MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – BANTUAN PEREMPUAN TERHADAP SUAMI DALAM MENDIDIK (MENJAGA) ANAK (SUAMINYA)
باب عَوْنِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا فِي وَلَدِهِ
حدثنا مسدد: حدثنا حماد بن زيد، عن عمرو، عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال:هلك أبي وترك سبع بنات أو تسع بنات، فتزوجت امرأة ثيبا فقال لي رسول الله: (تزوجت يا جابر). فقلت: نعم، فقال: (ابكرا أم ثيبا). قلت: بل ثيبا، قال: (فهلا جارية تلاعبها وتلاعبك،تضاحكها وتضاحكك). قال: فقلت له: إن عبد الله هلك، وترك بنات، وإني كرهت أن أجيئهن بمثلهن، فتزوجت امرأة تقوم عليهن وتصلحهن، فقال: (بارك الله لك، أو قال: خيرا).
Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Mendidik (Menjaga) Anak (Suaminya)
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah katanya: Ayahku mati dan dia meninggalkan tujuh (atau sembilan) orang anak perempuan. Lalu aku berkahwin dengan seorang perempuan janda. Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, “Engkau telah berkahwin wahai Jabir?”. Aku menjawab, “Ya”. Baginda bertanya, “Dengan anak dara atau janda?”. Saya menjawab, “Bahkan dengan janda”. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Mengapa tidak dengan gadis yang engkau dapat bermain-main dengannya dan dia dapat bermain-main dengan engkau. Engkau dapat membuatnya ketawa dan dia dapat membuatkan engkau ketawa”. Akupun berkata kepadanya, “Sesungguhnya Abdullah mati. DIa meninggalkan beberapa orang anak perempuan. Saya tidak mahu membawa kepada mereka perempuan yang seumpama mereka kerana itulah saya berkahwin dengan perempuan yang boleh menguruskan mereka dan membaiki keadaan mereka”. Rasulullah s.a.w. pun mendoakan dengan sabdanya, “Semoga Allah memberkati engkau”, (atau Baginda berkata, “Semoga baik”).
[RINGKASAN] Bantuan Perempuan Terhadap Suami Dalam Mendidik (Menjaga) Anak (Suaminya)
1. Adakah seorang isteri bertanggungjawab menjaga anak-anak kepada suaminya (anak tirinya)? Adakah isteri itu berdosa jika dia meninggalkan tanggungjawab ini atau adakah ianya hanyalah sumbangannya atas dasar ihsan dan belas kasihan terhadap suaminya? Imam al-Bukhari berpendapat tugas menjaga anak suaminya (anak tiri) tidak mesti ditanggung oleh si isteri tetapi jika dia mengambil tanggungjawab ini dia adalah perempuan yang terbaik, seorang perempuan yang istimewa. Hadith sebelum ini menyebut perempuan Quraisy adalah perempuan terbaik kerana mereka adalah yang paling kasih kepada anak-anak semasa kecilnya ( sila rujuk – • [HADITH TEMATIK-NAFKAH]- Siri 9 – Isteri … ).
2. Seorang ibu secara semula jadinya akan sayang kepada anaknya sendiri tetapi mungkin berlainan sikapnya terhadap bukan anaknya, contohnya anak suami dari isteri terdahulu. Tetapi sekiranya dia dapat mengasihi anak tirinya sebagaimana anaknya sendiri dia adalah seorang wanita yang istimewa. Ini terutamanya jika anak itu masih kecil yang memerlukan penjagaan rapi tetapi sebaliknya belum mampu menyumbang apa-apa kepada ibu dan bapanya. Jika anak sudah besar, ianya tidaklah sesukar seperti ketika masih kecil dan sebagai balasannya dia dapat menabur jasa kepada ibu bapanya.
3. Seorang perempuan yang membantu suaminya menjaga anak suaminya adalah seorang perempuan yang istimewa.
4. Hadith ini menunjukkan Jabir bin Abduillah adalah seorang yang cerdik kerana menikahi seorang janda, iaitu seorang yang sudah berpengalaman dalam menguruskan anak-anak kecil. Sekiranya kita inginkan isteri membantu meringankan beban dalam sesuatu perkara kita hendaklah pastikan isteri kita adalah sesuai untuk perkara tersebut. Pemilihan isteri dengan kriteria yang tepat adalah penting jika kita ingin isteri kita memberi sumbangan dan meringankan beban kita.
5. Ayah Jabir iaitu Abdillah mati syahid dalam perang Uhud dan meninggalkan ramai anak perempuan. Anak-anak ini adalah di bawah jagaan Jabir selepas kematian ayahnya menyebabkan masa mudanya penuh dengan tanggungjawab dan tiada masa untuk bersuka ria.
