[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 11 – Bagaimana Ilmu Itu Akan Diambil

VIDEO – [Durasi – 9m 14s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 11 – Bagaimana Ilmu Itu Akan Diambil

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/rmd73aAGN0M]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 14 – Nasihat Dan Pengajaran Imam Kepa…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – BAGAIMANA ILMU ITU AKAN DIAMBIL

باب كَيْفَ يُقْبَضُ الْعِلْمُ

وَكَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ إِلَى أَبِي بَكْرِ بْنِ حَزْمٍ انْظُرْ مَا كَانَ مِنْ حَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاكْتُبْهُ، فَإِنِّي خِفْتُ دُرُوسَ الْعِلْمِ وَذَهَابَ الْعُلَمَاءِ، وَلاَ تَقْبَلْ إِلاَّ حَدِيثَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلْتُفْشُوا الْعِلْمَ، وَلْتَجْلِسُوا حَتَّى يُعَلَّمَ مَنْ لاَ يَعْلَمُ، فَإِنَّ الْعِلْمَ لاَ يَهْلِكُ حَتَّى يَكُونَ سِرًّا.

حَدَّثَنَا الْعَلاَءُ بْنُ عَبْدِ الْجَبَّارِ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُسْلِمٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ بِذَلِكَ، يَعْنِي حَدِيثَ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ إِلَى قَوْلِهِ ذَهَابَ الْعُلَمَاءِ.

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي أُوَيْسٍ، قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا ‏” ‏‏ قَالَ الْفِرَبْرِيُّ حَدَّثَنَا عَبَّاسٌ قَالَ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ هِشَامٍ نَحْوَهُ‏.‏

Bagaimana Ilmu Itu Akan Diambil

Umar bin Abdul Aziz menulis surat kepada Abi Bakr bin Hazm, “Perhatikanlah hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Tulislah hadith-hadith itu kerana saya bimbangkan kelenyapan ilmu dan kehilangan ulama’. Jangan kau terima kecuali hadith Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu sebarkan ilmu ini dan mengajarkannya supaya mengerti orang yang tidak mengerti kerana ilmu ini tidak akan hilang selagi ia tidak menjadi rahsia”.

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu ini sekali gus dengan dicabutnya daripada hati hamba-hamba-Nya tetapi Dia mengambil ilmu dengan mengambil para ulama’ sehingga tidak tinggal seorang pun yang alim. Pada ketika itu orang ramai akan menjadikan orang-orang jahil sebagai ketua-ketua mereka. Apabila ditanya, mereka mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Dengan itu mereka (sendiri) menjadi sesat dan menyesatkan orang lain. (Sahih al-Bukhari, Hadith no. 100).

Hadith Kedua – Firabri berkata, “Abbas telah meriwayatkan kepada kami katanya, Qutaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya Jarir telah meriwayatkan daripada Hisham hadith yang semakna dengannya”. (Sahih al-Bukhari, Hadith no.101).

[RINGKASAN] Bagaimana Ilmu Itu Akan Diambil

1. Adalah lumrah dunia, ada masa sesuatu perkara itu lebih, di masa lain ianya kurang, ada yang hidup dan ada yang mati, ada masa sihat dan ada masa sakit. Begitu juga dengan ilmu, pada suatu masa ia akan tersebar luas tetapi akan tiba satu masa nanti ianya akan hilang. Itulah sunnatullah. Hendaknya ilmu tersebar luas di zaman kita dan tidak terkubur disebabkan oleh kecuaian kita.

2. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menulis surat kepada Abi Bakr bin Hazm memintanya supaya mengumpulkan dan menulis hadith-hadith Rasululah kerana beliau khuatir ilmu itu akan hilang dengan matinya ulama’-ulama’. Beliau menasihatkan supaya ilmu disebarkan dan mengingatkan ilmu tidak akan hilang atau binasa kecuali bila ianya menjadi sesuatu yang rahsia.

3. Ilmu akan hilang jika tiada catitan (ditulis atau, di zaman ini, disimpan dalam bentuk rakaman dan arkib). Sebagai pemerintah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintahkan supaya ditulis dan dikumpulkan hadith-hadith Nabi s.a.w. Hadith sebenarnya mula dikumpulkan dan ditulis sejak zaman Sahabat lagi tetapi, dengan dorongan dari khalifah sendiri, mencapai kemajuan yang tinggi di zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz. Ulama’ silam bersungguh-sungguh berusaha untuk memelihara ilmu hadith dengan menghafal, menulis dan mengajarkannya. Cara untuk memelihara dan mengekalkan ilmu berubah dan berkembang mengikut zaman. Pada zaman ini, banyak cara untuk menyimpan ilmu selain dari menulis seperti membuat rakaman, membangunkan “software” (komputer) dsb.

4. Ilmu yang dihafal di dalam dada akan hilang bila matinya ulama’ tersebut. Oleh itu setiap dari kita hendaklah berfikir dan berusaha untuk memelhara dan menyebarkan ilmu agama ini melalui pelbagai cara. Setidak-tidaknya beriltizamlah untuk meninggalkan jasa kepada umat, dan sebagai bukti bahawa kita pernah hadir di dunia ini.

5. Abi Bakr bin Hazm, orang yang diminta untuk mengumpulkan dan menulis hadith oleh Khalifah Umar Abdul Aziz adalah orang yang pertama membukukan kitab hadith. Di sini kita dapat pengajaran bahawa sebuah kerajaan atau pemerintah perlu terlibat secara langsung dan aktif dalam aktiviti penyebaran ilmu dan membuat perancangan supaya ilmu kekal berpanjangan. Sebagai contohnya pada ada masa ini software “Maktabah Syamilah” yang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam seluruh dunia.

6. Allah tidak mencabut ilmu secara sekali gus dari hati-hati manusia tetapi dengan cara mematikan ulama’-ulama’ di kalangan mereka. Oleh itu kita manfaatkanlah kewujudan ulama’-ulama’ yang benar di sekeliling kita dengan mengambil ilmu dari mereka. Antara kemelut umat ini ialah tidak begitu ambil peduli dan merebut peluang mendapatkan ilmu dari ulama’-ulama’ yang masih hidup di kalangan mereka.

7. Bila tiada lagi orang alim, manusia akan melantik pemimpin-pemimpin yang jahil tentang agama. Pemimpin-pemimpin ini akan mengeluarkan fatwa yang sesat dan yang menyesatkan umat yang dipimpinnya. Tanpa bimbingan agama, manusia akan hanya memikirkan keuntungan duniawi tanpa memikirkan mudarat atau halal haram dalam tindak-tanduk mereka.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 10 – Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith

VIDEO – [Durasi – 13m 45s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 10 – Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/NV27_sZxzAE]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 14 – Nasihat Dan Pengajaran Imam Kepa…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MINAT YANG LUAR BIASA TERHADAP HADITH

باب الْحِرْصِ عَلَى الْحَدِيثِ

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنِي سُلَيْمَانُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ أَبِي عَمْرٍو، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ الْمَقْبُرِيِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ قَالَ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لاَ يَسْأَلَنِي عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ، لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ ‏

Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa beliau berkata, “Ada orang bertanya wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling bertuah akan mendapat syafaatmu pada hari kiamat nanti?”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Saya sudah menjangka, wahai Abu Hurairah bahawa tidak akan ada yang bertanya saya tentang hadith ini lebih dahulu daripada engkau kerana saya melihat minat mu sangat luar biasa terhadap hadith. Orang yang paling bertuah mendapat syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang mengucap “Lailahaillallah” dengan ikhlas daripada hatinya (atau jiwanya)” (Sahih al-Bukhari, Hadith no 99).

[RINGKASAN] Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith

1. Ilmu yang kita patut bersungguh-sungguh belajar dan mempunyai minat yang luar biasa (haloba) terhadapnya ialah ilmu hadith.

2. [Nota Iringan] – Imam as-Shafie meletakkan enam syarat untuk seseorang berjaya dalam menuntut ilmu, iaitu, i. pintar, ii. minat yang luar biasa (haloba) terhadap ilmu, iii. bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, iv. ada belanja, v. mendapat bimbingan guru yang mursyid (baik dan bijaksana) dan, vi. lama masa belajar.

3. Ilmu hadith adalah amat bermanfaat yang kita patut bersikap “haloba” untuk mendapatkannya.

4. Abu Hurairah bertanya kepada Nabi s.a.w., siapakah orang yang paling bertuah yang akan mendapat syafaat (pertolongan) Nabi s.a.w. di akhirat nanti. Mendengar soalan tersebut, Nabi bersabda bahawa Baginda telah menjangka Abu Hurairahlah orang yang pertama yang akan menanyakan soalan ini memandangkan minatnya yang mendalam dan luar biasa terhadap hadith. Abu Hurairah sememangnya hidupnya bergelumang dengan hadith. Dari sini, kita dapat simpulkan bahawa Nabi amat suka dan memuji orang yang minat dan cinta kepada hadith. Perhatikan bahawa perkataan “hadith” (sebagai suatu ilmu) diucapkan sendiri oleh Nabi dan bukan ciptaan orang-orang kemudian.

5. Imam al-Bukhari ingin mengisyaratkan bahawa orang yang lebih banyak terlibat dengan hadith dan sunnah Nabi s.a.w. adalah yang lebih berhak mendapat syafaat Nabi. Ini adalah kerana hubungan ilmu hadith adalah amat dekat dan langsung dengan Nabi, tidak sebagaimana ilmu-ilmu lain.

