Zakat barangan atau mata benda (jika) yang dimiliki untuk perniagaan .
Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Samurah bin Jundub katanya, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada barang (atau mata benda) yang kami sediakan untuk jualan”.
[Ringkasan] Zakat barangan atau mata benda yang dimiliki untuk perniagaan
1. Zakat perniagaan dikenakan ke atas barang-barang yang kita miliki untuk berniaga. Yang dimaksudkan “barang-barang untuk perniagaan” ialah barang jualan, keuntungan, modal dan juga hutang yang dijangka boleh diperolehi semula. Zakat ini dikenakan jika cukup nisabnya dalam tempoh selama satu tahun. Jika ada ketika dalam tempoh setahun itu, tidak cukup nisab maka zakat tidak wajib dikeluarkan, iaitu adalah syarat dikenakan zakat bila harta itu sentiasa cukup nisabnya atau lebih dalam tempoh satu tahun. Kadar zakat perniagaan adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan harta tersebut.
2. Sayugia diingatkan bahawa “barang-barang” untuk perniagaan adalah barang-barang yang digunakan untuk berniaga dan tidak termasuk bekas-bekas simpanan, rak atau almari untuk stor, kenderaan yang digunakan untuk berniaga ataupun bangunan premis perniagaan tersebut.
3. Jumhur (majoriti) ulama’ berpendapat zakat perniagaan adalah disyariatkan, tetapi ada sesetengah ulama’ terutamanya dari kalangan ulama’ ahli zahir mengatakan tidak ada zakat perniagaan. Ulama’ yang mengatakan tidak ada zakat perniagaan berdalilkan hadith yang mengatakan tidak dikenakan zakat pada kuda atau hamba padahal kuda dan hamba diperniagakan pada zaman itu. Hadith yang kita sedang bincangkan ini, pada pendapat mereka adalah lemah. Tetapi majoriti ulama’ membantah dengan menggunakan ayat al-Quran (Surah a-Taubah, ayat 103) yang bermaksud, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa)…” dan ternyata dalam perniagaan terdapat “harta” yang banyak. Zakat perniagaan ini diamalkan sejak zaman Sahabat, sejak zaman Khalifah ar-Rasyidin.
4. Imam Daud az-Zahiri berpendapat barang-barang perniagaan tidak dikenakan zakat dan mengatakan hadith ini tidak sahih. Ulama’-ulama’ membincangkan tentang statuts hadith ini; ada yang mengatakan ianya sekurang-kurangnya “hasan” (baik) tetapi ada juga yang mengatakan ianya dhaif kerana mendakwa ada perawi yang tidak masyhur (tidak dikenali) di dalam sanadnya.
5. Kesimpulannya, pendapat yang lebih kuat dan majoriti ialah zakat perniagaan memang ada dalam syariat Islam.
Harta yang dikenakan zakat (atau kadar “nisab” bagi harta yang dikenakan zakat)
Hadith Pertama – Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ammar bin Yahya al-Mazini daripada ayahnya, katanya: Saya telah mendengar Aba Said al-Khudri berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Zakat tidak dikenakan pada unta yang kurang daripada lima ekor dan zakat tidak dikenakan pada perak yang kurang daripada lima uqiah. Zakat juga tidak dikenakan pada bijirin yang kurang daripada lima wasaq”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, beliau menghubungkan hadith ini kepada Nabi s.a.w. Sabda Baginda, “Zakat tidak dikenakan pada bijiran yang kurang daripada lima wasaq, satu wasaq ialah 60 maktum (gantang). Abu Daud berkata Abu Makhtari tidak pernah mendengar hadith daripada Abi Said.
Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Ibrahim katanya, satu wasaq ialah 60 gantang yang dimeterai dengan meterai “Hajjaji” (iaitu meterai yang dilancarkan oleh Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi).
Hadith Keempat – Dengan sanadnya, Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Habib al Maliki, katanya, ada seseorang berkata kepada ‘Imran bin Hushain, ‘Wahai Aba Dujaij, kamu menceritakan banyak hadith yang mana kami tidak dapati ada asalnya di dalam al-Quran”. Mendengar kata-kata orang itu, naik marahlah ‘Imran dan beliau berkata kepada orang itu, “Adakah kamu temui pada setiap 40 dirham dikenakan satu dirham dan pada setiap sekian-sekian ekor kambing dikenakan seekor dan pada sekian-sekian ekor unta dikenakan sekian-sekian. Adakah kamu dapati keterangan ini di dalam al-Quran?”. Orang itu menjawab, “Tidak”. ‘Imran bin Hushain berkata, “Kalau begitu kamu ambil daripada siapa keterangan tadi? Kamu mengambilnya daripada kami dan kami mengambilnya daripada Nabi s.a.w.”. Lalu perawi menyebutkan beberapa perkara lebih kurang yang tersebut ini.
