8- 43:11 : Bersyukur ada kaitan yang rapat dengan sifat sabar
9- 45:23 : Sifat tawakkal menyucikan jiwa & Huraian, “Cukup dengan Allah sahaja”
KITAB MELEMBUTKAN HATI
بَابُ الصَّبْرِ عَنْ مَحَارِمِ اللَّهِ
Bab – Menaruh Harapan Kepada Allah Di Samping Takut KepadaNya & Bab Bersabar Daripada Melakukan Perkara-Perkara Yang Diharamkan Oleh Allah & Bab Firman Allah [Sesiapa Yang Bertawakkal Kepada Allah Cukuplah Allah Kepadanya] & Bab Larangan Banyak Bercakap & Bab Menjaga Lidah.
Dan firman Allah ta’ala { Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu } sehingga firman-Nya { lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini; dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya } Ibnu ‘Uyaynah berkata: Mereka belum mengerjakannya tetapi mesti mengerjakannya.
Ahmad bin Yunus telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Bakr telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Hashin telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w. beliau berkata: “Kekayaan sebenar bukanlah dengan kerana banyaknya harta benda tetapi kaya yang sebenar itu adalah kaya jiwa.”
Ismail telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata: Abd al-Aziz bin Abi Hazim telah meriwayatkan kepada saya daripada ayahnya daripada Sahl bin Sa`ad al-Saa`idi bahawasanya beliau berkata: “Ada seorang lalu di hadapan Rasulullah s.a.w. lalu Baginda berkata kepada seorang di sisinya yang sedang duduk: “Apa pandanganmu tentang orang yang lalu itu?” Orang yang duduk itu berkata: “Salah seorang pembesar masyarakat. Dia ini – Demi Allah! Pasti, kalau dia meminang akan diterima pinangannya / akan dikahwinkan. Kalau diminta pertolongan akan diberi pertolongan. Perawi berkata: “Rasulullah s.a.w. pun diam kemudian lalu pula seseorang yang lain maka Rasulullah s.a.w. berkata lagi kepada orang yang duduk itu: “Apa pandanganmu tentang orang ini?” Lalu orang itu menjawab: “Wahai Rasulullah! Ini adalah orang Islam yang miskin. Dia ini sudah tentu kalau meminang tidak akan diterima pinangannya. Kalau dia meminta pertolongan tidak akan diberi pertolongan dan kalau dia memberi pendapat maka tidak akan didengar pendapatnya.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Yang ini lebih baik dari yang itu sepenuh bumi ini.”
Al-Humaidi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-A’masy telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Saya mendengar Aba Wa`il berkata: “Kami telah menziarahi Khabbab maka beliau berkata: “Kami telah berhijrah bersama Nabi s.a.w., kerana Allah, sudah tentu pahala kami dijamin oleh Allah. Di antara kami ada yang telah pergi dalam keadaan tidak mendapat sedikit pun balasannya. Di antara mereka adalah Mus`ab bin Umair, dia telah terbunuh pada hari Uhud dan telah meninggalkan sehelai kain. Apabila kami tutup kepalanya akan kelihatan dua kakinya dan apabila kami tutup dua kakinya maka akan kelihatan kepalanya. Maka Nabi s.a.w. menyuruh kami menutup kepalanya dan meletakkan di kakinya rumput izqir. Ada di antara kami yang buahnya telah pun masak, dia akan memetiknya.”
Abu al-Walid telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Salm bin Zarir telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Rajaa’ telah meriwayatkan kepada kami daripada Imran bin Hushain daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Aku telah menjenguk/melihat ke dalam syurga lalu aku lihat kebanyakan ahlinya/ penghuninya adalah faqir-faqir dan aku lihat/jenguk ke dalam neraka lalu aku lihat kebanyakan ahlinya/penduduknya/penghuninya adalah perempuan.”
Ayyub dan ‘Auf menjadi mutabi’ kepadaya. Sokhr dan Hammad bin Najih berkata daripada Abi Rajaa’ daripada Ibnu Abbas.
Abu Ma’mar telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abd al-Waris telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sa`id bin Abi ‘Arubah telah meriwayatkan kepada kami daripada Qatadah daripada Anas, beliau berkata: “Nabi s.a.w. tidak pernah makan di meja sampai baginda wafat dan Nabi s.a.w. tidak pernah makan roti dari gandum halus sampai baginda wafat.”
