[MOTIVASI]- Siri 3 – Galakan Supaya Sampaikan Ilmu (Orang disampaikan hadith mungkin lebih faham)

VIDEO – [Durasi – 13m 14s] – [MOTIVASI]- Siri 3 – Galakan Supaya Sampaikan Ilmu (Orang disampaikan hadith mungkin lebih faham)

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/qWLB_kqbjtI ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Galakan Supaya Mengingati Allah &…   &    • Sesi 2 -Bersungguh Ketika Berdoa & Jangan …   -[Sahih Muslim (Kitab Zikir, Doa, Taubat & Istighfar)]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – GALAKAN SUPAYA MENGAJAR DAN MENYAMPAIKAN ILMU – [HADITH] – ADAKALANYA ORANG YANG DISAMPAIKAN SESUATU HADITH ITU LEBIH MENGERTI (TENTANGNYA) DARIPADA ORANG YANG MENDENGARNYA SENDIRI

باب قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏رُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ ” ‏

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرٌ، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ عَوْنٍ، عَنِ ابْنِ سِيرِينَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ، عَنْ أَبِيهِ، ذَكَرَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَعَدَ عَلَى بَعِيرِهِ، وَأَمْسَكَ إِنْسَانٌ بِخِطَامِهِ ـ أَوْ بِزِمَامِهِ ـ قَالَ ‏”‏ أَىُّ يَوْمٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ سِوَى اسْمِهِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَىُّ شَهْرٍ هَذَا ‏”‏‏.‏ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ أَلَيْسَ بِذِي الْحِجَّةِ ‏”‏‏.‏ قُلْنَا بَلَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا‏.‏ لِيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ ‏”‏‏.‏

Galakan Supaya Mengajar Dan Menyampaikan Ilmu – [HADITH] – Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri .

Hadith Rujukan – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdur-Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya (Abi Bakrah) bahawa beliau menyebutkan: Sesungguhnya pernah Nabi s.a.w. duduk di atas untanya dan ada seseorang yang memegang tali unta itu. Tiba-tiba Nabi s.a.w. bertanya, “Hari apa hari ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakan hari itu dengan nama yang lain. Terus Baginda s.a.w. bertanya, “Bukankah hari ini hari Nahar?”. Kami menjawab, “Ya”. Nabi bertanya lagi, “Bulan apakah bulan ini?”. Kami diam kerana kami ingat Baginda akan menamakannya dengan nama yang lain. Nabi s.a.w. terus bertanya lagi, “Bukankah bulan ini bulan Zulhijjah?”. Kami menjawab, “Memang”. Nabi s.a.w. lantas bersabda, “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta benda dan kehormatan-kehormatan kamu adalah haram kepada mu seperti haramnya hari ini, pada bulan ini, di negeri kamu ini. Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir kerana orang yang hadir ini boleh jadi dia menyampaikan kepada orang yang lebih mengerti daripadanya (tentang apa yang disampaikannya itu)”.

[RINGKASAN] Galakan Supaya Mengajar Dan Menyampaikan Ilmu – HADITH : Adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri

1. Imam al-Bukhari membawakan hadith ini dengan tujuan untuk menggalakkan kita supaya menyampaikan ilmu terutamanya ilmu dari Nabi s.a.w (al-Quran dan hadith). Kita patut berasa istimewa dan mendapat keutamaan kerana dapat menyampaikan ilmu dari Nabi s.a.w. ini.

2. Adakalanya (ataupun, alangkah banyaknya) orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti tentangnya daripada orang yang mendengarnya sendiri daripada Nabi s.a.w.

3. Seorang guru tidak tahu apa yang akan berlaku kepada muridnya suatu hari nanti. Ada kemungkinan muridnya itu lebih cerdik daripadanya dan mencapai kedudukan yang jauh lebih tinggi daripadanya.

4. Ilmu yang disampaikan oleh seseorang guru boleh berkembang lebih luas daripada apa yang diajarkannya melalui usaha murid-muridnya.

