[HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 7 – Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

VIDEO – [Durasi – 17m 54s] – [HADITH TEMATIK – ILMU] – Siri 7 – Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/bOBIevsrIo8  ]

Video penuh asal-Sahih Bukhari (Kitab Ilmu) –    • Sesi 9 – Kelebihan Orang Yg Berilmu & Meng…  

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – LEBIHAN ORANG YANG BERILMU DAN MENGAJARKAN ILMUNYA

باب فَضْلِ مَنْ عَلِمَ وَعَلَّمَ

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلاَءِ، قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ، عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً، وَلاَ تُنْبِتُ كَلأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقِهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ ‏” ‏‏.‏ قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ قَالَ إِسْحَاقُ وَكَانَ مِنْهَا طَائِفَةٌ قَيَّلَتِ الْمَاءَ‏.‏ قَاعٌ يَعْلُوهُ الْمَاءُ، وَالصَّفْصَفُ الْمُسْتَوِي مِنَ الأَرْضِ‏.‏.

Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda perbandingan petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan aku membawanya adalah seperti hujan lebat yang menimpa bumi. Antara bumi itu ada yang subur yang menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput rampai yang banyak dan antaranya ada yang hanya menampung air tetapi tidak menyerap air, maka Allah memanfaatkan tanah itu kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum kepada ternakan mereka serta bercucuk tanam dengan air itu. Hujan yang turun itu menimpa sebahagian tanah yang lain yang merupakan tanah gersang. Tanah ini tidak dapat menampung air mahupun menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Itulah perbandingan orang-orang yang mendalam ilmunya tentang agama Allah. Allah memberi manfaat kepadanya dengan apa yang Allah utuskan aku membawanya. Lalu dia mendapat ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Tanah itu juga merupakan perbandingan orang yang tidak mengangkat langsung kepalanya terhadap ilmu yang dibawa olehku. Dia tidak menerima petunjuk yang Allah utuskan aku membawanya. Abu Abdillah berkata, Ishaq dalam riwayatnya mengatakan, “Antara tanah itu ada sekumoulan tanah yang menghirup (menyerap) air”. “Qa” ialah tanah lapang yang tidak menakung air, “al-safsaf” ialah tanah rata.

[RINGKASAN] Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan Ilmunya

1. Hadith-hadith yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya menekankan kepentingan dan kelebihan mendapatkan ilmu dengan belajar dan kemudian mengajarkannya.

2. “Mengajar” tidak bermakna mempunyai murid yang ramai atau pun mengajarkan kitab-kitab yang tinggi tetapi termasuk juga mendidik anak-anak sendiri dengan ilmu yang ada pada seseorang.

3. Mengajarkan ilmu yang kita ada tidak akan merugikan kita. Ilmu, tidak seperti harta, tidak akan berkurang bila “dibelanjakan” (diajarkan kepada orang lain), malah sebaliknya ianya akan bertambah. Ini adalah salah satu bukti bahawa ilmu adalah lebih baik daripada harta. Di samping itu ilmu tidak akan dapat dicuri kerana ia berada dalam dada. Harta menyebabkan kita berkeluh kesah, bimbang dan ketakutan tetapi ilmu akan menenangkan dan mendamaikan jiwa.

4. Bila kita mengajarkan ilmu, ia akan berkembang. Murid yang cerdas akan menambahkan lagi aspek-aspek dan ciri-ciri lain daripada ilmu yang kita ajar. Sebalikmya, ilmu itu akan terhenti setakat kita bila kita tidak menyebarkan dan mengajarkannya.

5. Adalah tradisi ulama’-ulama’ untuk mengajar dan menulis. Sering kali ilmu-ilmu yang kita ajar dan tulis akan mencambahkan idea-idea baru di kalangan pelajar atau pembaca; ini akan mengembangkan ilmu itu sendiri.

6. Untuk mengajar atau menulis, seseorang perlu mempunyai ilmu yang cukup di dalam bidang tersebut. Mengajar tanpa ilmu akan menjadi fitnah dan merosakkan orang yang mengajar dan juga orang yang menerima ajaran-ajaran tersebut.

7. Nabi s.a.w. membandingkan manusia yang berinteraksi dengan ilmu dan petunjuk dari Baginda dengan sebidang tanah yang menerima hujan. Sebagaimana tanah yang ditimpa hujan, petunjuk dan ilmu sampai kepada semua orang tetapi tahap penerimaan dan kesannya tidak sama. Ada manusia yang menerima petunjuk dari Nabi dan ada yang menolaknya. Di kalangan mereka yang menerima petunjuk, ada yang berbakat dan ada juga yang tidak dapat menghadamnya.

8. Tanah yang paling baik ialah yang dapat menerima dan menyerap air lalu menumbuhkan tanam-tanaman dan rumput rampai dengan banyak yang bermanfaat kepada manusia dengan memberi kekayaan, ketenangan dsb.

