[TAUHID] – Siri 4 – Allah Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun

VIDEO – [Durasi – 11m 15s] – [TAUHID] -Siri 4-Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/5siGlQVo3Vs ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 –  Serukanlah Nama ”Allah” Atau N…   ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا}

وَ{إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ} وَ{أَنْزَلَهُ بِعِلْمِهِ} وَ{مَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَى وَلاَ تَضَعُ إِلاَّ بِعِلْمِهِ}، {إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ} قَالَ يَحْيَى الظَّاهِرُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا، وَالْبَاطِنُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا.

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ مَخْلَدٍ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ بِلاَلٍ، حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دِينَارٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ اللَّهُ، لاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَىِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِلاَّ اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ اللَّهُ ‏ “‏‏.‏حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ مُحَمَّدًا صلى الله عليه وسلم رَأَى رَبَّهُ فَقَدْ كَذَبَ وَهْوَ يَقُولُ ‏{‏لاَ تُدْرِكُهُ الأَبْصَارُ‏}‏ وَمَنْ حَدَّثَكَ أَنَّهُ يَعْلَمُ الْغَيْبَ فَقَدْ كَذَبَ، وَهْوَ يَقُولُ لاَ يَعْلَمُ الْغَيْبَ إِلاَّ اللَّهُ‏.‏

Firman Allah: {عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا} “(Allah) Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun”

Sesungguhnya Allah pada-Nya jua ada pengetahuan tentang kiamat. Dia menurunkannya menurut ilmu-Nya. Tidak ada seorangpun wanita yang mengandung dan bersalin melainkan mengikut pengetahuan-Nya. Kepada-Nya jua dikembalikan pengetahuan tentang kiamat. . Abu Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata, Yahya bin Ziad al-Farra’ berkata, “Yang mengetahui segala perkara yang zahir (yang nyata) dan yang mengetahui segala perkara yang tersembunyi (batin)”.

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Anak-anak kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berkurang di dalam rahim kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang akan berlaku besok kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui bila akan datang hujan kecuali Allah, tidak ada satu orang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati kecuali Allah dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlaku kiamat kecuali Allah”.

Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah beliau berkata, “Sesiapa yang menceritakan kepadamu bahawa Muhammad telah melihat tuhan-Nya maka sesungguhnya dia telah berdusta kerana Allah telah berfirman, mafhumnya, “Dia tidak dapat ditanggapi oleh penglihatan” dan sesiapa yang menceritakan kepadamu bahawa dia (Muhammad) mengetahui perkara ghaib maka sesungguhnya dia telah berdusta kerana Allah berfirman, “Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah”.

[Ringkasan] Firman Allah: {عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا} “(Allah) Yang mengetahui perkara ghaib. Dia tidak menyatakan perkara ghaib kepada sesiapapun”

1. Hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib. Hanya Dia yang tahu bilakah akan berlaku kiamat. Dia juga menurunkan rezeki dan hujan dengan pengetahuan-Nya. Dia tahu segala-galanya. Dia tahu apa yang di dalam kandungan ibu. Dia tahu yang zahir (segala yang nyata) dan yang batin (segala yang tersembunyi, termasuk perkara yang belum wujud). Allah tahu sebelum sesuatu perkara itu ada dan tahu apa yang akan berlaku selepas kewujudannya.

2. ” ‘Alimul ghaib” (Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib), salah satu asma’ ul-husna (nama-nama Allah yang baik) yang bermaksud Allah yang tahu segala-galanya berbanding dengan manusia yang tahu hanya sedikit. Allah yang tahu bukan setakat di permukaan tetapi juga hikmat yang tersembunyi, baik buruk sesuatu perkara, untuk yang sekarang dan yang akan datang. Manusia boleh menjangka bila hujan akan turun tetapi kita tidak tahu apakah yang dibawa oleh hujan hari ini, dan apa pula yang dibawanya besok. Kita mungkin tahu jantina anak di dalam kandungan melalui teknologi “ultra-sound”, tetapi kita tidak tahu nanti apakah nasibnya di masa depan dan apakah kesudahan hidupnya. Allah yang ” ‘Alimul Ghaib” tahu semua ini dan Dia tidak memerlukan alat atau anggota.

