Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 19

Mustalah Al Hadith – Sesi 19 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 04 Okt 15

AL-MATRUK

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah tuduhan berdusta maka hadisnya itu dinamakan hadis matruk.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-tark iaitu meninggalkan. Orang Arab menamakan telur yang telah menetas dan keluar anak burung darinya sebagai al-tarikah iaitu yang ditinggalkan kerana tidak mempunyai faedah.

Dari segi istilah pula hadis yang sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.

Sebab Dituduh Berdusta

Perawi dituduh berdusta dengan salah satu daripada sebab berikut:

  1. Hadis tersebut hanya diriwayatkan melaluinya sahaja dan bercanggah dengan kaedah-kaedah umum.
  2. Perawi itu diketahui berdusta dalam percakapan biasa tetapi tidak jelas dia berdusta dalam hadis.

Contohnya

Hadis `Amar bin Shamir al-Ju’fi al-Shi’i daripada Jabir daripada Abu al-Tufayl daripada `Ali dan `Ammar kata mereka berdua: “Rasulullah s.a.w membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bertakbir pada hari `Arafah pada sembahyang Zuhur dan berhenti dari bertakbir pada sembahyang Asar pada hari tashriq yang terakhir”

Al-Nasa’i, al-Daruqutni dan ulama lain berkata tentang `Amar bin Shamir: Dia seorang matruk al-hadith.

Kedudukannya

Kita telahpun mengetahui bahawa hadis dha’if yang paling jelek ialah mawdu’ kemudian matruk kemudian munkar kemudian mu’allal kemudian mudraj kemudian maqlub dan mudtarib. Begini tertib kedudukannya yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar.

AL-MUNKAR

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kesilapan yang jelek atau sering lalai maka hadisnya itu dinamakan hadis munkar.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-inkar iaitu mengingkari lawan kepada mengakui.

Dari segi istilah pula ulama memberikan beberapa ta’rif yang paling masyhur ialah:

  1. Hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi jelek kesilapannya atau sering lalai atau jelas kefasikannya.

Ta’rif ini disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar dan beliau menisbahkan kepada orang lain. Al-Bayquni di dalam nazamnya menggunakan ta’rif ini:

“Dan munkar itu perawi yang berseorangan yang ta’dilnya itu tidak menerima tafarrud”

  1. “Hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah”.

Inilah ta’rif yang disebutkan dan diterima oleh Ibn Hajar. Dalam ta’rif ini ada tambahan kepada ta’rif pertama iaitu percanggahan perawi da’if dengan riwayat perawi thiqah.

Perbezaan Di Antara Munkar Dan Shadh

Hadis shadh diriwayatkan oleh perawi maqbul dalam keadaan bercanggah perawi da’if dengan perawi yang lebih utama daripadanya.

Hadis munkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi da’if bercanggah dengan perawi thiqah.

Dengan ini, kedua-dua ta’rif ini mempunyai persamaan dari sudut percanggahan dan berbeza dari segi perawi shadh adalah maqbul manakala perawi munkar adalah da’if. Kata Ibn Hajar: “Orang yang telah menyamakan kedua-duanya sesungguhnya dia tidak memerhati dengan baik”.

Contoh

  1. Contoh munkar mengikut ta’rif pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah daripada riwayat Abu Zukayr Yahya bin Muhammad bin Qays daripada Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada Aishah secara marfu’: “Makanlah buah kurma mengkal (hampir masak) dengan yang kering kerana apabila anak Adam memakannya maka syaitan akan marah”. Kata al-Nasa’i: “Ini hadis munkar, Abu Zukayr berseorangan meriwayatkannya. Dia seorang sheikh yang soleh. Muslim mengeluarkan hadisnya pada mutaba’at, cumanya beliau tidak mencapai tahap perawi yang keseorangannya itu dalam periwayatan dapat diterima.
  2. Contoh munkar mengikut ta’rif kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim melalui jalan Hubayyib bin Habib al-Zayyat daripada Abu Ishaq daripada al-Ayzar bin Hurayth daripada Ibn `Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa dan melayani tetamu maka dia akan memasuki syurga”. Kata Abu Hatim: dia seorang munkar kerana perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan inilah yang ma’ruf.

Kedudukannya

Daripada dua ta’rif di atas, dapat diketahui bahawa munkar termasuk dalam kategori hadis da’if jiddan (sangat da’if) kerana berdasarkan ta’rif pertama ia adalah periwayatan perawi da’if yang melakukan kesilapan yang buruk atau sering lalai atau fasiq. Manakala menurut ta’rif kedua-duanya mempunyai kedai’fan yang bersangatan. Oleh kerana itu, kita telah sebutkan ia berada selepas hadis matruk dari sudut sangat da’if.

AL-MA’RUF

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada ‘arafa iaitu mengenali.

Dari segi istilah hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang menyanggahi riwayat perawi da’if.

Dengan makna ini, hadis ma’ruf ialah lawan kepada hadis munkar atau dengan ungkapan yang lebih tepat lawan kepada hadis munkar mengikut definisi Hafiz Ibn Hajar.

Contohnya

Contoh bagi hadis ma’ruf ialah hadis disebutkan pada contoh yang kedua bahagian munkar tetapi melalui jalan perawi-perawi thiqah iaitu secara mawquf setakat Ibn `Abbas kerana setelah mengemukakan hadis Hubayyih yang ma’ruf, Ibn Abi Hatim berkata: Ia adalah munkar, kerana perawi-perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan itulah yang ma’ruf.

AL-SHADH

Definisi

Dari segi bahasa Shadh ialah kata nama pelaku daripada shadhdha iaitu berseorangan. Shadh bermakna seseorang yang bersendirian daripada orang lain.

Dari segi istilah pula: Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang maqbul dalam keadaan bercanggah perawi yang lebih utama daripadanya.

Huraian Ta’rif

Perawi maqbul ialah perawi adil tamm al-dabt ya’ni yang sempurna ketepatannya atau perawi adil yang kurang ketepatannya. Perawi yang lebih utama daripadanya ialah perawi yang lebih kuat dan utama kerana mempunyai kelebihan ketepatannya atau lebih bilangan atau mempunyai kelebihan sudut-sudut tarjih yang lain. Bagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam mengemukakan definisi hadis shadh tetapi inilah ta’rif yang dipilih Hafiz Ibn Hajar dan beliau mengulas: ta’rif inilah diakui berkenaan dengan istilah shadh.”

Di Mana Berlakunya Shadh

Sebagaimana shadh berlaku pada sanad begitu juga terdapat pada matan.

Contoh shadh pada sanad ialah:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, al-Nasai dan Ibn Majah melalui jalan Ibn `Uyaynah dari `Amar bin Dinar daripada `Awsajah daripada Ibn `Abbas bahawa:

“Seorang lelaki telah meninggal dunia pada zaman Rasulullah s.a.w. dalam keadaan tidak meninggalkan waris kecuali seorang hamba miliknya yang telah dibebaskan.”

Ibn Jurayj menjadi mutabi’ kepada Ibn `Uyaynah dan perawi lain dengan mewasalkannya (menyambungkannya) tetapi Hammad bin Zayd menyanggahinya dengan meriwayatkan daripada `Amar bin Dinar daripada `Awsajah tanpa menyebut Ibn `Abbas.

Oleh kerana itu, Abu Hatim mengatakan: “Hadis yang mahfuz (terpelihara) ialah hadis Ibn `Uyaynah Hammad bin Zayd adalah dari kalangan perawi yang adil dan kemas bagaimanapun Abi Hatim mentarjihkan riwayat perawi yang lebih ramai bilangan.

Contoh shadh pada matan:

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmidhi dari hadis `Abdul Wahid bin Ziyad daripada al-A’mash daripada Abi Salih daripada Abu Hurayrah secara marfu’:

“Apabila salah seorang dari kamu telah sembahyang sunat subuh hendaklah dia berbaring atas lambung kanannya.”

Kata al-Bayhaki, `Abdul Wahid telah menyanggahi perawi yang ramai dalam perkara ini. Sebenarnya mereka meriwayatkan hadis itu sebagai perbuatan Rasulullah bukan ucapannya. Dari kalangan murid al-A’mash, `Abdul Wahid telah berseorangan meriwayatkan dengan lafaz ini.