6. Nabi bersetuju dengan sikap Jabir yang tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu Nabi s.a.w. berdoa supaya diberkati perkahwinan Jabir dengan isterinya. Berkat doa Rasulullah s.a.w., hidup Jabir sekeluarga adalah bahagia dan sentiasa tenang sehingga akhir hayat. Jabir ialah seorang Sahabat yang istimewa kepada Nabi s.a.w.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – MENYEDIAKAN PAKAIAN UNTUK PEREMPUAN DENGAN CARA YANG MAKRUF (BAIK)
باب كِسْوَةِ الْمَرْأَةِ بِالْمَعْرُوفِ
حَدَّثَنَا حَجَّاجُ بْنُ مِنْهَالٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، قَالَ أَخْبَرَنِي عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ مَيْسَرَةَ، قَالَ سَمِعْتُ زَيْدَ بْنَ وَهْبٍ، عَنْ عَلِيٍّ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ آتَى إِلَىَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم حُلَّةً سِيَرَاءَ فَلَبِسْتُهَا، فَرَأَيْتُ الْغَضَبَ فِي وَجْهِهِ فَشَقَّقْتُهَا بَيْنَ نِسَائِي..
Menyediakan Pakaian Untuk Perempuan Dengan Cara Yang Makruf (Baik)
Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ali katanya, “Sampai kepada Rasulullah s.a.w. kain “siraya'” (sutera). Aku memakainya. Aku nampak kemarahan pada wajahnya. Akupun mengoyakkannya (memotongnya) untuk dibahagikan di antara perempuan-perempuanku”.
[RINGKASAN] Menyediakan Pakaian Untuk Perempuan Dengan Cara Yang Makruf (Baik)
1. Antara tanggungjawab seorang suami ialah menyediakan pakaian kepada isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti anak, ibu, adik dsb.
2. Saidina Ali memakai selimut sutera yang diberikan Nabi s.a.w. kepadanya. Ini menyebabkan Nabi s.a.w. marah, lalu Saidina Ali memotong selimut tersebut dan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang perempuan di bawah tanggungannya.
3. Lelaki diharamkan dari memakai pakaian dari sutera kecuali keadaan memerlukan seperti sakit kulit.Tetapi dia boleh menerimanya (dan juga emas) sebagai hadiah dan kemudiannya diberikan kepada orang yang boleh menggunakannya.
4. Kita patut tahu dan peka dengan perasaan orang sekeliling kita dan bertindak dengan sepatutnya. Dalam hadith ini, Saidina Ali sedar tentang kemarahan Nabi s.a.w. bukan melalui kata-kata Nabi tetapi dari perubahann air muka Baginda s.a.w.
5. Pakaian kebiasaan adalah mengikut keadaan masyarakat semasa, sama ada pakaian asas atau “pakaian” tambahan seperti perhiasan. Ianya hendaklah tidak berlebih-lebihan tetapi tidak pula sehingga menyekat naluri semula jadi seorang wanita seperti sukakan perhiasan seperti gelang, cincin dsb. Perhiasan ini boleh diberi setakat kemampuan seseorang. Ianya tidaklah wajib tetapi merupakan sedekah kepada wanita dan suaminya mendapat pahala. Terpulanglah kepada suami untuk menyediakan pakaian kepada isteri mengikut kemampuan masing-masing dan sebagaimana adat kebiasaan semasa.
6. Keadaan dan keperluan boleh berubah mengikut peredaran zaman. Suatu masa dahulu kain digunakan untuk menyerap darah haidh yang keluar tetapi di zaman ini digunakan “tampon” (tuala wanita). Begitu juga bayi dan kanak-kanak dipakaikan kain lampin untuk menahan air kencing dan najis tetapi di zaman ini, “lampin” pakai buang khas (seperti jenama “pampers”) yang lebih popular.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ISTERI MENJAGA HARTA SUAMINYA DAN PERBELANJAAN UNTUK SUAMINYA
باب حِفْظِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا فِي ذَاتِ يَدِهِ وَالنَّفَقَةِ
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا ابْنُ طَاوُسٍ، عَنْ أَبِيهِ، وَأَبُو الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الإِبِلَ نِسَاءُ قُرَيْشٍ ـ وَقَالَ الآخَرُ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ ـ أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ، وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ ” . وَيُذْكَرُ عَنْ مُعَاوِيَةَ وَابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم.
Isteri Menjaga Harta Suaminya Dan Perbelanjaan Untuk Suaminya
Diriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik perempuan yang menaiki unta ialah perempuan Quraisy”. Perawi yang lain (Ibn Thawus) berkata, “Perempuan yang paling baik ialah Quraisy. Mereka paling pengasih terhadap anak semasa kecilnya dan paling pandai menjaga harta suaminya”. Ada disebutkan riwayat yang menyebutkan perkara ini daripada Muawiyah dan Ibnu Abbas daripada Nabi s.a.w.