6. Orang yang bergelumang dengan hadith akan ada tanda yang dikenali Nabi s.a.w. di akhitrat nanti (sebagaimana orang yang berwudhu’ dikenali dengan tandanya di akhirat nanti). Orang-orang inilah, (iaitu orang yang belajar hadith, menjaga hadith dan mengamalkan hadith) yang akan mendapat perhatian utama dari Nabi s.a.w. Bila belajar hadith, secara otomatiknya kita belajar al-Quran tetapi jika belajar al-Quran sahaja tidak semestinya belajar hadith. Fungsi hadith ialah menjelaskan maksud al-Quran dan Nabi s.a.w. adalah al-Quran yang hidup. Untuk mengenali dan mengamalkan Islam, tidak dapat tidak kita hendaklah mengetahui hadith. Hadith amat penting untuk mengelakkan kita dari terjerumus ke dalam neraka; hadith adalah hidup mati kita dan ianya amat berguna untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

7. Untuk mendapat ilmu yang lebih dan istimewa seperti ilmu laduni yang diperolehi oleh Abu Hurairah, seseorang hendaklah bersifat “haloba” terhadap hadith dan ilmu-ilmu agama. Diberikan ilmu hadith yang banyak kepada Abu Hurairah kerana minatnya yang luar biasa terhadap hadith.

8. Nabi s.a.w. bersabda bahawa orang yang paling bertuah, yang akan mendapat syafaat Nabi di akhirat nanti ialah orang yang mengucapkan “Lailahaillallah” dengan ikhlas dari hatinya. Ulama’-ulama’ menjelaskan apakah maksud “yang paling bertuah dengan syafaat Nabi”, sebagaimana berikut:

i. Yang paling bertuah di kalangan semua manusia (yang Islam dan yang bukan Islam) ialah orang Islam. Di Padang Mahsyar nanti, semua manusia, termasuk juga orang kafir, akan merasa bertuah kerana mendapat syafaat Nabi yang menyegerakan hisab. Walaupun begitu akhirnya orang Islam akan masuk syurga dan orang kafir akan ke neraka,

ii. Yang dimaksudkan bertuah ialah orang Islam sahaja, tetapi di kalangan orang Islam, ada orang yang lebih bertuah dari yang lain. Ini adalah kerana tahap keikhlasan ucapan “Lailahaillallah” adalah berbeza di kalangan orang Islam tersebut. Ada orang yang keikhlasannya tinggi sehingga sanggup menggadai nyawa kerana Islam, ada orang sanggup berpisah dengan suami atau isteri yang sesat dan enggan patuh pada syariat Islam. Ringkasnya, orang yang paling banyak memenuhi tuntutan “Lailahailllallah” dengan ikhlas hati ialah orang yang paling bertuah.

9. Kita amat memerlukan syafaat Nabi di akhirat nanti. Antara bentuk-bentuk syafaat ialah,

i. syafaat untuk mereka yang melakukan dosa besar, di mana mereka akan diringankan seksaannya,

ii. meningkatkan darjat di dalam syurga kepada orang yang taat kepada Allah semasa hidup di dunia,

iii. dipendekkan tempoh masa di dalam neraka, .

iv. diselamatkan dari neraka yang sepatutnya ia masuk tetapi terus dimasukkan ke dalam syurga. 10. Imam al-Bukhari ingin menyatakan bahawa orang yang paling berhak mendapat syafaat Nabi s.a.w. ialah orang yang menerima hadith Nabi dan mengamalkannya dengan sesempurnanya. Mereka yang “haloba” kepada hadith adalah orang yang hampir dengan Nabi. s.a.w. Sebagaimana di dunia ini, orang yang hampir dengan kita akan mendapat manfaat yang banyak dari kita. Ini juga bermaksud orang yang mengucapkan “Lailahaillallah” hendaklah faham dengan mendalam maksud kalimah itu.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 9 – Kelebihan Ilmu Atau Lebihan Ilmu

VIDEO – [Durasi – 8m 9s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 9 – Kelebihan Ilmu Atau Lebihan Ilmu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/F2j5x_V39yY]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 10 INDEKS SEMULA -Memberi Fatwa Ketik…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – KELEBIHAN ILMU ATAU LEBIHAN ILMU

باب فَضْلِ الْعِلْمِ

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ، قَالَ حَدَّثَنِي اللَّيْثُ، قَالَ حَدَّثَنِي عُقَيْلٌ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ حَمْزَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ، فَشَرِبْتُ حَتَّى إِنِّي لأَرَى الرِّيَّ يَخْرُجُ فِي أَظْفَارِي، ثُمَّ أَعْطَيْتُ فَضْلِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ الْعِلْمَ ‏”‏‏.‏

Kelebihan Ilmu Atau Lebihan Ilmu

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar, beliau berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ketika aku sedang tidur, diberi kepadaku semangkuk susu, lalu aku meminumnya sehingga betul-betul aku nampak rembesan susu yang diminumku keluar daripada kuku-kukuku. Kemudian aku memberi lebihan susu yang diminum olehku itu kepada Umar Ibnu Khattab”. Para Sahabat bertanya,”Apakah ta’bir mimpi itu wahai Rasulullah?”. Baginda s.a.w. menjawab, “Ilmu”. (Sahih al-Bukhari, hadith no 82).

[RINGKASAN] Kelebihan Ilmu Atau Lebihan Ilmu .

1. Hadith ini lebih sesuai diletakkan dalam bab “lebihan ilmu” berbanding bab “kelebihan ilmu”. Bab “kelebihan ilmu” telah dibincangkan sebelum ini ( rujuk video –    • [ILMU] – Siri 1 – Kelebihan Ilmu [VIDEO TE…   ).

2. Ilmu boleh dibahagikan kepada yang asas dan yang lebihan. Ilmu yang asas ialah ilmu yang wajib dimiliki oleh setiap orang seperti fardhu ain manakala “ilmu lebhan” ialah seperti ilmu fadhu kifayah. Jika makanan, kita boleh katakan nasi adalah yang asas manakala sayur dsbnya adalah sebagai lebihan. Ilmu lebihan ada keistimewaannya terrsendiri dan kita amat digalakkan memilikinya. Contohnya, ilmu fardhu kifayah ada keistimewaannya yang perlu kita rebut.

3. “Lebihan ilmu” boleh juga bermaksud kita berikan kepada orang lain kitab-kitab ilmu yang kita miliki tetapi tidak lagi diperlukan kerana kita telah mendapat manfaat ilmu darinya. Mungkn kepada kita ianya lebihan ilmu tetapi kepada orang lain, ianya sesuatu yang baru dan berguna.

4. Dari hadith Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w. bermimpi diberikan kepadanya semangkuk susu. Baginda meminumnya sehingga nampak rembesan (lebihan) susu keluar dari kukunya. Baginda kemudiannya memberi baki susu yang belum diminumnya kepada Saidina Umar lalu diminum olehnya. Panduan dari hadith ini ialah baki (atau lebihan) sesuatu yang berguna hendaklah diberikan kepada orang lain yang memerlukannya. Dalam konteks ilmu yang ada di dalam dada, memberikan baki kepada orang lain bermaksud mengajarkan ilmu yang kita ada.

5. Kita dituntut juga mencari ilmu lebihan (fardhu kifayah) di samping ilmu-ilmu asas (fardhu ain). Ilmu lebihan seperti fardhu kifayah, perlu juga kita belajar walaupun bukan untuik diamalkan sendiri. Kita boleh mengajarkannya kepada orang lain yang dapat mengambil manfaat daripadanya. Imam an-Nawawi menulis kitab tentang kekeluargaan dsbnya dan memberi menfaat kepada umat Islam walaupun beliau sendiri tidak pernah berkahwin.

6. Saidina Umar mempunyai ilmu yang luar biasa. Ini adalah sebagaimana petunjuk dari mimpi Rasulullah s.a.w. Imam-imam mazhab seperti Imam Malik, Imam as-Shafie dan lain-lain dianggap kemuncak ilmuan (mujtahid mutlak), tetapi jika dibandingkan dengan Saidina Umar, tahap ilmu mereka jauh lebih tinggi. Perkembangan ilmu di zaman pemerintahan Saidina Umar adalah amat hebat dan pesat.

7. Hadith ini memberi isyarat bahawa sesiapa yang bermimpi meminum susu sebenarnya dia akan diberi atau mendapat ilmu.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 8 – Kehilangan Ilmu Dan Berleluasanya Kejahilan

VIDEO – [Durasi – 15m 51s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 8 – Kehilangan Ilmu Dan Berleluasanya Kejahilan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/vVxWiUh7c9M ]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 10 INDEKS SEMULA -Memberi Fatwa Ketik…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – KEHILANGAN ILMU DAN BERLELUASANYA KEJAHILAN

باب رَفْعِ الْعِلْمِ وَظُهُورِ الْجَهْلِ

وَقَالَ رَبِيعَةُ لاَ يَنْبَغِي لأَحَدٍ عِنْدَهُ شَيْءٌ مِنَ الْعِلْمِ أَنْ يُضَيِّعَ نَفْسَهُ. حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ مَيْسَرَةَ، قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ، عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ، وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ، وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ، وَيَظْهَرَ الزِّنَا ‏”‏‏ .‏

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ شُعْبَةَ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ لأُحَدِّثَنَّكُمْ حَدِيثًا لاَ يُحَدِّثُكُمْ أَحَدٌ بَعْدِي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ الْعِلْمُ، وَيَظْهَرَ الْجَهْلُ، وَيَظْهَرَ الزِّنَا، وَتَكْثُرَ النِّسَاءُ وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، حَتَّى يَكُونَ لِخَمْسِينَ امْرَأَةً الْقَيِّمُ الْوَاحِدُ ‏”‏‏.‏

Kehilangan Ilmu Dan Berleluasanya Kejahilan

Rabi’ah berkata, “Tidak sepatutnya seseorang yang mempunyai sedikitpun ilmu mensia-siakan dirinya (hidupnya)”. Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya antara alamat kiamat ialah ilmu dihilangkan, kejahiklan menjadi teguh (mencengkam masyarakat), arak diminum dan perzinaan berleluasa” (Sahih al-Bukhari, Hadith No 80).

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Pasti akan aku ceritakan kepadamu satu hadith yang nanti tidak ada sesiapapun sesudahku akan menceritakannya. Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Antara alamat kiamat itu (ialah) ilmu berkurangan, kejahilan berleluasa, perzinaan berlaku secara meluas dan terbuka, perempuan lebih ramai dari lelaki sehingga lima puluh orang perempuan akan dijaga oleh seorang lelaki” (Sahih al-Bukhari, Hadith No 81).

