[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 2 – Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

VIDEO – [Durasi – 17m 45s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 2- Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) & sebelum beramal

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/cEDGHcqE08Q ]

Video penuh asal – [ Sahih al-Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 5 – Ada Kala Orang Yg Disampaikan Leb…   [

KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ILMU SEBELUM MENGAJAR (ATAU MENGUCAPKAN SESUATU) DAN SEBELUM BERAMAL

بَابُ الْعِلْمُ قَبْلَ الْقَوْلِ وَالْعَمَلِ

لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {فَاعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ} فَبَدَأَ بِالْعِلْمِ، وَأَنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ- وَرَّثُوا الْعِلْمَ- مَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ بِهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ.

وَقَالَ جَلَّ ذِكْرُهُ: {إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ} وَقَالَ: {وَمَا يَعْقِلُهَا إِلاَّ الْعَالِمُونَ}، {وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ}.

قَالَ: {هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ}.

وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ .‏

وَوَقَالَ أَبُو ذَرٍّ لَوْ وَضَعْتُمُ الصَّمْصَامَةَ عَلَى هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى قَفَاهُ- ثُمَّ ظَنَنْتُ أَنِّي أُنْفِذُ كَلِمَةً سَمِعْتُهَا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ أَنْ تُجِيزُوا عَلَيَّ لأَنْفَذْتُهَا.

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: {كُونُوا رَبَّانِيِّينَ} حُكَمَاءَ فُقَهَاءَ. وَيُقَالُ الرَّبَّانِيُّ الَّذِي يُرَبِّي النَّاسَ بِصِغَارِ الْعِلْمِ قَبْلَ كِبَارِهِ.

Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

Kerana (berdasarkan) firman Allah, “Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah”. Allah memulakan dengan ilmu dan sesungguhnya para ulama’ itulah pewaris nabi. Mereka mewarisi ilmu (ilmu para nabi). Sesiapa yang mengambilnya bererti dia mendapat habuan yang besar dan banyak dan sesiapa mengikuti sesuatu jalan dengan maksud mencari ilmu, Allah mempermudahkan untuknya jalan untuk ke syurga. Allah berfirman, yang bermaksud, “Yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulama’ “. Firman-Nya lagi, bermaksud, “Tidak ada yang mengerti tentangnya kecuali orang-orang yang alim”. Allah berfirman, bermaksud, “Mereka berkata: Kalaulah kita dahulu mendengar (atau berfikir) tentulah kita tidak termasuk di kalangan ahli neraka”. Firman Alah, bermaksud, “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”.

Nabi s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan yang banyak untuknya, nescaya diberikan kepadanya faham yang mendalam tentang agama. Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan belajar”. Abu Zar berkata, “Kalau kamu letakkan pedang yang tajam di sini (dia mengisyaratkan ke lehernya) kemudian aku ingat aku dapat menyampaikan lagi satu ucapan yang pernah ku dengar daripada Nabi s.a.w. sebelum kamu melaksanakan hukuman bunuh itu ke atasku, nescaya aku akan sampaikannya”. Ibnu Abbas berkata, “Jadilah kamu orang-orang Rabbani iaitu hukama’ (golongan cendekiawan), fuqaha’ dan ulama’ “. Dikatakan juga “Rabbbani” ialah orang yang mendidik manusia dengan ilmu yang kecil-kecil sebelum yang besar-besar.

[RINGKASAN] Ilmu sebelum mengajar (atau mengucapkan sesuatu) dan sebelum beramal

1. Kita hendaklah mempunyai ilmu sebelum mengajar atau sebelum mengucapkan sesuatu (bercakap) tentang sesuatu topik. Begitu juga kita hendaklah memiliki ilmu yang berkenaan sebelum melakukan atau mengerjakan sesuatu amalan.

2. Tujuan dari ilmu ialah amal, tetapi sesuatu amalan tidak akan membuahkan hasil tanpa ilmu. Oleh itu dapatkan ilmu dahulu sebelum beramal dan ianya adalah perkara yang pertama.

3. Sebelum berkata tentang sesuatu perkara (terutamanya yang berkaitan hal-hal agama) kita hendakalh mempunyai ilmu tentangnya kerana dikhuatiri ucapan tanpa ilmu akan menyebabkan dosa dan kerosakan. Begitu juga untuk mengajar dan beramal kita juga perlukan ilmu.