Abdullah bin Abi Syaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Usamah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hisyam telah meriwayatkan kepada kami daripada ayahnya daripada Aisyah, katanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. wafat dalam keadaan tidak ada di atas rak-rak di dapur rumahku sesuatu yang dapat dimakan oleh orang kecuali separuh bekas barli dalam rakku itu. Saya makan dengan mengambil tepung barli itu sehingga lama. Selepas itu saya pun menyukatnya dan habis tidak lama selepas itu.”
Bab – Firman Allah Taala: { Wahai Umat Manusia, Sesungguhnya Janji Allah (Membalas Amal Kamu) Adalah Benar; Maka Janganlah Kamu Diperdayakan Oleh Kemewahan Hidup Di Dunia Dan Janganlah Syaitan Yang Menjadi Sebesar-Besar Penipu Itu Berpeluang Menyebabkan Kamu Terpedaya Dengan (Kemurahan) Allah (Lalu Kamu Lalai Dan Menderhaka) Supaya Kamu Jadi Penghuni-Penghuni Neraka }
Sa`ad bin Hafsh meriwayatkan kepada kami, katanya: Syaiban meriwayatkan kepada kami daripada Yahya daripada Muhammad bin Ibrahim al-Qurasyiy katanya: Muaz bin Abd al-Rahman telah menceritakan kepada saya bahawa Ibnu Abaan telah menceritakannya, beliau berkata: Aku membawa kepada Utsman bin ‘Affan air untuk bersuci. Ketika itu dia sedang duduk di tempat duduk maka dia pun mengambil air sembahyang dengan memperelokkan wuduknya itu kemudian dia berkata: “Saya telah melihat Nabi s.a.w. berwuduk ketika Baginda berada di tempat ini. Baginda berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian bersabda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk ini…” kemudian Baginda pergi ke masjid lalu bersembahyang dua rakaat kemudian duduk: “…nescaya diampunkan baginya dosanya yang terdahulu. Perawi berkata: dan Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan kamu terpedaya.”
Abu Abdillah al-Bukhari berkata: “Dia (Ibnu Abaan) adalah Humran bin Abaan.”
Yahya bin Hammad telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Abu ‘Awanah telah meriwayatkan kepada kami daripada Bayan daripada Qais bin Abi Hazim daripada Mirdas al-Aslami beliau berkata: “Nabi s.a.w. bersabda: “Orang-orang yang baik pergi satu demi satu generasi dan tinggallah sampah/hampas seperti hampas barli ataupun buah tamar. Mereka langsung tidak dipedulikan Allah.” Abdullah berkata: Dipanggil حُفَالَةٌ وَحُثَالَةٌ
Yahya bin Yusuf telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Abu Bakr telah menceritakan kepada kami daripada Abi Hushain daripada Abi Sholih daripada Abi Hurairah, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Binasalah hamba dinar, dirham, kain baldu dan baju jika diberikan kepadanya maka sukalah dia dan jika tidak diberikan dia tidak suka.”
Abu ‘Ashim telah meriwayatkan kepada kami daripada Ibni Juraij daripada ‘Ato` katanya: Saya mendengar Ibnu Abbas berkata: “Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Kalau seseorang anak Adam itu mempunyai dua lembah harta pasti dia mengharapkan lembah yang ketiga dan perut anak Adam tidak akan penuh kecuali dengan tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”
Muhammad telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Makhlad telah menceritakan kepada kami, katanya: Ibnu Juraij telah menceritakan kepada kami, katanya: Saya mendengar ‘Ato` berkata: Saya mendengar Ibnu Abbas berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalau anak Adam mempunyai seperti sebuah lembah hartanya pasti dia suka mendapatkan yang seumpamanya. Tidak akan memenuhkan mata anak Adam kecuali tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. Ibnu Abbas berkata: Saya tidak pasti adakah itu dari al-Quran ataupun tidak. Beliau berkata: Dan saya mendengar Ibnu al-Zubair menyebutkan hadits itu di atas minbar.”
