[HADITH TEMATIK – HARTA, PERNIAGAAN & PERTANIAN] – Siri 4 – Elok Mengurangkan Hutang

VIDEO – [Durasi – 12m 13s] – [HADITH TEMATIK – HARTA, PERNIAGAAN & PERTANIAN] – Siri 4 – Elok Mengurangkan Hutang

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/42Vo8NULbCs ]

Video penuh asal – Sahih Muslim (Kitab Musaqat) – • Sesi 3 – Elok Mengurangkan Hutang – [Sahih…

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ELOK MENGURANGKAN HUTANG

باب اسْتِحْبَابِ الْوَضْعِ مِنَ الدَّيْنِ

عن عَائِشَة قالت سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَوْتَ خُصُومٍ بِالْبَابِ عَالِيَةٍ أَصْوَاتُهُمَا وَإِذَا أَحَدُهُمَا يَسْتَوْضِعُ الْآخَرَ وَيَسْتَرْفِقُهُ فِي شَيْءٍ وَهُوَ يَقُولُ وَاللَّهِ لَا أَفْعَلُ فَخَرَجَ عَلَيْهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَيْنَ الْمُتَأَلِّي عَلَى اللَّهِ لَا يَفْعَلُ الْمَعْرُوفَ فَقَالَ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَهُ أَيُّ ذَلِكَ أَحَبَّ

حَدَّثَنَا حَرْمَلَةُ بْنُ يَحْيَى، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ، أَخْبَرَهُ عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ وَنَادَى كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ فَقَالَ ‏”‏ يَا كَعْبُ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ فَأَشَارَ إِلَيْهِ بِيَدِهِ أَنْ ضَعِ الشَّطْرَ مِنْ دَيْنِكَ ‏.‏ قَالَ كَعْبٌ قَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ قُمْ فَاقْضِهِ ‏” ‏

وَحَدَّثَنَاهُ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، أَخْبَرَنَا عُثْمَانُ بْنُ عُمَرَ، أَخْبَرَنَا يُونُسُ، عَنِ الزُّهْرِيِّ،لا عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ، أَخْبَرَهُ أَنَّهُ، تَقَاضَى دَيْنًا لَهُ عَلَى ابْنِ أَبِي حَدْرَدٍ بِمِثْلِ حَدِيثِ ابْنِ وَهْبٍ ‏.

قَالَ مُسْلِمٌ وَرَوَى اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، حَدَّثَنِي جَعْفَرُ بْنُ رَبِيعَةَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ، هُرْمُزَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّهُ كَانَ لَهُ مَالٌ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي حَدْرَدٍ الأَسْلَمِيِّ فَلَقِيَهُ فَلَزِمَهُ فَتَكَلَّمَا حَتَّى ارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا فَمَرَّ بِهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏”‏ يَا كَعْبُ ‏”‏ ‏.‏ فَأَشَارَ بِيَدِهِ كَأَنَّهُ يَقُولُ النِّصْفَ فَأَخَذَ نِصْفًا مِمَّا عَلَيْهِ وَتَرَكَ نِصْفًا ‏.‏

Elok Mengurangkan Hutang

Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada ‘Aishah, beliau berkata Rasulullah s.a.w. telah mendengar suara orang-orang yang bertengkar di luar pintu rumahnya dalam keadaan suara mereka meninggi. Rupa-rupanya salah seorang daripadanya meminta daripada yang seorang lagi supaya dikurangkan (hutangnya) dan meminta dia bersimpati terhadapnya berhubung sesuatu perkara. Dan yang seorang lagi itu pula berkata, “Demi Allah! Saya tidak akan berbuat begitu (iaitu, seperti yang kamu minta itu)”. Rasulullah s.a.w. keluar kepada mereka berdua sambil Baginda berkata, “Di mana orang yang bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan melakukan perkara baik?”. Yang berkata tadi menjawab, “Sayalah, wahai Rasulullah! Terpulang kepadanyalah (Dia suka yang mana satu daripada yang tersebut itu)”.

Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada Abdullah bin Kaab bin Malik beliau memberitahu perawi di bawahnya (Ibnu Shihab), diambilnya cerita ini daripada ayahnya bahawa ayahnya telah menuntut hutang daripada Ibnu Abi Hadrad di zaman Rasulullah s.a.w. di dalam Masjid Nabi s.a.w. Maka memuncak tinggi suara kedua mereka sehingga didengar oleh Rasulullah s.a.w. yang sedang berada di dalam rumahnya. Terus Nabi s.a.w. keluar kepada mereka sehingga Baginda menyingkapkan tabir rumahnya dan Baginda berseru (kepada) Kaab bin Malik dengan katanya, “Wahai Kaab!”. Kaab pun menjawab, “Ya saya, wahai Rasulullah!”. Rasulullah s.a.w. pun mengisyaratkan dengan tangannya yang bermaksud pulangkan separuh daripada hutangmu. Kaab berkata, “Baiklah, Rasulullah”. Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Bangunlah! Bayarlah kepadanya”.