3. Ilmu yang ada pada manusia terus berkembang menunjukkan ilmu kita adalah terbatas dan sentiasa akan ada ilmu-ilmu baru. Jin yang mengetahui sesuatu yang di sebalik dinding pun, adalah lemah dan tidak bersifat ” ‘Alimul Ghaib”. Hanya Allah yang memiliki ilmu ghaib, tidak pada malaikat atau nabi-nabi. Ilmu yang ada pada kita amat terbatas; jika sekiranya kita tahu anak yang dilahirkan bakal menyeksa kita suatu hari nanti, barangkali kita tidak membiarkan anak itu hidup. Begitu juga kita tidak tahu tentang bila, di mana dan bagaimana kita akan mati.

4. Aisyah r.ha berkata, sesiapa yang berkata Nabi pernah melihat Allah semasa hidupnya, adalah berdusta kerana ayat al-Quran dengan jelas mengatakan, “Dia (Allah) tidak dapat ditanggapi oleh penglihatan”, (Surah al-An’aam, ayat 103). Beliau juga berkata, sesiapa yang mengatakan Nabi tahu perkara ghaib adalah berdusta. Nabi hanya mengetahui perkara ghaib setakat yang diberitahu oleh Allah dan perkara yang diberitahu Allah bukan atas pilihan Nabi.

5. Dalam suatu kisah, seorang kafir telah mencabar Nabi supaya memberitahu di manakah untanya yang hilang sambil memperli Nabi yang bercakap tentang perkara ghaib seperti langit, wahyu dsb. tetapi tidak tahupun kemana untanya menghilang. Nabi s.a.w. memang tidak tahu dimana untanya berada tetapi kemudiannya Allah memberitahu Baginda. Semasa memberitahu orang kafir dimanakah untanya, Baginda menyatakan bahawa Baginda memang tidak tahu tentang perkara ghaib dan hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah.

6. Ayat al-Quran menyatakan, Tuhan tidak memberitahu perkara ghaib kepada sesiapapun kecuali kepada mana-mana rasul yang Dia suka untuk memberitahunya (Surah Al-Jinn, ayat 26 & 27).

7. Kesimpulannya, ” ‘Alimul Ghaib”, ialah yang tahu segala-galanya, tahu tanpa menggunakan apa-apa alat atau anggota dan hanya Allah yang bersifat demikian

[TAUHID] – Siri 3 – Sesungguhnya Allahlah yang memberi rezeki. Dia yang mempunyai kekuatan yang teguh

VIDEO – [Durasi – 10m 21s] – [TAUHID] – Siri 3- Sesungguhnya Allahlah yang memberi rezeki. Dia yang mempunyai kekuatan yang teguh

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/-TqWx3F3oX8 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 –  Serukanlah Nama ”Allah” Atau N…   ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ}

حَدَّثَنَا عَبْدَانُ، عَنْ أَبِي حَمْزَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ السُّلَمِيِّ، عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ مَا أَحَدٌ أَصْبَرُ عَلَى أَذًى سَمِعَهُ مِنَ اللَّهِ، يَدَّعُونَ لَهُ الْوَلَدَ، ثُمَّ يُعَافِيهِمْ وَيَرْزُقُهُمْ ‏”‏‏.‏

Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari bahawa beliau berkata Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar menghadapi suatu perkara yang menyakiti yang mendengarnya lebih daripada Allah. Tidak ada sesiapapun yang lebih sabar daripada Allah dalam mendengar suatu yang tidak senang didengar. Mereka mendakwa Dia mempunyai anak tetapi Dia tetap mensejahterakan mereka dan memberi rezeki kepada mereka”.

[Ringkasan] Firman Allah: {إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} “Sesungguhnya Akulah yang memberi rezeki. Akulah yang mempunyai kekuatan yang teguh”

1. Imam al-Bukhari menggunakan ayat al-Quran sebagai tajuk bab ini kerana dalam menetapkan aqidah ianya hendaklah berdalilkan sekurang-kurangnya hadith mutawatir (tidak memadai menggunakan hadith ahad), dan al-Quran itu mengatasi hadith mutawatir. Di dalam ayat ini (Surah Adh-Dhariyat, Ayat 58) Allah menyebut diri-Nya dengan nama sifat ar-Razzaq. Dari sini kita boleh simpulkan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat.

