USUL DIRAYAT HADITH – SESI 5 – (Sambungan) Usul No 3 – Hadith-hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

VIDEO – [Durasi – 2j 0m 40s] –Sesi 5 – Riwayat Tidak Sesuai Dgn kedudukan Nabi-nabi & Aibkan Mereka [USUL DIRAYAT HADIS – Usul 3]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube –  https://youtu.be/BuD-m3Ez48s ]

(Sambungan) USUL KETIGA – Hadith-hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

2. At-Thabari, Ilmu Ibu Haatim dan al-Baghawi adalah antara ahli tafsir yang paling banyak mengemukakan riwayat-riwayat Israiliyyat tentang kisah penderitaan Nabi Ayyub a.s. Kisah yang kebanyakannya berpunca daripada Wahab bin Munabbih dan Ka’ab al-Ahbaar itu telah menghiasi beberapa muka surat di dalam tafsir mereka ketika mentafsirkan ayat 83 dan 84 dari Surah al-Anbiyaa’ dan ayat 41 hingga 44 dari Surah Shaad. Tentang penderitaan dan kesengsaraan yang menimpa diri Nabi Ayyub banyaklah cerita yang panjang atau yang pendek. Kesimpulan cerita ialah beliau seorang yang kaya-raya, tetapi dermawan. Suka menolong orang yang miskin melarat dan sangat bertaqwa pula kepada Tuhan. Kemudian datanglah pusingan dunia; beliau jatuh melarat, harta kekayaan habis musnah dan badan pun jatuh sakit.

Antara yang tersebut di dalam riwayat-riwayat Wahab dan Ka’ab ialah:

(i) Nabi Ayyub telah mengalami penyakit kusta di seluruh tubuhnya.

(ii) Tidak ada bahagian tubuh Nabi Ayyub yang terselamat daripada penyakit itu kecuali hati dan lidahnya yang dilindungi Allah untuk beliau berzikir kepada-Nya.

(iii) Orang ramai memandang jijik dan meluat dengan Nabi Ayyub.

(iv) Orang ramai telah membuang Nabi Ayyub di tempat pembuangan sampah dan kotoran.

(v) Tidak ada orang yang mengasihani Nabi Ayyub dan bersimpati dengannya selain isterinya.

(vi) Isteri Ayyub telah menghadapi banyak sekali cabaran, dugaan dan kesengsaraan semasa menjaga Nabi Ayyub dalam penderitaannya.

(vii) Kudis-kudis ditubuh nabi Ayyub dikatakan berulat.

(viii) Nabi Ayyub dikatakan sentiasa dikerumuni serangga dan binatang-binatang melata. Pebangkai (binatang-binatang yang memakan bangkai binatang lain seperti anjing, serigala dan lain-lain) juga dikatakan sentiasa mengintai peluang untuk menggonggong tubuh nabi Ayyub.

(ix) Menurut riwayat as-Suddi, penyakit kulit yang dideritai Nabi Ayyub itu telah membuatkan daging ditubuhnya menjadi reput dan tanggal sedikit demi sedikit sehingga akhirnya yang tinggal hanyalah tulang-tulang dan urat-urat sahaja.

3) Imam Ahmad di dalam kitabnya az-Zuhd dan at-Thabari di dalam Tafsirnya dengan sedikit perbedaan pada lafaz meriwayatkan daripada `Abdur Rahman bin Jubair. Berikut dikemukan lafaz riwayat at-Thabari di dalam Tafsirnya:

Maksudnya: “Setelah Nabiyyullah Ayyub a.s. diuji dengan kehilangan harta benda dan anak-pinak serta penyakit teruk di tubuhnya. Beliau pula dibuang di tempat pembuangan sampah.