[Ringkasan] Harta yang dikenakan zakat (atau kadar “nisab” bagi harta yang dikenakan zakat)
1. Zakat ialah harta yang diambil dari orang kaya dan diberikan kepada orang miskin untuk menyucikan harta tersebut.
2. “Nisab” ialah “nilai minima” sesuatu harta yang dikenakan zakat.
3. Hadith pertama adalah dari Abdullah bin Maslamah, atau dikenali juga dengan gelaran al-Qa’nabi, salah seorang murid Imam Malik yang terkenal.
4. Rasulullah s.a.w. bersabda, kita tidak perlu mengeluarkan zakat jika ada unta kurang dari lima ekor, atau kurang dari lima “uqiah” perak atau kurang dari lima “wasaq” bijiran (gandum, barli dsb). Nilai ini ialah had antara “kaya” dan “miskin” seseorang. Istilah “kaya” ini adalah untuk tujuan menentukan had nilai harta yang perlu dikeluarkan zakat dan ianya mungkin berbeza dengan istilah “kaya” dalam konteks masyarakat zaman ini. Perhatikan pengertian “zakat” yang menyebut menyebut, “mengambil harta dari orang kaya”.
5. Hadith ini mengisyaratkan tiga jenis harta yang utama yang dikenakan zakat iaitu hasil tanaman, mata wang dan binatang ternakan. Namun begitu ada banyak lagi harta lain yang dikenakan zakat.
6. Nisab untuk unta dan hasil tanaman adalah mudah untuk dikira iaitu dengan menghitung bilangan yang ditetapkan tetapi untuk mata wang (emas dan perak) agak sukar untuk dihitung terutamanya bila harganya berubah-ubah mengikut masa.
7. Satu “wasaq” bersamaan dengan 60 gantang dan bila ada lima wasaq (300 gantang) maka dikenakan zakat. Untuk mata wang pula, lima “uqiah” adalah bersamaan dengan 200 dirham (“dirham” ialah duit perak atau berat logam perak sama ada dalam bentuk duit atau kepingan logam perak dan bukannya nama mata wang di sesetengah negara). Satu uqiah bersamaan dengan 40 dirham, lima uqiah bersamaan dengan 200 dirham dan 200 dirham sama dengan 20 dinar (emas) atau 20 misqal.
8. Bila zaman berubah, harga perak dan emas turut berubah. Harga perak telah jatuh menjunam menyebabkan nilai 200 dirham yang ditetapkan sebagai nisab jika dibandingkan dengan mata wang adalah amat rendah. Ramai ulama’ kontemporari tidak menggunakan nilai perak untuk menentukan nisab tetapi menggunakan nilai emas. Pada masa ini, nilai 200 dirham perak hanya 56 Riyal Saudi. Kebanyakan ulama’ masa kini menggunakan nilai emas (tidak perak) kerana berpandukan harga emas dan perak di zaman Nabi s.a.w. dan tidak mengambil kira harga logam-logam tersebut di zaman ini.
9. 20 dinar adalah bersamaan dengan 85 gram emas. Nilai nisab ialah dengan mengira harga emas seberat 85 gram dengan harga semasa dan dari jumlah tersebut dikeluarkan 2.5% zakat (untuk mata wang atau emas).
10. Andainya harga emas menjunam turun seperti yang berlaku kepada harga perak, maka nilai nisab hendaklah mengambil kira harga lima ekor unta. Nilai nisab di segi harga untuk bijirin, haiwan ternakan dan mata wang adalah lebih kurang sama di zaman Nabi.
11. Walaupun begitu, masih ada ulama’ yang mengambil kira harga 200 dirham perak dalam menentukan nisab kerana berpandukan hadith Nabi yang jelas menyatakan timbangan tersebut. Tetapi pendapat ini tidak mencerminkan maksud sebenar had “kaya” sehingga perlu mengeluarkan zakat.
12. Imam Abu Daud mengatakan bahawa hadith kedua adalah dhaif. Walaupun begitu, oleh kerana kandungannya adalah sama dengan hadith pertama, ianya boleh dijadikan sebagai penyokong.