[RINGKASAN] Kehilangan Ilmu Dan Berleluasanya Kejahilan

1. Bila hampir kiamat, ilmu akan diangkat (hilang) dan akan berleluasalah kejahialan di kalangan manusia.

2. Rabi’ah (seorang tabi’in, guru kepada Imam Malik) berkata, seseorang yang ada walau sedikitpun ilmu, tidak sepatutnya mensia-siakan dirinya. Ilmu akan hilang jika tidak diajarkan kepada orang lain. Jika ianya hilang disebabkan kita tidak mengajarkannya, kitalah yang menjadi sebab untuk segeranya berlaku kiamat. Ingatlah peluang untuk melakukan kebaikan akan tertutup bila kiamat datang. Sebarkanlah ilmu untuk mengelakkan kejahilan berleluasa. Kejahilan akan berleluasa bila manusia tidak lagi menghiraukan ilmu. Alhamdulillah, buat masa ini, semangat untuk menuntut ilmu semakin kuat dalam masyarakat kita, tidak sebagaimana suatu ketika dulu.

3. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang dibawa oleh Nabi s.a.w. (ilmu agama). Ilmu ini akan mengekalkan dunia. Ilmu selain daripada yang dibawa oleh Nabi s.a.w. tidak hilang, tetapi ianya tidak berfungsi mengekalkan dunia ini. Hanya ilmu agama yang dapat mengawal manusia. Akal sahaja tidak mampu menjaga manusia, contohnya, orang yang bijak dalam ilmu dunia tetapi tetap minum arak dan mengamalkan riba, dua perkara yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Hanya Islam yang dapat memandu dan menunjuk jalan kepada manusia dan menyelesaikan masalah mereka. Pada zaman ini, Islam mudah diterima kerana ianya mempunyai jawapan kepada semua masalah termasuk hal-hal ekonomi, masyarakat dan sosial, perundangan, kekeluargaan dll. Agama diperlukan bukan hanya untuk akhirat tetapi juga untuk menyelesaikan perkara-perkara dunia (untuk hidup aman damai dan tidak saling menzalimi).

4. Kita hendaklah sediakan suasana yang sesuai untuk proses pembelajaran (mengajar dan belajar).

5. Rabi’ah berkata, orang yang ada walau sedikit ilmu, janganlah ia sia-siakannya, iaitu hendaklah dia mengajar, Carilah jalan supaya kita dapat mengajarkan ilmu yang kita ada seperti berhijrah ke tempat di mana ilmu kita diperlukan. Ilmu yang diajarkan akan mendatangkan manfaat kepada kita. Jika tidak dapat (atau tiada kebolehan) untuk mengajar, seseorang yang berilmu boleh menulis buku dan kitab. Jika ianya tidak dibaca hari ini, ilmu yang ditulis akan tetap berguna di masa hadapan, ianya akan menjadi amalan yang tidak putus sampainya pahala kepada kita.

7. Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya antara alamat kiamat ialah hilangnya (diangkat) ilmu dan kejahilan teguh (mencengkam) masyarakat (iaitu masyarakat dikuasai kejahilan tentang ilmu agama), arak diminum dan perzinaan akan berleluasa”. Dengan tiadanya ilmu agama dalam masyarakat, umat itu seolah-olah sudah mati dan menunggu kehancuran. Di dalam satu hadith lain disebutkan bahawa ilmu diangkat dengan matinya ulama’. Bila ilmu diangkat, dunia ini akan hancur kerana ilmu agamalah yang memberi panduan kepada manusia untuk hidup selamat di dunia, contohnya, tentang buruknya arak, zina, riba dsb. Ilmu agama ini akan hilang jika tiada yang belajar dan mengajar.

8. Nabi s.a.w. menyebut akan ada banyak fitnah (peperangan) di akhir zaman. Bila ilmu tiada, akal akan menjadi kosong dan manusia akan hilang pertimbangan dan panduan. Akal merupakan salah satu perkara yang djaga oleh agama. Bila meminum arak, akal akan hilang dan hidup ini dan harta akan disia-siakan.

9. Di akhir zaman, hadith ada menyebut akan berleluasa perzinaan. ZIna akan menyebabkan nasab keturunan kucar-kacir. Anak tidak mengenal siapa bapa mereka. Disebabkan oleh zina, institusi kekeluargaan akan roboh, hubungan masyarakat akan bercelaru dan tidak terfikir di benak mereka untuk menyelamatkan manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat. Tidak ada pertanggungjawaban kekeluargaan dalam masyarakat. Apabila institusi keluarga roboh, nasab keturunan tidak diketahui, maka tunggulah kehancuran dunia. Akan hilang sikap hormat menghormati dan saling menghargai di dalam masyarakat.

10. Bila banyak fitnah dan peperangan berlaku, akan banyaklah berlaku pembunuhan. Ini adalah antara punca hancurnya dunia. Semua ini (fitnah, minum arak, perzinaan, peperangan dll) berlaku kerana ilmu agama tidak diajar atau dipelajari, oleh itu adalah tanggungjawab kita untuk menyebarkan ilmu agama.

Hadith kedua

11. Anas bin Malik berkata, Nabi bersabda bahawa di akhir zaman, ilmu akan berkurang, kejahilan akan berleluasa, zina akan meluas, orang perempuan ramai dan orang lelaki jadi sedikit sehingga lima puluh orang perempuan dijaga (dikawal) oleh seorang lelaki. Melalui hadith ini, kita dapat tahu bahawa Anas bin Malik mengajarkan hadith kepada umat Islam. Beliau adalah Sahabat Nabi yang paling akhir hidup di Basrah.

12. Hadith ini menyebut, ilmu akan menjadi sedikit dan kejahilan akan berleluasa, zina akan meluas, orang perempuan akan ramai dan orang lelaki akan sedikit. Ilmu akan hilang sedikit demi sedikit dan akan sampai di suatu masa al-Quran diangkat sepenuhnya. Orang perempuan ramai dan orang lelaki sedikit. Mengapa orang perempuan ramai dan orang lelaki sedkit? Antara pendapat ulama’ ialah,

i. berlakunya banyak peperangan di akhir zaman di mana ramai lelaki yang terkorban kerana merekalah yang menyertai peperangan,

ii. orang lelaki akan terlibat dalam kerja-kerja yang membahayakan nyawa seperti di lombong-lombong dan dasar laut.

iii. maksud hadith ini ialah orang lelaki ramai yang jahat sehinggakan menjadikan orang perempuan sebagai pelacur (ini adalah akibat kerana tiadanya ilmu agama),

iv. Allah akan menjadikan kelahiran orang perempuan melebihi orang lelaki kerana untuk medapatkan anak perempuan adalah lebih mudah disebabkan lemahnya benih lelaki akibat banyaknya perzinaan.

13. Hanya Islam yang dapat menyelesaikan masalah ramainya orang perempuan dengan membenarkan amalan poligami.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 7 – Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

VIDEO – [Durasi – 17m 54s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 7 – Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/bOBIevsrIo8  ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 9 – Kelebihan Orang Yg Berilmu & Meng…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – KELEBIHAN ORANG YANG BERILMU DAN MENGAJARKAN ILMUNYA

باب فَضْلِ مَنْ عَلِمَ وَعَلَّمَ

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلاَءِ، قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ، عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً، وَلاَ تُنْبِتُ كَلأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقِهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ ‏” ‏‏.‏ قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ قَالَ إِسْحَاقُ وَكَانَ مِنْهَا طَائِفَةٌ قَيَّلَتِ الْمَاءَ‏.‏ قَاعٌ يَعْلُوهُ الْمَاءُ، وَالصَّفْصَفُ الْمُسْتَوِي مِنَ الأَرْضِ‏.‏.

Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda perbandingan petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan aku membawanya adalah seperti hujan lebat yang menimpa bumi. Antara bumi itu ada yang subur yang menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput rampai yang banyak dan antaranya ada yang hanya menampung air tetapi tidak menyerap air, maka Allah memanfaatkan tanah itu kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum kepada ternakan mereka serta bercucuk tanam dengan air itu. Hujan yang turun itu menimpa sebahagian tanah yang lain yang merupakan tanah gersang. Tanah ini tidak dapat menampung air mahupun menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Itulah perbandingan orang-orang yang mendalam ilmunya tentang agama Allah. Allah memberi manfaat kepadanya dengan apa yang Allah utuskan aku membawanya. Lalu dia mendapat ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Tanah itu juga merupakan perbandingan orang yang tidak mengangkat langsung kepalanya terhadap ilmu yang dibawa olehku. Dia tidak menerima petunjuk yang Allah utuskan aku membawanya. Abu Abdillah berkata, Ishaq dalam riwayatnya mengatakan, “Antara tanah itu ada sekumoulan tanah yang menghirup (menyerap) air”. “Qa” ialah tanah lapang yang tidak menakung air, “al-safsaf” ialah tanah rata.

[RINGKASAN] Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

1. Hadith-hadith yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya menekankan kepentingan dan kelebihan mendapatkan ilmu dengan belajar dan kemudian mengajarkannya.

2. “Mengajar” tidak bermakna mempunyai murid yang ramai atau pun mengajarkan kitab-kitab yang tinggi tetapi termasuk juga mendidik anak-anak sendiri dengan ilmu yang ada pada seseorang.

3. Mengajarkan ilmu yang kita ada tidak akan merugikan kita. Ilmu, tidak seperti harta, tidak akan berkurang bila “dibelanjakan” (diajarkan kepada orang lain), malah sebaliknya ianya akan bertambah. Ini adalah salah satu bukti bahawa ilmu adalah lebih baik daripada harta. Di samping itu ilmu tidak akan dapat dicuri kerana ia berada dalam dada. Harta menyebabkan kita berkeluh kesah, bimbang dan ketakutan tetapi ilmu akan menenangkan dan mendamaikan jiwa.

