[PEMERINTAHAN] – Siri 2 – Meminta Jawatan Dalam Pemerintahan [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 10m 25s] – [PEMERINTAHAN] – Siri 2 – Meminta Jawatan Dalam Pemerintahan [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/OD3CKwTzMiM ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Orang Yang Bercita-Cita Untuk Mat…   – Sunan Abi Daud (Kitab Percukaian, Harta Rampasan Perang & Pemerintahan)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا جَاءَ فِي طَلَبِ الإِمَارَةِ

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ الْبَزَّازُ، حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ، أَخْبَرَنَا يُونُسُ، وَمَنْصُورٌ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ، قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِذَا أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ فِيهَا إِلَى نَفْسِكَ وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا ‏”‏ ‏.‏

MEMINTA JAWATAN DALAM PEMERINTAHAN

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Samurah katanya, Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadaku, “Wahai Abdurrahman bin Samurah jangan engkau minta jawatan (jawatan dalam pemerintahan) kerana sesungguhnya jika jawatan itu diberi kepadamu dengan diminta nescaya diserahkan kepadamu apa yang kau minta itu (untuk diuruskan sendiri olehmu) dan jika jawatan itu diberikan kepadamu tanpa diminta nescaya engkau diberi pertolongan dalam memegang jawatan itu.

[RINGKASAN] Meminta Jawatan Dalam Pemerintahan

1. Pemerintah perlu melantik pembantu-pembantu dalam urusan pentadbiran negara, kalau di zaman ini, barisan kabinet dan pegawai-pegawai. Di zaman ini, sistem perlantikan pegawai adalah dari permohonan calon-calon yang layak untuk mengisi jawatan kosong. Sepintas lalu, hadith ini seolah-olah menggambarkan calon-calon tidak boleh memohon jawatan tersebut. Benarkah begitu? Sebenarnya hadith ini tidak bermaksud demikian.

2. Yang dimaksudkan hadith ini ialah melarang meminta jawatan dalam keadaan seseorang itu tidak layak. Apa yang diamalkan dalam sistem pentadbiran masa kini sudah menepati kehendak Islam iaitu melantik mereka yang layak di segi pendidikan, kemahiran dan pengalaman.

3. Dalam proses mendapatkan jawatan kita tidak boleh menafikan hak orang lain seperti menggunakan seseorang untuk mempengaruhi keputusan [menggunakan “kabel”].

4. Kita mungkin tidak meminta jawatan, tetapi jika ditawarkan sesuatu jawatan dan kita tahu bahawa kita tidak layak, kita tidak boleh menerima tawaran tersebut.

5. Nabi s.a.w. amat tidak suka kepada orang yang meminta-minta sehinggakan walaupun kalau layak pun, Baginda tidak begitu berminat untuk meyerahkan jawatan kepada orang yang meminta-minta jawatan.

6. Di zaman Nabi, Sahabat-Sahabat seboleh-bolehnya tidak ingin dilantik kerana sedar akan dosa yang dipikul sekiranya gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

7. Nabi s.a.w. menasihatkan Abdurrahman bin Samurah supaya tidak meminta jawatan. Baginda mengingatkan, jika jawatan itu diperolehi setelah diminta, Allah akan membiarkan kita sendiri menguruskannya (tanpa pertolongan dan penjagaan dari Allah). Tanpa pertolongan dan penjagaan dari Allah, kita tidak akan berjaya.

8. Jika diberi jawatan tanpa diminta, seseorang itu hendaklah merendah diri dengan memohon semoga Allah menolongnya. Dia menerima jawatan itu kerana khuatir ianya diberikan kepada orang yang tidak layak.

9. Kenapa Rasulullah s.a.w. melarang Sahabat, Abdurrahman bin Samurah, dari meminta jawatan? Antara alasan yang diberi oleh ulama’ ialah:

i) Nabi s.a.w. memang mengetahui bahawa Abdurrahman tidak layak, atau,

ii) Nabi s.a.w. hanya memberi nasihat umum supaya jangan meminta jawatan.

10. Sekiranya kita tahu ada orang yang lebih layak untuk mengisi sesuatu jawatan, kita hendaklah menyarankan supaya orang tersebut dilantik, bukannya kita. Contohilah Sahabat-Sahabat Nabi yang tidak mengejar jawatan.