AL-MAHFUZ

Hadis yang berlawanan dengan Shadh ialah Mahfuz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah dalam keadaan bercanggah dengan perawi thiqah. Contohnya adalah sama dengan contoh bahagian shad

Hukum Hadis Shadh Dan Mahfuz

Sebagaimana diketahui shadh adalah hadis yang ditolak manakala hadis Mahfuz adalah hadis maqbul.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 18

Mustalah Al Hadith – Sesi 18 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 20 Sep 15

AL-MAWDU’

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah berdusta atas Rasulullah s.a.w maka hadisnya itu dinamakan hadis mawdu’.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada wada’a al-shay’ iaitu merendahkannya. Dinamakan demikian kerana kedudukannya yang rendah.

Menurut istilah pula, pendustaan yang direka, dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.

Kedudukannya

Ia adalah hadis da’if yang paling buruk dan paling keji. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai satu bahagian yang tersendiri bukan daripada hadis-hadis da’if.

Hukum Meriwayatkannya

Ulama telah sepakat bahawa tidak halal meriwayatkannya bagi sesiapa yang mengetahui kedudukannya dalam apa bentuk sekalipun melainkan jika diterangkan kepalsuannya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Sesiapa yang menceritakan daripadaku sesuatu hadis yang kelihatan sebagai palsu maka dia adalah salah seorang pendusta.”

Cara pereka-pereka Hadis Memalsukan Hadis

  1. Sama ada mereka iaitu mencipta ucapannya sendiri kemudian meletakkan satu sanad untuknya lalu dia meriwayatkannya.
  2. Atau dia mengambil ucapan ahli hikmat atau orang lain lalu meletakkan sanad untuknya.

Bagaimana Hadis Mawdu’ Dikenali

Ia dapat dikenali melalui:

  1. Pengakuan oleh pereka itu sendiri seperti pengakuan Abu Ismah Nuh bin Abu Maryam bahawa dia telah mencipta hadis kelebihan setiap surah al-Quran daripada Ibn ‘Abbas.
  2. Sesuatu seperti pengakuan seperti pereka itu menceritakan daripada seorang syeikh. Lalu dia ditanya tentang tahun lahirnya lalu dia menyebutkan tahun kewafatan syeikh tersebut terdahulu dari tahun kelahirannya sendiri dan hadis hadis itu hanya diketahui melaluinya sahaja.
  3. Bukti pada perawi. Contohnya ialah perawi itu seorang rafidah dan hadis pula tentang kelebihan Ahli Bayt.
  4. Bukti pada riwayat. Seperti hadis itu mempunyai lafaz yang rapuh atau bercanggah dengan pancaindera atau nas al-Quran yang terang.

Faktor Pendorong Kepada Pemalsuan Hadis Dan Golongan-Golongan Yang Terlibat

  1. Sangkaan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan dari melakukan kemungkaran. Pereka-pereka ini adalah kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada zuhud dan kesolehan. Mereka adalah perawi yang paling jahat kerana orang ramai menerima hadis-hadis rekaan mereka kerana percayakan mereka. Di antara mereka ini ialah Maysarah bin Abd Rabbih. Ibn Hibban telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Du’afa’ daripada Ibn Mahdi katanya, “Saya bertanya kepada Maysarah bin Abd Rabih: Dari mana anda bawakan hadis-hadis ini, “Siapa yang membaca ini maka pahalanya begini”? Dia menjawab: Saya menciptakannya supaya orang ramai berminat”
  2. Untuk menyokong fahaman, terutamanya fahaman kumpulan-kumpulan politik setelah berlaku fitnah dan kemunculan kumpulan politik seperti Khawarij dan Syiah. Setiap kumpulan menciptakan hadis masing-masing bagi menyokong fahaman mereka seperti hadis: “Ali sebaik-baik manusia, sesiapa yang meraguinya maka kafir”.
  3. Serangan terhadap Islam. Golongan ini ialah ahli zindiq yang tidak mampu menghancurkan Islam secara terbuka lalu mereka memilih cara yang keji ini. Mereka telah mencipta sejumlah hadis dengan tujuan memalsukan Islam dan menyerangnya. Di antara mereka ini ialah Muhammad bin Sa’id al-Shami yang telah disalib kerana kezindikannya. Dia telah meriwayatkan daripada Humayd daripada Anas secara marfu’. “Saya adalah penutup sekelian nabi, tidak ada nabi selepasku kecuali siapa yang Allah kehendaki.” Sesungguhnya para ulama hadis telah bangkit menjelaskan kedudukan hadis-hadis mawdu’, Alhamdulillah, syukur di atas nikmatnya.
  4. Mendampingi pemerintah. Sebahagian mereka yang lemah iman mendekatkan diri dengan para pemerintah dengan mencipta hadis sesuai dengan penyelewengan yang ada pada perintah seperti kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’i al-Kufi dengan al-Mahdi ketika dia menemuinya sedang bermain-main dengan burung merpati. Lalu secara langsung dia membawakan dengan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w sebagai bersabda: “Tidak ada perlumbaan kecuali pada pedang, kuda, unta atau burung. Dia telah menambahkan burung kerana al-Mahdi. Mengetahui hal ini, beliau memerintah supaya disembelih merpati itu dan berkata: “Sayalah yang menyebabkan dia berbuat demikian.”
  5. Mencari makan. Seperti sesetengah tukang cerita yang mencari wang dengan menyampaikan hadis kepada orang ramai. Mereka membawakan cerita-cerita yang menghiburkan dan pelik sehingga orang ramai memberi perhatian dan menghulurkan kepada mereka seperti Abu Said al-Mada’ini.
  6. Mencari kemasyhuran. Ini dengan cara mengemukakan hadis-hadis pelik yang tidak ada pada syeikh-syeikh hadis. Mereka memalingkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil lalu menarik minat orang lain mendengarnya seperti Abu Dihyah dan Hammad al-Nasibi.

Fahaman Al-Karramiyyah Dalam Masalah Perekaan Hadis

Sekumpulan ahli bid’ah yang dikenali sebagai al-Karramiyyah mendakwa harus mereka hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman. Mereka beralasan dengan lafaz tambahan yang diriwayatkan dalam sesetengah jalan hadis: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku” iatu tambahan “untuk menyesatkan manusia”. Tetapi tambahan ini tidak sabit di sisi ulama hadis yang hafiz.

Setengah mereka berkata pula: “Kami berdusta untuk kepentingan baginda bukan untuk kemudaratan baginda”. Dalil ini sangat lemah sekali kerana syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tidak memerlukan para pendusta untuk melariskannya.

Dakwaan ini bercanggah dengan ijma’ umat Islam sehingga Imam Muhammad al-Juwayni menghukumkan kufurnya pereka hadis.

Kesilapan Sesetengah Ahli Tafsir Dalam Menyebutkan Hadis-Hadis Mawdu’

Sesetengah ahli tafsir melakukan kesilapan dalam menyebutkan hadis-hadis mawdu’ di dalam kitab-kitab tafsir mereka tanpa menjelaskan kepalsuannya terutama hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’b tentang kelebihan al-Quran surah demi surah. Antara ahli tafsir itu ialah:

  1. Al-Tha’labi
  2. Al-Waqidi
  3. Al-Zamakhshari
  4. Al-Baydawi
  5. Al-Shawkani

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Hadis-Hadis Mawdu’

Kitab al-Mawdu at karangan Ibn al-Jawzi. Ini merupakan kitab paling awal dalam masalah ini tetapi beliau seorang bermudah dalam menghukumkan sesuatu hadis sebagai mawdu’. Oleh kerana itu, ulama mengkritik dan memberi komentar terhadapnya.

  1. Al-La’ali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdu’ah karangan al-Suyuti. Ini merupakan ringkasan kepada kitab Ibn al-Jawzi dan komentar terhadapnya dan tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibn al-Jawzi.
  2. Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘An al-Ahadith al-Shani’ah al-Mawdu’ah karangan Ibn `Arraq al-Kinani. Kitab ini adalah ringkasan kepada kedua kitab di atas dan merupakan kitab yang padat, kemas dan berguna.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 17

Mustalah Al Hadith – Sesi 17 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 13-Sept-15

AL-MURSAL AL-KHAFIY المرسل الخفيّ

Definisi

Dari segi bahasa mursal adalah kata nama objek daripada perkataan al-Irsal الإرسال iaitu melepaskan. Seolah-olah perawi hadis mursal melepaskan sanad tanpa menyambungkannya. Al-Khafi الخفيّ(yang tersembunyi) pula lawan kepada al-Jali الجلي (yang terang) kerana bentuk Irsal ini tidak jelas dan hanya dapat diketahui melalui kajian mendalam. Menurut istilah ulama pula iaitu hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang ditemuinya atau sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz seolah-olah ia mendengar daripadanya seperti ‘telah berkata’.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah melalui jalan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz daripada ‘Uqbah Ibn ‘Amir.