Abu Nu`aim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abd al-Rahman bin Sulaiman bin al-Ghasil telah meriwayatkan kepada kami daripada ‘Abbas bin Sahl bin Sa`ad, katanya: Saya mendengar Ibnu al-Zubair berkata di atas minbar di Mekah dalam khutbahnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: “Sekiranya anak Adam diberikan satu lembah penuh dengan emas nescaya dia mahu yang kedua pula. Kalau diberikan kepadanya lembah kedua yang penuh dengan emas nescaya dia akan mahu yang ketiga pula. Tidaklah akan menyumbat perut anak adam itu kecuali tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”
‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ibrahim bin Sa`ad telah meriwayatkan kepada kami daripada Sholih daripada Ibnu Syihab, katanya: Anas bin Malik telah menceritakan kepada kami bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekiranya anak adam diberikan satu lembah penuh dengan emas nescaya dia suka untuk mempunyai dua lembah. Tidaklah akan memenuhi mulutnya kecuali tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”
Abu al-Walid menceritakan: Hammad bin Salamah telah menceritakan kepada kami daripada Tsabit daripada Anas daripada Ubay, beliau berkata: “Kami ingat ini termasuk dalam al-Quran sehingga turun أَلْهَاكُمْ التَّكَاثُرُ
Dan firman Allah Ta`ala: { Dihiaskan kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia }
Umar berkata: “Ya Allah! Kami tidak kuasa / mampu selain daripada bergembira dengan apa yang Engkau hiaskan kepada kami. Ya Allah! Aku memohon pada-Mu agar dapat aku membelanjakannya pada haknya.”
Ali bin Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Saya mendengar al-Zuhri berkata: Urwah dan Sa`id bin Musayyab telah menceritakan kepada aku daripada Hakim bin Hizam, beliau berkata: “Saya telah meminta Nabi s.a.w. lalu Baginda memberikan kepada saya kemudian saya meminta lagi lalu Baginda memberikan kepada saya kemudian saya meminta kepadanya lagi lalu Baginda memberikan kepada saya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya harta benda ini..” Kadang-kadang Sufyan berkata: Hakim berkata kepadaku: Nabi s.a.w. berkata kepadaku: “Wahai Hakim! Sesungguhnya harta benda ini hijau (menarik) dan manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan hati yang baik nescaya diberkati kepadanya/dia diberkati pada harta benda dunia itu dan sesiapa yang mengambilnya dengan rasa tamak menonjol-nonjolkan diri tidak akan diberkati untuknya pada harta itu. Dia menjadi seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang-kenyang. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.”
بَاب مَا قَدَّمَ مِنْ مَالِهِ فَهُوَ لَهُ
Bab – Harta Yang Dihantar Dahulu Oleh Seseorang Itulah Sebenar Hartanya/ Hartanya Yang Sebenar
Umar bin Hafsh telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Ayah saya telah meriwayatkan kepada saya, katanya: al-A’masy telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata: Ibrahim al-Taimi telah meriwayatkan kepada saya daripada al-Harits bin Suwaid, katanya Abdullah bin Mas`ud berkata: Nabi s.a.w. bersabda: “Siapakah yang harta pewarisnya lebih disukainya lebih dari hartanya sendiri?” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tiada siapa pun di antara kami melainkan hartanya lebih disukainya daripada harta orang lain.” Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hartanya ialah apa-apa yang dihantarnya dahulu ke akhirat dan harta pewarisnya ialah apa-apa yang ditinggalkannya.”
بَاب الْمُكْثِرُونَ هُمْ الْمُقِلُّونَ
Bab – Orang Yang Memperbanyakkan Harta Itulah Orang Yang Paling Kurang (Mendapat Pahala)
Dan firman Allah taala: Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
Qutaibah bin Sa`id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Jarir telah meriwayatkan kepada kami daripada Abd al-Aziz bin Rufai’ daripada Zaid bin Wahb daripada Abi Zar beliau berkata: “Pada suatu malam saya keluar, tiba-tiba aku dapati Rasulullah s.a.w. sedang berjalan seorang diri dan tiada sesiapa pun bersama Baginda. Saya fikir Nabi s.a.w. tidak suka sesiapa berjalan bersamanya maka saya pun berjalan di bawah lindungan bulan. Nabi s.a.w. pun berpaling lalu dilihatnya saya maka dia pun bertanya: “Siapa itu?” Saya menjawab: “Abu Zar, semoga Allah menjadikanku tebusanmu.” Baginda pun berkata: “Wahai Aba Zar! ke mari.” Saya pun pergi berjalan bersama Baginda seketika. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang memperbanyakkan harta benda dunia itulah orang yang mendapat sedikit pahala pada hari qiamat nanti kecuali orang yang Allah berikannya harta lalu dicurahkannya di sebelah kanannya, kirinya, hadapannya dan belakangnya dan dia melakukan kebajikan dengan menggunakan harta benda itu. Saya pun berjalan lagi bersama Baginda untuk seketika maka Nabi s.a.w. berkata: “Duduk di sini.” Kata Abu Zar: “Nabi s.a.w. memperdudukkan saya di suatu tanah lapang yang sekelilingnya terdapat batu-batu. Baginda berkata kepada saya: “Duduk di sini sampai aku datang kepadamu.” Maka Baginda pun pergi ke kawasan yang berbatu hitam sampai saya tidak nampak kelibatnya. Beliau menghilang dari pandangan saya beberapa ketika. Agak lama juga Baginda menghilangkan diri kemudian aku dengar Baginda ketika sedang datang kepadaku: “Walaupun dia mencuri, walaupun dia berzina.” Abu Zar berkata: “Apabila Nabi s.a.w. sampai kepadaku, aku tidak sabar lagi lalu terus bertanya: “Wahai Nabi Allah! Semoga Allah menjadikanku tebusanmu. Siapakah yang engkau bercakap di sebelah kawasan berbatu hitam itu? Saya tidak mendengar sesiapa yang menjawab percakapan engkau itu.” Nabi s.a.w. menjawab: “Itulah Jibril. Dia datang kepdaku dari arah kawasan berbatu hitam itu. Jibril berkata: “Sampaikan berita gembira kepada ummatmu bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya dia masuk syurga.” Saya berkata: “Wahai Jibril! Walaupun dia mencuri walaupun dia berzina. Jibril menjawab: Ya! Walaupun dia mencuri, walapun dia berzina.” Saya berkata lagi: “Walaupun dia mencuri, walaupun dia berzina. Jibril menjawab: Ya! Walaupun dia minum arak.”
Al-Nadr berkata, “Syu’bah telah menceritakan kepada kami katanya, Habib bin Abi Thabit, A’masy dan Abdul Aziz bin Rufai’ telah meriwayatkan kepada kami, mereka berkata, Zaid bin Wahb meriwayatkan kepada kami dengan hadith ini.
Abu Abdillah (iaitu Imam al-Bukhari) berkata: Hadits Abi Sholeh daripada Abi al-Darda` adalah hadits mursal, tidak sahih. Kami hanya kemukakannya untuk pengetahuan sahaja. Hadits yang sahih adalah hadits Abu Zar tadi. Perawi berkata: Dikatakan kepada Abi Abdillah (Imam al-Bukhari) Hadits A`to bin Yasar daripada Abi al-Darda` bagaimana? Bukhari menjawab: Itu juga mursal, tidak sahih. Yang sahih hadits Abu Zar.
Imam Bukhari berkata: Ini (iaitu yang masuk syurga) kalau seseorang itu bertaubat dan dia mengucap لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُpada ketika hendak mati.
Al-Hasan bin al-Rabi’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu al-Ahwash telah meriwayatkan kepada kami daripada A’masy daripada Zaid bin Wahb, beliau berkata: Abu Zar berkata: Saya pernah berjalan bersama Nabi s.a.w. di kawasan berbatu hitam di Madinah lalu kami mengadap bukit Uhud bersetentang dengan kami. Baginda pun bersabda: “Wahai Abu Zar!” Saya pun menjawab: “Ya saya wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Aku tidak suka walaupun aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud ini kemudian berlalu tiga hari kepadaku dalam keadaan masih ada lagi dari harta itu walaupun satu dinar padaku kecuali sesuatu yang mahu ku simpan untuk melangsaikan hutang dan kecuali aku akan membelanjakannya untuk hamba-hamba Allah begini, begini dan begini iaitu isyarat ke sebelah kanan, kiri dan belakang. Kemudian Nabi s.a.w. berjalan lagi lalu bersabda: “Ingat! Sesungguhnya orang yang banyak harta di dunia ini itulah orang yang sedikit pahala pada hari qiamat nanti kecuali orang yang berbelanja begini, begini dan begini, iaitu isyarat ke kanannya, kirinya dan belakangnya dan sedikit sekali orang seperti ini. Kemudian Baginda berkata kepadaku: “Duduk di sini, jangan berganjak sehingga aku datang kepadamu.” Kemudian Nabi s.a.w. pergi dalam kegelapan malam sehingga hilang dari pandanganku. Selepas itu aku dengar suara yang kuat lalu aku bimbang kalau-kalau ada sesiapa yang mengganggu Nabi s.a.w. maka aku mahu pergi kepadanya tetapi aku teringat kata-kata Baginda ‘jangan kamu berganjak sehingga aku datang kepadamu’ maka aku pun tetap di situ sehingga Nabi s.a.w. datang kepadaku. Aku pun berkata: “Wahai Rasulullah! Tadi saya ada dengar suara yang membimbangkan saya…” Saya pun sebut kepadanya (tentang perintah Nabi supaya tidak berganjak) Nabi s.a.w. pun bertanya: “Engkau dengarkah?” Saya menjawab: “Ya! Saya dengar.” Nabi s.a.w. bersabda: “Itu adalah Jibril. Dia datang kepadaku dan berkata: “Sesiapa dari kalangan ummatmu yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya dia masuk syurga.” Saya pun berkata: “Walaupun dia berzina dan mencuri.” Nabi s.a.w. menjawab: “Ya ! Walaupun dia berzina dan mencuri.”