5. Nabi memerintahkan supaya menyampaikan sahaja apa yang didengar dari Baginda (walaupun dia atau orang yang mendengarnya tidak faham maksudnya, dengan syarat dia benar-benar ingat apa yang disabdakan Baginda) kerana kemungkinan orang yang disampaikan hadith Nabi tersebut dapat memahami dan menghayatinya lebih daripada orang yang menyampaikannnya.

6. Hadith ini menjadi motivasi kepada guru untuk lebih bersemangat mengajar kerana suatu hari nanti murid yang diajarnya mungkin akan lebih (tinggi ilmunya) daripadanya dan mereka akan memanjangkan usaha dan amal guru tersebut. Ilmu itu tidak terhenti setakat guru itu sahaja.

7. Beberapa kategori pelajar yang perlu berubah sikap: i) mereka yang belajar hanya untuk beramal sendiri, ii) mereka yang belajar tetapi “bakhil” untuk meyebarkan ilmu yang diterimanya kerana takut muridnya menandinginya dan, iii) mereka yang pandai tetapi enggan mengajar kerana menganggap orang lain tidak layak dan tidak mampu menerima ilmunya yang tinggi.

8. Ulama’ ada berkata, ilmu semakin bertambah jika kita membelanjakannya (menyebarkannya), sebaliknya harta jika dibelanjakan ianya semakin berkurang. Inilah salah satu sebab mengapa ilmu itu lebih daripada harta. Ilmu yang disebarkan akan menghasilkan pahala kepada kita di samping itu akan mengangkat nama baik kita. (Nota: Mendapat nama baik adalah menjadi impian setiap orang sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran, Surah Insyirah, ayat 4, bermaksud, “Dan Kami telah angkatkan namamu”).

9. Tiada sebab untuk kita bersikap bakhil untuk menyebarkan ilmu yang kita miliki, atau berasa rugi bila kita mengajar ilmu-ilmu agama kerana kita tidak tahu apakah hasilnya nanti, sebagaimana kita tidak boleh berhenti bekerja kerana tidak tahu sama ada apakah usaha kita akan membuahkan hasil atau tidak.

10. Sayugia diingat, betapa ramai murid menjadi lebih cemerlang daripada gurunya di kemudian hari (“Betapa ramai orang yang disampaikan ilmu itu lebih mengerti daripada orang yang menyampaikannya”). Ada satu kisah di mana Imam al-A’masy buntu tentang suatu masalah lalu bertanya kepada muridnya, Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah memberi jawapan yang memuaskan hati Imam al-A’masy, lalu beliau bertanya dari mana dia mendapat ilham penyelesaian masalah tersebut. Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa ianya adalah daripada hadith yang disampaikan oleh gurunya itu. Begitu juga, banyak kita dapati guru-guru imam-imam mujtahid tidaklah sehebat imam-imam itu sendiri.

11. Faedah menyampaikan ilmu sekurang-kurangnya ada dua, iaitu,

i. ilmu akan hilang jika tidak disebarkan dan,

ii) ilmu tidak akan berkembang jika tidak diajar kepada orang lain.

12. Menyampaikan hadith ada kelebihan dan manfaatnya tersendiri kerana hadith adalah daripada Allah yang disampaikan melalui Nabi s.a.w. sebagai panduan untuk kita selamat di dunia dan akhirat.

13. Orang-orang di zaman silam menyampaikan hadith yang sahih yang kadang-kadang mereka sendiri tidak faham. Yang penting ialah hadith tersebut adalah sama seperti yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. tanpa sebarang perubahan. Bila sampai masanya, Allah akan buka rahsia yang terkandung di dalam hadith tersebut. Perlu diingat bahawa hadith-hadith adalah bukan hanya untuk satu zaman, satu bangsa atau satu tempat sahaja malah ianya adalah untuk senua zaman, semua manusia dan semua tempat. Hadith isra’ mi’raj contohnya, lebih mudah diterima di zaman ini bila manusia boleh bergerak dalam masa yang singkat menggunakan kapalterbang dan manusia meneroka angkasa lepas. Walaupun begitu, kemampuan manusia adalah terbatas kerana mereka tidak akan dapat sebagaimana diperolehi Nabi s.a.w. yang boleh melihat syurga dan perkara-perkara ghaib lainnya.

