[WAHYU] – Siri 1- Bagaimana Permulaan Datangnya Wahyu Kepada Rasululullah [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 11m 52s] – [WAHYU] – Siri 1- Bagaimana Permulaan Datangnya Wahyu Kepada Rasululullah [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/4tyhfDyvmfU ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 -Permulaaan Datangnya Wahyu Kepada …   – Sumber – Sahih al-Bukhari (Kitab Wahyu)

BAGAIMANA PERMULAAN DATANGNYA WAHYU KEPADA RASULULLAH S.A.W.

باب كَيْفَ كَانَ بَدْءُ الْوَحْىِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

وَقَوْلُ اللَّهِ جَلَّ ذِكْرُهُ: {إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ

[RINGKASAN] Bagaimana Permulaan Datangnya Wahyu Kepada Rasululullah

1. Bagaimanakah permulaan datangnya wahyu kepada Rasulullah dan ayat al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mewahyukan kepadamu seperti mana Kami telah mewahyukan kepada Nuh dan nabi-nabi sesudahnya” (Surah An-Nisa’, ayat 163).

2. Apakah maksud, “Bagaimanakah permulaan datangnya wahyu…”? Wahyu tidak diturunkan hanya kepada Nabi s.a.w. sahaja malah turun juga kepada nabi-nabi sebelum itu sehinggalah Nabi Isa a.s. Setelah Nabi Isa wahyu telah terhenti. Bagaimana bermula wahyu selepas zaman Nabi Isa? Wahyu yang turun semula selepas Nabi Isa adalah istimewa seolah-olah ianya wahyu yang baru dan berasingan. Bagaimana keadaan semasa permulaan datangnya wahyu selepas Nabi Isa, iaitu bagaimanakah keadaan diri Baginda s.a.w. dan keadaan masyarakat sekeliling Baginda, juga bilakah (keadaan zaman) dan dimanakah wahyu tersebut diturunkan.

3. Wahyu tidak hanya dalam bentuk al-Quran tetapi banyak jenisnya. Yang jelas disebut di dalam al-Quran (Surah Asy-Syuura, ayat 51) wahyu adalah dalam tiga jenis iaitu “wahyan” (wahyu), di sebalik tabir atau mengutus malaikat sebagai utusan untuk menyampaikan wahyu-Nya. Al-Quran sepenuhnya diturunkan kepada Rasulullah melalui utusan (malaikat Jibril a.s.) iaitu melalui cara ketiga di dalam ayat al-Quran di atas. Oleh itu “wahyan” (cara pertama) adalah selain dari al-Quran, dan ianya boleh bermaksud hadith atau sebagainya. Peranan wahyu dalam bentuk pertama ini juga amat penting dan besar sebagaimana al-Quran. Oleh itu adalah silap dan tersesat mereka yang mengatakan wahyu hanya dalam bentuk al-Quran (contohnya pendapat golongan anti hadith).

4. Wahyu dalam bentuk al-Quran adalah “wahyu yang dibaca” (dalam ibadat seperti solat) dan hadith ialah “wahyu yang tidak dibaca”. Nabi s.a.w. tidak bercakap mengikut hawa nafsunya; apa yang dituturkan Baginda adalah wahyu dari Allah (Surah an-Najm, ayat 3 & 4). Ini menunjukkan sekurang-kurangnya wahyu adalah dalam bentuk al-Quran dan hadith.

5. Ada wahyu ketika tidur (mimpi) seperti mimpi Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya. Ada wahyu dalam bentuk ilham dari Allah dan diucapkan oleh Nabi dalam bahasa Nabi sendiri (dikenali sebagai hadith qudsi). Ada wahyu dalam bentuk ilham kepada makhluk-makhluknya seperti ilham kepada lebah untuk membuat sarangnya di bukit-bukit.

6. Wahyu kepada Nabi s.a.w. adalah berbeza dari wahyu kepada makhluk-makhluk seperti yang disebut di atas dan ini dinyatakan dalam ayat a-Quran Surah An-Nisa’, ayat 163. Wahyu ini wahyu “risalah” (wahyu syari’i) bukannya wahyu tabi’i; wahyu yang menjadikan penerimanya (Nabi s.a.w) sebagai rasul. Dengan turunnya wahyu ini, kedudukan Nabi s.a.w. adalah seperti nabi-nabi sebelumnya. Wahyu ini istimewa dan besar kerana ianya menyelamatkan manusia. Dengan menolak wahyu ini sesuatu umat boleh dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mematuhinya akan selamat.

7. Kenapa disebut Nabi Nuh dan bukannya Nabi Adam dalam ayat al-Quran ini? Pendapat pertama ialah kerana umat Nabi Nuh adalah umat yang mula-mula dibinasakan Allah kerana menolak wahyu. Pendapat kedua, dikatakan Nabi Nuh ialah Rasul yang pertama manakala Nabi Adam adalah nabi yang pertama.

8. Wahyu-wahyu sebelum Nabi Nuh adalah panduan untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Manakala wahyu di zaman Nabi Nuh ialah tentang syariat yang luas, contohnya perkara-perkara berkaitan tentang kehidupan di alam kubur, undang-undang dan akhlak. Perkara-perkara ini tidak dapat dicapai oleh akal manusia.

9. Sebagai perumpamaan, manusia di zaman Nabi Adam adalah umpama kanak-kanak. Mereka mula “baligh” di zaman Nabi Nuh dan dewasa (matang) di zaman Nabi Muhammad s.a.w.

10. Seluruh akitiviti manusia hendaklah berpandukan kepada wahyu. Sesuai dengan perkembangan zaman dan manusia, wahyu pada zaman ini (Nabi Muhammad) adalah mencakupi semua aspek.