Ahmad bin Syabib telah meriwayatkan kepadaku, katanya: Ayahku telah meriwayatkan kepada kami daripada Yunus dan al-Laits berkata: Yunus telah meriwayatkan kepada saya daripada Ibnu Syihab daripada Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah, Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah aku mempunyai emas sebesar bukit Uhud ini, tidaklah aku suka emas itu berlalu bersamaku selama tiga hari dan masih ada lagi sedikit daripadanya bersamaku kecuali sesuatu yang aku simpan untukku bayar hutang.”
Isma’il bin ‘Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ismail bin Ibrahim bin Uqbah telah meriwayatkan kepada saya daripada Musa bin Uqbah, katanya, Ibnu Syihab berkata: ‘Urwah bin al-Zubair telah meriwayatkan kepada saya bahawa Miswar bin Makhramah telah menceritakan kepadanya bahawa ‘Amar bin ‘Auf – dia adalah sekutu kepada bagi Bani ‘Amir bin Lu`ai – Beliau turut serta dalam peprangan Badar bersama Rasulullah s.a.w. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah ke Bahrain untuk membawa pulang jizyahnya. Rasulullah s.a.w. telah menerima perdamaian penduduk Bahrain dan telah melantik ‘Alaa` bin al-Hadrami untuk menjadi penguasa mereka. Abu ubaidah pun pulang membawa harta dari Bahrain dan kepulangannya itu didengar oleh orang-orang Anshor. Kebetulan ia berlaku pada waktu sembahyang subuh bersama Rasulullah s.a.w.. Bila Rasulullah s.a.w. selesai mereka pun tampil ke hadapan lalu tersenyumlah Rasulullah s.a.w. ketika melihat mereka itu dan berkata: “Saya rasa kamu telah mendengar tentang kedatangan Abu ‘Ubaidah dan dia ada membawa sesuatu”. Mereka menjawab: “Betullah itu wahai Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalau begitu terimalah berita gembira dan berharaplah terhadap apa yang akan menggembirakan kamu. Demi Allah bukan kepapaan yang aku bimbangkan kepada kamu tetapi aku bimbang diperluaskan dunia kepada kamu seperti mana telah diperluaskan kepada orang-orang sebelum kamu maka kamu berlumba-lumba mendapatkannya seperti mana mereka berlumba-lumba mendapatkannya dan dunia akan melalaikan kamu seperti mana ia telah melalaikan mereka.”
Qutaibah bin Sa`id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Laits bin Sa`ad telah meriwayatkan kepada kami daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abi al-Khair daripada Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah s.a.w. pernah keluar pada suatu hari lalu Baginda bersembahyang untuk ahli Uhud seperti sembahyang jenazah kemudian Baginda pergi ke minbar lalu bersabda: “Sesungguhnya aku! akan mendahului kamu dan aku akan menjadi saksi kepada kamu. Sesungguhnya aku – demi Allah! – sudahpun nampak kolam aku itu sekarang dan sesungguhnya telah diberikan kepadaku anak-anak kunci gedung-gedung dunia atau anak-anak kunci dunia. Sesungguhnya aku – demi Allah! – tidak bimbang kamu akan menyekutukan Allah sesudahku tetapi yang aku bimbang kamu berlumba-lumba mendapatkan dunia.”