4. Bila kita mengajarkan ilmu, ia akan berkembang. Murid yang cerdas akan menambahkan lagi aspek-aspek dan ciri-ciri lain daripada ilmu yang kita ajar. Sebalikmya, ilmu itu akan terhenti setakat kita bila kita tidak menyebarkan dan mengajarkannya.

5. Adalah tradisi ulama’-ulama’ untuk mengajar dan menulis. Sering kali ilmu-ilmu yang kita ajar dan tulis akan mencambahkan idea-idea baru di kalangan pelajar atau pembaca; ini akan mengembangkan ilmu itu sendiri.

6. Untuk mengajar atau menulis, seseorang perlu mempunyai ilmu yang cukup di dalam bidang tersebut. Mengajar tanpa ilmu akan menjadi fitnah dan merosakkan orang yang mengajar dan juga orang yang menerima ajaran-ajaran tersebut.

7. Nabi s.a.w. membandingkan manusia yang berinteraksi dengan ilmu dan petunjuk dari Baginda dengan sebidang tanah yang menerima hujan. Sebagaimana tanah yang ditimpa hujan, petunjuk dan ilmu sampai kepada semua orang tetapi tahap penerimaan dan kesannya tidak sama. Ada manusia yang menerima petunjuk dari Nabi dan ada yang menolaknya. Di kalangan mereka yang menerima petunjuk, ada yang berbakat dan ada juga yang tidak dapat menghadamnya.

8. Tanah yang paling baik ialah yang dapat menerima dan menyerap air lalu menumbuhkan tanam-tanaman dan rumput rampai dengan banyak yang bermanfaat kepada manusia dengan memberi kekayaan, ketenangan dsb.

9. Tanah jenis kedua ialah yang dapat menakung air tetapi tidak mampu untuk menumbuhkan tanaman. Air yang ditampungnya memberi manfaat kepada manusia dan haiwan dengan menjadi sumber air untuk pertanian, minuman dan lain-lain kegunaan.

10. Kategori ketiga, ialah hujan langsung tidak memberi kesan kepadanya. Air hujan sekadar lalu di atasnya. Ini adalah perbandingan orang yang tidak mengangkat langsung kepala kepada apa yang Nabi s.a.w. bawa berupa petunjuk (“huda”) dan ilmu.

11. Sesiapa yang mendapat petunjuk, sudah mendapat manfaat dari Nabi s.a.w. Dia akan terhitung sebagai orang mukmin yang bakal menurunkan zuriat yang akan menambah bilangan orang-orang Islam. Sesiapa yang mendapat petunjuk (iman) tidak akan sia-sia hidupnya.

12 Orang yang terbaik di kalangan mereka yang mendapat petunjuk dari Nabi s.a.w. ialah yang beramal, mengajar dan mengajak orang supaya menerima agama Islam.

13. ilmu yang diterima dari Nabi s.a.w. akan dimanfaatkan oleh orang yang menerimanya dengan dua cara, iaitu sama ada,

i. menyampaikan apa yang diterima daripada Nabi sebagaimana yang diterimanya tanpa menambah apa-apa (seumpama tanah yang menakung air tetapi tidak menumbuhkan tanam-tanaman). Golongan ini berfungsi sebagai penyampai sesuai dengan sabda Nabi bahawa adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri (rujuk video: https://youtu.be/hYAiCoR0riA),

ii. mengeluarkan kesimpulan dan pengajaran dari hadith-hadith yang diterimanya (sebagaimana tanah yang menyerap air lalu menumbuhkan pokok). Golongan ini terdiri daripada mujtahid-mujtahid.

14. Mereka yang menerima petunjuk dari Nabi terdiri dari dua golongan, begitu juga mereka yang menerima ilmu dari Nabi s.a.w. Di zaman-zaman sebelum dan selepas kewafatan Nabi, ada ulama’ yang mendedikasikan hidupnya dengan mengumpulkan hadith-hadith Nabi lalu membincangkan status kesahihannya. Mereka mengumpulkan hadith tanpa membuat kesimpulan atau menyatakan pengajaran atau rahsia yang terkandung dalam hadith tersebut. Mereka hanya menyampaikan hadith tersebut kepada generasi seterusnya. Mereka adalah umpama tanah yang menakung air. Manakala golongan kedua adalah ulama’-ulama’ yang mengembangkan ilmu-ilmu hadith seperti imam-imam mujtahidin (seperti Imam as-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dll). Mereka menerangkan maksud dan pengajaran hadith, bagaimana berinteraksi dengan hadith yang nampak bercanggah dsb. Mereka adalah seperti tanah yang mencambahkan tumbuhan, yang subur dan mengeluarkan hasil bumi. Golongan ini adalah yang paling utama dan paling besar manfaatnya kepada umat.

15. Golongan yang tidak sepatutnya kita berada di dalamnya ialah golongan ketiga, golongan yang tidak menghiraukan petunjuk dari Nabi s.a.w. iaitu yang tidak menerima Islam. Sebagaimana air berguna untuk menghidupkan tanah, wahyu adalah perlu untuk menghidupkan hati. Golongan ketiga ini akan hidup sia-sia di atas dunia dan juga di akhirat. Mereka tidak berminat untuk belajar agama (keterangan dari wahyu) walaupun peluang terbuka luas. Kita adalah manusia, makhluk yang ada akal, hati kecil, daya usaha, ikhtiar tetapi golongan ini gagal memanfaatkan potensi ini menyebabkan hidup menjadi sia-sia.

16. Selain dari itu, bayangkan juga seseorang yang telah mendapat petunjuk (beriman) tetapi tidak mahu belajar dan tidak mempunyai anak yang menyambung zuriatnya dalam iman. Alangkah rugi hidupnya bila kembali kepada Allah dengan tangan kosong berbanding orang lain yang penuh bekal di tangan.

17. Anak cucu yang beriman dan beramal dengan amalan baik merupakan “amalan” baik untuk kita juga.

18. Yang kita tidak mahu ialah tergolong dalam kumpulan yang menolak petunjuk dan ilmu dari Nabi s.a.w. Inilah golongan kafir, orang yang tidak mengangkat kepala kepada apa yang dibawa Nabi s.a.w.

19. Sayugia kita segera mencari ilmu, beramal dan mengajarkan ilmu, sebagai bekalan di akhirat nanti dan ingatlah bahawa semua orang akan menyesal di akhirat nanti kerana sedikitnya bekalan yang dibawa.

20. Jadilah orang yang berilmu tentang Islam dan mengajarkan dan menyebarkan Islam kepada orang lain. Sesungguhnya hadith ada menyebut, “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)”.

[HADITH TEMATIK] – ILMU] – Siri 6 – Keluar untuk menuntut ilmu

VIDEO – [Durasi – 8m 34s] – [HADITH TEMATIK] – ILMU] – Siri 6 – Keluar untuk menuntut ilmu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/q2waPDgOODU  ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 8 – Ya Allah Ajarkanlah Kepadanya (Ib…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – KELUAR UNTUK MENUNTUT ILMU

باب الْخُرُوجِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ

وَرَحَلَ جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ إِلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُنَيْسٍ فِي حَدِيثٍ وَاحِدٍ. حَدَّثَنَا أَبُو الْقَاسِمِ، خَالِدُ بْنُ خَلِيٍّ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَرْبٍ، قَالَ قَالَ الأَوْزَاعِيُّ أَخْبَرَنَا الزُّهْرِيُّ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ بْنِ مَسْعُودٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّهُ تَمَارَى هُوَ وَالْحُرُّ بْنُ قَيْسِ بْنِ حِصْنٍ الْفَزَارِيُّ فِي صَاحِبِ مُوسَى، فَمَرَّ بِهِمَا أُبَىُّ بْنُ كَعْبٍ، فَدَعَاهُ ابْنُ عَبَّاسٍ فَقَالَ إِنِّي تَمَارَيْتُ أَنَا وَصَاحِبِي هَذَا فِي صَاحِبِ مُوسَى الَّذِي سَأَلَ السَّبِيلَ إِلَى لُقِيِّهِ، هَلْ سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَذْكُرُ شَأْنَهُ فَقَالَ أُبَىٌّ نَعَمْ، سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَذْكُرُ شَأْنَهُ يَقُولُ ‏”‏ بَيْنَمَا مُوسَى فِي مَلإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ أَتَعْلَمُ أَحَدًا أَعْلَمَ مِنْكَ قَالَ مُوسَى لاَ‏.‏ فَأَوْحَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى مُوسَى بَلَى، عَبْدُنَا خَضِرٌ، فَسَأَلَ السَّبِيلَ إِلَى لُقِيِّهِ، فَجَعَلَ اللَّهُ لَهُ الْحُوتَ آيَةً، وَقِيلَ لَهُ إِذَا فَقَدْتَ الْحُوتَ فَارْجِعْ، فَإِنَّكَ سَتَلْقَاهُ، فَكَانَ مُوسَى صلى الله عليه وسلم يَتَّبِعُ أَثَرَ الْحُوتِ فِي الْبَحْرِ‏.‏ فَقَالَ فَتَى مُوسَى لِمُوسَى أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ، وَمَا أَنْسَانِيهِ إِلاَّ الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ‏.‏ قَالَ مُوسَى ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِي‏.‏ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا، فَوَجَدَا خَضِرًا، فَكَانَ مِنْ شَأْنِهِمَا مَا قَصَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ ‏”‏‏.

