[HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 11 – Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Menjaga Anak (Suaminya)

VIDEO – [Durasi – 6m 28s] – [HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 11 – Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Menjaga Anak (Suaminya)

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/T6mks_nLi-o ]

Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Nafkah) – • Sesi 4 -Sediakan Pakaian Utk Wanita Dengan…

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-… ]

MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – BANTUAN PEREMPUAN TERHADAP SUAMI DALAM MENDIDIK (MENJAGA) ANAK (SUAMINYA)

باب عَوْنِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا فِي وَلَدِهِ

حدثنا مسدد: حدثنا حماد بن زيد، عن عمرو، عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال:هلك أبي وترك سبع بنات أو تسع بنات، فتزوجت امرأة ثيبا فقال لي رسول الله: (تزوجت يا جابر). فقلت: نعم، فقال: (ابكرا أم ثيبا). قلت: بل ثيبا، قال: (فهلا جارية تلاعبها وتلاعبك،تضاحكها وتضاحكك). قال: فقلت له: إن عبد الله هلك، وترك بنات، وإني كرهت أن أجيئهن بمثلهن، فتزوجت امرأة تقوم عليهن وتصلحهن، فقال: (بارك الله لك، أو قال: خيرا).

Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Mendidik (Menjaga) Anak (Suaminya)

Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah katanya: Ayahku mati dan dia meninggalkan tujuh (atau sembilan) orang anak perempuan. Lalu aku berkahwin dengan seorang perempuan janda. Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, “Engkau telah berkahwin wahai Jabir?”. Aku menjawab, “Ya”. Baginda bertanya, “Dengan anak dara atau janda?”. Saya menjawab, “Bahkan dengan janda”. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Mengapa tidak dengan gadis yang engkau dapat bermain-main dengannya dan dia dapat bermain-main dengan engkau. Engkau dapat membuatnya ketawa dan dia dapat membuatkan engkau ketawa”. Akupun berkata kepadanya, “Sesungguhnya Abdullah mati. DIa meninggalkan beberapa orang anak perempuan. Saya tidak mahu membawa kepada mereka perempuan yang seumpama mereka kerana itulah saya berkahwin dengan perempuan yang boleh menguruskan mereka dan membaiki keadaan mereka”. Rasulullah s.a.w. pun mendoakan dengan sabdanya, “Semoga Allah memberkati engkau”, (atau Baginda berkata, “Semoga baik”).

[RINGKASAN] Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Mendidik (Menjaga) Anak (Suaminya)

1. Adakah seorang isteri bertanggungjawab menjaga anak-anak kepada suaminya (anak tirinya)? Adakah isteri itu berdosa jika dia meninggalkan tanggungjawab ini atau adakah ianya hanyalah sumbangannya atas dasar ihsan dan belas kasihan terhadap suaminya? Imam al-Bukhari berpendapat tugas menjaga anak suaminya (anak tiri) tidak mesti ditanggung oleh si isteri tetapi jika dia mengambil tanggungjawab ini dia adalah perempuan yang terbaik, seorang perempuan yang istimewa. Hadith sebelum ini menyebut perempuan Quraisy adalah perempuan terbaik kerana mereka adalah yang paling kasih kepada anak-anak semasa kecilnya ( sila rujuk – • [HADITH TEMATIK-NAFKAH]- Siri 9 –  Isteri … ).

2. Seorang ibu secara semula jadinya akan sayang kepada anaknya sendiri tetapi mungkin berlainan sikapnya terhadap bukan anaknya, contohnya anak suami dari isteri terdahulu. Tetapi sekiranya dia dapat mengasihi anak tirinya sebagaimana anaknya sendiri dia adalah seorang wanita yang istimewa. Ini terutamanya jika anak itu masih kecil yang memerlukan penjagaan rapi tetapi sebaliknya belum mampu menyumbang apa-apa kepada ibu dan bapanya. Jika anak sudah besar, ianya tidaklah sesukar seperti ketika masih kecil dan sebagai balasannya dia dapat menabur jasa kepada ibu bapanya.

3. Seorang perempuan yang membantu suaminya menjaga anak suaminya adalah seorang perempuan yang istimewa.

4. Hadith ini menunjukkan Jabir bin Abduillah adalah seorang yang cerdik kerana menikahi seorang janda, iaitu seorang yang sudah berpengalaman dalam menguruskan anak-anak kecil. Sekiranya kita inginkan isteri membantu meringankan beban dalam sesuatu perkara kita hendaklah pastikan isteri kita adalah sesuai untuk perkara tersebut. Pemilihan isteri dengan kriteria yang tepat adalah penting jika kita ingin isteri kita memberi sumbangan dan meringankan beban kita.

5. Ayah Jabir iaitu Abdillah mati syahid dalam perang Uhud dan meninggalkan ramai anak perempuan. Anak-anak ini adalah di bawah jagaan Jabir selepas kematian ayahnya menyebabkan masa mudanya penuh dengan tanggungjawab dan tiada masa untuk bersuka ria.

6. Nabi bersetuju dengan sikap Jabir yang tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu Nabi s.a.w. berdoa supaya diberkati perkahwinan Jabir dengan isterinya. Berkat doa Rasulullah s.a.w., hidup Jabir sekeluarga adalah bahagia dan sentiasa tenang sehingga akhir hayat. Jabir ialah seorang Sahabat yang istimewa kepada Nabi s.a.w.

Leave a Reply