Isma’il telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Malik telah meriwayatkan kepada saya daripada Zaid bin Aslam daripada ‘Ato` bin Yasar daripada Abi Sa`id al-Khudri, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perkara yang menjadi kebimbangan besarku terhadap kamu ialah ‘barakaat al-ardh’ (keberkatan-keberkatan bumi)? yang Allah keluarkan untuk kamu.” Baginda ditanya: “Apa itu ‘barakaat al-ardh’?” Nabi s.a.w. menjawab: “Kemewahan dunia.” Ada seseorang berkata kepada Nabi s.a.w.: “Adakah sesuatu yang baik mendatangkan keburukan.” Maka Nabi s.a.w. diam sehingga kami berasa wahyu sedang turun kepada Baginda kemudian mulalah Baginda menyapu peluh dari dahinya. Baginda bertanya: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Orang itu berkata: “Saya.” Abu Sa`id berkata: Sesungguhnya kami telah memujinya ketika dia muncul untuk bertanya begitu.” Nabi s.a.w. menjawab: “Yang baik tidak mendatangkan kecuali yang baik juga. Sesungguhnya harta benda dunia hijau lagi manis dan sesungguhnya apa-apa yang tumbuh pada musim bunga boleh membunuh kerana mengembungkan perut ataupun hampir boleh membawa kepada terbunuh kecuali yang memakan rumput yang hijau kerana ia makan sehingga apabila kenyang perutnya ia mengadap matahari lalu ia mengunyah, berak dan kencing kemudian kembali dan makan lagi. Sesungguhnya harta benda dunia manis, sesiapa yang mengambilnya dengan sebenar dan meletakkannya di tempat yang sebenar maka harta benda dunia adalah sebaik-baik pembantu dan sesiapa yang mengambilnya dengan tidak sebenar/bukan dengan sebenar maka ia seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang-kenyang.”
Muhammad bin Basysyar telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Ghundar telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Saya mendengar Abu Jamrah berkata: Zahdam bin Mudharrib telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Saya mendengar ‘Imraan bin Hushain daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang berada di kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka, kemudian orang yang mengiringi mereka.” ‘Imraan berkata: Aku tidak pasti samada Nabi s.a.w. berkata selepas kata-katanya tadi dua atau tiga kali. “Selepas itu akan ada golongan yang bersedia untuk menjadi saksi padahal mereka tidak pun diminta untuk menjadi saksi. Orang-orang berkhianat sedangkan mereka tidak boleh dipercayai. Orang-orang bernazar sedangkan mereka tidak menyempurnakan nazar mereka dan akan berleluasa di kalangan mereka kegemukan.”
‘Abdaan telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Hamzah daripada al-A’masy daripada Ibrahim daripada ‘Abidah daripada Abdillah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Sebaik-baik manusia adalah manusia kurunku kemudian generasi yang mengiringi mereka kemudian generasi yang mengiringi mereka. Kemudian datang sesudah mereka golongan yang mana kesaksian mereka mendahului sumpah mereka dan sumpah mereka mendahului kesaksian mereka.”
Yahya bin Musa telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Waki’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ismail telah meriwayatkan kepada kami daripada Qais, beliau berkata: Saya mendengar Khabbab telah menerima tujuh selaran besi panas kerana sakit perut yang dialaminya. Khabbab berkata: “Kalaulah tidak kerana Rasulullah s.a.w. melarang kami berdoa meminta mati maka pasti aku berdoa meminta mati. Sesungguhnya sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. telah pergi dalam keadaan dunia tidak mengurangkan mereka apa-apa walaupun sedikit dan kita pula telah mendapat dunia yang mana tidak ada tempat untuk kita letakkannya kecuali di tanah.”
Muhammad bin al-Mutsanna telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yahya telah meriwayatkan kepada kami daripada Ismail, beliau berkata: Qais telah telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Saya pergi menemui Khabbab yang sedang membina dinding rumah lalu berkata: “Sesungguhnya sahabat-sahabat kita yang telah pergi dalam keadaan dunia tidak mengurangkan apa-apa pahala mereka tetapi kita sesudah mereka telah mendapat sesuatu yang tiada tempat untuk kita letakkan kecuali di tanah.”
Muhammad bin Katsir telah meriwayatkan kepada kami daripada Sufyan daripada al-A’masy daripada Abi Wa`il daripada Khabbab, beliau berkata: “Kami berhijrah bersama Rasulullah s.a.w. dan hadits seterusnya seperti tadi juga.