2. Imam al-Bukhari ingin memberitahu bahawa sifat Allah itu banyak, salah satu sifat-Nya ialah “rahmat” yang tercermin dalam nama ar-Rahman, ar-Rahim, begitu juga ar-Razzaq, zul-Quwwah, al-Mateen dll.

3. Ar-Razzaq, tuhan yang bersifat sangat suka memberi rezeki, yang setiap masa memberi rezeki, bukan hanya sekali sekala. Rezeki yang diberi tidak habis-habis sama ada di dalam laut atau di atas darat, kepada binatang yang melata, burung, manusia dan lain-lain. Tidak ada makhluk yang melata di atas muka bumi ini melainkan Allah jamin rezekinya (Surah Hud, Ayat 6). Tetapi mengapa ada manusia yang kebuluran di dunia ini? “Menjamin rezeki” bermaksud, makanan atau rezeki yang disediakan Allah adalah cukup untuk semua orang, tetapi oleh kerana ianya tidak dikongsikan dengan adil menyebabkan ada yang tidak dapat. Sebagai contoh, orang yang tidak diberi minum air beberapa lama, walaupun sebenarnya air itu ada di sebelahnya, nescaya akan mati kehausan. Rezeki itu memang ada, cuma ada manusia yang menghalangnya dari sampai kepada seseorang.

4. Makanan, pakaian dsb. adalah cukup untuk keperluan semua manusia dan tidak sepatutnya manusia mati kebuluran atau terpaksa bertelanjang kerana tiada pakaian, lebih-lebih lagi di zaman ini di mana industri makanan dan pakaian berkembang amat maju. Peningkatan kualiti, kuantiti dan produktiviti adalah sebenarnya rezeki dari Allah tetapi jika tidak diuruskan dengan betul maka berlakulah kebuluran dan seumpamanya. Sebagai contoh. di depan kita ada makanan, tetapi jika kita enggan memakannya, kita tidak boleh menyalahkan tuhan kerana membiarkan kita lapar.

5. Allah menyediakan makanan yang cukup untuk kita, malah lebih banyak berbanding zaman dahulu. Jika ada lebihan makanan di suatu tempat, sepatutnya ianya diagihkan ke tempat yang kurang makanan. Tujuan Allah mengadakan ujian ini, adalah kerana Allah ingin melihat bagaimana manusia bertindak. Kalaulah manusia mempunyai sifat belas kasihan, simpati dan berperikemanusiaan, manusia akan berkongsi rezeki dengan saksama, tidak akan ada manusia yang mati kebuluran.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan “rezeki”? Majoriti ulama’ berpendapat, apa-apa yang boleh dimanfaatkan oleh manusia berupa makanan atau lain-lain perkara adalah rezeki, tidak kira ianya halal atau haram (ini tidak bermakna kita dibenarkan untuk mencuri atau merompak). Contohnya, harimau memakan rusa, itu adalah rezeki untuknya, walaupun ianya nampak ganas dan menyeksakan.

Tetapi kita manusia mempunyai hukum dan syariat yang perlu dipatuhi. Jika kita patuh kepada syariat yang ditetapkan nescaya kita tidak akan tergelincir. Penganut agama Jainisme di India menutup hidung untuk menghalang kuman daripada masuk dan mati di dalam hidung! Atau penganut Hindu yang sanggup kelaparan dari memakan haiwan seperti ayam, burung atau kambing. Kita dapati syariat Allah itu adalah sesuai untuk kehidupan manusia, yang seimbang di segala segi. Di India, di mana syariat tidak diikenal oleh panganut Hindu, kita dapati manusia mati kebuluran walaupun makanan berupa haiwan amat banyak, kerana tidak mahu membunuh binatang gara-gara kononnya tidak ingin menganiaya binatang atau menganggap haiwan seperti lembu sebagai tuhan.