Jabir bin Abdillah telah merentas perjalanan selama sebulan untuk menemui Abdullah bin Unais kerana satu hadith. Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ubaidiullah bin Abdillah bin Utbah bin Mas’ud daripada Ibnu Abbas bahawa dia (Ibnu Abbas) bertengkar dengan Hur bin Qais bin Hisn Al-Fazari berhubung dengan orang yang dicari oleh Musa. Ibnu Abbas berkata, “Dia adalah Khadir”. Dalam keadaan begitu Ubai bin Kaab lalu dekat mereka berdua. Ibnu Abbas memanggilnya. Dia berkata,”Saya telah bertengkar dengan sahabat saya ini tentang orang yang dicari Musa. Orang yang Musa meminta petunjuk jalan untuk menemuinya. Adakah engkau mendengar Rasulullah s.a.w. menyebut tentangnya?”. Ubai bin Kaab menjawab, “Ya. Saya telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Ketika Musa sedang berada dalam satu kumpulan Bani Israil, tiba-tiba datang seorang lelaki, dia bertanya, “Adakah engkau tahu ada orang lain yang lebih alim daripadamu?”. Musa berkata, “Tidak ada”, maka Allah mewahyukan kepada Musa, “Bahkan ada! Iaitu hamba Kami, Khadir”. Maka Musa pun meminta petunjuk jalan untuk sampai kepadanya. Maka Allah memberikan kepadanya ikan sebagai tanda dan dikatakan kepadanya, “Bila engkau kehilangan ikan itu, kembalilah semula ke tempat hilangnya ikan itu kerana engkau akan menemuinya (Khadir) di sana”. Musa pun mengikut kesan ikan yang menggelongsor ke dalam laut. Murid Musa pula berkata kepadanya, “Tahukah kamu, tatkala kita mencari tempat berlindung di batu besar tadi sebenarnya aku lupa menceritakan tentang ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa ikan itu melainkan syaitan”. Musa berkata, “Itulah yang kita cari”. Mereka pun berpatah balik mengikut jejak-jejak mereka yang lepas. Kemudian mereka berdua menemui Khadir. Setelah itu berlakulah kisah yang disebut oleh Allah berhubung dengan mereka berdua di dalam kitab-Nya.

[RINGKASAN] Keluar untuk menuntut ilmu

1. Kalau perlu keluar untuk belajar, maka kita hendaklah keluar. Jika keadaan mengizinkan kita untuk belajar di dalam rumah (atau di dalam negeri), kita tidak perlu keluar. Keluarlah mencari ilmu dalam apa jua keadaan, jauh atau dekat, berjalan kaki atau berkenderaan, sendirian atau beramai-ramai. Untuk mendapatkan ilmu, ianya perlu dicari.

2. Ilmu itu istimewa dan besar kelebihannya, dan jangan memandang rendah kepentingannya. KIta sepatutnya mementingkan ilmu dan sanggup keluar sebagaimana kita sanggup keluar untuk berniaga dan mencari rezeki.

3. Jabir bin Abdillah keluar merentasi perjalanan selama sebulan untuk berjumpa Sahabat Nabi Abdullah bin Unais demi untuk mendengar sendiri satu hadith daripadanya walaupun dia pernah mendengar hadith tersebut melalui orang lain.

4. Ini menunjukkan betapa Sahabat-Sahabat Nabi mementingkan ilmu terutamanya ilmu hadith kerana ianya akan menjadi modal di akhirat nanti. Ini menunjukkan betapa besarnya nilai hadith, ianya menjadi sumber hidayat dan petunjuk.

5. Di zaman ini melayari internet untuk mencari dan mendapatkan ilmu boleh dianggap sebagai “keluar” mencari ilmu juga. Ini bermaksud, ilmu itu perlu dicari.

6. Kita perlu berusaha mencari ilmu di samping berdoa kepada Allah supaya diberikan ilmu.

7. Selain dari Jabir bin Abdillah, ramai lagi Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. yang bermusafir, keluar mencari ilmu seperti Anas bin Malik.

8. Imam al-Bukhari membawakan hadith tentang Nabi Musa yang keluar mencari Khadir demi untuk mendapatkan ilmu tambahan, walaupun dia sudah mempunyai ilmu yang cukup. Perhatikan, seorang Nabi sanggup keluar mencari ilmu, malah sanggup bermusafir berpuluh tahun, oleh itu kita tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu.

9. Di samping itu, Imam al-Bukhari ingin mengingatkan kita supaya tidak menggunakan hadith yang menyebut tentang kesukaran dan azab ketika bermusafir sebagai alasan untuk tidak mahu keluar bermusafir untuk menuntut ilmu. Hadith tentang kesukaran kerana bermusafir tersebut sesuai untuk perjalanan dan musafir biasa bukan untuk mereka yang menuntut ilmu.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 5 – Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah

VIDEO – [Durasi – 12m 53s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 5 – Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RgLN_Y69l8M ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 7 – Pemahaman Dalam Hal  Ilmu Pengeta…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MINAT YANG MENDALAM KEPADA ILMU DAN HIKMAH

باب الاِغْتِبَاطِ فِي الْعِلْمِ وَالْحِكْمَةِ وَقَالَ عُمَرُ تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا.

قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ : وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ حَدَّثَنِي إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي خَالِدٍ، عَلَى غَيْرِ مَا حَدَّثَنَاهُ الزُّهْرِيُّ، قَالَ سَمِعْتُ قَيْسَ بْنَ أَبِي حَازِمٍ، قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا ‏”‏‏.‏

Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah

Umar berkata, “Dalamilah ilmu sebelum kamu dijadikan pemimpin”. Abu Abdillah (al-Bukhari) berkata, “Dan selepas kamu dijadikan pemimpin kerana Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. mempelajari ilmu setelah mereka tua”. Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada kedengkian melainkan dua macam orang, pertama, ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta lalu dia membelanjakannya sampai habis di jalan kebenaran dan kedua, ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan maka dia membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaan yang diberikan kepadanya itu, di samping mengajarkannya juga kepada orang lain”.

[RINGKASAN] Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah

1. “Ghibtah” ialah keinginan mendapatkan juga kelebihan yang diperolehi oleh orang lain tetapi tidak mengharapkan supaya kelebihan tersebut hilang daripada orang tersebut manakala “hasad” adalah sebaliknya, iaitu menginginkan orang yang mendapat kelebihan tersebut hilang daripadanya. “Ghibtah” adalah sikap yang terpuji.

2. Perlu ada sikap “ghibtah” (keinginan tanpa dengki)) dalam masyarakat untuk memperolehi kebaikan sebagaimana orang yang diberikan ilmu yang dalam lalu mengamalkannya dan mengajarkannya. Sikap untuk menjadi orang berilmu dan bijaksana yang mengamalkan dan mengajarkan ilmunya perlu ada terutamanya di kalangan orang muda dan ianya adalah suatu kelebihan yang istimewa dan utama.

3. Dua perkara ini (menghabiskan harta di jalan yang benar dan mengamalkan dan mengajarkan ilmu) perlu dikejar. Hadith ini yang menyebut, “Tidak ada kedengkian” melainkan dalam dua perkara ini, dimana “kedengkian” di sini bermaksud “ghibtah”. Jika “hasad” (dalam maknanya yang asal) dibenarkan nescaya ianya dibenarkan dalam dua perkara ini, tetapi yang inipun tidak dibenarkan untuk kita berhasad dengki.

4. Kebaikan di segi ilmu ialah “hikmah” (iaitu kedudukan ilmu di peringkat tinggi), yang diamalkan dan diajarkan kepada orang lain.

5. Kebaikan di segi harta ialah menghabiskan (membelanjakan) harta di jalan kebenaran. Dia tidak boros atau membazirkan harta. Dia dan orang sekelilingnya (keluarganya) mempunyai jiwa yang bersedia dan layak dengan pengorbanan tersebut dan tidak akan menjadi fitnah kepada mereka.

6. Naluri manusia sememangnya ingin mengumpulkan harta. Orang yang berjiwa tinggi akan mengumpulkan hartanya untuk akhirat yang membantunya di dalam kubur, di padang mahsyar sehingga di syurga nanti. Sabda Nabi s.a.w., “Hindarilah neraka walaupun dengan secubit (secebis) buah tamar”. Jiwanya yang bersih, suka melihat orang lain gembira dan senang hasil dari pemberiannya.

7. Orang yang diberi “hikmat” (ilmu yang tinggi), membuat keputusan berdasarkan kepada kebijaksanaan yang diberikan Allah kepadanya. Dia dijamin selamat selagi dia menjadikan ilmunya sebagai panduan. Dia mengajarkan ilmunya yang mana ianya bermanfaat kepada dirinya dan juga kepada orang lain.

8. Nabi s.a.w. menggalakkan kita supaya belajar tinggi (sehingga boleh mengajar) dan memanfaatkan harta dengan sebaik-baiknya. Malangnya, masyarakat kita banyak menghabiskan masa, tenaga dan harta dengan, contohnya, kerap mengadakan majlis jamuan dan kenduri-kendara yang tidak menepati kehendak sunnah (seperti jamuan hari ketujuh, keempatpuluh atau keseratus selepas kematian). Antara masalah kita ialah takut dicemuh masyarakat bila tidak mengamalkan amalan tradisi ini. Keterangan dari hadith

9. Saidina Umar r.a. berkata, “Dalamilah ilmu sebelum kamu dijadikan pemimpin”, maksudnya, janganlah kita menjadi pemimpin dalam keadaan tiada ilmu. Jika kita jadi pemimpin dalam keadaan tiada ilmu, kemungkinan kita akan menyesatkan orang yang kita pimpin.

10. Saranan dari Saidina Umar ini menunjukkan bahawa kita perlu belajar di usia muda. Setelah menjadi pemimpin (di usia dewasa) seseorang akan sibuk berhadapan dengan banyak perkara dan urusan, dia tidak akan dapat menumpukan perhatian untuk belajar. Dia juga mungkin berasa malu untuk belajar di usia dewasa.

11. Hakikatnya semua orang akan menjadi pemimpin, orang lelaki akan menjadi pemimpin kepada keluarganya, manakala orang perempuan akan menjadi ibu dan pemimpin kepada anak-anaknya.

12. Ada ulama’ mengatakan dalamilah ilmu sebelum seseorang itu tumbuh janggut (iaitu ketika masih muda). Ada juga ulama’ yang mengatakan dalamilah ilmu sebelum berkahwin. Di usia sebegini, fikiran seseorang akan lebih tenang dan boleh memberi tumpuan dalam menuntut ilmu.