[RINGKASAN] Isteri Menjaga Harta Suaminya Dan Perbelanjaan Untuk Suaminya
1. Wanita yang baik ialah wanita yang pandai menjaga harta suaminya dan yang pandai menguruskan perbelanjaan rumah tangga untuk kebaikan suami dan anak-anaknya. Ini mengisyaratkan bahawa adalah elok jika suami dapat mengajar isterinya (supaya mahir dalam hal-hal tersebut). Antara hikmat pemberian maskahwin kepada pengantin perempuan ialah ianya seolah-olah memberi kunci kepadanya untuk menguruskan rumah tangga. Ini penting untuk kesejahteraan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Ini juga menunjukkan bahawa tanggungjawab dalam rumah tangga adalah dari kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Bila maskahwin diserahkan kepada isteri, ianya seolah-olah bermaksud menyerahkan harta untuk diuruskan oleh isteri. Harus diingat bahawa urusan menjaga harta boleh dilakukan oleh isteri hanya bila suaminya menyerahkan hartanya untuk diurus. Dalam kehidupan berkeluarga, isteri adalah pembantu kepada suami dan boleh diserahkan harta kepadanya, walau banyak sekalipun. Oleh itu isteri perlu belajar dan menjadi orang yang pandai dalam urusan kehidupan dan berumah tangga dan isteri hendaklah membantu meringankan dan bukannya menambahkan beban suaminya. Pengajaran dari peristiwa orang kafir yang menjadi tawanan perang yang dijanjikan kebebasan sekiranya dapat mengajar membaca dan menulis anak-anak orang Islam yang lelaki dan perempuan ialah orang perempuan dan orang lelaki sama-sama berhak memperolehi ilmu. Orang perempuan perlu mempunyai pendidikan mengikut keperluan semasa dan hendaklah mahir dalam menguruskan rumah tangga.
2. Sebaik-baik wanita Arab ialah wanita Quraisy kerana mereka adalah yang paling pengasih terhadap anak (semasa kecil) dan paling pandai menjaga harta suami.
3. Dari hadith ini, kita dapat tahu bahawa wanita-wanita Arab naik unta sebagai kenderaan. Oleh itu adalah salah pendapat sesetengah orang yang beragama bahawa wanita tidak boleh naik kenderaan seperti kereta atau motosikal (Ini berlaku di sesetengah negara Islam luar negara).
4. Antara budaya tidak sihat yang diamalkan di sesetengah negara Islam ialah mengahwinkan kanak-kanak perempuan yang masih kecil dan mentah. Kanak-kanak perempuan ini tidak mampu menguruskan rumahtangga dengan baik dan menjaga harta suami sebagaimana yang dikehendaki Nabi s.a.w. Anak-anak yang lahir dari Ibu-ibu yang terlalu muda berpotensi meninggal awal.
5. Adalah dikehendaki kaum lelaki dan wanita Islam kuat dan mampu berjuang untuk agama. Tetapi sayangnya ada ramai di kalangan masyarakat kita yang salah mentafsir kehendak agama menyebabkan wanita menjadi lemah, pessimis dan terkebelakang. Ada wanita di negara-negara Islam (yang merupakan separuh dari penduduknya) jahil di segi agama dan juga hal-hal duniawi. Oleh itu sistem pendidikan perlu dibetulkan supaya mengikut acuan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. bukannya seperti acuan barat (sehingga mencetuskan gejala sosial seperti pergaulan bebas dsb). Kita perlu mengikut al-Quran dan sunnah dalam memberi pendididkan kepada anak-anak.
6. Perempuan Quraisy mengasihi anak-anak kecil walaupun kanak-kanak tersebut adalah anak tiri mereka. Mereka melayan anak-anak tiri seperti melayan anak sendiri.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – BILA SEORANG SUAMI TIDAK MEMBERI BELANJA MAKA ISTERI BOLEH MENGAMBIL (HARTANYA) TANPA PENGETAHUANNYA KADAR YANG MENCUKUPI UNTUKNYA DAN UNTUK ANAKNYA DENGAN CARA YANG BAIK
Bila seorang suami tidak memberi belanja maka isteri boleh mengambil (hartanya) tanpa pengetahuannya kadar yang mencukupi untuknya dan untuk anaknya dengan cara yang baik
Diriwayatkan daripada ‘Aishah bahawa Hindun Bint Utbah berkata, “Aba Sufian ini seorang yang sangat kedekut. Dia tidak memberikan kepada saya apa yang mencukupi untuk saya dan anak saya kecuali apa yang saya ambil daripadanya dalam keadaan dia tidak sedar”. Nabi s.a.w. bersabda, “Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak engkau dengan cara yang makruf”.
[RINGKASAN] Bila seorang suami tidak memberi belanja maka isteri boleh mengambil (hartanya) tanpa pengetahuannya kadar yang mencukupi untuknya dan untuk anaknya dengan cara yang baik
1. Sekiranya suami tidak memberikan belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya, isteri boleh mengambil harta suaminya dengan cara yang “makruf”.