حدّثنا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ. أَنْبَأَنَا عِبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ ابْنِ زِائِدَةَ، عَنْ عُمَرَ بْنِ عِبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهْنِيِّ؛ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم رَحِمَ اللهُ حَارِسَ الْحَرَسِ.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah merahmati ketua sekalian pengawal.”

‘Umar tidak pernah bertemu dengan ‘Uqbah sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mizzi di dalam kitabnya, al-Atraf.

Bagaimana Mursal Khafi Diketahui?

Mursal khafi dapat dikenali dengan salah satu daripada tiga perkara berikut:

  1. Kenyataan oleh sebahagian imam bahawa perawi ini tidak bertemu dengan orang yang dia meriwayatkan daripadanya atau orang yang tidak pernah mendengar sama sekali.
  2. Perawi memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan perawi yang dia meriwayatkan daripadanya atau tidak pernah mendengar daripadanya satu hadis pun.
  3. Hadis itu datang melalui jalur lain yang mempunyai tambahan perawi di antara perawi tersebut dan orang yang meriwayatkan daripadanya.

Cara yang ketiga ini terdapat perbezaan di kalangan ulama kerana kadang-kadang ia termasuk dalam al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid.

Hukumnya

Ia adalah hadis da’if kerana ia salah satu bentuk munqati’. Apabila jelas terbukti terputusnya sanad itu maka hukumnya adalah munqati’.

Karangan Yang Terkenal

Kitab al-Tafsil Li Mubham al-Marasil karangan al-Khatib al-Baghdadi.

AL-MU’AN’AN DAN AL-MU’ANNAN

Pengantar

Selesai sudah perbincangan hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran yang berlaku pada sanad. Oleh kerana kedudukan hadis al-Mu’an’an dan al-Mu’annam tidak disepakati oleh ulama adakah ianya termasuk dalam muttasil atau munqati’, maka penulis merasakan perlu meletakkannya bersama hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran pada sanad.

Ta’rif Al-Mu’an’an

Dari segi bahasa Al-Mu’an’an adalah kata nama objek daripada `an`an yang bermaksud mengucapkan `an `an (daripada, daripada). Menurut istilah pula, kata-kata perawi daripada fulan daripada fulan.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah katanya:

`Uthman bin Ibn Abi Shaybah telah menceritakan kepada kami katanya Mu’awiyah bin Hisham menceritakan kepada kami katanya kepada kami katanya Sufyan menceritakan kepada kami daripada Usamah bin Zayd daripada `Uthman bin `Amr daripada `Urwah daripada `A’ishah katanya: Rasulullah s..a.w bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t dan para malaikatNya berdoa untuk orang-orang berada dibahagian kanan saf-saf

Adakah al-Mu’an’an Hadis Muttasil Atau Munqati’?

Ulama berbeza pendapat tentang hadis Al-Mu’an’an.

Ada pendapat mengatakan ianya adalah munqati’ sehinggalah terbukti bahawa ia adalah muttasil.

Pendapat yang sahih dan diterima pakai ialah pendapat majoriti ulama dari kalangan ulama hadis, fiqh dan usul. Mereka mengatakan bahawa ia adalah mutassil tetapi dengan beberapa syarat.

Di antara syarat tersebut, dua syarat yang dipersetujui dan yang lainnya diperselisihkan adakah menjadi syarat atau tidak. Dua syarat yang dipersetujui itu adalah syarat yang mesti iaitu:

  1. Perawi yang meriwayatkan secara `an`anah bukan seorang mudallis.
  2. Ada kemungkinan pertemuan antara perawi yang meriwayatkan secara `an`anah dengan perawi yang dia mengambil riwayat.

Bagi Imam Muslim, dua syarat ini sudah memadai. Sementara syarat-syarat lain yang diperselisihkan sebagai syarat atau tidak iaitu:

  1. Terbukti bertemu. Ini merupakan pendapat Imam al-Bukhari, Ibn al-Madini dan ulama yang tahqiq.
  2. Lama bersahabat dan mendampingi guru, ini adalah pendapat Abu al-Muzaffar al-Sam`ani.
  3. Perawi yang diambil riwayat daripadanya secara `an`an mengetahui bahawa perawi yang meriwayatkan secara `an`anah daripadanya telah meriwayatkan daripadanya.

Al-Mu’annan

Dari segi bahasa al-Mu’annan adalah kata nama objek daripada annana yang bermaksud mengucapkan anna anna (bahawa, bahawa). Menurut istilah pula, kata-kata perawi `si fulan menceritakan kepada saya bahawa si fulan berkata’

Hukum al-Mu’annam

  1. Imam Ahmad dan sekumpulan ulama mengatakan ia adalah hadis munqati’ sehinggalah dapat dibukti bahawa ia bersambung-sambung.
  2. Majoriti ulama mengatakan hukum anna sama seperti `an. Secara umumnya dihukumkan sebaga sama’ (mendengar secara langsung) mengikut syarat-syarat yang telah disebutkan dahulu.

PERBAHASAN KETIGA: MARDUD DENGAN SEBAB KECAMAN PADA PERAWI

Yang dimaksudkan dengan kecaman perawi ialah mentajrihkannya dengan kata-kata dan mempertikaikannya dari sudut keadilan dan agamanya serta dari sudut ketepatan, hafalan dan kepekaannya.

Sebab-Sebab Kecaman Pada Perawi

Sebab kecaman pada perawi ada sepuluh. Lima daripadanya berkait dengan keadilan manakala lima lagi berkait dengan ketepatan.

Sebab-sebab yang berkait dengan keadilan ialah:

  1. Berdusta
  2. Dituduh berdusta
  3. Fasiq
  4. Bid’ah
  5. Tidak diketahui (jahalah)

Sebab-sebab yang berkait dengan ketepatan ialah:

  1. Kesilapan yang jelek
  2. Buruk hafalan
  3. Kelalaian
  4. Banyak kekeliruan
  5. Percanggahan dengan perawi thiqah

Penulis akan menyebut satu persatu hadis mardud dengan sebab-sebab di atas mengikut tertib sebab kecaman yang paling kuat.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 16

Mustalah Al Hadith – Sesi 16 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 06-Sept-15

Definisi al-Tadlis

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata dasar tadlis تدليس iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas الدَّلَسiaitu kegelapan atau pencampurnan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah menggelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan).

Dari segi istilah ia adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.

Pembahagian Tadlis

Tadlis mempunyai dua bahagian utama iaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Shuyukh.

Tadlis al-Isnad

Ulama telah memberi pelbagai definisi bagi tadlis al-Isnad. Penulis akan memilih ta’rif yang paling sahih dan paling halus mengikut pandangan penulis iaitu ta’rif Imam Abu Ahmad bin ‘Amar al-Bazzar dan Abu al-Hasan bin al-Qattan. Ta’rif tersebut ialah: “Seorang perawi meriwayatkan hadis–hadis yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian Ta’rif

Maksud ta’rif ini ialah Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi telah meriwayatkan beberapa hadis daripada seorang syeikh yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadis yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar sendiri daripada syeikh tersebut. Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada syeikh yang lain daripada syeikh yang pertama tadi. Jadi dia telah menggugurkan syeikh tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti قال‘dia telah berkata’ atauعن ‘daripada’. Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut daripada syeikh itu. Dengan sebab itu dia tidak boleh mengata, سمعتُ ‘Saya mendengar’, حدَّثني ‘telah menceritakan kepada saya’, supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu. Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.

Perbezaan Antara Tadlis al-Isnad Dan al-Irsal al-Khafiy

Setelah mengemukakan ta’rifnya, Abu al-Hasan al-Qattan menyatakan: “Perbezaan di antara Tadlis al-Isnad dan al-Irsal al-Khafiy iaitu al-Irsal ialah perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadis daripadanya. Ringkasnya ialah al-Mursil al-Khafiy (perawi yang melakukan al-Irsal al-Khafiy) dan al-Mudallis meriwayatkan daripada syeikh hadis yang tidak pernah didengari daripada syeikh itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar. Tetapi al-Mudallis ada mendengar juga beberapa hadis lain selain daripada hadis yang ditadliskannya sedangkan al-Mursil al-Khafiy langsung tidak pernah mendengar hadis daripada syeikh tersebut, baik hadis yang dimursalkannya atau hadis-hadis lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.