Bab – Firman Allah Ta`Ala: { Wahai Umat Manusia, Sesungguhnya Janji Allah (Membalas Amal Kamu) Adalah Benar; Maka Janganlah Kamu Diperdayakan Oleh Kemewahan Hidup Di Dunia Dan Janganlah Syaitan Yang Menjadi Sebesar-Besar Penipu Itu Berpeluang Menyebabkan Kamu Terpedaya Dengan (Kemurahan) Allah (Lalu Kamu Lalai Dan Menderhaka) Supaya Kamu Jadi Penghuni-Penghuni Neraka}
Sa`ad bin Hafsh meriwayatkan kepada kami, katanya: Syaiban meriwayatkan kepada kami daripada Yahya daripada Muhammad bin Ibrahim al-Qurasyiy katanya: Muaz bin Abd al-Rahman telah menceritakan kepada saya bahawa Ibnu Abaan telah menceritakannya, beliau berkata: Aku membawa kepada Utsman bin ‘Affan air untuk bersuci. Ketika itu dia sedang duduk di tempat duduk maka dia pun mengambil air sembahyang dengan memperelokkan wuduknya itu kemudian dia berkata: “Saya telah melihat Nabi s.a.w. berwuduk ketika Baginda berada di tempat ini. Baginda berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian bersabda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk ini…” kemudian Baginda pergi ke masjid lalu bersembahyang dua rakaat kemudian duduk: “…nescaya diampunkan baginya dosanya yang terdahulu. Perawi berkata: dan Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan kamu terpedaya.”
Abu Abdillah al-Bukhari berkata: “Dia (Ibnu Abaan) adalah Humran bin Abaan.”
Yahya bin Hammad telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Abu ‘Awanah telah meriwayatkan kepada kami daripada Bayan daripada Qais bin Abi Hazim daripada Mirdas al-Aslami beliau berkata: “Nabi s.a.w. bersabda: “Orang-orang yang baik pergi satu demi satu generasi dan tinggallah sampah/hampas seperti hampas bali ataupun buah tamar. Mereka langsung tidak diperdulikan oleh Allah.” Abdullah berkata: Dipanggil حُفَالَةٌ وَحُثَالَةٌ
Al-Makki bin Ibrahim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abdullah bin Sa`id – dia adalah anak Abi Hind – telah menceritakan kepada kami daripada ayahnya daripada Ibnu ‘Abbas, katanya: Nabi s.a.w. bersabda: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya/kerugian/lemah padanya; kesihatan dan kelapangan/masa terluang.”
‘Abbas al-‘Anbari berkata, Sofwan bin ‘Isa telah meriwayatkan kepada kami daripada ‘Abdullah bin Sa’id bin Abi Hind daripada ayahnya bahawa dia mendengar Ibn ‘Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sama seperti hadis sebelum ini.
Muhammad bin Basysyar telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ghundar telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami daripada Muawiyah bin Qurrah daripada Anas daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Ya Allah! Tiada kehidupan yang sebenar selain dari kehidupan akhirat * Maka Engkau perelokkanlah/perbaikilah keadaan orang-orang Anshor dan Muhajir.”
Ahmad bin al-Miqdam telah meriwayatkan kepada saya, katanya: al-Fudhail bin Sulaiman telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Hazim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: “Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w. dalam parit. Ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang menggali dan kami pula memindahkan/memunggah tanah. Baginda memandang kami lalu mengucapkan: “Ya Allah! Tiada kehidupan yang sebenar kecuali kehidupan akhirat * Maka Engkau ampunkanlah orang-orang Anshor dan Muhajir.”
Sahal bin Sa`ad menjadi mutabi` kepadanya daripada Nabi s.a.w. sama seperti makna haditsnya.
Dan Firman Allah Ta`ala: { Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. }
Abdullah bin Maslamah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abd al-Aziz bin Abi Hazim telah meriwayatkan kepada kami daripada ayahnya daripada Sahal katanya: “Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tempat cemeti di dalam syurga lebih baik lagi daripada dunia dan apa yang terdapat di dalamnya. Sepagi berada di jalan Allah atau sepetang adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
‘Ali bin Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad bin ‘Abd al-Rahman Abu al-Munzir al-Tufawi telah meriwayatkan kepada kami daripada Sulaiman al-A’masy, beliau berkata: Mujahid telah meriwayatkan kepada saya daripada Abdullah bin Umar, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. memegang kedua belah bahuku lalu bersabda: “Hendaklah kamu berada di dunia ini seperti orang dagang ataupun orang yang hanya lalu buat seketika di suatu tempat.” Ibnu Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang, jangan engkau tunggu sampai esok pagi. Apabila engkau berada pada waktu pagi, jangan engkau tunggu sampai petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan ambillah peluang dari kehidupanmu untuk selepas matimu.”
