[SAHABAT NABI] – Siri 2 – Kelebihan Generasi Di Tiga Kurun Pertama [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 39s] – [SAHABAT NABI] – Siri 2 – Kelebihan Generasi Di Tiga Kurun Pertama [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5NooshLZRvE ]

Video penuh asal – 1.    • Sesi 1 – Manaqib Sahabat Nabi s.a.w – [Sah…   – Sahih al-Bukhari (Kitab Kelebihan Sahabat)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

KELEBIHAN TIGA GENERASI PERTAMA SELEPAS RASULULLAH S.A.W.

باب فَضَائِلِ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَمْرٍو، قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ يَقُولُ حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ، فَيَقُولُونَ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ‏.‏ فَيُفْتَحُ لَهُمْ‏.‏ ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ، فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ‏.‏ فَيُفْتَحُ لَهُمْ، ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ، فَيُقَالُ هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُونَ نَعَمْ‏.‏ فَيُفْتَحُ لَهُمْ ‏”‏‏.‏ .

KELEBIHAN SAHABAT-SAHABAT NABI S.A.W.

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang suatu zaman kepada manusia di mana satu golongan manusia pergi berperang ditanya, “Adakah di kalangan kamu sesiapa yang pernah bersahabat dengan Rasulullah?”. Mereka menjawab, “Ada”. Maka diberi kemenagan kepada mereka. Kemudian datang pula suatu zaman kepada manusia di mana satu golongan di antara mereka pergi berperang. Mereka ditanya, “Adakah di antara kamu orang yang bersahabat dengan Sahabat-Sahabat Rasulullah s.a.w.?”. Mereka menjawab, “Ada”. Maka diberi kemenangan kepada mereka. Kemudian datang suatu zaman kepada manusia di mana satu golongan manusia pergi berperang dan mereka ditanya, “Adakah di antara kamu orang yang bersahabat dengan orang yang bersahabat dengan Sahabat-Sahabat Rasulullah? s.a.w.”. Mereka menjawab, “Ada”. Maka diberi kemenangan kepada mereka.

حَدَّثَنِي إِسْحَاقُ، حَدَّثَنَا النَّضْرُ، أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي جَمْرَةَ، سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ، سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ ـ رضى الله عنهما ـ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ عِمْرَانُ فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا ‏”‏ ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ، وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ، وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ، وَيَظْهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ ‏”‏‏.‏

Diriwayatkan daripada ‘Imran Bin Hushain katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik umatku ialah dari kurunku. Kemudian orang-orang yang mengiringi mereka, kemudian orang-orang yang mengiringi mereka”. ‘Imran berkata, “Saya tidak pasti apakah Nabi s.a.w. telah menyebut selepas kurunnya dua kali atau tiga kali”. Kemudian Baginda berkata, “Selepas kamu akan ada golongan yang bersaksi padahal mereka tidak diminta menjadi saksi pun. Berkhianat, mereka tidak boleh dipercayai. Mereka bernazar tetapi tidak menyempurnakan nazar dan akan nyata kegemukan di kalangan mereka”.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَبِيدَةَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ ‏”‏‏.‏ قَالَ إِبْرَاهِيمُ وَكَانُوا يَضْرِبُونَا عَلَى الشَّهَادَةِ وَالْعَهْدِ وَنَحْنُ صِغَارٌ‏.‏

Diriwayatkan daripada Abdullah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “…kemudian akan datang golongan yang mana kesaksian mereka mendahului sumpah-sumpah mereka dan sumpah mereka mendahului kesaksiannya”. Nakhaei berkata, “Para Sahabat memukul kami kerana bersaksi dan mengangkat sumpah pada masa kami masih kanak-kanak lagi” .

[RINGKASAN] Kelebihan Tiga Generasi Pertama Selepas Rasulullah

1. Jika ada Sahabat-Sahabat Nabi, atau Tabi’in atau Tabi’ al-Tabi’in pergi berperang, nescaya mereka akan beri kemenangan oleh Allah. Ini terbukti dalam sejarah Islam. Ini adalah di antara kelebihan pemerintahan Bani Umayyah kerana di sepanjang pemerintahan mereka ada ramai Sahabat-Sahabat Nabi. Inilah zaman-zaman bertuah dan mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

2. Sebaik-baik umat adalah umat yang sezaman dengan Nabi s.a.w. (Sahabat-Sahabat), kemudian Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in. “Umat” ini bermaksud “umat Islam”, tidak termasuk musuh-musuh Islam. Selepas zaman-zaman ini, manusia akan bermudah-mudah untuk bersaksi (dengan nama Allah). Apa-apa maksiat (kegelinciran) yang berlaku di zaman Rasulullah mempunyai hikmat tertentu dan menunjukkan bahawa Sahabat-Sahabat tidak maksum. Manusia selepas zaman-zaman ini akan berkhianat, tidak amanah, bernazar tetapi tidak menyempurnakan nazar mereka. Berleluasa di zaman mereka “kegemukan”. “Kegemukan” ialah bahasa kiasan untuk menunjukkan manusia yang mengutamakan dunia dan mengikut hawa nafsu tanpa menghiraukan halal haram. Ini tidak bermaksud bahawa tidak ada orang gemuk di zaman Rasulullah s.a.w.

3. Generasi selepas Tabi’ al-Tabi’in (tiga generasi selepas Rasulullah) mudah memberi kesaksian dan sumpah, tidak takut kepada Allah s.w.t. Kanak-kanak di kalangan Tabi’in dipukul oleh Sahabat-Sahabat untuk mendidik mereka supaya tidak bermudah-mudah dengan kesaksian dan sumpah.