Komentar:

a) Walaupun hadits (1) dihukum sahih oleh al-Haakim, Ibnu Hibban dan ad-Dhiyaa’ al-Maqdisi, Ibnu Katsir tetap berkata: “Mengatakan hadits ini marfu’ adalah terlalu gharib”

b) Kata al-Bazzaar: “Kita tidak mengetahui ada sesiapa pun meriwayatkan hadis ini daripada az-Zuhri daripada Anas selain `Uqail. Kata-kata al-Bazzaar ini menunjukkan bagi beliau hadis berkenaan adalah sebuah hadis gharib

c) Al-Imam Abu Bakr Ilmu al-Arabi berkata: “Tidak ada yang sahih berhubung dengan malapetaka yang menimpa Ayyub a.s. selain apa yang difirmankan Allah di dalam KitabNya. Satu di dalam Surah al-Anbiyaa’ ayat 83 -84 dan satu lagi di dalam Surah Shaad ayat 41-44. Adapun hadits Nabi s.a.w. maka tidak ada satu pun yang sahih berhubung dengan kisah Ayyub selain daripada hadits berikut: Bermaksud: Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda: “Ketika Ayyub a.s. sedang mandi dengan bertelanjang, tiba-tiba berguguran belalang emas di atasnya. Ayub terus mengaut belalang itu ke dalam kainnya. Maka Tuhannya menyerunya dengan berkata: “Wahai Ayyub! Bukankah aku telah membuatkan engkau tidak memerlukan kepada apa yang engkau lihat itu? Ayyub menyahut “Memanglah, demi kemuliaanMu! Bagaimanapun aku tetap memerlukan keberkatanMu” (Hadits riwayat Bukhari, Ahmad dan Nasaa’i).

d) Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah di dalam bukunya “al-Israiliyyat a al-Maudhu’at Fi Kutuh at-Tafsir menulis: “Para `ulama’ muhaqiqin (pengkaji hadits) berpendapat, hanya pereka-pereka hadits yang kerjanya menyusun sanad-sanad untuk hadits-hadits rekaan mereka sahaja mengaitkan hadits di atas dengan Nabi s.a.w.

e) Sesetengah `ulama’ hadits mempertikaikan sanad hadith Anas di atas kerana ia diriwayatkan oleh az-Zuhri secara `an’anah.

f) Riwayat-riwayat yang dinukilkan daripada Wahab bin Munabbih, Ka’ab al-Ahbaar dan lain-lain Ahli Kitab yang memeluk agama Islam di zaman sahabat tentang bencana yang telah menimpa Nabi Ayyub semuanya berpunca daripada riwayat-riwayat Israiliyyat semata-mata.

g) Perawi-perawi yang telibat dalam menukilkan riwayat-riwayat tentang kisah penderitaan Nabi Ayyub kebanyakannya bermasalah seperti Ghiyaats bin Ibrahim (pendusta), `Abdullah bin `Ishmah (majhul), Ali bin Zaid bin Jud’aan (terlalu dhaif dan rafhidah), As-Suddi as-Shaghir (pendusta besar), As-Suddi al-Kabir (dhaif) dan As-Suddi al-Kabir (pendusta).

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku dan boleh diperolehi dari

USUL DIRAYAT HADITH – SESI 4 – Usul No 3 – Hadith-hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

VIDEO – [Durasi – 1j 42m 59s] –Sesi 4 – Riwayat Tak Sesuai Dgn kedudukan Nabi-nabi & Aibkan Mereka – [USUL DIRAYAT HADIS – Usul 3]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/XeaLYKFkFMk ]

USUL KETIGA: Hadith-hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan nabi-nabi dan mengaibkan mereka

Contoh 1

Kisah Nabi Ayyub a.s. mengalami penyakit kulit luar biasa selama lebih sepuluh tahun, menyebabkan semua anak buah dan pengikut beliau menjauhkan diri dari beliau adalah sebuah kisah yang masyhur dan tersebar dengan meluas dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Nabi Ayyub a.s. kerana penyakitnya itu dipandang begitu hina oleh masyarakatnya sehingga beliau dianggap tidak layak lagi berada dalam perkumpulan orang ramai. Beliau a.s. sebaliknya telah dibuang di tempat pembuangan sampah dan kotoran. Selain isteri dan dua orang kerabat beliau, tiada siapa pun yang menjenguk dan menhiraukan beliau yang sedang menderita itu. Kisah penderitaan Ayyub begitu popular kerana ia dikatakan berpunca daripada beberapa hadits Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat baginda yang dikemukakan oleh sekian ramai ahli tafsir terkenal seperti at-Thabari, Ibnu Abu Hatim, al-Baghawi dan lain-lain. Mereka pula mengemukakannya sebagai tafsiran kepada dua rangkaian firman Allah di dalam al-Quran, satunya di dalam Surah Shaad (Ayat 41-44) dan satu lagi di dalam Surah al-Anbiyaa’ (Ayat 83-84). Jika diteliti kedua-dua kelompok ayat di atas, ia secara ringkas mengisahkan peristiwa getir yang dialami Nabi Ayyub dan kurniaan Allah kepada beliau setelah beliau berjaya menghadapinya dengan penuh kesabaran. Ia secara umum dan secara kasar memaparkan kisah penderitaan dan kesengsaraan yang pernah dialami Nabi Ayyub dalam satu fasa kehidupannya.

