[WASIAT, PUSAKA dsb] – Siri 2 -Wajib Atau Eloknya Berwasiat [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 22s] – [WASIAT, PUSAKA dsb] – Siri 2 -Wajib Atau Eloknya Berwasiat [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/-7Cjk7bLVRY ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 –  Hadith Tentang Wasiat Yang Diper…   – [Sunan Abi Daud (Kitab Wasiat) ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

كتاب الوصايا

باب مَا جَاءَ فِيمَا يُؤْمَرُ بِهِ مِنَ الْوَصِيَّةِ

حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنِي نَافِعٌ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، – يَعْنِي ابْنَ عُمَرَ – عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏”‏ ‏.‏

BAB – HADITH TENTANG WASIAT

Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abdillah (ibnu Umar) daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda, “Tidak patut seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan bermalam selama dua malam melainkan dalam keadaan wasiatnya ada tertulis di sisinya)”.

[RINGKASAN] Wajib Atau Eloknya Berwasiat

1. Hadith ini boleh diterjemahkan sebagai, “Tidak ada hak bagi seseorang muslim (iaitu “wajib”)…” atau ” Tidak patut bagi seorang muslim (iaitu “elok”)… “. Kedua-dua terjemahan ini boleh diguna pakai.

2. Walaupun hadith ini menyebut “seseorang muslim”, wasiat juga sah dan terpakai untuk orang bukan Islam.

3. Jika seseorang ada harta yang boleh atau perlu diwasiatkan (atau perkara-perkara lain yang perlu diwasiatkan) janganlah berlalu dua malam tanpa ada wasiat tentangnya. Ada riwayat yang menyebutkan tidak boleh berlalu tiga malam. Apa yang dimaksudkan ialah tidak boleh lama dalam keadaan tiada wasiat.

4. Wasiat ini penting untuk memastikan pewaris tidak mengambil hak orang lain dalam harta yang ditinggalkan si mati. Contohnya, mungkin ada dalam harta si mati harta seseorang yang diberi amanah kepada si mati untuk menyimpannya.

5. Ada ulama’ berpendapat berwasiat adalah wajib berdasarkan hadith ini dan ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 180. Tetapi majoriti ulama’ berpendapat ianya tidak wajib tetapi amat disarankan untuk berwasiat kecuali (iaitu wajib) dalam keadaan ada hak manusia atau hak Allah ke atas si mati. Antara hak manusia kepada si mati ialah hutang kepada orang-orang tertentu atau harta yang disimpan oleh si mati sebagai amanah, atau lain-lain hak yang tidak diketahui oleh orang lain. Antara hak kepada Allah ialah mengerjakan haji bagi orang yang mampu semasa hidupnya atau zakat yang belum ditunaikan dan sebagainya.

6. Peringatan untuk berwasiat ini adalah atas dasar bercermat kerana seseorang mungkin mati mengejut dan jika tidak berwasiat dikhuatiri mati dalam keadaan mengambil hak orang lain.

[WASIAT, PUSAKA dsb] – Siri 1 – (Wasiat) Muqaddimah Tentang Wasiat [VIDEO TEMATIK HADITH]

VIDEO – [Durasi – 8m 58s] – [WASIAT, PUSAKA dsb] – Siri 1 – (Wasiat) Muqaddimah Tentang Wasiat [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/P3ZKqkRgZr0 ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 –  Hadith Tentang Wasiat Yang Diper…   – [Sunan Abi Daud (Kitab Wasiat) ]

SELAYANG PANDANG TENTANG WASIAT & TAKRIF ISTILAH WASIAT

1. Sakit sepatutnya mengingatkan kita kepada kematian dan mencetuskan semangat untuk terus melakukan kebajikan. Sebelum kematian, kita masih lagi berpeluang untuk melakukan kebajikan untuk selepas kematian kita, iaitu berwasiat. Mungkin fizikal kita sudah tidak kuat, tetapi kita masih lagi boleh melakukan kebajikan melalui berwasiat.

2. Urusan wasiat mungkin akan menyebabkan pertelingkahan (di kalangan keluarga atau waris si mati). Oleh itu, dalam Islam sudah ada panduan yang lengkap dari Nabi s.a.w. bagaimana untuk mengendalikan wasiat, kepada siapa wasiat ditujukan, sebanyak mana boleh diwasiatkan, bila wasiat dilaksanakan dan sebagainya.

3. “Wasiat” dalam bahasa Arab bermaksud,

i) perbuatan mengadakan wasiat (berwasiat) atau,

ii) benda atau harta yang diwasiatkan seperti tanah, duit dan sebagainya. Di segi bahasa “wasiat” adalah pesanan, nasihat atau peringatan. Dalam bahasa Melayu ianya bermaksud “pesanan-pesanan”.

4. Di segi syarak, “wasiat” bermaksud, “suatu pesanan khusus yang berkaitan selepas kematian”. Ianya boleh jadi berkaitan harta atau hal-hal selain dari harta.

5. Hadith-hadith tentang wasiat membincangkan antara lain, adakah semua orang perlu berwasiat, apakah hukum berwasiat dan apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ada sesuatu yang boleh diwasiatkan.

6. Adakah wasiat khusus untuk orang Islam sahaja? Tidak! Wasiat juga boleh berlaku di antara orang Islam dan orang kafir. Wasiat berbeza dengan pusaka, di mana pusaka tidak boleh diterima atau diberi oleh orang kafir. Anak-anak yang memeluk agama Islam boleh berwasiat untuk memberi harta kepada ibu bapanya yang bukan Islam. Begitu juga ibu bapa yang bukan Islam boleh mewasiatkan hartanya kepada anaknya yang Islam. Malah, wasiat boleh berlaku di antara orang bukan Islam, contohnya di dalam negara yang menerima pemerintahan Islam. Cuma perlu diingatkan kepada pewasiat bahawa harta yang boleh diwasiatkan hanya setakat 1/3 dari keseluruhan harta, dengan maksud tidak menganiaya pewaris-pewaris.

7. Wasiat dan hutang perlu diselesaikan dahulu sebelum harta diagihkan sebagai harta pusaka.