7. Allah bersifat sabar dan salah satu nama Allah ialah “as-Sabur” (Maha Penyabar). Allah tidak cepat menghukum atau membalas kejahatan manusia. Sebaliknya kita, sebagai manusia, akan cepat bertindak balas dan menghukum terhadap kesalahan atau sikap biadap terhadap kita untuk mengajar atau untuk membalas dendam terhadap orang tersebut. Allah tidak segera menghukum mereka yang menuduh Dia mempunyai anak dan isteri. Tetapi ini tidak bermakna Allah langsung tidak menghukum. Boleh jadi Allah menghukum manusia di atas dunia ini atau boleh jadi menghukumnya di akhirat. Oleh itu kadang-kadang kita dapati ada manusia yang derhaka yang hidup aman sejahtera dan tidak dihukum sampai mati, tetapi hendaklah kita berwaspada dengan hukuman-Nya di akhirat nanti.

[TAUHID & IMAN] – Siri 2 – Serulah Allah ataupun ar-Rahman … Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

VIDEO – [Durasi – 19m 59s] – [TAUHID&IMAN] – Siri 2 – Serulah Allah ataupun ar-Rahman … Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/GapJFkdPJz0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 2 –  Serukanlah Nama ”Allah” Atau N…   ] Sahih al-Bukhari (Kitab Tauhid)

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ قَوْلِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: {قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى}

حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ، وَأَبِي، ظَبْيَانَ عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ ‏”‏‏.‏ حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ عَاصِمٍ الأَحْوَلِ، عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ، عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَهُ رَسُولُ إِحْدَى بَنَاتِهِ يَدْعُوهُ إِلَى ابْنِهَا فِي الْمَوْتِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ ارْجِعْ فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ ‏”‏‏.‏ فَأَعَادَتِ الرَّسُولَ أَنَّهَا أَقْسَمَتْ لَتَأْتِيَنَّهَا، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقَامَ مَعَهُ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَمُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، فَدُفِعَ الصَّبِيُّ إِلَيْهِ وَنَفْسُهُ تَقَعْقَعُ كَأَنَّهَا فِي شَنٍّ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ فَقَالَ لَهُ سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ هَذِهِ رَحْمَةٌ جَعَلَهَا اللَّهُ فِي قُلُوبِ عِبَادِهِ، وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ ‏”‏‏.

Bab – Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukahri meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdillah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia”.

Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam al-Bukari meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata, pernah kami berada di samping Nabi s.a.w., tiba-tiba datang kepada Baginda utusan salah seorang anak perempuan Baginda untuk memanggil Nabi s.a.w. pergi menemui anak lelaki (kepada) anaknya (cucu Baginda) yang hampir mati, tetapi Nabi s.a.w. berkata kepada utusan itu, “Kembalilah! Ceritakan kepadanya (anaknya) bahawa Allah berhak mengambil apa yang mahu diambil-Nya dan berhak memberi apa yang mahu diberi-Nya (ataupun, sesungguhnya kepunyaan Allah jua apa yang diambil-Nya dan kepunyaan-Nya jua apa yang diberi-Nya). Dan segala sesuatu di sisi Allah mengikut jangka masa yang telah ditentukan. Oleh itu kamu suruhlah dia (anak perempuannya) supaya bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah. Namun begitu anak perempuannya itu mengembalikan pula utusan tadi dengan membawa kata-kata anaknya yang bersumpah, walaubagaimanapun (keadaanya) supaya Nabi datang juga kepadanya. Maka Nabi s.a.w. berdiri dan berdirilah bersama Baginda Saad bin Ubadah dan Muadz bin Jabal. Apabila sampai, diangkat anak itu kepada Nabi s.a.w. dalam keadaan nyawanya berbunyi “kath, kath” semacam nyawa itu berada di dalam gereba kulit yang usang. Melihat keadaan itu mengalirlah air mata Nabi s.a.w. Lantas Saad berkata kepada Nabi s.a.w., ‘Wahai Rasulullah! Apa ini?”, (kerana dia melihat Nabi s.a.w. menangis). Nabi s.a.w. bersabda, “Ini adalah rahmat (kesan belas kasihan) yang Allah letakkan di dalam hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengasihani di kalangan hamba-Nya orang-orang yang tahu mengasihani orang lain”.

[Ringkasan] Firman Allah, “Katakan: Serulah Allah ataupun serulah ar-Rahman yang mana saja (ataupun dengan nama manapun) kamu menyeru maka Dia mempunyai Nama-Nama Yang Baik”

1. Kamu panggillah atau sebutlah nama Allah, ar-Rahman atau lain-lain nama Allah (Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Razzak dsb), semuanya dibolehkan. Allah mempunyai nama-nama yang baik (asma’ ul husna), Surah al-Israa’, ayat 110.