11. Sekiranya kita tidak layak, larangan meminta jawatan bukan hanya kepada manusia, tetapi kita juga dilarang meminta kepada Allah. Ini kerana jawatan itu mungkin mendedahkan kita kepada dosa.

12. Dalam keadaan kita berkelayakan, kita dibolehkan untuk meminta atau memohon jawatan sebagaimana dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang meminta dilantik sebagai penjaga perbendaharaan bumi. [Surah Yusuf ayat 55, bermaksud, “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

13. Kriteria utama dalam menyandang sesuatu jawatan adalah sama ada kita layak atau tidak untuk jawatan tersebut.

14. Perbincangan ini tidak bermaksud bahawa menjawat sesuatu jawatan itu tidak baik di sisi agama. Sekiranya kita dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik, itulah yang paling baik sehingga disebut dalam hadith iaitu pemerintah yang adil akan duduk di bawah naungan Arasy.

[PEMERINTAHAN] – Siri 1 – Apa Yang Wajib Kepada Pemerintah Terhadap Rakyatnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 9m 39s] – [PEMERINTAHAN] – Siri 1 – Apa Yang Wajib Kepada Pemerintah Terhadap Rakyatnya [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/MuACvLjFvFU ]

Video penuh asal –    • Sesi 1-Kewajipan Pemimpin Atas Apa Yg Menj…   – Sunan Abi Daud (Kitab Percukaian, Harta Rampasan Perang & Pemerintahan)

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-…%5D

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب مَا يَلْزَمُ الإِمَامَ مِنْ حَقِّ الرَّعِيَّةِ

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالَعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ‏”‏ ‏

BAB – APA YANG WAJIB KEPADA IMAM (PEMERINTAH) TERHADAP RAKYATNYA

Imam Abu Daud, dengan sanadnya, meriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ketahuilah semua kamu adalah pegembala (pemimpin) dan setiap dari kamu bertanggungjawab terhadap pengembalaannya (pimpinannya). Pemerintah yang memerintah orang ramai adalah pemimpin (atau pengembala) mereka dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Isteri adalah pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya. Dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba (hamba abdi) adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Jadi setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu bertanggungjawab terhadap pimpinannya”.

[RINGKASAN] APA YANG WAJIB KEPADA IMAM (PEMERINTAH) TERHADAP RAKYATNYA .

1. Setiap orang adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya. Semuanya akan disoal terhadap apa yang dijaganya. Masing-masing dari kita ada peranan, tugas dan tanggungjawab walaupun kita tiada jawatan rasmi dalam mana-mana organisasi.

2. Pemimpin atau pemerintah yang paling utama yang dimaksudkan dalam hadith ini (dan yang pertama disebut Nabi s.a.w) ialah “Amir” (ketua negara). Untuk pemerintah negara dia bertanggungjawab kepada rakyat mengadakan sistem keselamatan (seperti, untuk mengelak dari pencerobohan luar) dan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat. Dia adalah seperti “pengembala” kepada rakyatnya yang perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh.

3. Lelaki bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya). Tanggungjawab ini melibatkan makan-minum, pendidikan, akhlak dan sebagainya.

4. Isteri pula adalah pemimpin kepada rumah suami dan anak-anak suaminya. Ini kerana suami biasanya banyak masa berada dil luar rumah mencari rezeki.

5. Hamba abdi pun ada tanggungjawabnya walaupun dia sendiri tidak memiliki apa-apa. Dia bertanggungjawab terhadap harta tuannya.

6. Urusan kepimpinan, penjagaan dan pengurusan amat luas dalam Islam, lebih-lebih lagi dengan adanya jawatan-jawatan rasmi dalam pentadbiran moden hari ini.

7. Kesimpulannya, setiap orang adalah pemimpin, penjaga dan pengurus dan kita akan ditanya tentang apa yang diamanahkan kepada kita.

8. Hadith ini diketahui umum, namun untuk melaksanakannya bukan mudah. Oleh itu, ingatlah kita semua akan ditanya tentang tanggungjawab kita.