Contohnya:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dengan sanadnya melalui ‘Ali bin Khashram,

علي بن خشرم قال قال لنا بن عيينة عن الزهري فقيل له سمعته من الزهري فقال لا ولا ممن سمعه من الزهري حدثني عبد الرزاق عن معمر عن الزهري

“‘Ali bin Khashram berkata, Ibn ‘Uyaynah berkata kepada kami daripada al-Zuhri lalu beliau ditanya adakah anda mendengar daripada al-Zuhri katanya tidak, tidak dari orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. ‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku daripada Ma’mar daripada al-Zuhri.”

Di dalam contoh ini, Ibn ‘Uyaynah telah menggugurkan dua orang perawi di antara beliau dan al-Zuhri.

Tadlis al-Taswiyah

Sebenarnya bentuk tadlis ini salah satu bentuk Tadlis al-Isnad. Ta’rifnya ialah periwayatan seorang perawi daripada syeikhnya kemudian menggugurkan seorang perawi da’if di antara dua perawi thiqah yang masing-masing saling bertemu. Gambarannya ialah seorang perawi meriwayatkan satu hadis daripada seorang syeikh yang thiqah. Syeikh yang thiqah itu meriwayatkan daripada perawi da’if daripada perawi thiqah. Dua perawi yang thiqah ini pernah bertemu. Lalu perawi yang mendengar hadis daripada thiqah yang pertama datang dengan menggugurkan perawi da’if yang terdapat di dalam sanad. Dia menjadikan sanad itu daripada syeikh yang thiqah dari syeikh thiqah yang kedua dengan lafaz yang tidak jelas lalu dia telah menyamakan keseluruhan sanad itu daripada perawi-perawi thiqah.

Ini adalah bentuk tadlis yang paling jelik kerana perawi thiqah yang pertama kemungkinan tidak pernah dikenali sebagai mudallis. Orang yang datang kemudian dan melihat sanad ini setelah berlaku tadlis taswiyah akan mendapati ianya telah diriwayatkan daripada perawi thiqah lalu dia menghukumkan sahih. Maka ini adalah satu tipu daya yang dahsyat.

Perawi Yang Terkenal Melakukan Tadlis

  1. Baqiyyah bin al-Walid. Abu Mushir berkata : “Hadis-hadis Baqiyyah tidaklah bersih maka hendaklah anda berwaspada”
  2. Al-Walid bin Muslim. Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam kitabnya al-‘Ilal, katanya: Saya mendengar bapa saya berkata: -lalu dia menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawayh daripada Baqiyyah, Abu Wahb al-Asadi telah menceritakan kepada saya daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar hadis: Jangan kamu memuji keislaman seseorang sehinggalah kamu mengetahui pegangannya. Bapa saya berkata: Hadis ini mempunyai satu perkara yang jarang diketahui. Hadis ini diriwayatkan daripada `Ubaydullah bin `Amar (thiqah) daripada Ishaq bin Abu Farwah (da’if) daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar daripada Rasulullah s.a.w. `Ubaydullah adalah seorang yang thiqah. Ibn `Amar, kuniahnya ialah Abu Wahb dan dia dinisbahkan dengan al-Asadi. Baqiyyah telah menyebutkan `Ubaidullah dengan kunyahnya dan menisbahkannya kepada Bani Asad supaya kedudukannya tidak diketahui sehingga orang lain tidak menyedari bahawa dia menggugurkan Ishaq bin Abi Farwah.

Tadlis al-Shuyukh

Definisi: Seorang perawi meriwayatkan satu hadis yang didengarnya daripada syeikh lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syeikh itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Huraian Ta’rif: seorang meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang syeikh yang dia belajar dan mendengar riwayat daripadanya, yakni tidak berlaku pengguguran dan pada tadlis al-shuyukh tetapi terdapat penyamaran dan penyembunyian bagi nama syeikh itu, kunyah, nisbahnya atau sifatnya. Bagi menjelaskan lagi kita katakan:

  1. Nama syeikh: Mahmud bin Ahmad al-Tahhan
  2. Kunyah : Abu Hafs
  3. Nisbah: al-Tahhan
  4. Antara sifatnya: berjanggut putih.

Maka datanglah seorang perawi mudallis lalu dia berkata, telah meriwayatkan kepada saya:

  1. Ibn Ahmad
  2. Atau Abu Suhayl
  3. Atau Mahmud al-Halabi
  4. Atau si janggut putih

Perkara-perkara ini bertepatan dan bersesuaian dengan syeikh kerana:

  1. Namanya itu memang Ibn Ahmad (anak Ahmad)
  2. Kunyahnya Abu Suhayl kerana salah seorang anaknya bernama Suhayl
  3. Nisbahnya al-Halabi kerana beliau dari Bandar Halab.
  4. Sifatnya, memang beliau mempunyai janggut putih.

Bagaimanapun syeikh ini tidak dikenali di kalangan orang ramai dengan nama ini. Oleh itu, menamakannya dengan nama ini merupakan satu bentuk penyamaran dan penyembunyian dan inilah yang dikehendaki oleh perawi mudallis, iaitu mensifatkannya dengan sesuatu yang orang lain mengenalnya supaya tidak dikenali. Ini kerana terdapat aib pada syeikh itu seperti da’if, masih muda dan sebagainya.

Contohnya: Abu Bakr bin Mujahid, salah seorang imam qiraat berkata: `Abdullah bin Abi `Abdullah menceritakan kepada saya. Yang dimaksudkannya ialah Abu Bakr bin Abu Dawud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Tadlis al-Isnad hukumnya ialah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama. Shu’bah adalah seorang ulama yang keras dalam mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau. Antaranya ialah, tadlis adalah saudara berdusta.

Manakala hukum tadlis al-Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya.

Tadlis al-Shuyukh pula, hukum makruhnya lebih ringan daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan kepada pendengar untuk mengetahuinya. Keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis itu.

Sebab-Sebab Berlakunya Tadlis

Sebab-sebab berlakunya tadlis al-Shuyukh:

  1. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah
  2. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukannya tadlis.
  3. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  4. Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.

Tujuan-Tujuan Tadlis Al-Isnad

  1. Untuk mewahamkan bahawa sanad itu tinggi
  2. Terlepas satu bahagian hadis daripada syeikh yang dia mendengar daripadanya.
  3. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah.
  4. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  5. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.

Tiga Sebab mengapa Tercelanya Perawi Tadlis

  1. Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  2. Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata kepada cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  3. Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.

Hukum Periwayatan Perawi Tadlis

Ulama berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah:

  1. Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tajrih. Pendapat ini tidak dipegang oleh ulama.
  2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian iaitu:
  3. Jika dia menyatakan `saya mendengar’ maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadisna diterima.
  4. Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima. Iaitu jika dia mengatakan `daripada’ dan sebagainya maka hadisnya tidak diterima.

Bagaimana Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara:

  1. Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn `Uyaynah.
  2. Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melalui kajian dan penyelidikan.

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Tadlis Dan Perawi-Perawi Mudallis

Antara kitab yang paling masyhur ialah:

  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi 3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mawsufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 15

Mustalah Al Hadith – Sesi 15 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 23-Ogos15

AL-MU’DAL الُمْعَضل

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja a’dala َ أعْضَلiaitu memenatkan. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari sanad dua orang perawi berturut-turut.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith dengan sanadnya kepada al-Qa’nabi

عن مالك إنه قد بلغه أن أبا هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للمملوك طعامه وكسوته بالمعروف ولا يكلف من العمل إلا ما يطيق هذا معضل أعضله عن مالك هكذا في الموطأ

“Daripada Malik bahawa sampai kepadanya bahawa Abu Hurayrah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hamba yang dimiliki itu berhak mendapat makanannya, pakaiannya secara yang baik. Dia tidak boleh dibebankan dengan kerja melainkan yang mampu dilaksanakannya. Al-Hakim berkata: Hadis ini mu’dal daripada Malik demikianlah yang diriwayatkannya secara mu’dal di dalam al-Muwatta`”

Hadis ini mu’dal kerana dua orang perawi berturut-turut gugur antara Malik dan Abu Hurayrah. Kita telahpun mengetahui bahawa keguguran ini berlaku berdasarkan kepada hadis lain yang diriwayatkan di luar kitab al-Muwatta`. Sanad itu ialah daripada Malik daripada Muhammad bin ‘Ajlan daripada bapanya daripada Abu Hurayrah.

