VIDEO – [Durasi – 13m 45s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 10 – Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/NV27_sZxzAE]
Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –
• Sesi 14 – Nasihat Dan Pengajaran Imam Kepa…
[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MINAT YANG LUAR BIASA TERHADAP HADITH
باب الْحِرْصِ عَلَى الْحَدِيثِ
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنِي سُلَيْمَانُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ أَبِي عَمْرٍو، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ الْمَقْبُرِيِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ قَالَ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ لَقَدْ ظَنَنْتُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لاَ يَسْأَلَنِي عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ، لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ، أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ
Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa beliau berkata, “Ada orang bertanya wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling bertuah akan mendapat syafaatmu pada hari kiamat nanti?”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Saya sudah menjangka, wahai Abu Hurairah bahawa tidak akan ada yang bertanya saya tentang hadith ini lebih dahulu daripada engkau kerana saya melihat minat mu sangat luar biasa terhadap hadith. Orang yang paling bertuah mendapat syafaatku pada hari kiamat nanti ialah orang yang mengucap “Lailahaillallah” dengan ikhlas daripada hatinya (atau jiwanya)” (Sahih al-Bukhari, Hadith no 99).
[RINGKASAN] Minat Yang Luar Biasa Terhadap Hadith
1. Ilmu yang kita patut bersungguh-sungguh belajar dan mempunyai minat yang luar biasa (haloba) terhadapnya ialah ilmu hadith.
2. [Nota Iringan] – Imam as-Shafie meletakkan enam syarat untuk seseorang berjaya dalam menuntut ilmu, iaitu, i. pintar, ii. minat yang luar biasa (haloba) terhadap ilmu, iii. bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, iv. ada belanja, v. mendapat bimbingan guru yang mursyid (baik dan bijaksana) dan, vi. lama masa belajar.
3. Ilmu hadith adalah amat bermanfaat yang kita patut bersikap “haloba” untuk mendapatkannya.
4. Abu Hurairah bertanya kepada Nabi s.a.w., siapakah orang yang paling bertuah yang akan mendapat syafaat (pertolongan) Nabi s.a.w. di akhirat nanti. Mendengar soalan tersebut, Nabi bersabda bahawa Baginda telah menjangka Abu Hurairahlah orang yang pertama yang akan menanyakan soalan ini memandangkan minatnya yang mendalam dan luar biasa terhadap hadith. Abu Hurairah sememangnya hidupnya bergelumang dengan hadith. Dari sini, kita dapat simpulkan bahawa Nabi amat suka dan memuji orang yang minat dan cinta kepada hadith. Perhatikan bahawa perkataan “hadith” (sebagai suatu ilmu) diucapkan sendiri oleh Nabi dan bukan ciptaan orang-orang kemudian.
5. Imam al-Bukhari ingin mengisyaratkan bahawa orang yang lebih banyak terlibat dengan hadith dan sunnah Nabi s.a.w. adalah yang lebih berhak mendapat syafaat Nabi. Ini adalah kerana hubungan ilmu hadith adalah amat dekat dan langsung dengan Nabi, tidak sebagaimana ilmu-ilmu lain.
6. Orang yang bergelumang dengan hadith akan ada tanda yang dikenali Nabi s.a.w. di akhitrat nanti (sebagaimana orang yang berwudhu’ dikenali dengan tandanya di akhirat nanti). Orang-orang inilah, (iaitu orang yang belajar hadith, menjaga hadith dan mengamalkan hadith) yang akan mendapat perhatian utama dari Nabi s.a.w. Bila belajar hadith, secara otomatiknya kita belajar al-Quran tetapi jika belajar al-Quran sahaja tidak semestinya belajar hadith. Fungsi hadith ialah menjelaskan maksud al-Quran dan Nabi s.a.w. adalah al-Quran yang hidup. Untuk mengenali dan mengamalkan Islam, tidak dapat tidak kita hendaklah mengetahui hadith. Hadith amat penting untuk mengelakkan kita dari terjerumus ke dalam neraka; hadith adalah hidup mati kita dan ianya amat berguna untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.
7. Untuk mendapat ilmu yang lebih dan istimewa seperti ilmu laduni yang diperolehi oleh Abu Hurairah, seseorang hendaklah bersifat “haloba” terhadap hadith dan ilmu-ilmu agama. Diberikan ilmu hadith yang banyak kepada Abu Hurairah kerana minatnya yang luar biasa terhadap hadith.
8. Nabi s.a.w. bersabda bahawa orang yang paling bertuah, yang akan mendapat syafaat Nabi di akhirat nanti ialah orang yang mengucapkan “Lailahaillallah” dengan ikhlas dari hatinya. Ulama’-ulama’ menjelaskan apakah maksud “yang paling bertuah dengan syafaat Nabi”, sebagaimana berikut:
i. Yang paling bertuah di kalangan semua manusia (yang Islam dan yang bukan Islam) ialah orang Islam. Di Padang Mahsyar nanti, semua manusia, termasuk juga orang kafir, akan merasa bertuah kerana mendapat syafaat Nabi yang menyegerakan hisab. Walaupun begitu akhirnya orang Islam akan masuk syurga dan orang kafir akan ke neraka,
ii. Yang dimaksudkan bertuah ialah orang Islam sahaja, tetapi di kalangan orang Islam, ada orang yang lebih bertuah dari yang lain. Ini adalah kerana tahap keikhlasan ucapan “Lailahaillallah” adalah berbeza di kalangan orang Islam tersebut. Ada orang yang keikhlasannya tinggi sehingga sanggup menggadai nyawa kerana Islam, ada orang sanggup berpisah dengan suami atau isteri yang sesat dan enggan patuh pada syariat Islam. Ringkasnya, orang yang paling banyak memenuhi tuntutan “Lailahailllallah” dengan ikhlas hati ialah orang yang paling bertuah.
9. Kita amat memerlukan syafaat Nabi di akhirat nanti. Antara bentuk-bentuk syafaat ialah,
i. syafaat untuk mereka yang melakukan dosa besar, di mana mereka akan diringankan seksaannya,
ii. meningkatkan darjat di dalam syurga kepada orang yang taat kepada Allah semasa hidup di dunia,
iii. dipendekkan tempoh masa di dalam neraka, .
iv. diselamatkan dari neraka yang sepatutnya ia masuk tetapi terus dimasukkan ke dalam syurga. 10. Imam al-Bukhari ingin menyatakan bahawa orang yang paling berhak mendapat syafaat Nabi s.a.w. ialah orang yang menerima hadith Nabi dan mengamalkannya dengan sesempurnanya. Mereka yang “haloba” kepada hadith adalah orang yang hampir dengan Nabi. s.a.w. Sebagaimana di dunia ini, orang yang hampir dengan kita akan mendapat manfaat yang banyak dari kita. Ini juga bermaksud orang yang mengucapkan “Lailahaillallah” hendaklah faham dengan mendalam maksud kalimah itu.