13. Dari hadith keempat, ada seseorang mempertikaikan ‘Imran bin Hushain r.a. bahawa banyak hadith yang diriwayatkannya tiada asalnya di dalam al-Quran dan ini menyebabkan beliau marah. Hakikatnya, hadith-hadith Nabi perlu diguna pakai bersama dengan al-Quran untuk menjelaskan isu-isu agama. Tanpa hadith kita tidak mampu melaksanakan perintah al-Quran kerana hadithlah yang memperincikan maksud ayat al-Quran. Contohnya, dalam al-Quran ada perintah supaya mendirikan sembahyang tetapi tidak diberitahu bagaimana cara untuk bersembahyang. Begitu juga dalam al-Quran ada perintah mengeluarkan zakat tetapi tidak dinyatakan kadarnya seperti berapa ekor binatang perlu dikeluarkan zakat. Jika kita mempertikaikan hadith dan hanya ingin menggunakan al-Quran kita sebenarnya menolak syariat Islam (sebagaimana yang berlaku kepada golongan anti-hadith).
14. Adanya sedikit perbezaan antara hadith-hadith merupakan khilaf yang memberi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam. Walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan antara hadith-hadith, asasnya tetap sama, contohnya, maksud zakat ialah untuk menjaga kepentingan orang miskin dengan mengambil sebahagian harta orang kaya
15. Hadith adalah perlu untuk mengetahui maksud al-Quran dan cara untuk melaksanakan al-Quran itu sendiri.
16. ‘Imran bin Hushain marah kepada orang yang tidak mahu menggunakan hadith. Sebagaimana al-Quran, hadith juga adalah wahyu dari Allah yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. dan disebarkan oleh Sahabat-Sahabat Baginda. Al-Quran ada menyebut (Surah an-Najm, ayat 3 & 4) bahawa wahyu adalah berupa al-Quran dan juga hadith, cuma taraf hadith adalah lebih rendah berbanding al-Quran. ‘Imran bin Hushain menekankan bahawa perincian tentang zakat adalah dari hadith Nabi tidak melalui al-Quran, oleh itu janganlah sesekali mempertikaikan kegunaan hadith. Hadith digunakan dalam sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara. Hadith diterima, diamalkan dan disebarkan oleh Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w.
17. Orang yang menolak hadith (anti-hadith) telah terkeluar dari ijma’ (kesepakatan) orang Islam dan melanggar amalan Sahabat-Sahabat Nabi.
Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan dari Abu Hurairah katanya apabila Rasulullah s.a.w. wafat dan Abu Bakar dilantik sebagai khalifah selepasnya, dan kufur orang-orang Arab yang telah kufur. Umar bin al-Khattab berkata kepada Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi orang-orang ini padahal Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Aku diperintahkan memerangi manusia sehinggalah mereka mengucap ‘Lailahaillallah’. Sesiapa yang mengucap ‘Lailahaillallah’ terpeliharalah harta bendanya dan nyawanya daripada saya, melainkan dengan hak-Nya dan perhitungannya terserah kepada Allah”. Abu Bakar berkata, “Demi Allah! Aku tetap akan memerangi orang-orang yang membezakan di antara sembahyang dan zakat kerana sesungguhnya zakat itu adalah hak harta. Demi Allah, kalau mereka tidak mahu memberi kepadaku seutas tali (pengikat unta) yang selalu mereka berikan kepada Rasulullah s.a.w. nescaya akan ku perangi mereka kerananya”. Maka Umar al-Khattab berkata, “Demi Allah! Tidak ada lain yang saya nampak melainkan Allah telah membuka dada Abu Bakar (Allah telah menimbulkan azam di dalam hati Abu Bakar) untuk memerangi golongan itu”. Kata Umar, “Dan aku percaya bahawa itulah yang benar”
Dengan sanadnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Zuhri katanya: Abu Bakar berkata, “Sesungguhnya haknya (hak Islam atau hak Allah) itu ialah menunaikan zakat”.
[RINGKASAN] – Kefardhuan Zakat
1. Zakat di segi bahasa bermaksud, (makna pertama), subur, membesar, tumbuh dan (makna kedua), bersih dan suci. Di segi syarak, makna-makna zakat di segi bahasa juga terpakai dan relevan. Ini adalah kerana dengan mengeluarkan zakat, harta tidak akan berkurang tetapi semakin tumbuh, membesar dan subur. Dalilnya, ayat al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud, “Allah menyusutkan (kebaikan harta yang djalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah”. Dari pengamatan, memang terdapat pengembangan harta dari harta yang disedekah. Dalil dari hadith pula ialah sabda Nabi, “Harta tidak menjadi kurang kerana memberi sedekah (atau zakat)”. Kelebihan lain zakat ialah menyucikan dari dosa dan sifat keji seperti bakhil.
