebagaimana Dia meletakkannya kepada orang yang jaga. Hakikatnya, semua perkara ini adalah dari Allah, sama ada dalam keadaan jaga, tidur, pengsan dan sebagainya walaupun ada yang menjadi penyebabnya seperti syaitan atau keadaan jiwa seseorang.

4. Mimpi adalah seolah-olah petunjuk kepada perkara kedua yang akan berlaku. Contohnya, Allah jadikan awan sebagai petanda akan datangnya hujan. Perkara-perkara kedua yang mungkin berlaku dari petunjuk ini adalah seperti perceraian, merantau, meninggal dunia dan sebagainya.

5. Mimpi yang baik dikaitkan dengan Allah. Manakala mimpi yang buruk dikaitkan dengan syaitan kerana syaitan suka atau menjadi penyebab kepada mimpi yang buruk.