بَاب فِي الْأَمَلِ وَطُولِهِ
Bab – Harapan Dan Panjangnya (Harapan/Keinginan Manusia itu)
Dan Firman Allah Ta`ala: { Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. } dan firman-Nya: { Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).}
‘Ali bin Abi Talib berkata: “Dunia berangkat dengan berpaling belakang. Akhirat berangkat dengan mengadap kepada kita. Kedua-duanya itu mempunyai anak-anak. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat dan jangan kamu jadi anak-anak dunia. Hari ini untuk bekerja, tidak ada sebarang perhitungan dan esok ada perkiraan dan tiada lagi amalan.
Sadaqah bin al-Fadhl telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yahya bin Sa`id telah menceritakan kepada kami daripada Sufyan, beliau berkata: Ayahku telah meriwayatkan kepada saya daripada Munzir daripada Rabi` bin Khutsaim daripada Abdillah bin Mas`ud, beliau berkata: “Pernah Nabi s.a.w. menggariskan/melakarkan satu lakaran berbentuk empat segi dan menggariskan satu garis di tengah yang terkeluar daripada garisan empat segi itu. Dan Nabi s.a.w. menggariskan garisan-garisan kecil di sebelah garisan yang tengah. Nabi s.a.w. berkata ini manusia, dan ini ajal yang mengepungnya/meliputinya. Dan yang terkeluar ini adalah harapannya dan keinginannya. Garis-garis kecil ini adalah malapetaka-malapetaka, kalau yang ini terlepas ia akan dibaham oleh yang ini dan kalau ini pula yang terlepas ia akan dibaham oleh yang ini pula.”
Muslim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammam telah meriwayatkan kepada kami daripada Ishaq bin Abdillah bin Abi Tolhah daripada Anas, beliau berkata: “Nabi s.a.w. membuat beberapa garisan lalu bersabda: Ini harapan/keinginan manusia dan ini ajalnya. Dalam keadaan manusia leka tiba-tiba sampai kepadanya garisan yang terdekat dengannya.”
Firman Allah Ta`ala: { Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu } iaitu (pada ketika sudah) beruban.
Abd al-Salam bin Mutohhir telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Umar bin ‘Ali telah meriwayatkan kepada kami daripada Ma`an bin Muhammad al-Ghifariy daripada Sa`id bin Abi Sa’id al-Maqburiy daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Allah tidak memberi alasan kepada seseorang yang Allah lewatkan ajalnya sehingga umur enam puluh tahun.
Abu Hazim dan Ibnu ‘Ajlan menjadi mutabi’ kepadanya daripada al-Maqburi
‘Ali bin ‘Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Sofwan Abdullah bin Sa`id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yunus telah meriwayatkan kepada kami daripada Ibnu Syihab, beliau berkata: Sa`id bin Musayyab telah menceritakan kepada saya bahawa Aba Hurairah berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hati orang tua terus muda dalam dua perkara; cintakan dunia dan panjang keinginan.”
Laits berkata: Yunus dan Ibn Wahb telah meriwayatkan kepada saya daripada Yunus daripada Ibn Syihab katanya Sa’id dan Abu Salamah menceritakan kepada saya.
Muslim bin Ibrahim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hisyam telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Qatadah telah meriwayatkan kepada kami daripada Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: Anak Adam membesar dan bersama-samanya dua perkara; kasihkan harta dan mahukan panjang umur. Syu`bah meriwayatkannya daripada Qatadah.
Mu`az bin Asad telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abdullah telah menceritakan kepada kami, katanya: Ma`mar telah menceritakan kepada kami daripada Zuhri, beliau berkata: Mahmud bin al-Rabi` telah menceritakan kepada saya dan Mahmud berkata bahawa beliau masih lagi ingat Rasulullah s.a.w. telah menyembur kepadanya air dari mulutnya yang Rasulullah/baginda hirup dari telaga yang terdapat dari kawasan perumahan mereka. Mahmud bin al-Rabi’ berkata: “Saya telah mendengar ‘Itban bin Malik al-Anshori kemudian salah seorang dari Bani Salim berkata: “Rasulullah s.a.w. telah pergi kepdaku pada waktu pagi lalu bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun datang pada hari qiamat yang mengucap لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُsemata-mata kerana Allah melainkan Allah haramkan neraka kepadanya.”
Qutaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ya’qub bin ‘Abd al-Rahman telah meriwayatkan kepada kami daripada Amar daripada Sa`id al-Maqburi daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Ta`ala berfirman: Tidak ada balasan untuk hamba-Ku yang mukmin apabila aku telah mengambil sesuatu yang disayanginya dari dunia kemudian dia tidak mengharapkan apa-apa kemudian dia menghadapinya dengan tabah kecuali syurga.”