Hadith Ketiga – Dengan suatu sanad yang lain, daripada Abdullah bin Kaab bin Malik bahawa Kaab bin Malik memberitahunya sesungguhnya dia telah meminta (menuntut) hutang daripada Ibnu Abi Hadrad (sama seperti riwayat Ibnu Wahb (Hadith kedua).

Hadith Keempat – Muslim berkata Laith dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abdullah bin Kaab bin Malik dan Kaab bin Malik berkata, “Sesungguhnya Abdullah bin Abi Hadrad menanggung hutang daripada Kaab bin Malik. Kaab pun bertemu dengannya dan terus bersamanya (tidak berpisah dengannya). Mereka berdua pun bercakap-cakap sehingga meninggi suara mereka berdua. Rasulullah s.a.w. lalu dekat mereka berdua. Selepas itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Kaab!”. Baginda mengisyaratkan dengan tangannya seolah-olah Baginda mengatakan, bermaksud separuh. Maka Kaab pun mengambil separuh daripada hartanya itu dan meninggalkan separuh”.

[RINGKASAN] Elok Mengurangkan Hutang

1. Adalah digalakkan mengurangkan hutang orang yang ditimpa bencana ( rujuk: https://youtu.be/XAmRz3fKOPU ). Adakah keutamaan mengurangkan hutang adalah khusus kepada orang yang ditimpa bencana sahaja? Hadith-hadith dalam bab ini menunjukkan bahawa adalah elok kita mengurangkan atau melepaskan hutang seseorang, tidak kira sama ada dia ditimpa bencana atau tidak.

2. Rasulullah s.a.w. mendengar orang bertengkar di luar pintu rumah Baginda di mana seorang darinya meminta dikurangkan hutangnya tetapi orang yang diminta simpati itu bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak akan mengurangkan hutangnya. Nabi s.a.w. menegur Sahabat tersebut kerana bersumpah tidak akan melakukan perkara yang baik, lalu Sahabat itu terus patuh dan mengikut apa sahaja kehendak orang yang berhutang itu.

3. Dalam hadith kedua, Nabi s.a.w. memberi isyarat kepada Kaab Bin Malik supaya mengurangkan separuh dari hutang yang diberikan kepada Ibnu Hadrad, lalu Kaab terus bersetuju dengan saranan Nabi tersebut.

4. Manakala dalam hadith ketiga, Nabi s.a.w. mengisyaratkan kepada Kaab bin Malik supaya mengambil hanya separuh dari hutangnya, maka Kaab mengambil separuh dan meninggalkan separuh dari hutangnya.

5. Antara pengajaran dari hadith-hadith ini ialah :

i. Nabi s.a.w. amat tidak suka orang yang bersumpah untuk tidak melakukan kebaikan. Perkara-perkara baik, walaupun nampak kurang atau merugikan di mata kasar kita, tetapi hakikatnya tidak akan merugikan kita. Adalah tidak baik bersumpah untuk tidak melakukan kebaikan kerana kita tidak tahu takdir Allah ke atas kita. Tambahan pula, jika kita membatalkan sumpah tersebut kita perlu membayar kaffarah.

ii. Sekali pandang, hadith-hadith ini nampak seolah-olah bercanggah di mana dalam satu hadith menunjukkan Nabi s.a.w. lalu di samping orang yang bertengkar manakala hadth lain menyatakan Nabi berada dalam rumah. Perkara-perkara beginilah yang digunakan oleh golongan anti hadith untuk merendah-rendahkan atau menolak hadith Nabi. Padahal ianya boleh disesuaikan, contohnya sebagaimana berikut: Pada awalnya Nabi s.a.w. lalu dekat orang tersebut dan pada masa itu tiada apa-apa yang berlaku. Nabi kemudiannya masuk ke dalam rumah dan pada masa itulah “pertengkaran” berlaku lalu Nabi menyelak kain tabir rumahnya.

iii. Suara yang dikatakan tinggi itu tidaklah terlalu tinggi tetapi sekadar lebih tinggi daripada biasa kerana Nabi melarang membuat bising di dalam masjid. .

iv. Sahabat-Sahabat Nabi adalah terdidik dan sangat patuh kepada Baginda di mana dalam hadith disebut, dengan hanya memberi isyarat ianya sudah memadai untuk mereka patuh,

v. Adalah elok seseorang mendamaikan dua pihak yang bertelagah..

vi. Harus menuntut hutang di dalam masjid (tetapi jangan jadikan ianya suatu kebiasaan),

vii. Elok menerima cadangan yang baik dari orang lain.

viii. Harus menggunakan isyarat dalam berkomunikasi.

ix. Seseorang boleh meminta tangguh bayaran hutang atau minta dikurangkan hutang dan ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara yang menghinakan diri. Tawar menawar dalam urusan harian adalah dibolehkan tetapi hendaklah dalam kadar yang berpatutan dan jangan mendesak yang menyebabkan orang lain merasa seperti dipaksa.

x. Tidak semua yang Nabi sebut adalah merupakan perintah atau arahan yang wajib dituruti. Banyak juga apa yang disebut oleh Nabi s.a.w. adalah merupakan pendapat peribadi Baginda atau disebut di atas kapasiti sebagai ayah atau orang tua, atau sahabat yang memberi nasihat


Leave a Reply