14. Kita hendaklah sampaikan hadith kepada orang lain kerana ianya tetap ada faedahnya walaupun orang yang kita sampaikan hadith itu tidak faham maksud hadith tersebut.

15. Contoh murid yang menerima hadith lebih faham tentang sesuatu hadith daripada guru yang menyampaikannya adalah hadith berikut: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan ahli keluarganya dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu dengan ahli keluarga”. Orang yang paling tahu tentang perangai sebenar seorang lelaki ialah isterinya, namun untuk seorang guru yang tidak berkahwin, beliau tidak dapat menjiwai hadith ini berbanding muridnya yang telah berkahwin.

[MOTIVASI]-Siri 2- Mintalah apa saja dengan Allah dan bersungguh-sungguhlah ketika berdoa [HADITH]

VIDEO – [Durasi – 7m 46s] – [MOTIVASI]-Siri 2- Mintalah apa saja dengan Allah dan bersungguh-sungguhlah ketika berdoa [HADITH]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/dtXqh0E9bsA ]

Video penuh asal –    • Sesi 1 – Galakan Supaya Mengingati Allah &…   &    • Sesi 2 -Bersungguh Ketika Berdoa & Jangan …   – [Sahih Muslim (Kitab Zikir, Doa, Taubat & Istighfar) ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MINTALAH APA SAJA DENGAN ALLAH & BERSUNGGUH-SUNGGUHLAH KETIKA BERDOA

باب الْعَزْمِ بِالدُّعَاءِ وَلاَ يَقُلْ إِنْ شِئْتَ

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، جَمِيعًا عَنِ ابْنِ عُلَيَّةَ، قَالَ أَبُو بَكْرٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ ابْنُ عُلَيَّةَ، عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلْيَعْزِمْ فِي الدُّعَاءِ وَلاَ يَقُلِ اللَّهُمَّ إِنْ شِئْتَ فَأَعْطِنِي فَإِنَّ اللَّهَ لاَ مُسْتَكْرِهَ لَهُ ‏”‏

‏حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ، وَقُتَيْبَةُ، وَابْنُ، حُجْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، – يَعْنُونَ ابْنَ جَعْفَرٍ – عَنِ الْعَلاَءِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلاَ يَقُلِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ وَلَكِنْ لِيَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمِ الرَّغْبَةَ فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَتَعَاظَمُهُ شَىْءٌ أَعْطَاهُ ‏”‏ ‏

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ مُوسَى الأَنْصَارِيُّ، حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ عِيَاضٍ، حَدَّثَنَا الْحَارِثُ، – وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي ذُبَابٍ – عَنْ عَطَاءِ بْنِ مِينَاءَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ ‏.‏ لِيَعْزِمْ فِي الدُّعَاءِ فَإِنَّ اللَّهَ صَانِعٌ مَا شَاءَ لاَ مُكْرِهَ لَهُ ‏”‏‏ ‏

Mintalah apa saja dengan Allah dan bersungguh-sungguhlah ketika berdoa

Hadith Rujukan Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berdoa, maka hendaklah dia bersungguh-sungguh ketika berdoa itu. Janganlah dia berkata, “Ya Allah! Jika Engkau kehendaki, maka berikanlah kepadaku”, kerana Allah tidak ada sesiapapun yang (dapat) memaksa-Nya.

Hadith Rujukan Kedua – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Rasululllah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berdoa, janganlah dia berkata, “Ya Allah! Ampunilah daku jika Engkau mahu”, tetapi dia hendaklah bersungguh-sungguh meminta dan menampakkan keinginannya yang amat sangat kerana tidak ada sesuatu (yang diberi-Nya itu) yang besar kepada Allah.

Hadith Rujukan Ketiga – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya Nabi s.a.w. bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu berkata, “Ya Allah! Ampunilah daku jika Kau kehendaki. Ya Allah! Kasihanilah daku jika Engkau kehendaki”. Dia hendaklah bersungguh-sungguh dalam doanya kerana Allah memang melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapapun dapat memaksa-Nya.