Tidak tersebut satu pun perkataan di dalam kedua-dua kelompok ayat tadi yang dengan jelas menunjukkan Nabi Ayyub telah mengalami penyakit kulit yang teruk sehingga beliau ditinggalkan oleh semua orang kecuali isteri dan dua orang kerabat terdekatnya. Kerana penyakit kulitnyalah beliau telah dibuang oleh masyarakat di tempat pembuangan sampah dan kotoran. Beliau pula terpaksa sentiasa bergelumang dalam abu untuk meringankan penyakit kulit yang dideritainya!.

Cerita tentang Nabi Ayyub pernah mengalami penyakit kulit yang kronik itu kalau pun ada, ia hanya berpunca daripada riwayat-riwayat Israiliyyat yang disebarkan oleh golongan Ahli Kitab yang memeluk agama Islam di zaman Tabi’in, seperti Ka’ab al-Ahbaar, Wahab bin Munabbih dan lain-lain. Ia sebenarnya sama sekali tidak berasas dan tidak datang daripada Rasulullah s.a.w. menerusi saluran-saluran riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan.

Mari kita lihat pula apa yang dikatakan sebagai hadits-hadits Rasulullah s.a.w. dan atsar-atsar para sahabat yang dijadikan sebagai pentafsir kepada firman Allah tadi. Penulis akan mengemukakan tiga sahaja daripadanya sebagai contoh.

(1) Ibnu Abi Haatim dan lain-lain …. daripada Anas bin Malik bahawa Nabi s.a.w. pernah bercerita:

Bermaksud: Sesungguhnya Nabi Ayyub a.s. diuji Allah selama lapan belas tahun. Akibatnya beliau tidak dihiraukan oleh keluarga dan masyarakat kecuali kecuali dua orang keluarga terdekatnya. Mereka berdua datang menjenguk pada waktu pagi dan petang. …… Bila petang, mereka berdua pergi menjenguk Ayyub. Yang kedua tidak dapat mengawal perasaannya, lalu ia menceritakan kepada Ayyub apa yang dikatakan oleh kawannya. Kata Ayyub: “Tak tahulah aku apa yang kamu katakan itu! Cuma Allah tentu tahu bahawa aku sering kali lalu di hadapan dua orang lelaki yang selalu bertengkar. Semasa bertengkar mereka menyebut nama Allah. Aku pula setelah sampai ke rumah, membayar kaffarah bagi pihak mereka berdua kerana tidak senang hati dengan perbuatan mereka menyebut nama Allah (bersumpah atas nama Allah) dalam keadaan tidak benar (baik) seperti itu, Kata perawi, Ayyub ketika pergi qadha’ hajat dan apabila selesai daripadanya akan dipegang (dipapah kerana terlalu lemah) oleh isterinya untuk sampai ke tempat duduknya. Pada suatu hari Ayyub lambat datang kepada isterinya. Beliau mendapat wahyu berupada firman Allah: Bermaksud: “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu: Inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”, Si isteri yang berasa Ayyub lambat datang pergi untuk melihat. Ketika itu Ayyub telah pun datang kepadanya dalam keadaan Allah telah menghilangkan daripadanya segala penderitaan yang dialaminya. Ayyub pada ketika itu berada dalam keadaannya yang terbaik: Bila isteri Ayyub melihatnya, teruslah dia berkata: “Wahai! Semoga Allah memberkatimu. Adakah engkau nampak Nabiyyallah yang menderita sakit itu? Demi Allah! Tidak pernah ku lihat sesiapa pun yang lebih menyerupainya daripadamu ketika ia sihat dahulu.” Kata Ayyub: “Akulah Ayyub!” ………….”