13. Imam al-Bukhari menambah kepada perkataan Saidina Umar dengan lafaz, “(Menuntutlah ilmu) dan selepas kamu dijadikan pemimpin”. Janganlah faktor usia menjadi penghalang kepada seseorang muslim untuk menuntut ilmu. Pintu untuk mendapatkan ilmu tetap terbuka walaupun selepas seseorang dijadikan pemimpin atau lanjut usianya. Saidina Umar sekadar mencadangkan waktu yang terbaik untuk menuntut ilmu. Bukti bahawa boleh menuntut ilmu di usia tua ialah ramai Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. yang menuntut ilmu di usia tua.

[HADITH-ILMU] – Siri 4 – Orang yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya nescaya Dia memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama

VIDEO – [Durasi – 10m 34s] – [HADITH-ILMU] -Siri 4-Allah berikan kebaikan yang banyak dgn berikan faham yang dalam tentang agama

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RgLN_Y69l8M ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 6 – Ketentuan Waktu  Untuk Memberi Na…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ORANG YANG ALLAH MAHUKAN KEBAIKAN YANG BANYAK UNTUKNYA NESCAYA DIA MEMBERIKAN KEPADANYA FAHAM YANG MENDALAM TENTANG AGAMA

باب مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، عَنْ يُونُسَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ قَالَ حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ سَمِعْتُ مُعَاوِيَةَ، خَطِيبًا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي، وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ ‏”‏‏.‏

Orang yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya nescaya Dia memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Humaid bin Abdur-Rahman, beliau berkata: Aku telah mendengar Muawiyah ketika berucap berkata: Saya telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya, nescaya Dia akan memberikan faham yang mendalam kepadanya tentang agama. Sesungguhnya saya hanya pembahagi, Allahlah yang memberi. Umat ini akan terus tetap dengan agama Allah (yang betul). Tidak akan menjejaskan mereka orang-orang yang menentang mereka sehinggalah datang hari kiamat”.

[RINGKASAN] Orang yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya nescaya Dia memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama

1. Orang yang Allah mahukan kebaikan yang besar dan istimewa untuknya, Allah memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama.

2. Al-Quran menyatakan melalui Surah at-Taubah, ayat 122, bahawa hendaklah ada satu golongan daripada orang Islam yang mendalami agama (tidak semuanya keluar pergi berperang). Mendalami agama adalah sesuatu yang dituntut sehinggakan dalam keadaan perang sekalipun diperintahkan ada satu kumpulan yang tidak pergi berperang tetapi terus kekal mendalami ilmu agama. Hakikatnya, ilmu itu sendiripun adalah seperti suatu senjata peperangan iaitu “peperangan” di segi pemikiran, perdebatan ilmiah dsb yang lebih kerap berlaku di zaman ini berbanding peperangan bersenjata.

3. Mendalami agama adalah melalui dua sumber iaitu al-Quran dan hadith, manakala ilmu-ilmu lain adalah “alat” untuk memahami al-Quran dan hadith. “Mendalami agama” bukan sekadar belajar ala-kadar tetapi dengan fahaman yang mendalam dan dapat menyampaikan ilmunya dengan bijaksana. Orang yang diberi kefahaman yang mendalam tentang agama boleh mendakwa dia telah diberikan kebaikan oleh Allah kerana Nabi s.a.w telah mengatakan demikian. Sebaliknya orang yang diberi kekayaan harta, kedudukan tinggi, kecerdikan dan seumpamanya tidak boleh mendakwa bahawa itulah bukti bahawa dia telah diberi kebaikan oleh Allah dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Ringkasnya, kebaikan dalam memahami agama secara mendalam adalah kebaikan yang paling utama dan melebihi kebaikan-kebaikan yang lain.

4. Ilmu tentang al-Quran dan hadith adalah amat istimewa dan ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang mendalam. Ianya tidak sekadar tahu sahaja tetapi dapat menggalinya dari al-Quran dan hadith sehingga ke akar umbi. Seseorang yang dalam ilmunya boleh tahu dalil-dalil, hikmat dan tujuan di sebalik sesuatu hukum dan dia tahu cara terbaik untuk menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Contohnya, orang yang dalam ilmunya, ketika cuba berdakwah kepada orang asli yang belum Islam tidak sepatutnya menimbulkan isu haramnya anjing dalam Islam ketika mula-mula memperkenalkan Islam kepada mereka. Pertamanya, pendakwah tersebut perlu tahu bahawa hukum haramnya anjing tidak disepakati oleh semua ulama’. Ada ulama’ yang mengatakan anjing tidak najis seperti Imam Malik (Mazhab Maliki). Keduanya, yang perlu diutamakan ialah perkara aqidah dan membawa masuk seseorang ke dalam Islam dahulu.

Keterangan dari hadith

5. Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang istimewa, yang lebih daripada kebaikan yang lain (seperti kekayaan, kedudukan dan kecerdikan) nescaya diberi kepadanya faham yang mendalam tentang agama. Untuk memahami agama ini dengan mendalam, seseorang itu perlu belajar yang biasanya mengambil masa yang lama. Perlu diingat bahawa faham yang mendalam dalam agama ini tidak hanya memahami ilmu fiqah tetapi hendaklah memahami pelbagai aspek dalam agama.

6. Nabi s.a.w. bersabda, “Aku hanya pembahagi, Allahlah yang memberi”. Peranan guru hanya “membahagi” (mengajar) tetapi yang “memberi” sebenarnya ialah Allah. Oleh itu kita jangan bergantung hanya kepada guru tetapi hendaklah minta kepada Allah, kerana Allahlah sebenarnya yang memberi.

7. Perlu diingat bahawa hubungan kita bukan hanya dengan yang zahir. Guru hanyalah sebagai anak kunci, Allahlah yang memberi. Hakikat ini menjelaskan kenapa manusia mendapat ilmu yang berbeza-beza walaupun mereka menggunakan kitab yang sama dan berguru dengan guru yang sama. Begitu juga sikap guru dengan murid, tanamkan dalam hati bahawa yang memberi ialah Allah, bukan dirinya.

8. Yang memberi kesan sebenarnya ialah Allah. Inilah aqidah yang ingin ditanamkan ke dalam jiwa kita. Ianya adalah seumpama kita berubat tetapi Allah yang menyembuhkan, atau kita makan tetapi Allahlah yang mengenyangkan.

9. Bila Allah yang memberi segala-galanya, Dia boleh memberi ilmu tanpa kita belajar seperti ilmu “ladunni” (ilmu yag datang terus dari Allah tanpa sebab), ilmu yang diberi kepada orang-orang yang rapat dengan Allah, yang bergantung penuh kepada-Nya. Kita hendaklah ingat bahawa Allahlah yang memberikan segala-galanya.

10. Sabda Nabi s.a.w. seterusnya, “Akan sentiasa ada dari umat ini satu umat yang tegak di atas perintah (agama) Allah”. Akan sentiasa ada satu kumpulan dari umat ini yang tegak di atas agama Allah. Terus tegaknya agama Allah Ini adalah kerana Islam sentiasa menggalakkan umatnya belajar dan menyebarkan ilmu.

11. “Tidak akan menjejaskan (memudaratkan) mereka orang yang menentangnya”. Mereka tidak takut dengan ancaman dan mereka akan terus beritahu dan sebarkan apa yang mereka yakini kerana ilmu yang mereka perolehi ialah ilmu yang mantap dan yakin.

12. “Sampai datang perintah Allah”. Mengikut sesetengah ulama’, pada akhir zaman nanti, akan datang suatu angin yang meniup dan mematikan semua orang Islam, yang tinggal hanyalah orang kafir yang hidup sampai hari kiamat. Walaupun begitu, ada juga ulama’ yang mengatakan, orang Islam akan hidup sampai hari kiamat.

13. Yang menjamin kewujudan ajaran Islam ini menurut pendapat Imam al-Bukhari ialah ilmu iaitu ilmu hadith. Imam Ahmad mengatakan golongan ini ialah ahli hadith dan “ahli hadith” dalam istilah yang lain ialah ahli sunnah.

[HADITH TEMATIK-ILMU] – Siri 3 – ADAKALANYA ORANG YANG DISAMPAIKAN SESUATU HADITH ITU LEBIH MENGERTI (TENTANGNYA) DARIPADA ORANG YANG MENDENGARNYA SENDIRI

VIDEO – [Durasi – 16m 21s] – [HADITH TEMATIK-ILMU] -Siri 3-Adakala orang yang disampaikan hadith kepadanya lebih faham tentangnya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hYAiCoR0riA ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 5 – Ada Kala Orang Yg Disampaikan Leb…  

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ADAKALANYA ORANG YANG DISAMPAIKAN SESUATU HADITH ITU LEBIH MENGERTI (TENTANGNYA) DARIPADA ORANG YANG MENDENGARNYA SENDIRI

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏رُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ ‏”‏

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرٌ، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ عَوْنٍ، عَنِ ابْنِ سِيرِينَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ، عَنْ أَبِيهِ، ذَكَرَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَعَدَ عَلَى بَعِيرِهِ، وَأَمْسَكَ إِنْسَانٌ بِخِطَامِهِ ـ أَوْ بِزِمَامِهِ ـ قَالَ ‏”‏ أَىُّ يَوْمٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ سِوَى اسْمِهِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَىُّ شَهْرٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ بِذِي الْحِجَّةِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا‏.‏ لِيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ ‏”‏‏.‏

Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdur-Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya (Abi Bakrah) bahawa beliau menyebutkan: Sesungguhnya pernah Nabi s.a.w. duduk di atas untanya dan ada seseorang yang memegang tali unta itu. Tiba-tiba Nabi s.a.w. bertanya, “Hari apa hari ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakan hari itu dengan nama yang lain. Terus Baginda s.a.w. bertanya, “Bukankah hari ini hari Nahar?”. Kami menjawab, “Ya”. Nabi bertanya lagi, “Bulan apakah bulan ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakannya dengan nama yang lain. Nabi s.a.w. terus bertanya lagi, “Bukankah bulan ini bulan Zulhijjah?”. Kami menjawab, “Memang”. Nabi s.a.w. lantas bersabda, “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta benda dan kehormatan-kehormatan kamu adalah haram kepada mu seperti haramnya hari ini, pada bulan ini, di negeri kamu ini. Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir kerana orang yang hadir ini boleh jadi dia menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti daripadanya (tentang apa yang disampaikannya itu)”.