[SAHABAT NABI] – Siri 1 – Siapakah Sahabat-Sahabat Nabi Dan Kelebihan Mereka [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 15m 6s] – [JENAZAH – Siri 1] – Siapakah Sahabat-Sahabat Nabi Dan Kelebihan Mereka [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/veKl9kpTxoc ]

Video penuh asal – 1.    • Sesi 1 – Manaqib Sahabat Nabi s.a.w – [Sah…   – Sahih al-Bukhari (Kitab Kelebihan Sahabat) 2.    • Sesi 1 – Kelebihan Para Sahabat Nabi s.a.w…  . – Sahih Muslim (Kitab Kelebihan Sahabat)

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فَضَائِلِ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَمَنْ صَحِبَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ رَآهُ مِنَ الْمُسْلِمِينَ فَهْوَ مِنْ أَصْحَابِهِ.

KELEBIHAN SAHABAT-SAHABAT NABI S.A.W. .

Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi s.a.w. atau yang pernah melihatnya dari kalangan orang-orang Islam maka dia adalah salah seorang Sahabatnya

[RINGKASAN] Siapakah Sahabat-Sahabat Nabi Dan Kelebihan Mereka

1. “Sahabat” Nabi s.a.w. ialah orang Islam yang pernah bersahabat dengan Nabi atau yang pernah melihat Nabi walaupun dari jauh. Imam al-Bukhari seolah-olah mengatakan bahawa Sahabat-Sahabat adalah alamat (tanda-tanda) kenabian.

2. Definisi lain: “Sahabat” Nabi ialah orang yang pernah bertemu dengan Nabi, beriman dengan Baginda dan mati di atas Islam (walaupun pernah keluar dari Islam).

3. Walaupun berjumpa Nabi dalam tempoh yang singkat (sekadar sekelip mata), tidak ada amalan orang lain (bukan Sahabat) yang dapat menandingi kedudukannya.

4. Sahabat dikenal pasti melalui “tawatur” (diketahui semua orang) seperti Saidina Abu Bakar dan Umar, atau “istifadhah”, atau kata-kata Sahabat yang lain atau pengakuan Sahabat itu sendiri.

5. Semua Sahabat, tiada kecuali, adalah adil secara mutlak. “Adil” dalam istilah hadith bermaksud tiada sebab untuk kita tidak menerima hadith darinya.

6. Orang yang paling mulia selepas nabi-nabi ialah Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah, “Sebesar-sebesar wali tidak dapat menandingi sekecil-kecil Sahabat”.

7. Majoriti ulama’ berpendapat kita boleh melebihkan seorang Sahabat dari seorang Sahabat yang lain. Sahabat yang paling utama ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq kemudian Saidina Umar r.hum. Manakala orang Syiah mengatakan Sahabat yang paling utama ialah Saidina Ali r.a.

8. Abu Mansor al-Baghdadi menyenaraikan keutamaan Sahabat-Sahabat sebagaimana turutan berikut:

i) Empat khalifah pertama mengikut tertibnya iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Uthman dan Ali,

ii) Enam orang Sahabat yang disebut dalam senarai 10 orang Sahabat yang dijamin syurga selepas dari empat orang khalifah pertama,

iii) Sahabat yang menyertai perang Badar,

iv) Sahabat yang menyertai perang Uhud, v) Sahabat yang menyertai Baiah Ridhwan,

vi) Sahabat yang terdahulu memeluk Islam dan berjasa dalam Islam,

vii) Mereka yang sempat solat dengan dua kiblat (Baitul Maqdis dan kemudiannya, Masjidil Haram, Mekah).

9. Dari hadith, Nabi s.a.w. seolah-olah mengisyaratkan bahawa yang paling utama di kalangan Sahabat wanita ialah Aisyah r.ha.

10. Pemerintahan Saidina Uthman dan Ali adalah sah dan benar. Manakala Saidina Muawiyah adalah Sahabat yang adil, utama dan terpilih.

11. Syiah menuduh Sahabat-Sahabat termasuk Sahabat besar seperti Saidina Abu Bakar dan Umar rhum. murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w. Syiah menganggap hanya Sahabat yang menyatakan Saidina Ali berada di pihak yang benar boleh diterima, adil dan baik.

12. Syiah menolak ayat al-Quran yang menyatakan keadilan Sahabat seperti Surah at-Taubah, ayat 100 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

13. Aqidah umat Islam akan terancam bila mengatakan Sahabat tidak adil. Dari Sahabatlah kita mengetahui al-Quran dan hadith. Al-Quran dan hadith tidak terjamin keasliannya jika Sahabat-Sahabat adalah jahat seperti yang ditohmah oleh Syiah.

14. Jika kita mempertikaikan Sahabat-Sahabat Nabi, kita seolah-olah mempertikaikan Nabi itu sendiri di samping mempertikaikan kebijaksanaan Allah.

15. Fitnah paling besar dari Syiah meliputi dua aspek iaitu,

i) mengatakan Sahabat-Sahabat Nabi adalah jahat dan telah murtad kecuali beberapa orang dan,

ii) Allah telah melantik imam-imam yang maksum selepas kewafatan Nabi. 16. Syiah pada hari ini (yang dianuti di Iran dan cuba disebarkan di negara kita) adalah bukan Islam (kafir) kerana antara kepercayaan mereka adalah Sahabat-Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah kafir.