[MOTIVASI]- Siri 3 – Galakan Supaya Sampaikan Ilmu (Orang disampaikan hadith mungkin lebih faham)

VIDEO – [Durasi – 13m 14s] – [MOTIVASI]- Siri 3 – Galakan Supaya Sampaikan Ilmu (Orang disampaikan hadith mungkin lebih faham)

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/qWLB_kqbjtI ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Galakan Supaya Mengingati Allah &…   &    • Sesi 2 -Bersungguh Ketika Berdoa & Jangan …   -[Sahih Muslim (Kitab Zikir, Doa, Taubat & Istighfar)]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – GALAKAN SUPAYA MENGAJAR DAN MENYAMPAIKAN ILMU – [HADITH] – ADAKALANYA ORANG YANG DISAMPAIKAN SESUATU HADITH ITU LEBIH MENGERTI (TENTANGNYA) DARIPADA ORANG YANG MENDENGARNYA SENDIRI

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏رُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ ” ‏

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرٌ، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ عَوْنٍ، عَنِ ابْنِ سِيرِينَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ، عَنْ أَبِيهِ، ذَكَرَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَعَدَ عَلَى بَعِيرِهِ، وَأَمْسَكَ إِنْسَانٌ بِخِطَامِهِ ـ أَوْ بِزِمَامِهِ ـ قَالَ ‏”‏ أَىُّ يَوْمٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ سِوَى اسْمِهِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَىُّ شَهْرٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ بِذِي الْحِجَّةِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا‏.‏ لِيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ ‏”‏‏.‏

Galakan Supaya Mengajar Dan Menyampaikan Ilmu – [HADITH] – Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri .

Hadith Rujukan – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdur-Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya (Abi Bakrah) bahawa beliau menyebutkan: Sesungguhnya pernah Nabi s.a.w. duduk di atas untanya dan ada seseorang yang memegang tali unta itu. Tiba-tiba Nabi s.a.w. bertanya, “Hari apa hari ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakan hari itu dengan nama yang lain. Terus Baginda s.a.w. bertanya, “Bukankah hari ini hari Nahar?”. Kami menjawab, “Ya”. Nabi bertanya lagi, “Bulan apakah bulan ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakannya dengan nama yang lain. Nabi s.a.w. terus bertanya lagi, “Bukankah bulan ini bulan Zulhijjah?”. Kami menjawab, “Memang”. Nabi s.a.w. lantas bersabda, “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta benda dan kehormatan-kehormatan kamu adalah haram kepada mu seperti haramnya hari ini, pada bulan ini, di negeri kamu ini. Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir kerana orang yang hadir ini boleh jadi dia menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti daripadanya (tentang apa yang disampaikannya itu)”.

[RINGKASAN] Galakan Supaya Mengajar Dan Menyampaikan Ilmu – HADITH : Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri

1. Imam al-Bukhari membawakan hadith ini dengan tujuan untuk menggalakkan kita supaya menyampaikan ilmu terutamanya ilmu dari Nabi s.a.w (al-Quran dan hadith). Kita patut berasa istimewa dan mendapat keutamaan kerana dapat menyampaikan ilmu dari Nabi s.a.w. ini.

2. Adakalanya (ataupun, alangkah banyaknya) orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti tentangnya daripada orang yang mendengarnya sendiri daripada Nabi s.a.w.

3. Seorang guru tidak tahu apa yang akan berlaku kepada muridnya suatu hari nanti. Ada kemungkinan muridnya itu lebih cerdik daripadanya dan mencapai kedudukan yang jauh lebih tinggi daripadanya.

4. Ilmu yang disampaikan oleh seseorang guru boleh berkembang lebih luas daripada apa yang diajarkannya melalui usaha murid-muridnya.

5. Nabi memerintahkan supaya menyampaikan sahaja apa yang didengar dari Baginda (walaupun dia atau orang yang mendengarnya tidak faham maksudnya, dengan syarat dia benar-benar ingat apa yang disabdakan Baginda) kerana kemungkinan orang yang disampaikan hadith Nabi tersebut dapat memahami dan menghayatinya lebih daripada orang yang menyampaikannnya.

6. Hadith ini menjadi motivasi kepada guru untuk lebih bersemangat mengajar kerana suatu hari nanti murid yang diajarnya mungkin akan lebih (tinggi ilmunya) daripadanya dan mereka akan memanjangkan usaha dan amal guru tersebut. Ilmu itu tidak terhenti setakat guru itu sahaja.