[RINGKASAN] Mintalah apa saja dengan Allah dan bersungguh-sungguhlah ketika berdoa

1. Allah amat suka kita berdoa dan menaruh harapan kepada-Nya. Oleh itu sentiasalah berdoa kepada-Nya, mintalah apa saja kepada-Nya dan yakin bahawa Dia akan mengabulkan doa kita. Allah Maha Berkuasa.

2. Hadith-hadith ini menetapkan salah satu kaedah atau adab berdoa kepada Allah iaitu jangan menggantungkan doa kita dengan ucapan “insya Allah” (jika Allah menghendaki). Ini berbeza jika kita berinteraksi dengan manusia, di mana kita diperintahkan supaya menggantungkan dengan keizinan dan kehendak Allah. Ini sebagaimana dinyatakan di dalam Surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24, maksudnya: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”.

3. Bila kita berdoa kepada Allah kita dilarang menggantungkan dengan ungkapan “insya Allah” kerana ianya menggambarkan seolah-olah Allah itu lemah dan terhad kekuasaan-Nya. Sebaliknya jika kita meminta kepada manusia, mereka mungkin berasa berat untuk menunaikan hajat kita kerana manusia itu lemah dan mereka mungkin berasa dipaksa. Kita tidak boleh bayangkan Allah itu dipaksa atau terpaksa melakukan sesuatu dan hakikatnya tiada halangan bagi Allah untuk menunaikan hajat kita. Adalah aqidah kita bahawa Allah Maha Perkasa (Aziz), Maha Berkuasa (Qadir), Maha Keras dan Kuat (Jabbar), Yang Memaksakan (Qahhar); tidak ada keadaan tertekan atau terpaksa kepada Allah..

4. Oleh itu kita boleh meminta apa saja dan sekerap mana pun kepada Allah. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh harapan kepada Allah dan jangan menyertakan permintaan itu dengan ucapan “Insya Allah” (jika Engkau kehendaki). Ingatlah Allah Maha Perkasa, Maha Berkuasa, Maha Kaya dsb dan Dia tidak tertekan atau terpaksa. Tiada sesuatu perkara pada Allah itu besar, tidak kira apa pun, sama ada wang ringgit, kuasa atau apa saja. Walaupun begitu, hendaklah kita meminta sesuatu yang mampu kita tanggung.

5. Janganlah kita menyangka bahawa dengan meminta banyak atau kerap kita seolah-olah memaksa (atau menyusahkan) Allah. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati dan tidak disertakan dengan andaian-andaian atau sangkaan-sangkaan kerana tiada sesuatupun yang Allah beri itu besar di sisi-Nya.

6. Apa saja yang ada di atas dunia ini kecil bagi Allah. Bayangkan apa yang disediakan untuk ahli syurga yang paling rendah ialah sebesar bumi dan tujuh petala langit. Kita tidak boleh bayangkan kebesaran Allah, jadi mintalah apa saja kepada Allah, ianya terlalu kecil di sisi Allah.

7. Begitu juga jika meminta ampun daripada Allah, jangan letakkan syarat jika Allah mahu terima atau jika Allah kehendaki. Ini adalah kerana keampunan, kasihan belas dan kasih sayang Allah amat luas. Allah boleh buat apa sahaja yang Ia kehendaki, tidak ada sesiapa yang dapat memaksanya.

8. Aqidah seorang muslim ialah Allah berkuasa mutlak (“mukhtar mutlak”). Allah boleh berbuat apa saja yang Ia kehendaki dan tiada siapa yang dapat menahan-Nya.