Hadits ini dihukum sahih oleh Ibnu Hibban, Haakim, ad-Dhiayaa’ al-Maqdisi dan beberapa orang tokoh hadits yang lain. Hafiz Ibnu Hajar bahkan berkata, hadits ini adalah yang paling sahih behubung dengan kisah penderitaan Ayyub.

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lebih lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku “USUL DIRAYAT HADITS – Satu Panduan Mudah Untuk Mengesan Hadits-Hadits Dha’if Dan Maudhu’ (Jilid 1)” Karya Maulana Muhammad Asri Muhammad Yusoff – Perbincangan Usul Dirayat No. 1 hingga 40. Buku boleh diperolehi melalui link – https://shp.ee/q92dh2c

USUL DIRAYAT HADITH – SESI 3 – Usul No 2 – Hadith-hadith yang tidak sesuai dan tidak layak dengan kedudukan Nabi kita dan mengaibkan Baginda

VIDEO – [Durasi – 1j 39m 31s] –Sesi 3 – Riwayat Tak Sesuai Dgn kedudukan Nabi Kita & Aibkan Baginda – [USUL DIRAYAT HADIS – Usul 2]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/oAIN4Uazo6E ]

USUL KEDUARiwayat-riwayat yang tidak sesuai dengan kedudukan Nabi kita Muhammad s.a.w dan mengaibkan Baginda s.a.w.

Antara contoh yang dapat dikemukakan untuk usul ini ialah:

Contoh Pertama:

Nabi s.a.w dikatakan telah bermalam di rumah Ummu Haani’ pada malam Isra Mi’raj sebelum Baginda dibawa mengembara ke Baitul Maqdis dan seterusnya ke langit.

Ibnu Ishaq berkata, “Antara kisah yang sampai kepada saya daripada Ummu Haani’ binti Abi Thalib berhubung dengan Israa’ Rasulullah (s.a.w) ialah beliau menceritakan, “Rasulullah (s.a.w) tidak di Isra’kan melainkan ketika Baginda (s.a.w) berada di rumahku. Baginda (s.a.w) tidur disampingku pada malam itu di rumahku. Mula-mula Baginda (s.a.w) bersembahyang Isya’ kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar Rasulullah telah pun mengejutkan kami lalu bersembahyang subuh. Kami pun bersembahyang bersamanya”. Setelah itu Rasulullah bersabda, “Wahai Ummu Haani’! Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan”.

Setelah itu Rasulullah (s.a.w) bangkit untuk keluar. Aku pun memegang hujung selimut Baginda (s.a.w) maka tersingkap perut Nabi (s.a.w) bagaikan kain qibti yang berlipat lalu aku pun berkata kepada Baginda (s.a.w), “Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu.” Banginda (s.a.w) berkata, “Demi Allah! Aku tetap akan menceritakannya kepada mereka.” Ummu Haani’ berkata “Aku pun memerintahkan seorang sahaya perempuanku berketurunan Habsyi, “Eh! Ikutlah Rasulullah (s.a.w) supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterengan Baginda itu.” Dan seterusnya………….

Bila Rasulullah (s.a.w) keluar kepada orang ramai, Baginda (s.a.w) terus menceritakan kepada mereka. Mendengar cerita Baginda (s.a.w) itu, mereka kehairanan lalu bertanya, “Apakah bukti kepada keteranganmu wahai Muhammad? Sesungguhnya kami tidak pernah mendengar cerita seumpama ini……”