[RINGKASAN] Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri

1. Adakalanya (ataupun, alangkah banyaknya) orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti tentangnya daripada orang yang mendengarnya sendiri daripada Nabi s.a.w.

2. Imam al-Bukhari membawakan hadith ini dengan tujuan untuk menggalakkan kita supaya menyampaikan ilmu terutamanya ilmu dari Nabi s.a.w (al-Quran dan hadith). Kita patut berasa istimewa dan mendapat keutamaan kerana dapat menyampaikan ilmu dari Nabi s.a.w. ini.

3. Seorang guru tidak tahu apa yang akan berlaku kepada muridnya suatu hari nanti. Ada kemungkinan muridnya itu lebih cerdik daripadanya dan mencapai kedudukan yang jauh lebih tinggi daripadanya.

4. Ilmu yang disampaikan oleh seseorang guru boleh berkembang lebih luas daripada apa yang diajarkannya melalui usaha murid-muridnya.

5. Nabi memerintahkan supaya menyampaikan sahaja apa yang didengar dari Baginda (walaupun dia atau orang yang mendengarnya tidak faham maksudnya, dengan syarat dia benar-benar ingat apa yang disabdakan Baginda) kerana kemungkinan orang yang disampaikan hadith Nabi tersebut dapat memahami dan menghayatinya lebih daripada orang yang menyampaikannnya.

6. Hadith ini menjadi motivasi kepada guru untuk lebih bersemangat mengajar kerana suatu hari nanti murid yang diajarnya mungkin akan lebih (tinggi ilmunya) daripadanya dan mereka akan memanjangkan usaha dan amal guru tersebut. Ilmu itu tidak terhenti setakat guru itu sahaja.

7. Beberapa kategori pelajar yang perlu berubah sikap: i) mereka yang belajar hanya untuk beramal sendiri, ii) mereka yang belajar tetapi “bakhil” untuk meyebarkan ilmu yang diterimanya kerana takut muridnya menandinginya dan, iii) mereka yang pandai tetapi enggan mengajar kerana menganggap orang lain tidak layak dan tidak mampu menerima ilmunya yang tinggi.

8. Ulama’ ada berkata, ilmu semakin bertambah jika kita membelanjakannya (menyebarkannya), sebaliknya harta jika dibelanjakan ianya semakin berkurang. Inilah salah satu sebab mengapa ilmu itu lebih daripada harta. Ilmu yang disebarkan akan menghasilkan pahala kepada kita di samping itu akan mengangkat nama baik kita. (Nota: Mendapat nama baik adalah menjadi impian setiap orang sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran, Surah Insyirah, ayat 4, bermaksud, “Dan Kami telah angkatkan namamu”).

9. Tiada sebab untuk kita bersikap bakhil untuk menyebarkan ilmu yang kita miliki, atau berasa rugi bila kita mengajar ilmu-ilmu agama kerana kita tidak tahu apakah hasilnya nanti, sebagaimana kita tidak boleh berhenti bekerja kerana tidak tahu sama ada apakah usaha kita akan membuahkan hasil atau tidak.

10. Sayugia diingat, betapa ramai murid menjadi lebih cemerlang daripada gurunya di kemudian hari (“Betapa ramai orang yang disampaikan ilmu itu lebih mengerti daripada orang yang menyampaikannya”). Ada satu kisah di mana Imam al-A’masy buntu tentang suatu masalah lalu bertanya kepada muridnya, Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah memberi jawapan yang memuaskan hati Imam al-A’masy, lalu beliau bertanya dari mana dia mendapat ilham penyelesaian masalah tersebut. Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa ianya adalah daripada hadith yang disampaikan oleh gurunya itu. Begitu juga, banyak kita dapati guru-guru imam-imam mujtahid tidaklah sehebat imam-imam itu sendiri.

11. Faedah menyampaikan ilmu sekurang-kurangnya ada dua, iaitu,

i. ilmu akan hilang jika tidak disebarkan dan,
ii. ilmu tidak akan berkembang jika tidak diajar kepada orang lain.

12. Menyampaikan hadith ada kelebihan dan manfaatnya tersendiri kerana hadith adalah daripada Allah yang disampaikan melalui Nabi s.a.w. sebagai panduan untuk kita selamat di dunia dan akhirat.

13. Orang-orang di zaman silam menyampaikan hadith yang sahih yang kadang-kadang mereka sendiri tidak faham. Yang penting ialah hadith tersebut adalah sama seperti yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. tanpa sebarang perubahan. Bila sampai masanya, Allah akan buka rahsia yang terkandung di dalam hadith tersebut. Perlu diingat bahawa hadith-hadith adalah bukan hanya untuk satu zaman, satu bangsa atau satu tempat sahaja malah ianya adalah untuk senua zaman, semua manusia dan semua tempat. Hadith isra’ mi’raj contohnya, lebih mudah diterima di zaman ini bila manusia boleh bergerak dalam masa yang singkat menggunakan kapalterbang dan manusia meneroka angkasa lepas. Walaupun begitu, kemampuan manusia adalah terbatas kerana mereka tidak akan dapat sebagaimana diperolehi Nabi s.a.w. yang boleh melihat syurga dan perkara-perkara ghaib lainnya.

14. Kita hendaklah sampaikan hadith kepada orang lain kerana ianya tetap ada faedahnya walaupun orang yang kita sampaikan hadith itu tidak faham maksud hadith tersebut.

15. Contoh murid yang menerima hadith lebih faham tentang sesuatu hadith daripada guru yang menyampaikannya adalah hadith berikut: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan ahli keluarganya dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu dengan ahli keluarga”. Orang yang paling tahu tentang perangai sebenar seorang lelaki ialah isterinya, namun untuk seorang guru yang tidak berkahwin, beliau tidak dapat menjiwai hadith ini berbanding muridnya yang telah berkahwin.

Keterangan dan Pengajaran Hadith

16. Semasa mengerjakan haji Wada’, ketika berada di atas unta, Nabi s.a.w. bertanya apakah hari dan bulan ini. Sahabat memang tahu apakah hari dan bulan itu tetapi menyangka Nabi akan menamakannya dengan hari dan bulan lain. Rupa-rupanya Nabi s.a.w. bertanya untuk menarik perhatian Sahabat-Sahabat kepada apa yang akan disabdakannya. Kemudiannya Nabi bersabda, “Darah-darah (nyawa) kamu, harta benda kamu dan kehormatan-kehormatan kamu di antara sesama kamu adalah haram seperti mana haramnya hari ini, pada bulan ini, di negeri kamu ini”. Mereka berada di bulan haram (Zulhijjah), di tanah haram (Mekah) dan dalam keadaan ihram (berlapis-lapis “haram”), namun keharaman darah, harta benda dan kehormatan sesama muslim adalah lebih haram (lebih tinggi) dari semua itu. Dalam satu riwayat lain dinyatakan bahawa nyawa seorang mukmin lebih mulia dari kaabah. Maksud hadith ini ialah bahawa persaudaraan sesama mukmin adalah amat mendalam sehingga tidak terfikirpun untuk mengkhianati sesama mukmin. Hubungan persaudaraan ini hendaklah berkekalan sepanjang hayat dan di mana-mana pun kita berada di mana darah-darah, harta benda dan kehormatan adalah haram untuk diceroboh.

[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 2 – Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

VIDEO – [Durasi – 17m 45s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 2- Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) & sebelum beramal

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/cEDGHcqE08Q ]

Video penuh asal – [ Sahih al-Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 5 – Ada Kala Orang Yg Disampaikan Leb…   [

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ILMU SEBELUM MENGAJAR (ATAU MENGUCAPKAN SESUATU) DAN SEBELUM BERAMAL

بَابُ الْعِلْمُ قَبْلَ الْقَوْلِ وَالْعَمَلِ

لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {فَاعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ} فَبَدَأَ بِالْعِلْمِ، وَأَنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ- وَرَّثُوا الْعِلْمَ- مَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ بِهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ.

وَقَالَ جَلَّ ذِكْرُهُ: {إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ} وَقَالَ: {وَمَا يَعْقِلُهَا إِلاَّ الْعَالِمُونَ}، {وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ}.

قَالَ: {هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ}.

وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ .‏

وَوَقَالَ أَبُو ذَرٍّ لَوْ وَضَعْتُمُ الصَّمْصَامَةَ عَلَى هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى قَفَاهُ- ثُمَّ ظَنَنْتُ أَنِّي أُنْفِذُ كَلِمَةً سَمِعْتُهَا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ أَنْ تُجِيزُوا عَلَيَّ لأَنْفَذْتُهَا.

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: {كُونُوا رَبَّانِيِّينَ} حُكَمَاءَ فُقَهَاءَ. وَيُقَالُ الرَّبَّانِيُّ الَّذِي يُرَبِّي النَّاسَ بِصِغَارِ الْعِلْمِ قَبْلَ كِبَارِهِ.

Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

Kerana (berdasarkan) firman Allah, “Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah”. Allah memulakan dengan ilmu dan sesungguhnya para ulama’ itulah pewaris nabi. Mereka mewarisi ilmu (ilmu para nabi). Sesiapa yang mengambilnya bererti dia mendapat habuan yang besar dan banyak dan sesiapa mengikuti sesuatu jalan dengan maksud mencari ilmu, Allah mempermudahkan untuknya jalan untuk ke syurga. Allah berfirman, yang bermaksud, “Yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulama’ “. Firman-Nya lagi, bermaksud, “Tidak ada yang mengerti tentangnya kecuali orang-orang yang alim”. Allah berfirman, bermaksud, “Mereka berkata: Kalaulah kita dahulu mendengar (atau berfikir) tentulah kita tidak termasuk di kalangan ahli neraka”. Firman Alah, bermaksud, “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”.