Hukumnya

Mu’dal adalah hadis yang da’if dan keadaan lebih buruk daripada hadis mursal dan munqati’ kerana ramainya perawi yang gugur daripada sanad. Hukum ini sepakat di kalangan ulama.

Persamaan Antara Mu’dal Dan Mu’allaq

Di antara mu’dal dan mu’allaq terdapat hubungan keumuman dan kekhususan dari satu sudut.

  1. Menyerupai mu’allaq dari sudut, apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari permulaan sanadnya. Pada ketika itu, hadis ini dalam masa yang sama mu’dal dan mu’allaq.
  2. Berbeza dalam dua bentuk:
  • Apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari pertengahan sanad maka itu adalah mu’dal tidak mu`allaq.
  • Apabila seorang perawi sahaja yang dibuang dari permulaan sanad, maka ia adalah mu’allaq tidak mu’dal.

Antara Sumber Hadis Mu’dal

Al-Suyuti menulis: Di antara sumber hadis mu’dal ialah:

  1. Kitab al-Sunan karangan Sa’id bin Mansur.
  2. Kitab-kitab Ibn Abi al-Dunya.

AL-MUNQATI’ المنقطع

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku bagi kata kerja inqata’a انقطعiaitu terputus. Dari segi istilah ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.

Contohnya

Iaitu setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau akhirnya atau pertengahannya. Dengan itu, termasuk di dalam ta’rif ini, mursal, Mua’allaq dan mu’dal.

Bagaimanapun, ulama Mustalah al-Hadith mutakhirin mengkhususkan munqati’ dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadis mursal, mu’allaq atau mu’dal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama mutaqaddimin. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan: “Munqati’ itu lebih banyak digunakan kepada riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi‘i daripada sahabat seperti Malik daripada Ibn ‘Umar.

Munqati` Mengikut Ulama Hadis Yang Mutakhir

Iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mu’allaq atau mu’dal. Seolah-olah munqati’ lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad, gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam Nukhbah al-Fikar dan syarahnya, Nuzhah al-Nazar.

Kadang-kadang terputus sanad berlaku di satu bahagian pada sanad kadang-kadang berlaku lebih daripada satu seperti dua atau tiga bahagian.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq:

ثنا عبد الرازق قال ذكر الثوري عن أبي إسحاق عن زيد بن يثيع عن حذيفة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن وليتموها أبا بكر فقوي أمين

“‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya al-Thawri telah menyebutkan daripada Abu Ishaq daripada Zayd bin Yuthay’ daripada Hudhayfah secara marfu’: Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”

Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Sharik antara al-Thawri dan Abu Ishaq kerana al-Thawri tidak pernah mendengar hadis daripada Abu Ishaq secara langsung. Sebenarnya beliau mendengar daripada Sharik dan Sharik mendengar daripada Abu Ishaq.

Terputus sanad ini tidak sesuai untuk dikatakan sebagai mursal, mu’allaq atau mu’dal. Justeru kita mengatakan ia adalah munqati’.

Hukumnya

Munqati’ adalah da’if dengan sepakat ulama kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang gugur.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 14

Mustalah Al Hadith – Sesi 14 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 16-Ogos-15

Perbahasan Kedua: Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad

Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.

Bahagian-Bahagian Gugur

Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Gugur Yang Jelas

Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapat dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.

Ulama hadis telah memperkenalkan empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.

  1. al- Mu‘allaq
  2. al-Mursal
  3. al-Mu‘dal
  4. al-Munqati’

Kedua: Gugur Tersembunyi

Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad. Ia mempunyai dua nama iaitu:

  1. al-Mudallas
  2. al-Mursal al-Khafiy

AL- MU‘ALLAQ المعلّق

Definisi
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja ‘allaqa al-shay` علّق الشيئ iaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu‘allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.

Bentuknya

  1. Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda…
  2. Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi’in.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal tajuk Bab Ma Yudhkar fi al-Fakhdh:

وَقَالَ أَبُو مُوسَى غَطَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُكْبَتَيْهِ حِينَ دَخَلَ عُثْمَانُ

Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika ‘Uthman masuk.”

Hadis ini adalah hadis mu‘allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja iaitu Abu Musa al-Ash’ari.

Hukum Hadis Mu‘allaq

Hadis mu‘allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis iaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.

Hukum Hadis-Hadis Mu‘allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim

Hukum ini iaitu hadis mu‘allaq tertolak hanya kepada hadis mu‘allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu‘allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.

  1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’ dan ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
  2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak dihukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat da’if) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan keda’ifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.

AL-MURSAL

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja “arsal” iaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi’in.

Bentuknya

Bentuknya ialah seorang tabi’in – besar atau kecil berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya dalam kitab al-Buyu’

Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi’ menceritakan kepadaku bahawa al-Layth menceritakan daripada`Uqayl daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin al-Musayyab bahawa Rasulullah s.a.w melarang dari al-muzabanah dan al-muhaqalah.

Sa’id bin al-Musayyab adalah tabi’in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi’in. Paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi’in.

Mursal Menurut Fuqaha’ Dan Ulama Usul

Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursalmenurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati’ tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib al-Baghdadi.

Hukumnya

Mursal pada asalnya da’if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul iaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan kedudukan perawi yang digugurkan tidak diketahui. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu da’if.

Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita’ (terputus sanad) berbeza dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan sanad jika mereka tidak diketahui.

Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:

  1. Da’if dan Mardud, iaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
  2. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi’in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
  3. Menerima dengan syarat. Iaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Shafi’i dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu. Syarat-Syarat tersebut ialah:
  1. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi’i yang besar.
  2. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
  3. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
  4. Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut:
  • Hadis itu diriwayatkan melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung)
  • Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
  • Hadis itu bertepatan dengan qawl al-Sahabi (pendapat sahabat)
  • Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut ma’na hadis itu.

Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka haids itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai bentuk jalan.

Perkara-perkara yang menjadi tambahan kepada syarat-syarat di atas dapat dihuraikan dengan cara berikut:

Hadis mursal + hadis musnad = sahih

Hadis mursal + hadis mursal = sahih

Hadis mursal + qawl sahabat = sahih

Hadis mursal + fatwa kebanyakan ulama = sahih

Mursal al-Sahabi

Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasululah s.a.w yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn `Abbas, Ibn al-Zubayr dan lain-lain.

Hukum Mursal al-Sahabi

Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi’in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi’in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan sanad.

Dikatakan hukum mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini da’if dan tertolak.

Kitab-kitab yang masyhur

  1. Al-Marasil karangan Abu Dawud.
  2. Al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim
  3. Jami’ al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-‘Ala’’i

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 13

Mustalah Al Hadith – Sesi 13 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 09 Ogos15

Bagaimana Hadis Nasikh Dan Mansukh Diketahui?

Hadis nasikh dan mansukh diketahui dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

  1. Penjelasan Rasulullah s.a.w. seperti hadis Buraydah di dalam Sahih Muslim:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيارَةِ القُبُورِ فَزُورُوها فَإنَّها تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

“Dahulu aku melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan akhirat.”

  1. Kata-kata sahabat seperti Jabir bin ’Abdullah berkata:
كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتْ النَّارُ

Perkara terakhir daripada Rasulullah s.a.w. ialah tidak berwudu` kerana memakan makanan yang dimasak dengan api.”

Hadis ini telah dikeluarkan oleh pengarang-pengarang kitab sunan.

  1. Mengetahui sejarah seperti hadis Shaddad bin Aws yang diriwayatkan oleh Abu Dawud:
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

“Puasa tukang bekam dan orang dibekam telah terbatal.”

Hadis ini telah dinasakhkan oleh hadis Ibn ‘Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam keadaan baginda berihram dan berpuasa.”

Dalam sesetengah jalan hadis Shaddad, itu berlaku pada zaman pembukaan Mekah sedangkan Ibn ‘Abbas mendampingi baginda ketika Hajjah al-Wida’.

  1. Petunjuk ijma’ seperti hadis
مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa meminum arak maka hendaklah kamu menyebatnya. Sekiranya dia mengulangi pada kali keempat maka bunuhlahnya.” (hadis riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud)

Imam al-Nawawi berkata: Ijma’ menunjukkan tentang mansukhnya hukum itu. Ijma’ itu sendiri tidak memansukhkannya dan tidak juga dinasakhkan tetapi menunjukkan kepada nasikh (hadis yang menasakhkan).