2. Isteri hendaklah bijaksana dalam menangani masalah sebegini. Dalam hadith ini isteri (Hindun Bint Utbah) mengajukan hal ini kepada orang yang dapat menyelesaikan masalah itu (iaitu Nabi s.a.w.). Bila ada apa-apa masalah isteri tidak sepatutnya berdiam diri dan memendam rasa sendirian. Dia hendaklah cuba mencari jalan penyelesaian.
3. Nabi s.a.w membenarkan isteri mengambil harta suaminya untuk menampung perbelanjaannya dan anak-anak tanpa pengetahuan suaminya tetapi hendaklah dengan cara yang “makruf” (dengan cara yang baik iaitu jumlah perbelanjaan yang sesuai dengan keadaan semasa dan bukan dibelanjakan untuk perkara yang sia-sia).
4. Hadith ini juga boleh dijadikan dalil untuk seseorang yang dinafikan haknya untuk mengambil haknya tanpa diketahui oleh orang yang merampas haknya itu.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – KHIDMAT SEORANG SUAMI TERHADAP ISTERINYA
باب خِدْمَةِ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَرْعَرَةَ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنِ الْحَكَمِ بْنِ عُتَيْبَةَ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنِ الأَسْوَدِ بْنِ يَزِيدَ، سَأَلْتُ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ مَا كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَصْنَعُ فِي الْبَيْتِ قَالَتْ كَانَ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ، فَإِذَا سَمِعَ الأَذَانَ خَرَجَ.
Khidmat Seorang Suami Terhadap Isterinya
Diriwaytakan daripada Aswad bin Yazid, dia bertanya ‘Aisyah, “Apakah yang selalu Nabi s.a.w lakukan (ketika berada) di rumah?”. ‘Aishah berkata, “Dia berada di dalam kerja isterinya. Bila dia mendengar azan, dia keluar”.
[RINGKASAN] Khidmat Seorang Suami Terhadap Isterinya
1. Perbincangan sebelum ini menekankan bahawa adalah tanggungjawab isteri untuk menguruskan rumah tangga seperti memasak, membasuh pakaian dan sebagainya (sila rujuk perbincangan di sini – • [HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 6 – Amalan… ).
2. Hadith ini pula menjelaskan bahawa tidak seharusnya isteri dibiarkan bersendirian menjalankan tanggungjawabnya menguruskan rumah tangga tetapi suami sepatutnya membantu isteri untuk meringankan bebannya sekiranya keadaan mengizinkan dan tiada tanggungjawab lain yang lebih besar. Tugas-tugas mudah seperti membantu membasuh pakaian, menyediakan makanan, membersih rumah dan seumpamanya bukan sahaja meringankan beban isteri tetapi akan mencambahkan perasaan kasih sayang di antara suami isteri.
3. Walaupun begitu, tugas-tugas ini janganlah mengikat suami sehinggakan suami terlepas dari tugas-tugasnya yang lebih besar. Urusan di dalam rumah adalah tanggungjawab isteri sebagaimana yang diisyaratkan oleh hadith di mana Nabi s.a.w. bertanya isterinya, ada atau tidak makanan untuk dimakan. Ini menunjukkan isterilah yang mengetahui dan mengendalikan urusan rumah tangga.
4. Nabi s.a.w. sentiasa membantu isterinya ketika berada di rumah, tetapi bila sampai azan, Baginda s,a,w, pun keluar untuk menunaikan sembahyang. Ini menunjukkan bila ada tugas yang lebih besar (dalam kes ini, sembahyang berjemaah), Baginda akan meninggalkan urusan rumahtangga dan segera menuju ke masjid.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Laila katanya: Ali menceritakan kepada kami bahawa Fatimah datang kepada Nabi s.a.w. untuk mengadu kepadanya apa yang dialaminya kepada tangannya kerana mengisar gandum dan dia (Fatimah) mendapat tahu bahawa hamba telah sampai kepadanya (Nabi). Tetapi dia tidak bertemu dengan Nabi s.a.w. Diapun menyebutkan perkara itu kepada ‘Aishah (minta ‘Aishah ceritakan kepada Nabi s.a.w.). Bila Nabi s.a.w. datang, ‘Aishah pun menceritakan kepadanya. Ali berkata, “Maka Nabi s.a.w. pun datang kepada kami ketika mana kami telahpun mengambil tempat tidur kami. Kamipun ingin bangun bila Baginda datang. (Baginda bersabda), “Tetaplah duduk di tempat kamu masing-masing”. Baginda pun datang duduk di antaraku dan dia (Fatimah) sehingga saya terasa kesejukan kakinya di perut saya. Baginda pun bersabda, “Mahukah kamu berdua aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu minta itu iaitu apabila kamu pergi ke tempat tidur (ataupun kamu pergi ke tilam kamu), maka kamu bertasbihlah sebanyak 33 kali, kamu bertahmid (memuji Allah dengan ucapan “alhamdulillah”) sebanyak 33 kali dan bertakbirlah 34 kali. Itu lebih baik bagi kamu berdua daripada khadim (pelayan)”. .
