VIDEO – [Durasi – 12m 53s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 5 – Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RgLN_Y69l8M ]
Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –
• Sesi 7 – Pemahaman Dalam Hal Ilmu Pengeta…
KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MINAT YANG MENDALAM KEPADA ILMU DAN HIKMAH
باب الاِغْتِبَاطِ فِي الْعِلْمِ وَالْحِكْمَةِ وَقَالَ عُمَرُ تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا.
قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ : وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ حَدَّثَنِي إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي خَالِدٍ، عَلَى غَيْرِ مَا حَدَّثَنَاهُ الزُّهْرِيُّ، قَالَ سَمِعْتُ قَيْسَ بْنَ أَبِي حَازِمٍ، قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ” لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا ”.
Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah
Umar berkata, “Dalamilah ilmu sebelum kamu dijadikan pemimpin”. Abu Abdillah (al-Bukhari) berkata, “Dan selepas kamu dijadikan pemimpin kerana Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. mempelajari ilmu setelah mereka tua”. Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada kedengkian melainkan dua macam orang, pertama, ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta lalu dia membelanjakannya sampai habis di jalan kebenaran dan kedua, ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan maka dia membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaan yang diberikan kepadanya itu, di samping mengajarkannya juga kepada orang lain”.
[RINGKASAN] Minat yang mendalam kepada ilmu dan hikmah
1. “Ghibtah” ialah keinginan mendapatkan juga kelebihan yang diperolehi oleh orang lain tetapi tidak mengharapkan supaya kelebihan tersebut hilang daripada orang tersebut manakala “hasad” adalah sebaliknya, iaitu menginginkan orang yang mendapat kelebihan tersebut hilang daripadanya. “Ghibtah” adalah sikap yang terpuji.
2. Perlu ada sikap “ghibtah” (keinginan tanpa dengki)) dalam masyarakat untuk memperolehi kebaikan sebagaimana orang yang diberikan ilmu yang dalam lalu mengamalkannya dan mengajarkannya. Sikap untuk menjadi orang berilmu dan bijaksana yang mengamalkan dan mengajarkan ilmunya perlu ada terutamanya di kalangan orang muda dan ianya adalah suatu kelebihan yang istimewa dan utama.
3. Dua perkara ini (menghabiskan harta di jalan yang benar dan mengamalkan dan mengajarkan ilmu) perlu dikejar. Hadith ini yang menyebut, “Tidak ada kedengkian” melainkan dalam dua perkara ini, dimana “kedengkian” di sini bermaksud “ghibtah”. Jika “hasad” (dalam maknanya yang asal) dibenarkan nescaya ianya dibenarkan dalam dua perkara ini, tetapi yang inipun tidak dibenarkan untuk kita berhasad dengki.
4. Kebaikan di segi ilmu ialah “hikmah” (iaitu kedudukan ilmu di peringkat tinggi), yang diamalkan dan diajarkan kepada orang lain.
5. Kebaikan di segi harta ialah menghabiskan (membelanjakan) harta di jalan kebenaran. Dia tidak boros atau membazirkan harta. Dia dan orang sekelilingnya (keluarganya) mempunyai jiwa yang bersedia dan layak dengan pengorbanan tersebut dan tidak akan menjadi fitnah kepada mereka.
6. Naluri manusia sememangnya ingin mengumpulkan harta. Orang yang berjiwa tinggi akan mengumpulkan hartanya untuk akhirat yang membantunya di dalam kubur, di padang mahsyar sehingga di syurga nanti. Sabda Nabi s.a.w., “Hindarilah neraka walaupun dengan secubit (secebis) buah tamar”. Jiwanya yang bersih, suka melihat orang lain gembira dan senang hasil dari pemberiannya.
7. Orang yang diberi “hikmat” (ilmu yang tinggi), membuat keputusan berdasarkan kepada kebijaksanaan yang diberikan Allah kepadanya. Dia dijamin selamat selagi dia menjadikan ilmunya sebagai panduan. Dia mengajarkan ilmunya yang mana ianya bermanfaat kepada dirinya dan juga kepada orang lain.
8. Nabi s.a.w. menggalakkan kita supaya belajar tinggi (sehingga boleh mengajar) dan memanfaatkan harta dengan sebaik-baiknya. Malangnya, masyarakat kita banyak menghabiskan masa, tenaga dan harta dengan, contohnya, kerap mengadakan majlis jamuan dan kenduri-kendara yang tidak menepati kehendak sunnah (seperti jamuan hari ketujuh, keempatpuluh atau keseratus selepas kematian). Antara masalah kita ialah takut dicemuh masyarakat bila tidak mengamalkan amalan tradisi ini. Keterangan dari hadith
9. Saidina Umar r.a. berkata, “Dalamilah ilmu sebelum kamu dijadikan pemimpin”, maksudnya, janganlah kita menjadi pemimpin dalam keadaan tiada ilmu. Jika kita jadi pemimpin dalam keadaan tiada ilmu, kemungkinan kita akan menyesatkan orang yang kita pimpin.
10. Saranan dari Saidina Umar ini menunjukkan bahawa kita perlu belajar di usia muda. Setelah menjadi pemimpin (di usia dewasa) seseorang akan sibuk berhadapan dengan banyak perkara dan urusan, dia tidak akan dapat menumpukan perhatian untuk belajar. Dia juga mungkin berasa malu untuk belajar di usia dewasa.
11. Hakikatnya semua orang akan menjadi pemimpin, orang lelaki akan menjadi pemimpin kepada keluarganya, manakala orang perempuan akan menjadi ibu dan pemimpin kepada anak-anaknya.
12. Ada ulama’ mengatakan dalamilah ilmu sebelum seseorang itu tumbuh janggut (iaitu ketika masih muda). Ada juga ulama’ yang mengatakan dalamilah ilmu sebelum berkahwin. Di usia sebegini, fikiran seseorang akan lebih tenang dan boleh memberi tumpuan dalam menuntut ilmu.
13. Imam al-Bukhari menambah kepada perkataan Saidina Umar dengan lafaz, “(Menuntutlah ilmu) dan selepas kamu dijadikan pemimpin”. Janganlah faktor usia menjadi penghalang kepada seseorang muslim untuk menuntut ilmu. Pintu untuk mendapatkan ilmu tetap terbuka walaupun selepas seseorang dijadikan pemimpin atau lanjut usianya. Saidina Umar sekadar mencadangkan waktu yang terbaik untuk menuntut ilmu. Bukti bahawa boleh menuntut ilmu di usia tua ialah ramai Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. yang menuntut ilmu di usia tua.