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. al-I’tibar fi al-Nasikh Wa al-Mansukh Min al-Athar karangan Abu Bakar Muhammad ibn Musa al-Hazimi.
  2. al-Nasikh wa al-Mansukh karangan Imam Ahmad
  3. Tajrid al-Ahadith al-Mansukhah tulisan Ibn al-Jawzi.

FASAL KETIGA: KHABAR MARDUD (TERTOLAK)

KHABAR MARDUD DAN SEBAB-SEBAB PENOLAKANNYA

Definisi

Hadis yang tidak terbukti kebenaran perawi kerana ketiadaan salah satu atau lebih syarat penerimaan hadis yang kita telah bincangkan dalam perbahasan hadis sahih.

Pembahagian Mardud Dan Sebab-Sebab Penolakannya

Ulama telah membahagikan khabar mardud kepada beberapa bahagian. Bagi setiap bahagian itu, ulama telah menyebutkan namanya masing-masing. Ada juga yang tidak diberikan nama khusus tetapi mereka menamakannya dengan nama umum iaitu da’if.

Terdapat banyak sebab-sebab penolakan sesuatu hadis namun secara ringkasnya ia merujuk kepada dua sebab utama iaitu:

  1. Keguguran perawi daripada sanad
  2. Kecaman terhadap perawi

Di bawah setiap sebab ini terdapat pelbagai bentuk. Penulis akan membincangkan dengan berasingan secara terperinci dengan didahului dengan perbahasan da’if yang dikira sebagai nama umum bagi hadis mardud.

PERBAHASAN PERTAMA: AL-DA’IF

Definisi

Dari sudut bahasa ia lawan kepada al-qawiyy (yang kuat), kelemahan itu terbahagi kepada konkrit dan abstrak. Yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan abstrak.

Makna istilahnya pula ialah hadis yang tidak mencukupi sifat hasan kerana ketiadaan salah satu syaratnya.

Al-Bayquni mengungkapkan di dalam nazamnya:

Setiap hadis rendah daripada tingkat hasan, maka itu da’if dan banyak pula bahagiannya.

Kepelbagaiannya

Tahap keda’ifan hadis berbeza mengikut tahap berat dan ringan kelemahan para perawi sebagaimana terdapat pelbagai tingkatan bagi hadis sahih. Antaranya da’if, da’if jiddan, wahi, munkar dan yang paling jelik ialah maudu’.

Sanad Yang Paling Lemah

Berdasarkan kepada perbahasan dalam hadis sahih tentang sanad yang paling sahih, ulama menyebut dalam perbahasan da’if satu istilah yang dinamakan sanad yang paling lemah. Al-Hakim al-Naysaburi menyebut beberapa sanad yang paling da’if dengan nisbah kepada sebahagian sahabat, sebahagian kawasan dan negeri. Penulis akan menyebutkan beberapa contoh daripada kitab al-Hakim dan kitab-kitab lain.

  1. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Abu Bakar al-Siddiq iaitu Sadaqah bin Musa al-Daqiqi daripada Farqad al-Sabakhi daripada Murrah al-Tayyib daripada Abu Bakar.
  2. Sanad penduduk Sham yang paling lemah iaitu Muhammad bin Qays al-Maslub daripada `Ubaydullah bin Zahr daripada `Ali bin Yazid daripada al-Qasim daripada Abi Umamah.
  3. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Ibn `Abbas iaitu al-Suddi al-Saghir Muhammad bin Marwan daripada al-kalbi daripada Abu Salih daripada Ibn `Abbas. Hafiz Ibn Hajr berkata: Ini adalah silsilah dusta bukan silsilah emas.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidhi daripada tariq Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi perempuan yang haid atau mendatangi isteri pada duburnya atau menemui tukang tilik, sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w.”

Setelah mengeluarkan hadis ini, al-Tirmidhi mengulas: kita tidak mengetahui hadis ini dari hadis Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Abu Hurayrah .” Kemudian al-Tirmidhi berkata lagi: “Muhammad al-Bukhari telah menda’ifkan hadis ini dari sudut sanadnya. Penulis berpendapat ini kerana pada sanadnya ada Hakim al-Athram. Ulama telah mengatakannya da’if. Dalam Taqrib al-Tahdhib, Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya ada kelemahan”.

Hukum Meriwayatkan Hadis Da’if

Di sisi ulama hadis dan juga orang lain, harus meriwayatkan hadis da’if dan bermudah pada sanadnya tanpa menjelaskan keda’ifannya berbeza dengan yang maudu’ kerana tidak harus meriwayatkannya kecuali dengan menjelaskan tentangnya. Keharusan meriwayatkan hadis da’if dengan dua syarat:

  1. Tidak berkait dengan `akidah.
  2. Periwayatan itu bukan tentang hukum syara’ yang berkaitan dengan halal haram.

Harus meriwayatkannya pada perkara seperti peringatan, galakan, ancaman, cerita-cerita dan sebagainya. Antara mereka yang disebutkan bermudah-mudah dalam meriwayatkannya ialah Sufyan al-Thawri, `Abdul Rahman bin Mahdi dan Ahmad bin Hanbal.

Perlu diberi perhatian apabila anda meriwayatkan hadis da’if tanpa sanad, maka janganlah anda menyebutkan ‘Rasulullah s.a.w bersabda’, tetapi katakanlah ‘diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. .. atau `sampai kepada kami’ dan sebagainya supaya anda tidak secara pasti menisbahkan hadis tersebut kepada Rasulullah s.a.w sedangkan anda mengetahui kelemahannya.

Hukum Beramal Dengan Hadis Da’if

Ulama berbeza pendapat tentang hukum beramal dengan hadis da’if. Pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah dianggap elok beramal dengan hadis da’if berkenaan dengan keutamaan-keutamaan amalan namun dengan tiga syarat yang telah dihuraikan oleh Hafiz Ibn Hajar.

  1. Keda’ifan yang tidak bersangatan.
  2. Ia termasuk di bawah prinsip atau dalil yang diamalkan.
  3. Tidak boleh yakin tentang sabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.

Kitab-Kitab Terkenal Yang Didapati Mengandungi Banyak Hadis Da’if:

  1. Kitab-kitab yang disusun berkenaan perawi-perawi da’if seperti Kitab al-Du’afa’ tulisan Ibn Hibban, Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi. Mereka telah menyebutkan contoh-contoh hadis da’if yang menjadi da’if kerana periwayatan orang-orang da’if tersebut.
  2. Kitab-kitab yang disusun tentang bentuk-bentuk da’if secara khusus seperti kitab-kitab al-Marasil , al-‘Ilal, al-Mudraj dan sebagainya. Contohnya Kitab al-Marasil tulisan Abu Dawud, Kitab al-Ilal susunan al-Daruqutni.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 12

Mustalah Al Hadith – Sesi 12 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 03-Ogs-15,

Contoh Hadis Mukhtalif

Hadis لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَة “Tidak ada jangkitan dan sial burung” yang dikeluarkan oleh Muslim dan hadis

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

“Larilah dari orang yang diserang kusta seperti anda lari dari singa”

yang dikeluarkan oleh al-Bukhari.

Kedua-dua hadis ini adalah sahih, namun pada zahirnya ada pertentangan kerana hadis yang pertama menafikan jangkitan manakala hadis yang kedua mensabitkannya. Para ulama telah mengkompromikan dan menyelaraskan antara kedua-dua maknanya dengan pelbagai cara. Di sini penulis menyebutkan pandangan yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang keterangannya seperti berikut:

Metode Penyelarasan

Cara menyelaraskan antara dua hadis ini boleh dikatakan, jangkitan itu dinafikan ada dan ianya tidak sabit berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

لا يٌعْدِي شيء شيئاً

Sesuatu itu tidak boleh menjangkiti sesuatu yang lain.

Dan sabda baginda kepada orang yang mempersoalkan tentang unta yang berkurap yang berada di tengah-tengah unta sihat lalu bercampur dengannya dan unta dijangkiti kurap juga. Baginda menjawab:

فَمَنْ أَجْرَبَ الْأَوَّلَ

Kalau begitu siapa yang menyebabkan jangkitan pada unta yang pertama?

