[ILMU] – Siri 1 – Kelebihan Ilmu [VIDEO TEMATIK HADITH]

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 14m 47s] – [ILMU – Siri 1] – Kelebihan Ilmu [VIDEO TEMATIK HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/1dMprTaCkMI ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Kelebihan Ilmu – [Syarah Sahih al…  

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

بَابُ فَضْلِ الْعِلْمِ وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ}. وَقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ: {رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا}.

BAB – KELEBIHAN ILMU Dan Firman Allah, “Allah mengangkat di kalangan kamu, orang-orang beriman dan orang-orang yang diberikan ilmu, beberapa darjat. Allah amat mengetahui apa-apa yang kamu lakukan” (al-Mujaadalah, Ayat 11). Dan Firman Allah, “Tuhanku, tambahkan kepadaku ilmu” (Taha, Ayat 114) .

[RINGKASAN] : FAKTOR PENDORONG UNTUK MENUNTUT ILMU

1. Ilmu itu ada bermacam-macam dan luas. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menyatakan kelebihan dan keutamaan ilmu.

2. Dalam masyarakat kita, umumnya pendorong untuk belajar dan menuntut ilmu lebih kepada untuk mendapat pekerjaan, karier dan gaji. Matlamat ini bersifat sementara dan ianya tidak lagi relevan bila peluang untuk mendapat habuan hasil dari ilmu itu tertutup. Kerana sifatnya begitu, ianya tidak disebut di dalam al-Quran atau hadith.

3. Faktor “pulangan kewangan” semata-mata tidak sepatutnya menjadi pendorong untuk menuntut ilmu, terutamanya dalam menuntut ilmu-ilmu agama.

4. Kita dapati pada zaman ini, kesan atau hasil dari pengajian agama agak minimal kepada umat. Kemungkinan ianya akibat dari tujuan belajar agama adalah untuk mendapat habuan kewangan dan dunia. Kerana belajar agama bermatlamatkan habuan dunia, pencapaian dan kualititnya agak mengecewakan.

[RINGKASAN] KELEBIHAN ILMU

1. Pada hari ini, ahli ilmu “diangkat” dan diiktiraf dengan pemberian gaji, habuan, kedudukan dan pangkat.

2. Di sisi Allah, orang beriman dan berilmu diangkat beberapa darjat. Darjat ini sangat istimewa, tinggi dan banyak tetapi tidak diketahui oleh manusia apa dan bagaimana bentuknya. Ianya seumpama ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah untuk amalan-amalan kita yang tidak diketahui bagaimana bentuknya.

3. Orang yang beriman akan ada darjatnya di akhirat walaupun di dunia ini dia tiada kedudukan. Kalau dia seorang yang berilmu, darjatnya akan lebih tinggi. Iman adalah yang paling penting, kerana bagi orang Islam, matlamat hidupnya bukan untuk dunia semata-mata.

4. Firman Allah, “Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan”. Allah tahu apa tujuan kita belajar; apakah semata-mata untuk mendapat pekerjaan dan gaji atau bertujuan untuk menjaga umat dan agama. Ayat al-Quran ini mengajarkan kepada kita bahawa menuntut ilmu itu ada matlamatnya dalam agama.

5. Ada hadith yang bermaksud, “Sesiapa yang belajar bukan kerana Allah (atau hendakkan sesuatu selain Allah) bererti dia telah menyediakan tempatnya di dalam neraka”. Oleh itu, betulkanlah niat kita bila belajar, hendaklah ikhlas kerana Allah.

6. Tidaklah salah kita mendapat habuan dan gaji dari pekerjaan hasil dari kita belajar, tetapi perlu diingat bahawa jangan jadikan “habuan” itu sebagai matlamat belajar. Dengan bermatlamat hanya perkara duniawi, kita akan hilang kesungguhan bila matlamat itu tidak tercapai. Orang Islam sepatutnya sentiasa bersemangat untuk belajar dan mendalami semua ilmu.

7. Orang yang bermatlamatkan duniawi akan berpada dalam menuntut ilmu sekiranya matlamatnye telah tercapai. Dia mungkin berjaya di dunia tetapi usahanya sia-sia di akhirat. Niatnya yang tidak benar, menyebabkan kualiti dan tahap ilmunya rendah dan mungkin dia mendapat sijil atau pengiktirafan melalui penyelewengan…inilah sebabnya diancam neraka dalam hadith di atas.

8. Di segi zahir, manusia akan nampak sama bekerjaya dan mendapat gaji tetapi di sisi Allah berbeza kedudukannya. Mereka yang bekerja dengan niat untuk menyara keluarga adalah mulia di sisi Allah.

9. Jangan jadikan dunia ini sebagai matlamat, tetapi bercita-citalah untuk mendapat syurga Allah dengan ilmu yang dipelajari. Habuan dunia amatlah kecil berbanding balasan di akhirat.

10. Khas untuk pengajian agama, hendaklah bersungguh-sungguh dan teliti dan sayugianya tidak bermatlamatkan dunia semata-mata seperti bertujuan hanya untuk mendapat pekerjaan selepas tamat belajar nanti. Tanpa kesungguhan dan niat yang ikhlas kerana Allah, kemungkinan ilmu yang diperolehi tidak mencapai tahap yang dikehendaki menyebabkan pelaksanaan hukum agama tidak tepat dan cacat. Ini menyebabkan kepincangan dalam agama, sebab itulah diancam neraka. Semangat untuk belajar ilmu-ilmu agama hendaklah sentiasa hidup, tidak sama dengan ilmu-ilmu lain

11. Allah ajar supaya kita minta ditambahkan ilmu. Ini menunjukkan ilmu adalah mulia dan istimewa di sisi Allah. Ilmu yang minta ditambahkan itu tidak terhad kepada ilmu-ilmu agama sahaja malah merangkumi semua ilmu.

12. Teruslah mencari ilmu walaupun usia telah tua. Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dan tidak menyerahkan kepada kekuatan kita semata-mata.

13. Ayat al-Quran yang bermaksud, “Yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan yang ada di sisi Allah tetap kekal” (Al-Nahl, ayat 96), adalah pembakar semangat untuk menuntut ilmu. Ramai manusia tidak tertarik dengan janji Allah tentang kelebihan ilmu yang tidak diperincikan dengan jelas di dalam al-Quran

Leave a comment