[MOTIVASI] – Siri 1 – Perintah Supaya Memudahkan Perkara Dan Tidak Meliarkan Orang [HADITH TEMATIK]

VIDEO – [Durasi – 14m 20s] – [MOTIVASI] – Siri 1 – Perintah Supaya Memudahkan Perkara Dan Tidak Meliarkan Orang [HADITH TEMATIK]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/-cNtxodsGV4 ]

Video penuh asal –    • Sesi 3 -Perintah Supaya Mempermudahkan Per…   [Sahih Muslim (Kitab Jihad) ]

[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

باب فِي الأَمْرِ بِالتَّيْسِيرِ وَتَرْكِ التَّنْفِيرِ

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَأَبُو كُرَيْبٍ – وَاللَّفْظُ لأَبِي بَكْرٍ – قَالاَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا بَعَثَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِهِ فِي بَعْضِ أَمْرِهِ قَالَ ‏ “‏ بَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا وَيَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا ‏”‏ ‏ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ شُعْبَةَ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بَعَثَهُ وَمُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ ‏ “‏ يَسِّرَا وَلاَ تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا وَلاَ تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا وَلاَ تَخْتَلِفَا ‏”‏ ‏.‏

PERINTAH SUPAYA MEMPERMUDAHKAN PERKARA DAN TIDAK MELIARKAN ORANG

Hadith Pertama – Riwayat dari Abu Musa, beliau berkata, Nabi s.a.w. apabila mahu menghantar seseorang daripada Sahabatnya untuk mana-mana urusannya Baginda akan bersabda, “Berilah berita gembira, jangan kamu liarkan orang, permudahkan, jangan kamu payahkan”. Hadith Kedua – Dengan sanadnya, Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Musa al-‘Asyari bahawa Nabi s.a.w. telah menghantarnya dengan Muaz ke Yaman, ketika itu Nabi s.a.w. bersabda, “Kamu berdua permudahkan, jangan kamu payahkan, kamu senangkan hati orang, jangan kamu liarkan mereka dan hendaklah kamu bersepakat, jangan kamu berselisih”.

[RINGKASAN] Perintah Supaya Mempermudahkan Perkara Dan Tidak Meliarkan Orang

1. Kita dikehendaki untuk mempermudahkan urusan dalam semua perkara, tidak hanya dalam perkara yang berkaitan ibadat dan agama sahaja.

2. Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kita memberi berita gembira ketika membawa Islam kepada orang ramai dengan menyatakan kurniaan Allah yang banyak dan melimpah ruah.

3. Rahmat Allah itu luas, jangan kecewakan orang yang banyak dosa sehingga dia berputus asa, berilah harapan kepadanya. Ingatlah, yang penting ialah dia telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Ingatkan kepadanya bahawa amalan yang sedikit akan diganjari dengan banyak, hatta dengan niat sajapun kita diberi pahala.

4. Terapkan konsep mempermudahkan ini dalam semua aspek kehidupan kita, dan berilah berita gembira. Untuk mereka yang berjihad, katakan kepadanya, orang yang mati syahid sebenarnya tidak mati, malah hidup. Kita boleh ambil pelajaran dari kisah seorang Sahabiah yang bertanyakan kepada Nabi s.a.w. tentang anaknya yang syahid adakah dia akan masuk syurga. Nabi menjawab, (untuk menggembirakannya) bahawa anaknya bukan sahaja masuk syurga malah mendapat syurga yang paling tinggi (syurga Firdaus). Di zaman Nabi, untuk menenangkan keluarga pejuang yang terkorban, Nabi s.a.w. memberi jaminan bahawa mereka adalah di bawah tanggungan Baginda (pemerintah). Sentiasalah memberikan berita gembira dan elakkan dari menyusahkan hati orang lain. Untuk pelajar, katakan kepadanya, Allah akan mempermudahkan jalannya ke syurga. Untuk peniaga, berikan semangat kepadanya dengan memberitahu bahawa peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama Nabi, orang soleh dan syuhada’. Orang Islam akan sentiasa bersemangat kerana kita diberi kelebihan di dunia dan akhirat.

5. Nabi s.a.w. melarang kita dari meliarkan orang. Usahakanlah supaya semua orang, termasuklah orang kafir supaya suka mendekati kita. Jika yang berlaku adalah sebaliknya, periksalah diri kita, kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan kita.

6. Jangan menakut-nakutkan orang seolah-olah rahmat Allah itu jauh dengan menceritakan hanya perkara buruk tanpa disertakan janji-janji baik dan menggembirakan.