Maksudnya ialah Allah s.w.t. yang menyebabkan penyakit itu pada yang kedua sebagaimana Dia menyebabkan pada yang pertama. Perintah lari atau menjauhi dari orang yang terkena kusta itu adalah sebagai menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Dhari’ah) supaya seseorang yang bergaul dengan pesakit kusta itu tidak terkena kepadanya penyakit kusta dengan takdir Allah bukan kerana jangkitan. Dengan itu, dia akan menyangka itu kerana dia bergaul dengan pesakit itu, lalu menyebabkannya mempercayai adanya jangkitan dan menjerumuskannya dalam dosa. Oleh kerana itu, diperintahkan supaya menjauhi pesakit kusta sebagai mengelak diri daripada terjerumus dalam kepercayaan yang membawanya kepada dosa.

Apakah Yang Wajib Dilakukan Bila Menemui Dua Hadis Maqbul Yang Saling Bertentangan?

Bila seseorang menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan, dia wajib mengikuti peringkat-peringkat berikut:

  1. Dia mesti menyelaraskan antara kedua hadis tersebut jika boleh dan wajib beramal dengan kedua-duanya.
  2. Jika tidak boleh diselaraskan dengan apa-apa sudut:
  •  Sekiranya diketahui mana satu yang nasikh, maka itulah yang diutamakan dan diamalkan dengannya serta yang mansukh ditinggalkan.
  •  Sekiranya tidak diketahui nasikh dan mansukh, maka ditarjihkan salah satunya dengan mana-mana bentuk tarjih yang berjumlah lebih daripada lima puluh bentuk. Dengan itu, hadis yang rajah (kuat) diamalkan.
  • Sekiranya salah satu hadis tersebut tidak dapat ditarjihkan – ini jarang berlaku – maka ditangguhkan beramal dengan hadis tersebut sehinggalah alasan yang kuat diketahui .

Kepentingan

Bahagian ini merupakan antara cabang ilmu hadis yang terpenting kerana semua ulama terpaksa mengetahuinya. Kemahiran yang sempurna di dalam disiplin ini hanya dimiliki oleh imam-imam yang menggabungkan antara ilmu hadis dan fiqh dan ulama usul yang menyelami makna-makna yang halus. Bagi mereka, jarang sekali timbul kemusykilan apabila berhadapan dengan hadis-hadis seperti ini.

Pertentangan dalil-dalil benar-benar telah merangsangkan fikiran ulama. Padanya terserlah bakat dan kehalusan pemahaman serta pendapat mereka yang baik. Begitu juga padanya juga ramai orang yang mengharungi kebanjirannya pasti tergelincir iaitu dari kalangan mereka yang masih lagi mentah dalam menghadapi perbahasan para ulama.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. Ikhtilaf al-Hadith karangan Imam al-Shafi’i. Beliau merupakan orang yang pertama membincangkan dan mengarang ilmu ini.
  2. Ta’wil Mukhtalif al-Hadith tulisan Ibn Qutaybah ‘Abdullah bin Muslim
  3. Mushkil al-Athar hasil karangan al-Tahawi Abu Ja’far Ahmad bin Salamah.

NASIKH AL-HADITH WA MANSUKHUH ناسخ الحديث ومنسوخه

Definisi Nasakh

Nasakh Dari sudut bahasa ia mempunyai dua makna, pertama, menghilangkan. Daripadanya terbit contoh nasakhat al-shams al-zill نسختْ الشمْسُ الظلَّ iaitu matahari menghilangkan bayangannya. Kedua, memindahkan. Daripadanya terbit contoh nasakhtu al-kitab َ نَسَخْتُ الكتاب iaitu saya memindahkan buku apabila saya menukilkan apa-apa yang ada padanya. Dengan ini, seolah-olah al-nasikh telah menghilangkan al-mansukh atau memindahkannya kepada hukum yang lain.

Manakala makna istilahnya ialah: Shari’ (Allah dan Rasul-Nya) telah mengangkat suatu hukum yang datang daripadanya dan menggantikan dengan hukum yang lain yang datang kemudian.

Kepentingan Dan Kesukarannya

Mengetahui hadis yang memansukhkan dan hadis yang dimansukh merupakan satu disiplin yang penting dan sukar. al-Zuhri pernah berkata: “Pengetahuan tentang hadis nasikh dan mansukh telah memenatkan dan melemahkan para fuqaha.”

Antara ulama terkenal yang menonjol dalam bidang ini ialah Imam al-Shafi’i dan beliau mempunyai jasa dan sumbangan yang sungguh besar. Imam Ahmad bertanya kepada Ibn Warah yang tiba dari Mesir: “Adakah anda mencatat buku-buku al-Shafi’i? Beliau menjawab: “Tidak”. Beliau berkata: “Anda telah cuai. Kami tidak mengetahui mana yang mujmal dan mana yang mufassar , mana yang hadis nasikh dan mana hadis mansukh sehinggalah kamu duduk di majlis al-Shafi’i”.

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Hadith – Sesi 11

Mustalah Al Hadith – Sesi 11 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 14-Jun-15

AL-SAHIH LI GHAYRIH الصحيح لغيره

Definisi
Iaitu hadis hasan li dhatihi apabila diriwayatkan melalui jalan yang lain sepertinya atau lebih kuat darinya. Dinamakan sahih lighairih kerana kesahihan tidak datang dari sanad itu sendiri, tetapi hanya sahih apabila digabungkan dengan sanad lain dan ini boleh digambarkan dengan formula berikut:

hasan li dhatihi + hasan li dhatihi = sahih li ghayrihi

Martabatnya
Lebih tinggi martabatnya dari hasan li dhatihi dan lebih rendah daripada sahih li dhatihi.

Contohnya

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيبٍ، حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بنُ سُلَيمانَ، عن مُحَمَّدِ بنِ عَمْروٍ، عن أَبي سَلَمَةَ، عن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ”.

Hadis Muhammad bin ‘Amr daripada Abi Salamah daripada Abi Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana memberatkan ummatku pasti aku akan menyuruh mereka menggosok gigi setiap kali sembahyang.”

Ibn al-Salah berkata: “Muhammad bin ‘Amr bin ‘Alqamah adalah dari kalangan yang masyhur dengan benar dan menjaga diri cumanya beliau bukan dari ahli itqan sehingga sebahagian mereka menda’ifkannya kerana ingatannya buruk dan sebahagain mereka pula menthiqahkannya kerana benarnya dan kedudukannya. Dengan itu, dari sudut ini, hadis ini hasan. Apabila digabungkan dengan keadaannya diriwayatkan melalui tariq yang lain, kebimbangan kita tentang buruk hafalannya tidak ada lagi dan kekurangan yang sedikit itu tertampung dengan sebab tariq tersebut. Dengan sebab itu, sanad ini menjadi sahih dan tergolong di dalam martabat sahih.”

AL-HASAN LI GHAYRIH حسن لغيره

Iaitu hadis da’if apabila mempunyai banyak tariq dan sebab keda’ifannya bukan kefasiqan dan pendustaan perawi.

Difahami daripada definisi ini, hadis da’if boleh meningkat ke tahap hasan li ghayrih dengan dua perkara:

Diriwayatkan daripada satu tariq lain atau lebih dengan syarat tariq tersebut sepertinya atau lebih kuat daripadanya.
Sebab keda’ifan hadis itu sama ada buruk hafalan, terputus pada sanad atau tidak diketahui tentang perawi-perawinya.
Sebab Dinamakan Dengan Hasan Li Ghayrih

Sebab dinamakan dengan hasan kerana sifat hasan itu bukan datang melalui sanad itu sendiri tetapi kerana digabungkan dengan yang lain. Hadis da’if yang meningkat kepada hasan ligahrihi dapat digambarkan dengan formula berikut:

Da’if + da’if = hasan li ghayrih

Martabatnya

Hasan li ghayrih lebih rendah kedudukannya daripada hasan li dhatih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, sekiranya hadis hasan li dhatihi bercanggah dengan hasan li ghayrih, maka hasan li dhatih didahulukan.

Hukumnya

Ia termasuk dalam hadis maqbul yang boleh berhujah dengannya.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan beliau mengatakannya hasan melalui tariq Shu’bah:

عَنْ عَاصِمِ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ قَال سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عُمَرَ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَسَهْلِ بْنِ سَعْدٍ وَأَبِي سَعِيدٍ وَأَنَسٍ وَعَائِشَةَ وَجَابِرٍ وَأَبِي حَدْرَدٍ الْأَسْلَمِيِّ

Daripada ‘Asim bin ‘Ubaydillah bin ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi’ah daripada bapanya bahawa ada seorang wanita daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah anda setuju untuk dirimu dan harta dengan sepasang kasut? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan.