7. Beberapa kategori pelajar yang perlu berubah sikap: i) mereka yang belajar hanya untuk beramal sendiri, ii) mereka yang belajar tetapi “bakhil” untuk meyebarkan ilmu yang diterimanya kerana takut muridnya menandinginya dan, iii) mereka yang pandai tetapi enggan mengajar kerana menganggap orang lain tidak layak dan tidak mampu menerima ilmunya yang tinggi.

8. Ulama’ ada berkata, ilmu semakin bertambah jika kita membelanjakannya (menyebarkannya), sebaliknya harta jika dibelanjakan ianya semakin berkurang. Inilah salah satu sebab mengapa ilmu itu lebih daripada harta. Ilmu yang disebarkan akan menghasilkan pahala kepada kita di samping itu akan mengangkat nama baik kita. (Nota: Mendapat nama baik adalah menjadi impian setiap orang sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran, Surah Insyirah, ayat 4, bermaksud, “Dan Kami telah angkatkan namamu”).

9. Tiada sebab untuk kita bersikap bakhil untuk menyebarkan ilmu yang kita miliki, atau berasa rugi bila kita mengajar ilmu-ilmu agama kerana kita tidak tahu apakah hasilnya nanti, sebagaimana kita tidak boleh berhenti bekerja kerana tidak tahu sama ada apakah usaha kita akan membuahkan hasil atau tidak.

10. Sayugia diingat, betapa ramai murid menjadi lebih cemerlang daripada gurunya di kemudian hari (“Betapa ramai orang yang disampaikan ilmu itu lebih mengerti daripada orang yang menyampaikannya”). Ada satu kisah di mana Imam al-A’masy buntu tentang suatu masalah lalu bertanya kepada muridnya, Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah memberi jawapan yang memuaskan hati Imam al-A’masy, lalu beliau bertanya dari mana dia mendapat ilham penyelesaian masalah tersebut. Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa ianya adalah daripada hadith yang disampaikan oleh gurunya itu. Begitu juga, banyak kita dapati guru-guru imam-imam mujtahid tidaklah sehebat imam-imam itu sendiri.

11. Faedah menyampaikan ilmu sekurang-kurangnya ada dua, iaitu,

i. ilmu akan hilang jika tidak disebarkan dan,

ii) ilmu tidak akan berkembang jika tidak diajar kepada orang lain.

12. Menyampaikan hadith ada kelebihan dan manfaatnya tersendiri kerana hadith adalah daripada Allah yang disampaikan melalui Nabi s.a.w. sebagai panduan untuk kita selamat di dunia dan akhirat.

13. Orang-orang di zaman silam menyampaikan hadith yang sahih yang kadang-kadang mereka sendiri tidak faham. Yang penting ialah hadith tersebut adalah sama seperti yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. tanpa sebarang perubahan. Bila sampai masanya, Allah akan buka rahsia yang terkandung di dalam hadith tersebut. Perlu diingat bahawa hadith-hadith adalah bukan hanya untuk satu zaman, satu bangsa atau satu tempat sahaja malah ianya adalah untuk senua zaman, semua manusia dan semua tempat. Hadith isra’ mi’raj contohnya, lebih mudah diterima di zaman ini bila manusia boleh bergerak dalam masa yang singkat menggunakan kapalterbang dan manusia meneroka angkasa lepas. Walaupun begitu, kemampuan manusia adalah terbatas kerana mereka tidak akan dapat sebagaimana diperolehi Nabi s.a.w. yang boleh melihat syurga dan perkara-perkara ghaib lainnya.

14. Kita hendaklah sampaikan hadith kepada orang lain kerana ianya tetap ada faedahnya walaupun orang yang kita sampaikan hadith itu tidak faham maksud hadith tersebut.

15. Contoh murid yang menerima hadith lebih faham tentang sesuatu hadith daripada guru yang menyampaikannya adalah hadith berikut: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan ahli keluarganya dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu dengan ahli keluarga”. Orang yang paling tahu tentang perangai sebenar seorang lelaki ialah isterinya, namun untuk seorang guru yang tidak berkahwin, beliau tidak dapat menjiwai hadith ini berbanding muridnya yang telah berkahwin.

Leave a comment