2. Sistem zakat menjamin kesejahteraan masyarakat dan membezakan Islam dengan ajaran-ajaran lain, contohnya sistem cukai. Zakat berbeza kerana ianya berkait dengan hak Allah.
3. Istilah “zakat” dalam bahasa Arab boleh bermaksud zakat wajib, sedekah sunat atau nafkah, kebenaran atau keampunan. Di segi syarak, zakat ialah suatu yang wajib, ada kadarnya yang tertentu, yang perlu diberikan kepada orang-orang tertentu (asnaf). Ianya tidak boleh diberikan kepada keturunan Rasulullah dari keturunan Hasyimi dan Abdul Muttalib.
4. Zakat adalah perkara yang asas dalam Islam yang semua orang maklum tentangnya. Orang yang menafikan asas (wajibnya) zakat terkeluar dari Islam sebagaimana orang yang mengingkari wajibnya sembahyang.
5. HADITH PERTAMA – Saidina Umar membantah Saidina Abu Bakar yang ingin memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Beliau berpegang pada hadith Nabi s.a.w. “…Terpeliharalah nyawanya dan hartanya dari gangguan bagi orang yang mengucapkan lailahaillallah…”. Namun, Saidina Abu Bakar bertekad memerangi mereka kerana beliau berpendapat golongan tersebut telah menceroboh hak Allah dan hak harta. Saidina Umar bersetuju dengan pendapat Saidina Abu Bakar kemudiannya.
6. Dapat difahami dari hadith ini bahawa, i) SaidinaAbu Bakar dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w., ii) ada orang yang telah murtad pada masa itu, iii) pada peringkat awal, Saidina Umar tidak bersetuju memerangi orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mereka masih mengaku Islam, iv) ketegasan Abu Bakar dan kebijaksanaanya memahami sabda Nabi s.a.w. dan agama Islam.
7. Ada empat golongan manusia yang dianggap keluar dari Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w. iaitu, i) Pengikut nabi palsu Musailamah az-Kazzab dan al-Aswad al-‘Ansi, ii) mereka yang kembali kepada agama asal, iii) golongan pertama, tidak murtad pada zahirnya tetapi enggan mengeluarkan zakat kepada pemerintah kerana Nabi sudah wafat dan golongan kedua, golongan yang berpendapat mengeluarkan zakat tidak wajib, dan, iv) mereka yang di atas pagar, menunggu sama ada golongan Islam atau golongan lain yang menang dan mereka akan mengikuti kumpulan yang menang.
8. Yang dipertikaikan oleh Saidina Umar ialah golongan ketiga kerana mereka masih bersyahadat dan ada yang mengeluarkan zakat sesama mereka. Namun hakikatnya, mereka adalah golongan “bughah” (penderhaka). Mereka diperangi kerana menderhaka kepada pemerintah bukan kerana mereka murtad. Kalau dibiarkan mereka akan melemahkan Islam.
9. Zakat adalah hak Allah. Nabi mengambilnya untuk diberikan kepada mereka yang berhak. Khalifah yang menggantikan Nabi s.a.w. hanya meneruskan tugas Nabi. Zakat adalah hak orang ramai.
10. Saidina Abu Bakar akan memerangi mereka yang enggan mengeluarkan zakat walaupun nilai zakat itu adalah kecil.
11. Saidina Umar menukar pendapatnya setelah merenung kembali ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi dan mendapati pendapat Saidina Abu Bakar adalah benar.
12. Zakat adalah salah satu tonggak dalam Islam dan sikap Saidina Abu Bakar yang memerangi golongan yang mengingkarinya menunjukkan peri pentingnya. Perhatikan bagaimana zakat disebut beriring dengan sembahyang di dalam al-Quran.
13. Zakat adalah hak Allah, hak Islam. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat bererti tidak menunaikan hak Allah dan mereka boleh diperangi.
14. Syiar Islam tidak boleh diremehkan. Walaupun sembahyang berjemaah itu tidak wajib, tapi sekiranya penduduk sesuatu tempat bersepakat untuk meninggalkannya, mereka boleh diperangi oleh pemeritah.
15. Dalam Islam ada dua kategori harta iaitu harta yang zahir (yang boleh dilihat atau diketahui oleh orang ramai) dan harta yang tersembunyi. Untuk harta zahir, adalah elok dikeluarkan zakat kepada pemerintah. . .