Al-Tirmidhi berkata: “Di dalam bab ini ada diriwayatkan juga daripada ‘Umar, Abu Hurayrah, ‘A`ishah dan Abi Hadrad al-Aslami.”

‘Asim adalah seorang da’if kerana hafalannya buruk, sedangkan al-Tirmidhi menghukumkan hadis ini hasan kerana ia mempunyai lebih daripada satu jalan.

KHABAR AHAD MAQBUL YANG MEMPUNYAI SOKONGAN

Pendahuluan

Di akhir perbahasan bahagian hadis maqbul, penulis akan menyentuh hadis maqbul yang mempunyai sokongan. Maksudnya ialah hadis yang mempunyai perkara-perkara tambahan selain daripada syarat-syarat yang diperlukan pada hadis maqbul.

Perkara-perkara tambahan yang ada pada sesuatu hadis maqbul akan menambahkan kekuatannya dan menjadikannya lebih istimewa daripada hadis-hadis maqbul yang lain yang tidak ada perkara-perkara tersebut disamping ia lebih diutamakan daripada yang lain.

Bahagian-bahagiannya

Hadis yang mempunyai sokongan ada beberapa bahagian, yang paling masyhur ialah:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka yang tidak mencapai tahap mutawatir. Ianya disokong dengan:

Kedudukan mereka yang tinggi di dalam bidang ini.
Kedua-dua kitab ini terkehadapan dalam membezakan hadis sahih berbanding dengan yang lain.
Para ulama menerima baik kitab-kitab mereka. Penerimaan ini sahaja cukup kuat dalam menghasilkan ilmu daripada semata-mata banyak tariq yang tidak mencapai tahap mutawatir.
Hadis masyhur yang mempunyai tariq yang berbeza semuanya tidak ada keda’ifan perawi dan ‘illah.
Hadis musalsal dengan para imam hafiz dan mempunyai sifat itqan (ketekunan dan ketelitian) yang tidak menjadi gharib. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Imam al-Shafi’i daripada Imam Malik. Selain daripada Imam Ahmad, ramai lagi meriwayat daripada Imam al-Shafi’i, begitu juga selain dari Imam al-Shafi’i, ramai perawi lain yang meriwayatkan daripada Imam Malik.
Hukumnya

Ia lebih kuat daripada mana-mana hadis ahad maqbul. Sekiranya hadis ahad yang memiliki sokongan, bercanggah dengan hadis-hadis maqbul lain, maka didahulukan hadis yang mempunyai sokongan itu.

PERBAHASAN KEDUA: KLASIFIKASI KHABAR MAQBUL KEPADA YANG YANG DIAMALKAN DAN TIDAK BOLEH DIAMALKAN

Khabar maqbul terbahagi kepada dua: yang boleh diamalkan dan tidak boleh diamalkan. Terbit daripada pembahagian ini dua ilmu hadis iaitu al-Muhkam wa Mukhtalif al-hadih dan al-nasikh wa al-Mansukh.

AL-MUHKKAM WA MUKHTALIF AL-HADITH

Definisi al-Muhkam

Dari segi bahasa ia adalah isim maf’ul daripada perkataan ahkama yang bererti atqana iaitu mengemaskan; mengukuhkan.

Dari segi istilah pula ia adalah hadis maqbul yang selamat daripada percanggahan dengan hadis sepertinya.

Kebanyakan hadis adalah hadis muhkam. Bagi nisbah kepada keseluruhan hadis, sedikit sahaja hadis yang saling bercanggah dan berbeza (al-ahdadithal-muta’ aridah wa al-mukhtalifah)

Definisi Mukhtalif al-Hadith

Dari segi bahasa ia adalah isim fa’il daripada perkataan al-ikhtilaf lawan kepada perkataan al-ikhtifa’. Maksud mukhtalif al-hadith ialah hadis-hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan saling bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain dari segi makna.

Menurut istilah pula ia adalah hadis maqbul yang bercanggah dengan hadis sepertinya dan boleh dihimpunkan (jama’ wa tawfiq) antara keduanya.

Iaitu hadis sahih atau hasan yang didatangi oleh hadis lain sepertinya dari segi martabat dan kekuatan, dan secara zahir menyanggahinya pada ma’na serta dapat dihimpunkan dan diselaraskan pengertian kedua-duanya oleh ahli ilmu dan ulama yang berfikiran tajam dalam bentuk yang boleh diterima.

SHARE THIS:

Ilmu-Ilmu dan Perbincangan Tentang Hadith – Mustolah Al-Hadis – Sesi 10

Mustalah Al Hadith – Sesi 10 – Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 07-Jun-15

Maksud Kata-Kata Al-Tirmidhi Dan Lain-Lain: “Hadis Hasan sahih”

Zahirnya, ungkapan ini mengelirukan, kerana hasan lebih rendah daripada darjah sahih. Bagaimana boleh dihimpunkan kedua-duanya sedangkan martabat kedua-duanya berbeza? Para ulama telah memberikan pelbagai jawapan kepada maksud ungkapan al-Tirmidhi ini. Jawapan yang paling baik ialah yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan dipersetujui oleh al-Suyuti, kesimpulannya seperti berikut:

  1. Sekiranya hadis itu mempunyai dua sanad atau lebih, ungkapan itu bermaksud hasan berdasarkan satu sanad dan sahih berdasarkan kepada satu satu lagi.
  2. Sekiranya hadis itu hanya mempunyai satu sanad, maksudnya ialah hasan menurut satu kumpulan ulama dan sahih menurut yang lain.

Seolah-olah beliau memberikan isyarat tentang perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang kedudukan hadis ini, atau baginya hadis ini tidak boleh ditentukan sama ada sahih atau hasan.

Klasifikasi al-Baghawi Hadis-Hadis Masabih al-Sunnah

Al-Imam al-Baghawi telah menggunakan istilahnya yang tersendiri di dalam kitabnya, Masabih al-Sunnah. Beliau telah mengisyaratkan hadis-hadis yang terdapat di dalam dua kitab sahih atau salah satunya dengan kata-katanya:

“sahih”

dan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab sunan yang empat dengan kata-katanya: “hasan”. Ini adalah istilah yang tidak selari dengan istilah umum dipakai di kalangan ulama hadis kerana di dalam kitab-kitab sunan yang empat itu terdapat hadis sahih, hasan, da’if dan munkar. Oleh kerana itu, Ibn al-Salah dan al-Nawawi memberi peringatan tentang perkara ini. Dengan itu, sepatutnya pembaca kitab Masabih al-Sunnah lebih peka dengan istilah al-Baghawi di dalam kitab ini apabila beliau menyebut tentang hadis-hadis sebagai sahih atau hasan.

Kitab-Kitab Yang Boleh Didapati Hadis Hasan Dengan Banyaknya

Para ulama tidak menulis secara berasingan hadis-hadis hasan di dalam satu kitab seperti mana mereka mengkhususkan hadis-hadis sahih sahaja dalam tulisan mereka. Namun begitu terdapat beberapa kitab hadis yang terdapat di dalamnya banyak hadis hasan, antara yang masyhur ialah:

  1. Jami’ al-Tirmidhi atau yang lebih dikenali sebagai Sunan al-Tirmidhi. Ia adalah sumber utama untuk mengetahui hadis hasan. Al-Tirmidhilah yang memasyhurkan istilah hasan di dalam kitab ini dan orang yang paling banyak menyebutkannya. Bagaimanapun kita harus berhati-hati tentang edisi yang berbeza-beza berhubung dengan kata-kata beliau: “hasan sahih” dan sebagainya. Adalah menjadi tanggungjawab pelajar hadis memberi perhatian dalam memilih edisi yang telah dinilai dan membandingkan dengan manuskrip asal yang diakui.
  2. Sunan Abi Dawud: Beliau telah menyebutkan di dalam suratnya kepada penduduk Mekah bahawa beliau menyebutkan di dalam sunannya hadis sahih, hadis yang menyerupainya dan hadis yang hampir dengannya. Sekiranya hadis itu mempunyai keda’ifan yang kuat, beliau akan menjelaskannya dan hadis yang tidak disebutkan apa-apa tentangnya maka itu adalah salih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, apabila kita mendapati di dalam sunan ini hadis yang beliau tidak menjelaskan keda’ifannya dan tidak ditashihkan oleh mana-mana imam yang diakui maka itu adalah hadis hasan di sisi Abu Dawud.
  3. Sunan al-Daruqutni: Beliau menyebutkan dengan jelas kebanyakan hadis hasan di dalam kitab ini.