2. Imam al-Bukhari ingin membuktikan berdasarkan dalil-dalil bahawa Allah itu Esa, Esa di segi Zat-Nya dan Esa di segi sifat-sifat-Nya. Esa bermaksud tunggal, tiada yang lain serupa dengan-Nya. Contohnya dalam sifat mendengar dan melihat, Allah mendengar dan melihat tanpa memerlukan alat, keadaan atau angota tertentu. Allah mendengar dan melihat sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh manusia. Zat-Nya, sayugianyalah adalah Esa, tidak berbilang, walaupun Dia mempunyai banyak sifat. Sifat-sifat-Nya yang banyak itu adalah Esa pada hakikatnya, di mana tiada yang lain serupa dengannya. Banyaknya sifat tidak menunjukkan banyak zat ataupun bila ada sifat maka zat itu perlu kepada sifat itu. Itulah yang dimaksudkan sebagai Allah tidak serupa dengan makluk-Nya. Adalah sesat golongan Muktazilah, Murjiah atau Jahmiyah dan mereka yang mengatakan Allah tidak mempunyai sifat. Mereka mengatakan jika Allah mempunyai sifat, ianya bermaksud tuhan itu banyak. Mereka mengatakan Allah mendengar dengan zat-Nya bukan dengan sifat-Nya.

3. Imam al-Bukhari ingin membuktikan bahawa Allah mendengar dengan sifat “mendengar”-Nya. Sifat “mendengar” Allah tidak dibuat oleh-Nya kemudian atau mengambilnya dari tempat lain atau sama jadi dengan-Nya (Allah adalah “sedia ada”, tidak ada permulaan, azali, maka ungkapan “sama jadi” adalah tidak sesuai bagi Allah kerana ianya menunjukkan Allah ada permulaan). SIfat Allah adalah bersekali dengan zat Allah, bukan sebelum itu tidak ada kemudiannya ada. Walaupun sifat Allah itu banyak, ianya tidak menunjukkan Allah itu banyak, sebagaimana adanya banyak sifat pada hanya seorang manusia.

4. Hanya nama “Allah” yang tidak mempunyai maksud sifaf kerana “Allah” bukan nama sifat. Adapun nama-nama lain adalah nama sifat (asma’ ul-sifat), bukan nama zat.

5. Bila kita sebut ar-Rahman atau ar-Rahim ianya merujuk kepada Allah, cuma kita sebut dengan sifat-Nya.

6. Maksud “Esa” dalam sifatnya ialah merujuk kepada tiada apa yang serupa dengan-Nya dalam sifat itu, dan sesekali tidak bermaksud Allah hanya ada satu sifat.

7. Ayat al-Quran ini (Surah al-Israa’, ayat 110) diturunkan kerana orang kafir Mekah memperolok-olokkan Nabi dengan mengatakan Nabi kononnya menyeru kepada tauhid (Tuhan yang Esa) padahal Nabi juga menyeru kepada tuhan yang banyak kerana banyaknya sifat yang ada pada Allah. Mereka tidak dapat memahami bahawa sifat Allah yang banyak itu adalah pada Zat yang satu (Esa).

8. Kita tidak boleh memikirkan sendiri apakah zat atau sifat-sifat Allah itu kecuali setakat apa yang diberitahu oleh Allah. Sifat-sifat Allah itu tidak kita “ta’til”kan (membuang makna yang terkandung di dalam sifat itu, contohnya seperti menukar sifat “melihat” Allah dengan mengatakan ianya bermaksud “mengetahui”). KIta juga tidak men”tasybih”kan Allah, iaitu tidak menyerupakan Allah dengan makhluk, contohnya bila kita kata Allah “melihat”, cara Allah melihat tidak sama sebagaimana makhluk melihat.

9. Semua nama Allah atau nama sifat-sifat-Nya semuanya adalah baik, kerana Allah sendiri mengatakan ianya elok. Kita sebut nama Allah (sifat-sifat Allah) yang sesuai dengan apa yang ingin kita minta dari Allah, contohnya jika kita hendak minta rezeki, kita sebutlah, “ar-Razzak”, jika kita ingin Allah menutup kesalahan kita, kita sebutlah, “Ya Sattar” atau “Ya Tawwab”.