7. Jinakkan hati orang-orang yang baru memeluk Islam. Gunakan bahasa yang lembut dan berhikmah dalam menerangkan hukum-hukum Islam terutama hal-hal sensitif seperti berkhatan. Kita boleh manfaatkan kepelbagaian pendapat dalam mazhab-mazhab muktabar. Contohnya, dalam hal berkhatan, kita boleh mengambil pendapat mazhab Hanafi yang menyatakan berkhatan hanyalah sunat dan tidak perlu diperbesarkan.

Contoh lain, kita boleh ambil pendapat mazhab Maliki bahawa anjing tidak najis dalam Islam. Pendapat mazhab ini berguna bila kita berhadapan dengan mereka yang kehidupan mereka sentiasa berdamping dengan anjing seperti golongan orang asal dan pribumi. Di peringkat awal mereka memeluk Islam, kita perlu berikan perhatian kepada perkara-perkara berkaitan aqidah dan dekatkan mereka kepada perkara fikah secara beransur-ansur. Yang paling penting janganlah kita meliarkan orang dari Islam.

8. Begitu juga kita jangan menakut-nakutkan remaja yang hampir baligh dengan ancaman hukuman yang berat-berat. Berilah galakan kepada mereka dengan menceritakan balasan ganjaran yang besar untuk amal-amal ketaatan. Dedahkan mereka dengan ibadat seawal mungkin untuk membiasakan mereka sebelum memasuki usia baligh. Beritahu mereka bahawa solat sebenarnya adalah cara kita berterima kasih kepada Allah di atas nikmat-Nya yang amat banyak kepada kita sehingga tidak terhitung.

9. Untuk orang yang baru bertaubat dan ingin pulang ke pangkal jalan, jangan memberat-beratkannya kerana dikhuatiri dia akan kembali kepada perangai lama. Gunakan pendekatan beransur-ansur dan jangan bebankan sesuatu yang melebihi kemampuannya. Kita perlu ingat, bab-bab “taklif” (beban syariat) dalam Islam diterapkan secara beransur-ansur di zaman Nabi.

10. Hadith ini juga memerintahkan pemimpin supaya berlembut. Pemimpin-pemimpin hendaklah bersatu padu dan bersepakat kerana bila berlaku perselisihan akan hilanglah keberkatan.

11. Pemerintah atasan perlu sentiasa memberi nasihat, pesanan dan panduan kepada pemimpin bawahan walaupun pemimpin bawahan terdiri daripada orang yang baik-baik. Sesungguhnya, peringatan itu berguna kepada orang mukmin.

12. Di samping “memudahkan”, hadith ini juga menyarankan kita supaya “menenangkan” (jangan celarukan atau liarkan orang). Kita hendaklah berlembut dan bertolak ansur, perlu menenangkan di samping tegas, jika perlu.

13. Saranan-saranan dalam hadith ini adalah untuk kita amalkan ke atas diri kita juga. Jangan bebankan diri kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita sehingga kita sendiri tidak mampu memikulnya. Sesuatu amalan atau kerja yang terlalu berat dan membebankan akan menyebabkan kita akhirnya meninggalkannya. Buatlah sesuatu amalan atau kerja yang kita suka dan mudah untuk kita.

14. Kita patut tahu pilihan-pilihan yang ada dalam mazhab-mazhab dan menyesuaikan dengan keperluan dan masalah-masalah yang kita hadapi. Contohnya, untuk solat witir, walaupun yang afdhal ialah solat di akhir malam, kita boleh solat di awal malam, terutamanya jika kita rasa sukar untuk bangun malam disebabkan kepenatan bertugas atau belajar dsb.

15. Antara contoh kemudahan yang diperolehi dari kepelbagaian pendapat dalam mazhab ialah bolehnya mengeluarkan zakat dengan mata wang. Ini dibenarkan dalam mazhab Hanafi, manakala mazhab Syafie menetapkan zakat perlu dikeluarkan dengan beras. DI zaman ini, menunaikan zakat dengan wang adalah lebih praktikal dan sesuai dengan keperluan semasa, dan inilah yang diamalkan di negara kita.