Nabi s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya, nescaya diberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama. Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan belajar”. Abu Zar berkata, “Kalau kamu letakkan pedang yang tajam di sini (dia mengisyaratkan ke lehernya) kemudian aku ingat aku dapat menyampaikan lagi satu ucapan yang pernah ku dengar daripada Nabi s.a.w. sebelum kamu melaksanakan hukuman bunuh itu ke atasku, nescaya aku akan sampaikannya”. Ibnu Abbas berkata, “Jadilah kamu orang-orang Rabbani iaitu hukama’ (golongan cendekiawan), fuqaha’ dan ulama’ “. Dikatakan juga “Rabbbani” ialah orang yang mendidik manusia dengan ilmu yang kecil-kecil sebelum yang besar-besar.

[RINGKASAN] Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

1. Kita hendaklah mempunyai ilmu sebelum mengajar atau sebelum mengucapkan sesuatu (bercakap) tentang sesuatu topik. Begitu juga kita hendaklah memiliki ilmu yang berkenaan sebelum melakukan atau mengerjakan sesuatu amalan.

2. Tujuan dari ilmu ialah amal, tetapi sesuatu amalan tidak akan membuahkan hasil tanpa ilmu. Oleh itu dapatkan ilmu dahulu sebelum beramal dan ianya adalah perkara yang pertama.

3. Sebelum berkata tentang sesuatu perkara (terutamanya yang berkaitan hal-hal agama) kita hendakalh mempunyai ilmu tentangnya kerana dikhuatiri ucapan tanpa ilmu akan menyebabkan dosa dan kerosakan. Begitu juga untuk mengajar dan beramal kita juga perlukan ilmu.

4. Sebelum melakukan sesuatu amalan, contohnya sembahyang, seseorang hendaklah belajar dan mendapatkan ilmu. Seorang yang baru memeluk Islam, tidak boleh terus sembahyang tanpa ilmu tetapi dia hendaklah belajar cara-cara dan syarat-syarat sembahyang dahulu.

5. Ilmu itu mempunyai kelebihan tersendiri. Tanpa amal pun, ilmu itu adalah istimewa dan ada kelebihannya. Ringkasnya, semua ilmu ada kelebihannya, lebih-lebih lagi ilmu tentang agama Islam.

6. Firman Allah (Surah Muhammad, ayat 19) bermaksud, “Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah”. Perhatikan bahawa ayat ini dimulakan dengan lafaz, “Ketahuilah”, yang bermaksud, “Hendaklah mempunyai ilmu”. Di dalam ayat al-Quran ini disebut ilmu yang paling utama ialah ilmu tauhid (mengenal Allah). Apa-apa ilmu yang tidak mengarah kepada “mengenal” Allah adalah tidak berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada “Lailahaillallah”. Apa-apa ilmu (sama ada ilmu agama atau ilmu lain – penyunting) yang menyebabkan kita yakin bahawa tiada tuhan melainkan Allah adalah baik untuk dipelajari.

7. Allah mulakan dengan ilmu. (Hadith) “Sesungguhnya ulama’ itulah pewaris para nabi”. Ulama’ yang disifatkan sebagai “pewaris nabi” ialah orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya kerana sekiranya mengamalkan ilmu tidak syarat sebagai pewaris nabi, tentulah golongan “orientalis” yang mempunyai banyak ilmu juga termasuk dalam golongan pewaris nabi! Nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka berupa harta benda tetapi yang ditinggalkan untuk umatnya ialah ilmu. Orang yang alim dengan ilmu dari nabi ialah orang yang mewarisi pusaka dari nabi.

8. Ilmu yang paling utama ialah ilmu dari Nabi s.a.w iaitu ilmu al-Quran dan hadith. Ini tidak menafikan bahawa ilmu yang lain seperti sains, matematik dsb adalah penting dan berfaedah untuk manusia (ilmu-ilmu ini termasuk dalam fardhu kifayah untuk orang Islam menguasainya). Yang melebihkan manusia ialah nilai kemanusian (hasil dari ilmumya), bukannya kemajuan fizikal. Sesiapa yang mengambil ilmu Nabi sesungguhnya dia mengambil habuan, faedah dan keberuntungan yang besar.

9. Sesiapa yang mengikuti sesuatu jalan untuk mencari ilmu, Allah taala permudahkan untuknya jalan ke syurga. Di samping itu, Allah akan mengurniakan ganjaran di atas kesukaran yang ditempuhi semasa dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Sepatutnya jaminan dari Allah ini membakar semangat kita untuk menuntut ilmu. Sahabat-Sahabat Nabi dahulu beramal dan bekerja semata-mata untuk akhirat (dengan tidak memikirkan habuan dunia) tetapi Allah kurniakan juga kekayaan dunia yang melimpah ruah kepada mereka. Malangnya, kebanyakan manusia hari ini lebih mementingkan habuan dunia semata-mata tetapi hakikatnya dunia menjauh dari mereka! Oleh itu, walaupun sesuatu aktiviti, amalan atau perbuatan dari luaran ianya seolah-olah perkara keduniaan, kita hendaklah kaitkannya dengan akhirat, contohnya, belajar sains untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Kita patut contohi ulama’-ulama’ muktabar di zaman silam seperti Imam al-Ghazali yang belajar dan menulis juga kitab perubatan di samping kitab-kitab agama atau Ibnu Rusyd yang menulis juga kitab tentang kajian bintang (astronomi), ilmu menghasilkan minyak wangi dsb.

10. Allah berfirman, Surah Fatir, ayat 28, bermaksud, “Hanya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah ulama’ “. Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu iaitu ulama’. “Tiada yang mengerti (faham) tentang kekuasaan tuhan itu melainkan orang alim”, (Surah al-Ankabut, ayat 43). Ini menunjukkan ilmu itu sendiri ada kelebihan, apatah lagi jika ilmu itu ialah ilmu yang suci, ilmu al-Quran dan hadith.

11. Golongan jin berkata (Surah al-Mulk, ayat 10), “Kalaulah dahulu kita dengar dan fikirkan apa yang diberitahu (oleh Islam), nescaya kita tidak menjadi ahli neraka hari ini”. Di sini kita dapati pentingnya ilmu untuk membolehkan kita berfikir. Ilmu itu diperolehi dengan mendengar.

12. Allah berfirman (Surah az-Zumar, ayat 9), “Adakah sama orang yang mengerti (berilmu) dengan orang yang tidak mengerti (jahil)?”. Oleh kerana tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, hendaklah kamu belajar supaya menjadi orang yang berilmu.

13. Nabi bersabda, “Sesiapa yang Allah hendak memberikan kebaikan yang besar untuknya nescaya diberi kefahaman yang mendalam kepadanya tentang agama”. Orang yang diberi kefahaman yang mendalam tentang agama patut bersyukur dan berasa bertuah. Tetapi sayangnya, ada dalam masyarakat kita yang berasa malang setelah belajar agama kerana tidak dapat gaji yang tinggi bila bekerja nanti, mereka tidak dapat menghayati mesej dari hadith ini.

14. Ibnu Abbas berkata, “Ilmu itu diperolehi hanya dengan belajar”. Adalah tidak memadai dengan hanya semata-mata membaca sendiri tanpa panduan kecuali seseorang itu mempunyai persediaan dan kemahiran yang cukup, kerana dikhuatiri dia akan tergelincir dan tersesat. Kita perlu belajar dari orang yang tahu dan mahir di dalam bidangnya.

15. Abu Zar berkata bahawa, jika sempat, dia akan sampaikan walau satu ilmu yang beliau dengar dari Nabi s.a.w., walaupun di saat dia hampir dibunuh. Ini menunjukkan betapa penting dan berharganya ilmu.

16. Ibnu Abbas berkata, “Kamu jadilah Rabbaniyyin”. “Rabbaniyin” ialah ahli ilmu yang ada hubungan (rapat) dengan Rabb (Allah). Mereka pandai dalam mendidik manusia supaya mengenali Allah. Orang-orang ini mungkin diberi ilmu “laduni” oleh Allah (kerana rapatnya mereka dengan Allah). Siapakan “Rabbaniyyin” itu? Mereka dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ulama’, fuqaha’ dan hukama’ (cendekiawan). Ulama’ ialah orang berilmu yang tahu tentang sesuatu masalah agama contohnya tentang halal haram. Mereka (ulama’) berada di kedudukan paling rendah di antara tiga kumpulan ini. Di atasnya ialah fuqaha’, (ianya bukan bermaksud ahli fiqah dalam konteks biasa tetapi merujuk kepada tahap keilmuan seseorang) iaitu orang yang lebih dalam ilmunya berbanding ulama’ yang mengetahui dalil-dalil hukum. Manakala hukama’ kedudukan ilmunya lebih tinggi dari fuqaha’ dan mengetahui hikmah, falsafah dan tujuan di sebalik pensyariatan hukum-hukum.

17. Sesiapa yang tergolong dalam salah satu kelompok ilmuan di atas (ulama’, fuqaha’ atau hukama’) sudah dikenali sebagai “Rabbaniyyin”.

18. Ada orang berkata, Rabaniyyin ialah orang yang pandai mendidik manusia dengan ilmu-ilmu yang kecil sebelum mengajarkan ilmu-ilmu yang besar-besar. Dia mampu mengangkat pelajar dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi. Boleh juga dikatakan bahawa “Rabbaniyyin” ialah suatu sistem pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.

19. Imam al-Bukhari ingin menyatakan bahawa ilmu itu lebih istimewa daripada amal. Ilmu itu sendiri ada kelebihannya dan ianya adalah amalan hati. Oleh itu sesuatu amalan itu tidak sempurna selagi “hati” (ilmu) tidak ada. Ilmu itu menjadi syarat sah dan diterimanya sesuatu amalan (ibadat).