9. Tanah jenis kedua ialah yang dapat menakung air tetapi tidak mampu untuk menumbuhkan tanaman. Air yang ditampungnya memberi manfaat kepada manusia dan haiwan dengan menjadi sumber air untuk pertanian, minuman dan lain-lain kegunaan.

10. Kategori ketiga, ialah hujan langsung tidak memberi kesan kepadanya. Air hujan sekadar lalu di atasnya. Ini adalah perbandingan orang yang tidak mengangkat langsung kepala kepada apa yang Nabi s.a.w. bawa berupa petunjuk (“huda”) dan ilmu.

11. Sesiapa yang mendapat petunjuk, sudah mendapat manfaat dari Nabi s.a.w. Dia akan terhitung sebagai orang mukmin yang bakal menurunkan zuriat yang akan menambah bilangan orang-orang Islam. Sesiapa yang mendapat petunjuk (iman) tidak akan sia-sia hidupnya.

12 Orang yang terbaik di kalangan mereka yang mendapat petunjuk dari Nabi s.a.w. ialah yang beramal, mengajar dan mengajak orang supaya menerima agama Islam.

13. ilmu yang diterima dari Nabi s.a.w. akan dimanfaatkan oleh orang yang menerimanya dengan dua cara, iaitu sama ada, .

i. menyampaikan apa yang diterima daripada Nabi sebagaimana yang diterimanya tanpa menambah apa-apa (seumpama tanah yang menakung air tetapi tidak menumbuhkan tanam-tanaman). Golongan ini berfungsi sebagai penyampai sesuai dengan sabda Nabi bahawa adakalanya orang yang disampaikan sesuatu hadith itu lebih mengerti (tentangnya) daripada orang yang mendengarnya sendiri (rujuk video: https://youtu.be/hYAiCoR0riA),

ii. mengeluarkan kesimpulan dan pengajaran dari hadith-hadith yang diterimanya (sebagaimana tanah yang menyerap air lalu menumbuhkan pokok). Golongan ini terdiri daripada mujtahid-mujtahid.

14. Mereka yang menerima petunjuk dari Nabi terdiri dari dua golongan, begitu juga mereka yang menerima ilmu dari Nabi s.a.w. Di zaman-zaman sebelum dan selepas kewafatan Nabi, ada ulama’ yang mendedikasikan hidupnya dengan mengumpulkan hadith-hadith Nabi lalu membincangkan status kesahihannya. Mereka mengumpulkan hadith tanpa membuat kesimpulan atau menyatakan pengajaran atau rahsia yang terkandung dalam hadith tersebut. Mereka hanya menyampaikan hadith tersebut kepada generasi seterusnya. Mereka adalah umpama tanah yang menakung air. Manakala golongan kedua adalah ulama’-ulama’ yang mengembangkan ilmu-ilmu hadith seperti imam-imam mujtahidin (seperti Imam as-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dll). Mereka menerangkan maksud dan pengajaran hadith, bagaimana berinteraksi dengan hadith yang nampak bercanggah dsb. Mereka adalah seperti tanah yang mencambahkan tumbuhan, yang subur dan mengeluarkan hasil bumi. Golongan ini adalah yang paling utama dan paling besar manfaatnya kepada umat.

15. Golongan yang tidak sepatutnya kita berada di dalamnya ialah golongan ketiga, golongan yang tidak menghiraukan petunjuk dari Nabi s.a.w. iaitu yang tidak menerima Islam. Sebagaimana air berguna untuk menghidupkan tanah, wahyu adalah perlu untuk menghidupkan hati. Golongan ketiga ini akan hidup sia-sia di atas dunia dan juga di akhirat. Mereka tidak berminat untuk belajar agama (keterangan dari wahyu) walaupun peluang terbuka luas. Kita adalah manusia, makhluk yang ada akal, hati kecil, daya usaha, ikhtiar tetapi golongan ini gagal memanfaatkan potensi ini menyebabkan hidup menjadi sia-sia.

16. Selain dari itu, bayangkan juga seseorang yang telah mendapat petunjuk (beriman) tetapi tidak mahu belajar dan tidak mempunyai anak yang menyambung zuriatnya dalam iman. Alangkah rugi hidupnya bila kembali kepada Allah dengan tangan kosong berbanding orang lain yang penuh bekal di tangan.

17. Anak cucu yang beriman dan beramal dengan amalan baik merupakan “amalan” baik untuk kita juga.

18. Yang kita tidak mahu ialah tergolong dalam kumpulan yang menolak petunjuk dan ilmu dari Nabi s.a.w. Inilah golongan kafir, orang yang tidak mengangkat kepala kepada apa yang dibawa Nabi s.a.w.

19. Sayugia kita segera mencari ilmu, beramal dan mengajarkan ilmu, sebagai bekalan di akhirat nanti dan ingatlah bahawa semua orang akan menyesal di akhirat nanti kerana sedikitnya bekalan yang dibawa.

20. Jadilah orang yang berilmu tentang Islam dan mengajarkan dan menyebarkan Islam kepada orang lain. Sesungguhnya hadith ada menyebut, “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)”.

Leave a comment