VIDEO – [Durasi – 10m 34s] – [HADITH-ILMU] -Siri 4-Allah berikan kebaikan yang banyak dgn berikan faham yang dalam tentang agama
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RgLN_Y69l8M ]
Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –
• Sesi 6 – Ketentuan Waktu Untuk Memberi Na…
KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ORANG YANG ALLAH MAHUKAN KEBAIKAN YANG BANYAK UNTUKNYA NESCAYA DIA MEMBERIKAN KEPADANYA FAHAM YANG MENDALAM TENTANG AGAMA
باب مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، عَنْ يُونُسَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ قَالَ حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ سَمِعْتُ مُعَاوِيَةَ، خَطِيبًا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ” مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي، وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ ”.
Orang yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya nescaya Dia memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Humaid bin Abdur-Rahman, beliau berkata: Aku telah mendengar Muawiyah ketika berucap berkata: Saya telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya, nescaya Dia akan memberikan faham yang mendalam kepadanya tentang agama. Sesungguhnya saya hanya pembahagi, Allahlah yang memberi. Umat ini akan terus tetap dengan agama Allah (yang betul). Tidak akan menjejaskan mereka orang-orang yang menentang mereka sehinggalah datang hari kiamat”.
[RINGKASAN] Orang yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya nescaya Dia memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama
1. Orang yang Allah mahukan kebaikan yang besar dan istimewa untuknya, Allah memberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama.
2. Al-Quran menyatakan melalui Surah at-Taubah, ayat 122, bahawa hendaklah ada satu golongan daripada orang Islam yang mendalami agama (tidak semuanya keluar pergi berperang). Mendalami agama adalah sesuatu yang dituntut sehinggakan dalam keadaan perang sekalipun diperintahkan ada satu kumpulan yang tidak pergi berperang tetapi terus kekal mendalami ilmu agama. Hakikatnya, ilmu itu sendiripun adalah seperti suatu senjata peperangan iaitu “peperangan” di segi pemikiran, perdebatan ilmiah dsb yang lebih kerap berlaku di zaman ini berbanding peperangan bersenjata.
3. Mendalami agama adalah melalui dua sumber iaitu al-Quran dan hadith, manakala ilmu-ilmu lain adalah “alat” untuk memahami al-Quran dan hadith. “Mendalami agama” bukan sekadar belajar ala-kadar tetapi dengan fahaman yang mendalam dan dapat menyampaikan ilmunya dengan bijaksana. Orang yang diberi kefahaman yang mendalam tentang agama boleh mendakwa dia telah diberikan kebaikan oleh Allah kerana Nabi s.a.w telah mengatakan demikian. Sebaliknya orang yang diberi kekayaan harta, kedudukan tinggi, kecerdikan dan seumpamanya tidak boleh mendakwa bahawa itulah bukti bahawa dia telah diberi kebaikan oleh Allah dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Ringkasnya, kebaikan dalam memahami agama secara mendalam adalah kebaikan yang paling utama dan melebihi kebaikan-kebaikan yang lain.
4. Ilmu tentang al-Quran dan hadith adalah amat istimewa dan ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang mendalam. Ianya tidak sekadar tahu sahaja tetapi dapat menggalinya dari al-Quran dan hadith sehingga ke akar umbi. Seseorang yang dalam ilmunya boleh tahu dalil-dalil, hikmat dan tujuan di sebalik sesuatu hukum dan dia tahu cara terbaik untuk menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Contohnya, orang yang dalam ilmunya, ketika cuba berdakwah kepada orang asli yang belum Islam tidak sepatutnya menimbulkan isu haramnya anjing dalam Islam ketika mula-mula memperkenalkan Islam kepada mereka. Pertamanya, pendakwah tersebut perlu tahu bahawa hukum haramnya anjing tidak disepakati oleh semua ulama’. Ada ulama’ yang mengatakan anjing tidak najis seperti Imam Malik (Mazhab Maliki). Keduanya, yang perlu diutamakan ialah perkara aqidah dan membawa masuk seseorang ke dalam Islam dahulu.
Keterangan dari hadith
5. Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang istimewa, yang lebih daripada kebaikan yang lain (seperti kekayaan, kedudukan dan kecerdikan) nescaya diberi kepadanya faham yang mendalam tentang agama. Untuk memahami agama ini dengan mendalam, seseorang itu perlu belajar yang biasanya mengambil masa yang lama. Perlu diingat bahawa faham yang mendalam dalam agama ini tidak hanya memahami ilmu fiqah tetapi hendaklah memahami pelbagai aspek dalam agama.
6. Nabi s.a.w. bersabda, “Aku hanya pembahagi, Allahlah yang memberi”. Peranan guru hanya “membahagi” (mengajar) tetapi yang “memberi” sebenarnya ialah Allah. Oleh itu kita jangan bergantung hanya kepada guru tetapi hendaklah minta kepada Allah, kerana Allahlah sebenarnya yang memberi.
7. Perlu diingat bahawa hubungan kita bukan hanya dengan yang zahir. Guru hanyalah sebagai anak kunci, Allahlah yang memberi. Hakikat ini menjelaskan kenapa manusia mendapat ilmu yang berbeza-beza walaupun mereka menggunakan kitab yang sama dan berguru dengan guru yang sama. Begitu juga sikap guru dengan murid, tanamkan dalam hati bahawa yang memberi ialah Allah, bukan dirinya.
8. Yang memberi kesan sebenarnya ialah Allah. Inilah aqidah yang ingin ditanamkan ke dalam jiwa kita. Ianya adalah seumpama kita berubat tetapi Allah yang menyembuhkan, atau kita makan tetapi Allahlah yang mengenyangkan.
9. Bila Allah yang memberi segala-galanya, Dia boleh memberi ilmu tanpa kita belajar seperti ilmu “ladunni” (ilmu yag datang terus dari Allah tanpa sebab), ilmu yang diberi kepada orang-orang yang rapat dengan Allah, yang bergantung penuh kepada-Nya. Kita hendaklah ingat bahawa Allahlah yang memberikan segala-galanya.
10. Sabda Nabi s.a.w. seterusnya, “Akan sentiasa ada dari umat ini satu umat yang tegak di atas perintah (agama) Allah”. Akan sentiasa ada satu kumpulan dari umat ini yang tegak di atas agama Allah. Terus tegaknya agama Allah Ini adalah kerana Islam sentiasa menggalakkan umatnya belajar dan menyebarkan ilmu.
11. “Tidak akan menjejaskan (memudaratkan) mereka orang yang menentangnya”. Mereka tidak takut dengan ancaman dan mereka akan terus beritahu dan sebarkan apa yang mereka yakini kerana ilmu yang mereka perolehi ialah ilmu yang mantap dan yakin.
12. “Sampai datang perintah Allah”. Mengikut sesetengah ulama’, pada akhir zaman nanti, akan datang suatu angin yang meniup dan mematikan semua orang Islam, yang tinggal hanyalah orang kafir yang hidup sampai hari kiamat. Walaupun begitu, ada juga ulama’ yang mengatakan, orang Islam akan hidup sampai hari kiamat.
13. Yang menjamin kewujudan ajaran Islam ini menurut pendapat Imam al-Bukhari ialah ilmu iaitu ilmu hadith. Imam Ahmad mengatakan golongan ini ialah ahli hadith dan “ahli hadith” dalam istilah yang lain ialah ahli sunnah.