Khadim (Pelayan) Bagi Perempuan
Diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Abi Laila dia menceritakan daripada Ali bin Abi Talib bahawa Fatimah r.ha. datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta daripadanya seorang khadim (pembantu). Baginda berkata, “Mahukah engkau, aku ceritakan kepada engkau sesuatu yang lebih baik untuk engkau daripadanya iaitu engkau bertasbih (mengucapkan subhanallah) pada ketika hendak (sebelum) tidur 33 kali, engkau kata alhamdulillah 33 kali, engkau takbir (Alllahuakbar) 34 kali”. Kemudian berkata Sufian, “Salah satu dari tiga bentuk ucapan itu adalah 34 kali (iaitu takbir)”. Kata Ali, “Selepas itu aku tidak meninggalkannya lagi”. Ada orang bertanya, “Walaupun malam perang Siffin itu?”. DIa berkata, “Walaupun pada malam perang Siffin” .
[RINGKASAN] Amalan (Kerja) Perempuan Di Rumah Suaminya & Khadim (Pembantu) Bagi Perempuan
1. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang peranan wanita di rumah iaitu,
i. pendapat pertama, isteri tidak perlu melakukan apa-apa kerja rumah. Semua tugas rumahtangga seperti memasak, membasuh pakaian dsb adalah menjadi tanggungjawab suami. Jika suami tidak boleh melakukannya sendiri, dia hendaklah mengupah orang lain untuk menunaikan tanggungjawab ini.
ii. Pendapat kedua ialah suami boleh meminta isterinya supaya melakukan urusan dalam rumah. (Nota: Inilah pendapat Imam al-Bukhari). Wanita bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga manakala suami pula bertanggungjawab untuk urusan di luar rumah seperti mencari rezeki, berjuang di jalan Allah dsb. Jika suami membenarkan isterinya melakukan kerja di luar rumah ianya adalah dibolehkan. Pendapat pertama tadi tidak menepati sunnah Nabi.
2. Ayat al-Quran, al-Baqarah, ayat 228, yang bermaksud, “…Dan mereka (isteri-isteri itu) berhak mendapat manfaat sama seperti tanggunjawab yang mereka tanggung dengan cara yang makruf…”, menunjukkan wanita juga mempunyai kewajipan, bukan sekadar mengambil manfaat sahaja dari suaminya. Seorang isteri bertanggungjawab meringankan beban suami selepas suaminya bertungkus-lumus bekerja dan mencari rezeki di luar.
3. Fatimah r.ha. mengadu yang kerjanya mengisar gandum menyebabkan tangannya melecur. Beliau memohon dari Nabi s.a.w. supaya diberi seorang pembantu yang boleh meringankan tugasnya. Nabi s.a.w. tidak memberikan pembantu yang diminta tetapi mengajarkannya suatu amalan yang lebih baik dari seorang prmbantu. Baginda s.a.w. menyarankan anaknya supaya membaca “Subhanallah” (33 kali), “Alhamdulillah” (33 kali) dan “Allahuakbar” (34 kali) sebelum tidur.
4. Hadith ini menunjukkan Nabi s.a.w. ingin supaya wanita bekerja dan menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Isteri janganlah membebankan suami dengan urusan rumah tangga selepas suami berhempas pulas bekerja mencari rezeki di luar. Pendapat bahawa suami wajib melakukan urusan rumah tangga (seperti memasak, membasuh pakaian dsb) adalah tidak tepat.
5. Banyak contoh di kalangan Sahabiyah yang menunjukkan isteri membantu suami sama ada dalam hal menguruskan rumah tangga atau bekerja membantu suami. Asma’ binti Abu Bakar, kakak kepada ‘Aishah dan isteri Zubair bin Awwam, diriwayatkan bekerja di luar rumah menjunjung air dan rumput untuk makanan haiwan ternakan mereka. Isteri Ibnu Mas’ud mengusahakan hasil kraftangan dan dia membantu suaminya. Isteri-isteri yang meringankan beban suaminya, dengan sekurang-kurangnya menyelesaikan urusan rumah tangga adalah lebih baik di sisi agama. Hubungan suami isteri akan bertambah erat kerana terdapat kerjasama dan saling tolong menolong antara suami isteri ini.
6. Nabi s.a.w. mengajarkan anak dan menantunya (Saidina Ali) supaya bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebelum tidur. Ini adalah isyarat bahawa zikir kepada Allah boleh memberi kekuatan kepada seseorang dan bila diberi kekuatan kita tidak memerlukan lagi kepada pembantu. Nabi s.a.w. juga ingin menggalakkan kita supaya berdikari. Kita juga boleh mengatakan bahawa Nabi s.a.w tidak ingin mengambil kesempatan dari kedudukannya sebagai pemimpin dengan memberi hamba tawanan kepada Fatimah sebagai pembantu. Ganjaran zikir kepada Allah adalah lebih baik kerana ganjaran di akhirat adalah lebih baik dari ganjaran di dunia. Dengan berzikir sebagaimana yang Nabi s.a.w. ajar, seseorang akan mendapat ganjaran di akhirat dan juga diberi kekuatan dan pertolongan di dunia ini lagi.