Komentar:

a) Kisah yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq di dalam riwayat di atas memuatkan banyak perkara yang menunjukkan kepalsuannya. Di samping ia menepati beberapa Usul Dirayat lain yang menunjukkan dengan jelas tentang kepalsuannya, ia juga memuatkan usul yang sedang kita bicarakan ini. Riwayat ini benar-benar tidak sesuai dengan kedudukan Nabi kita Muhammad s.a.w dan meng’aibkan Baginda, kerana Rasulullah s.a.w dikatakan telah bermalam di rumah musuh ketatnya Hubairah dan telah berlaku adegan-adegan romantis di antara Baginda dengan isteri Hubairah, Ummu Haani’ binti Abi Thalib. [untuk penjelasan lebih terperinci sila lihat buku pengarang bertajuk “Ibnu Ishaq – Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi’ah Di Kalangan Ummah” m/s 45 – 47]

Contoh kedua:

Nabi s.a.w. dikatakan telah menamakan anak sulungnya dengan Khadijah `Abdul `Uzza. Alasannya ialah hadits berikut:

“Maksudnya: Hisyam bin `Urwah berkata, “Rasulullah s.a.w. telah mendapat dua orang lelaki dengan Khadijah semasa di Mekah iaitu `Abdul `Uzza dan al-Qasim. Kedua-duanya meninggal dunia sebelum Islam (sebelum Nabi kita Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul}”

a) Berdasarkan riwayat ini Nabi s.a.w. telah melakukan syirik dalam penamaan anak lelakinya. Ini kerana `Uzza adalah nama satu berhala yang disembah oleh orang-orang kafir Quraisy. `Abdul ‘Uzza bererti hamba `Uzza.

Contoh Ketiga

Rasulullah s.a.w dikatakan pernah hendak membunuh diri dengan cara mencampakkan diri (terjun) dari atas puncak bukit.

Dibawah Kitab at-Ta’bir di dalam Sahihnya, Imam al-Bukhari mengadakan satu bab bertajuk:…. kemudian beliau bawakan riwayat dengan sanadnya daripada `Aaishah tentang bagaimana wahyu pertama kali turun kepada Rasulullah s.a.w. Di bahagian akhir hadits berkenaan tersebut:

“Bermaksud: Wahyu tidak turun lagi untuk beberapa lama hingga Nabi s.a.w menurut berita yang sampai kepada kami – dirundung kesedihan yang membuatkan beliau berulang kali ingin terjun dari atas puncak bukit. Setiap kali beliau berada di puncak bukit untuk mencampakkan diri, Jibril menampakkan diri kepada beliau lalu berkata, “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau benar-benar seorang utusan Allah.” Mendengar itu, hati dan jiwa beliau tenang dan beliau pun pulang. Lantas bila wahyu kembali berhenti lama, beliau melakukannya lagi. Dan ketika beliau telah berada di puncak bukit, Jibril menampakkan diri lalu berkata seperti di atas.

e) Perbuatan membunuh diri adalah satu dosa besar menurut Islam.

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lebih lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku “USUL DIRAYAT HADITS – Satu Panduan Mudah Untuk Mengesan Hadits-Hadits Dha’if Dan Maudhu’ (Jilid 1)” Karya Maulana Muhammad Asri Muhammad Yusoff – Perbincangan Usul Dirayat No. 1 hingga 40. Buku boleh diperolehi melalui link – https://shp.ee/q92dh2c

USUL DIRAYAT HADITH – SESI 2 – Usul 1 – Bercanggah Dengan Kebesaran Allah Dan Menyerupakannya Dengan Makhluk

VIDEO – [Durasi – 1j 39m 40s] –Sesi 2 – Hadith Bercanggah Dgn kebesaran Allah & Serupakan Dgn Makhluk – [USUL DIRAYAT HADIS-Usul 1]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/6juuU7dQiQI ]

USUL PERTAMA – Hadith-hadith yang bercanggah dengan kebesaran Allah s.w.t dan menyerupakanNya dengan makhluk

Usul (1): Hadits-hadits yang bercanggah dengan kebesaran Allah s.w.t dan menyerupakanNya dengan makhluk seperti berjisim, berkaifiyat dan sebagainya, kecuali apa yang tersebut di dalam al-Quran dan tsabit di dalam hadits sahih. Setelah diitsbatkan, ia sama ada ditafwidhkan (diserahkan hakikat ma’nanya kepada Allah) atau dita’wilkan, jika ada ruang-ruang dan alasan-alasan yang kukuh membolehkannya dita’wil, disamping diyakini bahawa Allah tidak menyerupai sesuatu apa pun daripada makhluk-Nya.