4. Sebelum melakukan sesuatu amalan, contohnya sembahyang, seseorang hendaklah belajar dan mendapatkan ilmu. Seorang yang baru memeluk Islam, tidak boleh terus sembahyang tanpa ilmu tetapi dia hendaklah belajar cara-cara dan syarat-syarat sembahyang dahulu.

5. Ilmu itu mempunyai kelebihan tersendiri. Tanpa amal pun, ilmu itu adalah istimewa dan ada kelebihannya. Ringkasnya, semua ilmu ada kelebihannya, lebih-lebih lagi ilmu tentang agama Islam.

6. Firman Allah (Surah Muhammad, ayat 19) bermaksud, “Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah”. Perhatikan bahawa ayat ini dimulakan dengan lafaz, “Ketahuilah”, yang bermaksud, “Hendaklah mempunyai ilmu”. Di dalam ayat al-Quran ini disebut ilmu yang paling utama ialah ilmu tauhid (mengenal Allah). Apa-apa ilmu yang tidak mengarah kepada “mengenal” Allah adalah tidak berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada “Lailahaillallah”. Apa-apa ilmu (sama ada ilmu agama atau ilmu lain – penyunting) yang menyebabkan kita yakin bahawa tiada tuhan melainkan Allah adalah baik untuk dipelajari.

7. Allah mulakan dengan ilmu. (Hadith) “Sesungguhnya ulama’ itulah pewaris para nabi”. Ulama’ yang disifatkan sebagai “pewaris nabi” ialah orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya kerana sekiranya mengamalkan ilmu tidak syarat sebagai pewaris nabi, tentulah golongan “orientalis” yang mempunyai banyak ilmu juga termasuk dalam golongan pewaris nabi! Nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka berupa harta benda tetapi yang ditinggalkan untuk umatnya ialah ilmu. Orang yang alim dengan ilmu dari nabi ialah orang yang mewarisi pusaka dari nabi.

8. Ilmu yang paling utama ialah ilmu dari Nabi s.a.w iaitu ilmu al-Quran dan hadith. Ini tidak menafikan bahawa ilmu yang lain seperti sains, matematik dsb adalah penting dan berfaedah untuk manusia (ilmu-ilmu ini termasuk dalam fardhu kifayah untuk orang Islam menguasainya). Yang melebihkan manusia ialah nilai kemanusian (hasil dari ilmumya), bukannya kemajuan fizikal. Sesiapa yang mengambil ilmu Nabi sesungguhnya dia mengambil habuan, faedah dan keberuntungan yang besar.

9. Sesiapa yang mengikuti sesuatu jalan untuk mencari ilmu, Allah taala permudahkan untuknya jalan ke syurga. Di samping itu, Allah akan mengurniakan ganjaran di atas kesukaran yang ditempuhi semasa dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Sepatutnya jaminan dari Allah ini membakar semangat kita untuk menuntut ilmu. Sahabat-Sahabat Nabi dahulu beramal dan bekerja semata-mata untuk akhirat (dengan tidak memikirkan habuan dunia) tetapi Allah kurniakan juga kekayaan dunia yang melimpah ruah kepada mereka. Malangnya, kebanyakan manusia hari ini lebih mementingkan habuan dunia semata-mata tetapi hakikatnya dunia menjauh dari mereka! Oleh itu, walaupun sesuatu aktiviti, amalan atau perbuatan dari luaran ianya seolah-olah perkara keduniaan, kita hendaklah kaitkannya dengan akhirat, contohnya, belajar sains untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Kita patut contohi ulama’-ulama’ muktabar di zaman silam seperti Imam al-Ghazali yang belajar dan menulis juga kitab perubatan di samping kitab-kitab agama atau Ibnu Rusyd yang menulis juga kitab tentang kajian bintang (astronomi), ilmu menghasilkan minyak wangi dsb.

10. Allah berfirman, Surah Fatir, ayat 28, bermaksud, “Hanya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah ulama’ “. Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu iaitu ulama’. “Tiada yang mengerti (faham) tentang kekuasaan tuhan itu melainkan orang alim”, (Surah al-Ankabut, ayat 43). Ini menunjukkan ilmu itu sendiri ada kelebihan, apatah lagi jika ilmu itu ialah ilmu yang suci, ilmu al-Quran dan hadith.