7. Dari hadith ini, Nabi tidak menyuruh Saidina Ali melakukan kerja-kerja rumah atau menyuruhnya mencari pembantu untuk Fatimah. Ini menunjukkan isteri bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga. Adalah tidak tepat pendapat bahawa semua tanggungjawab dalam rumah tangga terletak ke atas suami. Walaupun begitu pendapat bahawa suami bertanggungjawab ke atas urusan rumah tangga memang ada di dalam kitab-kitab lama. Pendapat sebegini akan menyebabkan kehidupan menjadi susah, sekaligus bercanggah dengan semangat agama yang inginkan kemudahan.
8. Hadith Kedua – Tasbih, tahmid dan takbir ada kelebihannya yang tersendiri dan ianya elok diamalkan.
حَدَّثَنَا يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ هَمَّامٍ، قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” إِذَا أَنْفَقَتِ الْمَرْأَةُ مِنْ كَسْبِ زَوْجِهَا عَنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِهِ ”.
Perbelanjaan Perempuan Bila Suami Tiada Di Rumah Dan Perbelanjaan Untuk Anak
Hadith Pertama – Diriwayatkan daripada ‘Aishah katanya Hindun Bint Utbah datang, dia berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Aba Suffian itu sangat kedekut. Adakah menjadi kesalahan kepada saya untuk saya beri makan kepada keluarga kami sebahagian daripada hartanya. Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak boleh melainkan dengan cara yang ma’ruf (baik)”.
Hadith Kedua – Riwayat daripada Hammam, katanya: Saya mendengar Aba Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w., sabdanya, “Apabila seseorang perempuan membelanjakan sebahagian daripada hasil usaha suaminya tanpa disuruh oleh suaminya, maka si isteri itu mendapat separuh daripada pahala yang diperolehi oleh suaminya”.
[RINGKASAN] Perbelanjaan Perempuan Bila Suami Tiada Di Rumah Dan Perbelanjaan Untuk Anak
Hadith Pertama
1. Bagaimanakah perbelanjaan seorang wanita (dan anak-anaknya) yang suaminya tiada di rumah? Isterinya boleh menggunakan harta suaminya dengan cara yang patut, tanpa izin atau kebenaran suaminya terlebih dahulu. Jika suami tidak memberikan belanja yang cukup untuk isteri dan anak-anaknya (kerana sifat bakhil atau lain-lain sebab), isteri boleh mangambil harta suaminya untuk memenuhi keperluannya tanpa pengetahuan atau kebenaran suaminya. Walaupun begitu, isteri tidak boleh menggunakan harta suaminya untuk perkara-perkara yang tidak perlu atau mengambil kesempatan ke atas harta tersebut.
Hadith Kedua
2. Seorang wanita boleh membelanjakan harta suaminya untuk perkara-perkara kebajikan seperti menderma, bersedekah dsb tanpa pengetahuan ataupun disuruh oleh suaminya. DIa akan mendapat separuh (berkongsi) pahala dengan suaminya.
3. Imam al-Bukahri membawa hadith ini dalam bab nafkah (perbelanjaan keluarga), walaupun ianya adalah dalam bab melakukan kebajikan. Ini adalah kerana beliau ingin menyatakan bahawa dengan hanya membuat perkara sunat seperti bersedekah pun (dengan menggunakan harta suami tanpa izinnya), seorang isteri mendapat pahala, apatah lagi jika harta itu diambil untuk memenuhi keperluan yang wajib disediakan oleh suami.
Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan
Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan dan tempoh mengandung berserta memisahkan anak daripada penyususan ialah 30 bulan dan jika kamu berasa sukar, boleh perempuan lain menyusukan anak itu untuk si bapa. Hendaklah orang yang mempunyai kesenangan, berbelanja sebahagian daripada kesenangan yang ada padanya.
Berkata Yunus daripada Zuhri: Allah telah melarang ibu daripada memudaratkan anaknya iaitu bila ibu berkata, “Saya tidak akan menyusukannya”, padahal dia yang paling sesuai dari segi makanannya untuk anaknya itu dan paling kasih dan sayang terhadapnya berbanding orang lain. Jadi tidaklah boleh dia enggan setelah si ayah bersedia memberikan apa yang Allah tentukan ke atasnya (setelah si ayah itu bersedia untuk memberikan kepada isterinya bagi pihak dirinya apa yang Allah telah wajibkan ke atasnya). Tidak juga si ayah itu boleh membahayakan anaknya atau menjadikan si ibu itu menderita kerana anaknya dengan menegah si ibu daripada memberi susu kepada anak itu untuk membuatnya menderita dengan memberikan anak itu kepada orang lain. Tidaklah menjadi kesalahan kepada mereka berdua (kedua ibu bapa) untuk meminta orang lain menyusukan anak mereka dengan rela hati daripada ayah dan ibu itu sendiri. Kalau mereka berdua mahu memisahkan anak itu daripada penyusuan, tidak menjadi kesalahan kepada mereka berdua setelah itu berlaku dengan persetujuan daripada kedua-dua pihak dari perbincangan mereka.