Antara contoh yang sesuai dikemukakan untuk Usul (1) ini ialah riwayat-riwayat berikut:

Contoh 1:

Maksudnya: Sesungguhnya Ibnu `Umar telah menghantar seseorang kepada Ibnu `Abbaas untuk bertanya beliau begini: “Adakah (Nabi) Muhammad s.a.w. telah melihat Tuhannya?” Ibnu `Abbaas menjawab: “Ya” Baginda telah melihatNya (duduk) di atas kerusi emas yang dipikul oleh empat malaikat. Yang pertama dalam rupa seorang lelaki, yang kedua dalam rupa singa, yang ketiga dalam rupa lembu jantan dan yang keempat dalam rupa burung nasar di dalam sebuah bilik hijau berhamparkan emas.

Komentar

(a) Riwayat ini termasuk di dalam senarai “tafarrudaat Ibnu Ishaq”, iaitu riwayat yang hanya dikemukakan oleh Ibnu Ishaq sahaja. Berdasarkan riwayat-riwayat seperti inilah para `ulama’ telah menganggap Ibnu Ishaq sebagai seorang pendusta dan seorang Mujassimah. Sedia dima’lumi bahawa tafarudaat Ibnu Ishaq tertolak, tidak boleh dipakai dan dipertanggungjawabkan.

(b) Ia juga munqathi kerana tidak diketahui siapakah yang dihantar Ibnu `Umar untuk pergi bertanya Ibnu `Abbaas.

(c) Riwayat ini jelas menyerupakan Allah dengan makhluk. Padahal Allah telah berfirman tentang dirinya di dalam al-Quran bermaksud: .tiada suatu pun yang serupa dengan Nya. (as-Syura:11) Bermaksud: “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya” (al-Ikhlas: 4). Maka jelaslah palsunya riwayat-riwayat ini kerana bercanggah dengan keterangan al-Quran.

(d) Riwayat-Riwayat seperti ini tentunya hasil rekaan golongan Mujassimah dan Musyabbihah yang mempercayai Allah berjisim dan menyerupai makhlukNya.

Contoh 2:

Maksudnya: Ibnu `Abbaas meriwayatkan, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah turun pada tiap-tiap malam Jumaat ke dunia bersama enam ratus ribu malaikat. Dia duduk di atas kerusi daripada cahaya. Dihadapannya ada sekeping lauh daripada yaqut (permata delima) merah. Di dalamnya tercatat nama-nama orang yang mengisbatkan ru’yah (dapat melihat ‘Allah), kaifiyat (Allah) dan shurah (rupa bentuk Allah) dari kalangan umat Muhammad s.a.w. Maka Allah berbangga dengan mereka kepada para malaikat seraya berkata: “Mereka inilah hamba-hambaku yang tidak mengingkari sifat-sifatKu dan menegakkan sunnah NabiKu. Mereka tidak takut keranaKu celaan yang yang mencela. Aku jadikan kamu wahai para malaikatKu sebagai saksi: “Demi kemuliaanKu dan kebesaranKu, pasti Aku akan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab”.

Komentar

a) Setelah mengemukakan riwayat di atas bersama-sama sanadnya Imam Ibnu al-Jauzi mengulas begini: “Hadits ini maudhu’. Semoga Allah melaknat perekanya dan tidak mengasihaninya, kerana dia adalah seorang yang paling hina dari kalangan golongan Musyabbihah dan paling jelik kepercayaannya. Saya percaya perkara seumpama ini tidak akan dinyatakan kecuali oleh pelampau-pelampau Musyabbihah yang tidak pernah duduk bersama mana-mana orang `alim. Hadits ini adalah hasil rekaan Abi as-Sa’adaat. Sesungguhnya dia dikatakan berfahaman sesat, suka bergaul dengan orang-orang yang tidak dikenali sebagai tokoh dalam agama dan tidak mengambil berat tentang agama. Dia telah mereka satu peribadi al-Karukhi dan mengemukakan namanya. Pada hal al-Karukhi seorang yang langsung tidak dikenali tokoh-tokoh hadits. Allah sesungguhnya telah memelihara orang-orang seperti al-Thabaraani dan juga perawi-perawi di atasnya daripada mengemukakan hadits-hadits seperti ini.