10. Allah sebutkan di dalam ayat ini sifat-sifat-Nya sebagai “nama” sedangkan ianya adalah sifat. Ini menunjukkan Allah ada “Nama Sifat”. Oleh itu, ulama’ membuat kesimpulan bahawa Allah ada “Nama Zat” dan “Nama Sifat”.

11. Hadith pertama menyebut, Allah tidak mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia. Sifat “Rahmat” (ar-Rahman dan ar-Rahim) itu luas. [Nota: Ulama’ kemudiannya membahagikan sifat Allah kepada sifat zat dan sifat af”al (perbuatan)].

12. “Mengasihani” adalah sifat “Rahmat” Allah. Sifat rahmat Allah adalah amat luas, sebagaimana disebut dalam hadith bahawa rahmat Allah terdapat pada semua perkara. Contohnya, sifat rahmat Allah kepada haiwan yang tidak berakal di mana diberikan rasa kasihan ibu haiwan kepada anaknya. Atau, contoh lain, ada hidupan yang dapat hidup di dalam batu, di mana ia dijamin rezekinya. Adalah didapati rahmat Allah ada pada semua perkara, sama ada ianya secara nyata (zahir) atau tidak.

13. Allah inginkan kita supaya bersifat sedemikian (mengasihani) walaupun tidak sempurna. Sesiapa yang mempunyai semakin banyak (mendalam) bayangan sifat Allah, maka semakin sempurna seseorang itu.

14. Ulama’ membahagikan sifat Allah kepada sifat Jamal dan sifat “Jalal”. Sifat Jamal ialah sifat lemah lembut seperti “mengasihani” dsb dan sifat Jalal ialah sifat keras seperti mengadakan gempa bumi, kiamat dsb.

15. Orang yang tidak mengasihani manusia, Allah tidak akan mengasihaninya (tidak dirahmati Allah). Jika seseorang itu tidak dirahmati Allah, nescaya sengsaralah hidupnya. Mereka boleh hidup dengan diberi rezeki oleh Allah berupa makanan, kesihatan dan harta. Tetapi bila seseorang itu jauh dari rahmat Allah, kesannya banyak pada rohaninya. Walaupun badannya sihat tetapi jiwanya sakit, dan jiwanya tidak condong kepada berbuat kebaikan, tidak terbuka fikirannya untuk itu. Bila seseorang dimurkai Allah, dia tidak mengerti apa implikasi dan kesan dari perbuatannya dan dia hilang sifat kemanusiannya. Contohnya orang-orang Yahudi, bila mereka melanggar perintah Allah, mereka jauh dari rahmat Allah, ketika itulah mereka membunuh nabi-nabi. Pada zahirnya mereka nampak lebih maju dan lebih kaya daripada orang lain tetapi pada hakikatnya mereka seolah-olah tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Hakikatnya, mereka pun terkesan jika sesuatu yang buruk berlaku kepada ahli keluarga mereka. Mereka tidak dapat kaitkan kesedihan dan kepedihan yang dialami mereka bila berinteraksi dan menzalimi orang lain. Pernyataan tidak kasihannya Allah kepada sesorang manusia dizahirkan dalam berbagai bentuk, sebagaimana dizahirkan kepada orang Yahudi yang zalim, yang jika diberi harta mereka menggunakannya di jalan yang dimurkai Allah.