[RINGKASAN] Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun cukup bagi orang yang mahu menyempurnakan penyusuan
1. Ayah kepada seorang bayi wajib menanggung kos menyusukan bayi tersebut dan adalah menjadi tanggungjawab yang wajib kepada seorang ayah memberi makanan dan pakaian kepada ibu yang menyusukan anaknya.
2. Ayat al-Quran berkenaan penyusuan anak ialah ayat 233, Surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan”.
3. Dari ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 233 ini, si ayah wajib memberi belanja (makan minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada si ibu semasa mengandung dan menyusu. Tempoh penyusuan adalah 30 bulan (iaitu 6 bulan tempoh [minima] mengandung dan 24 bulan tempoh menyusu. Jika tempoh mengandung lebih dari 6 bulan maka tempoh keseluruhan itu melebihi 30 bulan).
4. Berapa banyakkah belanja yang perlu diberi kepada ibu yang menyusukan anak? Ianya bergantung kepada kemampuan seseorang ayah. Jika dia seorang yang kaya, upah penyusuan hendaklah sesuai dengan kemampuan kewangannya dan begitu juga keadaannya jika dia seorang yang miskin.
5. anggung jawab memberi belanja kepada ibu yang menyusukan anak termasuk juga kepada isteri (ibu kepada anak) yang telah diceraikan, walaupun dicerai dengan tidak boleh dirujuk (talak tiga).
“Atsar” (riwayat) dari Zuhri
6. Allah melarang ibu dari memudaratkan anaknya. Mungkin berlaku bila bercerai, seorang ibu enggan menyusukan anaknya dan ini akan memudaratkan anaknya. Ini adalah kerana susu ibu adalah makanan yang paling baik dan sesuai kepada anaknya dan ibulah orang yang paling kasih dan sayang kepada anaknya. Oleh itu seseorang ibu tidak boleh enggan atau menolak dari menyusui anaknya bila suaminya bersedia untuk memberi nafkah (membiayai) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.
7. Begitu juga, seorang ayah juga tidak boleh memudaratkan si ibu dan anaknya iaitu dengan tidak membenarkan ibu tersebut menyusukan anaknya (seperti menyerahkan anak tersebut untuk disusukan oleh orang lain tanpa persetujuan ibu tersebut). Tetapi tidak menjadi kesalahan jika mereka berdua (ayah dan ibu kepada anak tersebut) bersetuju dan dengan sukarela untuk menyerahkan kepada orang lain untuk menyusukan anaknya. Keadaan ini mungkin berlaku jika, seperti hari ini, kedua-dua ibu dan bapa bekerja di luar rumah (yang tidak membolehkan ibu menyusukan anaknya sendiri). Anak ini mungkin boleh juga diberi susu formula menggantikan susu ibu seperti yang berlaku di zaman moden ini walaupun alternatif ini bukanlah yang terbaik untuk anak. Ada juga keadaan di mana ibu ada penyakit yang boleh memudaratkan anaknya jika anak itu menyusui darinya. Jika keadaan mengizinkan, yang terbaik untuk seorang anak ialah disusukan oleh ibunya sendiri. Walaupun begitu, hakikatnya, Nabi s.a.w. sendiri disusui oleh Thuwaibah.
8. Ada ulama’ berpendapat isteri tidak wajib menyusukan bayinya dan jika dia meminta upah suaminya wajib memberinya upah. Sebaliknya ada ulama’ yang berpendapat jika suami telah memberinya nafkah sebagai isteri maka wajib ke atas isteri itu untuk menyusukan anaknya itu walaupun tanpa diberi upah oleh suaminya.
Seseorang Menyimpan Makanan Setahun Untuk Ahli Keluarganya Dan Bagaimana Perbelanjaan Kepada Anak-Pinak .
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Uyainah, katanya, Ma’mar berkata kepadaku, Thauri berkata kepadaku: Adakah engkau ada mendengar (sesuatu hadith) berkenaan dengan seseorang yang menyimpan untuk ahli keluarganya makanan setahun atau setengah tahun? Ma’mar bekata, tidak terlintas dalam fikiranku. Kemudian aku menyebutkan satu hadith yang telah diceritakan oleh Ibnu Syihab kepada kami daripada Malik bin Aus daripada Umar bahawa Nabi s.a.w. menjual tamar Bani Nadhir dan dia menyimpan untuk ahli keluarganya makanan untuk setahun. (Sahih al-Bukhari – Hadith no. 5357).