Contoh 3:

Maksudnya: Aku telah melihat Tuhanku di Mina menaiki unta kelabu. Dia memakai jubah daripada bulu bebiri di hadapan orang ramai.

Komentar:

a) Mulla `Ali al-Qari berkata, `Hadits ini maudhu’, tiada asalnya.” Imam adz-Dzahabi menceritakan , “Kata Abu al-Qasim Ibnu `Asaakir, orang yang dituduh mereka hadits ini ialah al-Ahwaazi. Abu al-Fadlh Ibnu Khairuun menganggapnya sebagai seorang yang lemah Hafiz `Abdullah bin Ahmad as-Samarqandi berkata: “Hafiz Abu Bakar al-Khathib mengatakan dia seorang pendusta besar dalam hadits dan qira’at kedua-dua sekali. Ibnu `Asaakir di dalam “Tabyiin Kazibi al-Muftari” menulis: “Tidak hairanlah jika orang jahil pun mendustakan apa saja cerita yang dikemukakan oleh al-Ahwaazi ini, kerana dia adalah antara yang paling pembohong dalam mengemukakan riwayat-riwayat qira’atnya.

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lebih lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku “USUL DIRAYAT HADITS – Satu Panduan Mudah Untuk Mengesan Hadits-Hadits Dha’if Dan Maudhu’ (Jilid 1)” Karya Maulana Muhammad Asri Muhammad Yusoff – Perbincangan Usul Dirayat No. 1 hingga 40. Buku boleh diperolehi melalui link – https://shp.ee/q92dh2c

USUL DIRAYAT HADITH – Sesi 1 – Muqaddimah – Sistem Riwayat Dan Dirayat

VIDEO – [Durasi – 1j 46m 18s] –Sesi 1 – Muqaddimah – Sistem Riwayat Dan Dirayat – [USUL DIRAYAT HADIS]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/wHItw6bkNcI ]

SISTEM RIWAYAT DAN DIRAYAT DALAM PENGAJIAN AL-HADITH

Secara kasar dapat dikatakan bahawa seluruh pengajian dan pengkajian hadith itu tersimpan di dalam dua sistem yang unik pernah dipersembahkan oleh manusia dalam dunia ilmu pengetahuan iaitu:

(i) Sistem Riwayat

(ii) Sistem Dirayat

SISTEM RIWAYAT

Sebenarnya pemakaian system riwayat dalam penilaian sesuatu fakta adalah khususiyyah umat Islam. Ibnu Hazm berkata: “Nukilan orang yang dipercayai daripada orang yang dipercayai juga dengan bersambung-sambung sampai kepada Nabi s.a.w. adalah suatu keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang Islam sahaja tidak kepada penganut-penganut agama lain.”

Hafidz Abu `Ali al-Jayyaani berkata, ” Allah telah mengistimewakan umat Muhammad ini dengan 3 perkara yang tidak pernah dikurniakan kepada orang-orang sebelumnya iaitu isnad, ansab dan i’raab”

Kepentingan sistem riwayat ini juga dapat dilihat pada kata-kata `ulama’ salaf dari kalangan tabi’in seperti `Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan ats-Tsauri, al-Auzaa’i dan lain-lain `Abdullah bin al-Mubarak berkata : “Isnad itu sebahagian daripada ugama. Jikalau tidak ada isnad nescaya akan berkata sesiapa sahaja apa yang ia mahu” (Sahih Muslim – j.1 m//s 87)

Sufyan ats-Tsauri berkata: “Isnad itu senjata orang mu’min” (Tadriibu ar-Raawi – j.2 m/s 160)

Al-Auzaa’i pula berkata: “Ilmu tidak akan hilang melainkan dengan hilangnya sistem isnad (Muqaddimah at Tamheed – j.1 m/s/ 15).