16. Hadith Kedua – Anak perempuan Nabi s.a.w. Zainab menghantar utusan kepada Nabi untuk memberitahu bahawa cucu Baginda hampir meninggal dunia. Nabi meminta utusan itu kembali seraya memesan supaya memberitahu anaknya bahawa apa yang diberi atau diambil oleh Allah adalah semuanya milik Allah, semuanya pinjaman dari Allah. Segalanya mengikiut ketentuan (taqdir) dari Allah. Utusan itu kembali tetapi Zainab r.ha. bersumpah supaya Nabi datang juga kerana anaknya sedang tenat, barulah Nabi pergi kepadanya. Keenganan Nabi pergi pada mulanya bukan bermaksud bahawa Nabi tidak menyayangi anak cucunya tetapi disebabkan kekangan tanggungjawab yang lebih penting. Tetapi apabila didesak, Baginda pun pergi memenuhi permintaan anaknya. Bila sampai, cucunya diangkat kepadanya dalam keadaan nafasnya tersekat-sekat. Nabi mengalirkan air mata melihat keadaan itu. Sahabat yang mengiringi Baginda, Saad bin Ubadah berkata kepada Nabi, “Apa ini?”, seolah-olah mempersoalkan Nabi mengapa Nabi menangis sedangkan Baginda selalu menasihati Sahabat-Sahabat supaya bersabar ketika meghadapi musibah. Dia menganggap bersabar itu bermaksud tidak mempunyai perasaan atau apa-apa emosi terhadap apa yang berlaku. Nabi membetulkannya dengan mengatakan, “Inilah kesan dari sifat rahmat dan kasihan belas yang Allah letak ke dalam hati hamba-hamba-Nya”. Sifat ini adalah milik Allah tetapi dia beri juga kepada hamba-hamba-Nya. Bila sedih manusia akan mengalirkan air mata dan ini tidak bermakna seseorang itu tidak sabar atau meratap. Yang tidak dibenarkan ialah meratap seperti meraung. Islam mengajar kesederhanaan dalam semua perkara.

17. Kita dapati orang-orang Islam selalu tenang dalam menghadapi masalah dan musibah seperti kematian. Kita diajar oleh Nabi supaya jangan terlampau mengikut perasaan dan jangan terlalu keras hati, tidak langsung mempunyai perasaan. Kita diberi peluang untuk bersuka ria dengan adanya ibadat-ibadat seperti aqiqah, korban dan walimatul urus tetapi ini tidak bermakna kita sentiasa isi hidup kita dengan pesta makanan.

18. Allah mengasihani hamba-hamba-Nya yang mengasihani orang lain. Jika Allah tidak mengasihani seseorang, ianya tidak bermakna tiada langsung rahmat Allah kepadanya. Dia tetap diberikan rezeki seperti makan minum dan kesihatan tubuh badan, tetapi dia tidak memperolehi perkara yang lebih penting dalam hidup ini seperti sifat sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.

19. Islam mengajar supaya mengasihani semua makhluk termasuk haiwan. Perhatikan bagaimana kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung kucing tanpa memberi makanan kepadanya sehingga mati. Juga kisah bagaimana serang perempuan dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi minum anjing yang dahaga walaupun dia seorang pelacur.

20. Perhatikan hadith Nabi yang bermaksud, “Kamu kasihanilah apa yang ada di muka bumi, nanti tuhan yang di langit akan mengasihani kamu”. Ingatlah bahawa “apa yang ada di bumi” bukan hanya manusia tetapi termasuk juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

[IMAN] – Siri 1 – Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman [VIDEO TEMATIK HADITH]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 16m 46s] – [IMAN – Siri 1] Perkara-perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman [VIDEO TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/B5WjU2GKgjA ]

Video penuh asal –    • Sesi 20 -Perkara-Perkara Yg Menyebabkan Se…  

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN, TINJAUAN UMUM DAN INTISARI HADITH

باب بَيَانِ خِصَالٍ مَنِ اتَّصَفَ بِهِنَّ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ وَحَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، وَمُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ أَبِي عُمَرَ، وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، جَمِيعًا عَنِ الثَّقَفِيِّ، – قَالَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ، – عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَنَسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ ‏”‏ ‏.‏

Bab – Perkara-perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman Anas meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda, “Tiga pekara jika ada pada seseorang tentu dia akan merasai kemanisan iman. Pertama, orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi kecintaannya kepada selain keduanya. Kedua, orang yang mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan ketiga, orang yang tidak suka kembali kepada kekufuran setelah dia diselamatkan oleh Allah sebagaimana dia tidak suka dilemparkan ke dalam api”.

[RINGKASAN] Perkara-perkara Yang Menyebabkan Seseorang Merasai Kemanisan Iman

TINJAUAN UMUM

1. Jika ada tiga sifat ini, seseorang akan merasai kemanisan iman, iaitu, mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari yang lain, mencintai seseorang kerana Allah dan Rasul dan benci untuk kembali kepada kekufuran.