11. Golongan jin berkata (Surah al-Mulk, ayat 10), “Kalaulah dahulu kita dengar dan fikirkan apa yang diberitahu (oleh Islam), nescaya kita tidak menjadi ahli neraka hari ini”. Di sini kita dapati pentingnya ilmu untuk membolehkan kita berfikir. Ilmu itu diperolehi dengan mendengar.

12. Allah berfirman (Surah az-Zumar, ayat 9), “Adakah sama orang yang mengerti (berilmu) dengan orang yang tidak mengerti (jahil)?”. Oleh kerana tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, hendaklah kamu belajar supaya menjadi orang yang berilmu.

13. Nabi bersabda, “Sesiapa yang Allah hendak memberikan kebaikan yang besar untuknya nescaya diberi kefahaman yang mendalam kepadanya tentang agama”. Orang yang diberi kefahaman yang mendalam tentang agama patut bersyukur dan berasa bertuah. Tetapi sayangnya, ada dalam masyarakat kita yang berasa malang setelah belajar agama kerana tidak dapat gaji yang tinggi bila bekerja nanti, mereka tidak dapat menghayati mesej dari hadith ini.

14. Ibnu Abbas berkata, “Ilmu itu diperolehi hanya dengan belajar”. Adalah tidak memadai dengan hanya semata-mata membaca sendiri tanpa panduan kecuali seseorang itu mempunyai persediaan dan kemahiran yang cukup, kerana dikhuatiri dia akan tergelincir dan tersesat. Kita perlu belajar dari orang yang tahu dan mahir di dalam bidangnya.

15. Abu Zar berkata bahawa, jika sempat, dia akan sampaikan walau satu ilmu yang beliau dengar dari Nabi s.a.w., walaupun di saat dia hampir dibunuh. Ini menunjukkan betapa penting dan berharganya ilmu.

16. Ibnu Abbas berkata, “Kamu jadilah Rabbaniyyin”. “Rabbaniyin” ialah ahli ilmu yang ada hubungan (rapat) dengan Rabb (Allah). Mereka pandai dalam mendidik manusia supaya mengenali Allah. Orang-orang ini mungkin diberi ilmu “laduni” oleh Allah (kerana rapatnya mereka dengan Allah). Siapakan “Rabbaniyyin” itu? Mereka dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ulama’, fuqaha’ dan hukama’ (cendekiawan). Ulama’ ialah orang berilmu yang tahu tentang sesuatu masalah agama contohnya tentang halal haram. Mereka (ulama’) berada di kedudukan paling rendah di antara tiga kumpulan ini. Di atasnya ialah fuqaha’, (ianya bukan bermaksud ahli fiqah dalam konteks biasa tetapi merujuk kepada tahap keilmuan seseorang) iaitu orang yang lebih dalam ilmunya berbanding ulama’ yang mengetahui dalil-dalil hukum. Manakala hukama’ kedudukan ilmunya lebih tinggi dari fuqaha’ dan mengetahui hikmah, falsafah dan tujuan di sebalik pensyariatan hukum-hukum.

17. Sesiapa yang tergolong dalam salah satu kelompok ilmuan di atas (ulama’, fuqaha’ atau hukama’) sudah dikenali sebagai “Rabbaniyyin”.

18. Ada orang berkata, Rabaniyyin ialah orang yang pandai mendidik manusia dengan ilmu-ilmu yang kecil sebelum mengajarkan ilmu-ilmu yang besar-besar. Dia mampu mengangkat pelajar dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi. Boleh juga dikatakan bahawa “Rabbaniyyin” ialah suatu sistem pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.

19. Imam al-Bukhari ingin menyatakan bahawa ilmu itu lebih istimewa daripada amal. Ilmu itu sendiri ada kelebihannya dan ianya adalah amalan hati. Oleh itu sesuatu amalan itu tidak sempurna selagi “hati” (ilmu) tidak ada. Ilmu itu menjadi syarat sah dan diterimanya sesuatu amalan (ibadat).

Leave a comment