Kajian terhadap isnad membuatkan `ulama’ Islam yakin tentang perkara ini. Mereka bukan sahaja menyelidik nama-nama perawi dan latar belakangnya untuk mengetahui zaman mereka hidup. Keadaan perekonomian dan persekitaran hidup mereka selain daripada perhubungan mereka dengan tokoh-tokoh yang lain. Bahkan mereka juga memastikan kualiti seseorang tokoh hadiths itu dengan menguji kebenaran dan kedustaannya disamping ketelitian dan amanah mereka dalam menukilkan matan-matan (teks-teks) untuk dihukum siapakah di antara perawi-perawi itu yang boleh dipercayai riwayatnya.” (Daairatu al-Maarif – j.7 m/s 335 – dipetik dari Ilmu Rijal al-Hadiths. Karangan Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri).

Sesungguhnya kalangan `ulama’ mutaqaddimin tidak memberi penghargaan yang secukupnya kepada sesebuah kitab melainkan jika perawi kitab itu seorang tsiqah, dhabit lagi adil di samping pula membaca kitab itu dihadapan pengarang atau seseorang perawi itu mempunyai sanad yang mutasil (bersambung-sambung) dalam membaca kitab itu dan menerimanya daripada guru-gurunya secara berterusan sampai kepada pengarangnya sendiri. (Lihat Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri – Ilmu Rijal al-Hadiths m/s 23)

Pemakaian sistem riwayat itu adalah suatu perkara yang dianjurkan oleh al-Quran sendiri. Di dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasiq membawa sesuatu berita maka hendaklah kamu selidik dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu” (al-Hujuraat: 6)

Pencapaian umat Islam dalam bidang riwayat atau isnad ini telah melahirkan perpustakaan besar yang memuatkan buku-buku yang ada kaitannya dengan sistem riwayat atau isnad seperti ilmu Mushtalahu al-Hadits, ilmu Rijal al-Hadits, al-Jarh Wat Ta’dil dan segala pecahan-pecahannya.

SISTEM DIRAYAT, USUL DAN KEISTIMEWAANNYA

Sistem dirayat mempunyai pertalian yang rapat dengan sistem riwayat, namun begitu tidak semestinya apa yang diterima dalam sistem riwayat itu akan diterima terus dalam dirayat. Begitulah sebaliknya matan yang bertepatan dengan system dirayat kebanyakannya datang melalui sanad yang sahih mengikut system riwayat. (lihat Dr. Subhi as-Saleh – `Uloomu al-Hadits Wa Mushtalahuhu m/s 283)

Sistem dirayat yang dimaksudkan di sini ialah sistem yang termasuk di bawah ta’rif istilah khusus dalam ilmu hadits. Antara ta’rif yang diberikan berhubung dengan sistem dirayat ini ialah seperti yang telah dikemukakan oleh Nawab Siddiq Hasan Khan bahawa: “Ilmu dirayat al-Hadits ialah suatu ilmu yang membincangkan tentang erti yang difahami daripada lafaz-lafaz hadits. Begitu juga maksud-maksudnya berdasarkan kaedah-kaedah bahasa Arab dan peraturan-peraturan syariat di samping bersesuaian pula dengan keadaan Nabi s.a.w.,” (Nawab Siddiq Hassan Khan –Abjadu al-uloon j.2. m/s 220)

Pemakaian sistem dirayat ini adalah suatu yang berlandaskan al-Quran al-Karim dan amalan para sahabat Nabi s.a.w yang mulia dan bijaksana. Antara ayat al-Quran yang dapat disebutkan ialah firman Allah s.w.t. : “Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mu’minat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri (mengapa tidak) kamu berkata, ini adalah suatu berita bohong yang nyata” (An-Nur: 12)

Baca ONLINE atau MUAT TURUN:

NOTA KULIAH

* Perbincangan lebih lanjut dan mendalam boleh didapati di dalam buku “USUL DIRAYAT HADITS – Satu Panduan Mudah Untuk Mengesan Hadits-Hadits Dha’if Dan Maudhu’ (Jilid 1)” Karya Maulana Muhammad Asri Muhammad Yusoff – Perbincangan Usul Dirayat No. 1 hingga 40. Buku boleh diperolehi melalui link – https://shp.ee/q92dh2c