2. Perasaan cinta dan benci kerana Allah ini berkait rapat dengan tahap iman seseorang sebagaimana deria rasa fizikal kita berkait rapat dengan kesihatan jasmani kita. Seseorang yang sakit, misalnya, tidak rasa manis atau masin sesuatu makanan sebagaimana orang yang sihat merasainya.

3. Rohani yang tidak sihat akan menghalang seseorang dari memenuhi tuntutan iman dan merasai kemanisan iman. Bandingkan iman di zaman Sahabat, di mana kekuatan iman mereka menyebabkan ajaran agama dilaksanakan secara spontan dan mudah.

4. Ulama’ berbeza pendapat tentang maksud “kemanisan iman”. Ada yang berpendapat ianya adalah kemanisan yang dirasai bila dapat beribadat dan melakukan ketaatan kepada Allah. Juga kegembiraan dapat mengatasi kesukaran dalam menegakkan agama Allah dan beribadat kepada Allah dan dapat mengutamakan kepentingan akhirat berbanding dunia .

5. Tetapi jika sebaliknya kita merasakan perkara dunia adalah lebih penting dari perkara akhirat, kemanisan iman tidak akan timbul dalam jiwa kita.

6. Penyakit hati menyebabkan kita lesu dan malas untuk melaksanakan tuntutan agama, tetapi jika ditekan nafsu kita, kita akan berjaya sebagaimana berjayanya orang yang sakit sembuh dari penyakit bila makan ubat, walaupun dia tidak suka makan ubat.

7. Adakah “kemanisan iman” dapat dirasai oleh deria kita atau hanya wujud di segi makna (abstrak)? Ada yang berpendapat ianya adalah perkara “abstrak” dan tidak dapat dikesan oleh deria rasa. Yang ada adalah “kesan-kesannya” dari tingkah laku seseorang seperti keyakinan yang kukuh terhadap kepercayaannya, patuh kepada perkara yang diimaninya dan rasa seronok dan lazat bila melaksanakan perintah-perintah Allah. Pendapat lain (dan yang lebih tepat) ialah kemanisan iman dapat dirasai oleh deria batin. Ini dibuktikan oleh perisitiwa Sahabat Nabi yang dipanah dengan tiga anak panah ketika sedang bersembahyang. Beliau r.a. tidak berhenti dari sembahyang kerana rasa lazatnya membaca ayat al-Quran dalam sembahyang menenggelamkan kesakitan dari luka kena panah.

INTISARI DARI HADITH

1. Mencintai Allah bermaksud sentiasa mentaati-Nya dan tidak menderhakai-Nya. Mencintai Rasulullah pula ialah sentiasa berpegang teguh dengan syariat yang dibawa Baginda, di samping taat dan patuh kepadanya. Rujuk Surah ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku…)”.

2. Perlu diingat bahawa mencintai Rasulullah s.a.w. bukan dengan memakai logo capal, berqasidah dan mengagungkan apa-apa yang tidak sahih dari Nabi atau amalan-amalan seumpamanya sebagaimana amalan sebahagian umat Islam masa kini.

3. Mencintai seseorang kerana Allah menjadi tuntutan agama disebabkan faktor seperti taatnya seseorang itu kepada Allah, ilmu agamanya yang tinggi yang dapat memanfaatkan masyarakat dan budi pekertinya yang tinggi. Ianya tidak didorong oleh faktor duniawi seperti kekayaan, pangkat dan kedudukan atau kecantikan. Begitu juga sebaliknya, faktor membenci seseorang adalah kerana kederhakaannya kepada Allah.

4. Imam Malik mengatakan mencintai kerana Allah adalah suatu yang wajib.

5. Kasih dan benci kepada seseorang kerana Allah adalah kesan dari sifat yang pertama iaitu mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari yang lain.

6. Kedua-dua sifat di atas akan menimbulkan pula sifat ketiga iaitu benci kembali (atau menjadi) kufur.

7. Oleh itu, yang paling penting ialah usahakan supaya mencapai sifat yang utama iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi dari yang selainnya.

8. Allah menyelamatkan manusia dari kekufuran dengan dua cara iaitu ,

i) dengan melahirkan seseorang di dalam keluarga Islam dan menghidupkannya sebagai orang Islam sehingga mati, dan,

ii) mendorongnya supaya memeluk agama Islam dan tidak kembali kepada kekufuran.