Hadith Kedua – Ibnu Syihab meriwayatkan katanya Malik bin Aus bin Al-Hadathan menceritakan kepadaku, Muhammad bin Jubair bin Mut’in telah menceritakan kepadaku sedikit daripada hadithnya. Akupun pergi hingga aku masuk menemui Malik bin Aus bin Al-Hadathan. Aku pun bertanya dia. Malik berkata, saya pergi sehingga saya masuk menemui Umar. Tiba-tiba datang kepadanya penjaga pintu rumahnya iaitu Yarfa’ (dan berkata), “Mahukah engkau bertemu Uthman, Abdur Rahman, Zubair dan Saad? Mereke meminta izin untuk bertemu tuan”. Umar berkata, “Ya, boleh”. Diapun mengizinkan untuk mereka (masuk). Kata perawi (Malik bin Aus bin Al-Hadathan), mereka pun masuk dan memberi salam lalu duduk. Tidak lama kemudian, Yarfa’ pun datang berkata kepada Umar, “Mahukah engkau bertemu dengan Ali dan Abbas?”. Umar berkata, “Boleh”. Dia pun mengizinkan untuk mereka. Lalu merekapun masuk, memberi salam dan duduk. Abbas berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Selesaikanlah perkara (kes) di antara saya dan dia (Ali)”. Kumpulan Sahabat-Sahabat yang terdiri daripada Uthman dan kawan-kawannya berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Putuskanlah perkara di antara mereka dan tenangkanlah masing-masing terhadap yang lain”. Umar berkata, “Bertenanglah kamu! Saya hendak bertanya kepada kamu dengan nama Allah yang dengan kebenaran-Nya tertegak langit dan bumi ini. Adakah kamu tahu memang Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Kami tidak diwarisi. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah”. Rasulullah s.a.w. maksudkan dirinya. Berkata kumpulan Sahabat itu, “Memang! Rasulullah s.a.w. pernah berkata begitu”. Umar pun mengadap Ali dan Abbas.
[RINGKASAN] Seseorang Menyimpan Makanan Setahun Untuk Ahli Keluarganya Dan Bagaimana Perbelanjaan Kepada Anak-Pinak
Hadith Pertama
1. Seseorang boleh menyimpan makanan (atau harta, duit seumpamanya) untuk keperluan keluarganya selama setahun. Perbelanjaan ini boleh diberi dalam tempoh masa yang sesuai bergantung di atas kemampuan seseorang. Yang penting ianya dapat menampung keperluan keluarga yang ditanggungnya.
2. Menyimpan makanan atau harta untuk keperluan masa depan tidak bercanggah dengan konsep tawakkal malah ianya bertepatan dengan kehendak tawakkal di mana seseorang berusaha dan merancang sebelum menyerahkannya kepada Allah. Ini membantah sikap sesetengah ahli agama yang hidup secara kepaderian yang menolak kemewahan dan kesenangan dunia malah langsung tidak ingin merancang masa depan. Mereka (contohnya sami Budha dan Hindu) hidup dengan meminta-minta dan mengharapkan sumbangan dari orang ramai.
3. Tawakkal dalam Islam tidak bermakna tidak membuat persiapan dan perancangan dan membiarkan nasib keluarga tanpa berusaha dan berserah nasib kepada tuhan semata-mata. Tawakkal yang sebenar ialah membuat persiapan dabn perancangan dan seterusnya menyerahkannya kepada Allah.
4. Menyimpan makanan untuk sesuatu tempoh dan membuat perancangan untuk masa depan tidak menjatuhkan darjat seseorang. Walaupun kita mempunyai kekuatan fizikal dan ketahanan jiwa untuk menghadapi cabaran ujian dan kesusahan, kita perlu juga memikirkan keadaan orang sekeliling kita terutamanya orang yang kita tanggung.
5. Hadith ini menjadi dalil bahawa boleh dan elok disimpan makanan (atau perbelanjaan) dan membuat persediaan untuk masa depan. Dalam kisah Nabi Yusuf, makanan disimpan selama tujuh tahun. Semakin besar sesuatu institusi (contohnya, sebuah kerajaan) perancangan hendaklah dalam tempoh yang lebih panjang. Perancangan dan persediaan ini adalah untuk semua hal, tidak terhad kepada hal-hal ekonomi (atau makanan) sahaja.
6. Hadith ini juga menolak fahaman golongan tasawwuf yang menyeleweng yang mengatakan tidak boleh menyimpan makanan yang ada pada hari ini untuk esok. Kita hendaklah mengikut sunnah yang dtunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan menolak kitab-kitab tasawwuf atau lain-lain kitab yang bercanggah dengan ajaran Nabi. Sesuatu yang bercanggah dengan sunnah Nabi akan memporak-perandakan hidup.
7. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada (cara hidup) kepaderian dalam Islam”. Antara ciri-ciri hidup kepaderian ialah enggan makan sedap, tidak mahu kahwin dan seumpamanya yang mana ianya bercanggah dengan amalan Nabi dan Sahabat-Sahabat rhum. Kehidupan kepaderian akan menyebabkan seseorang hilang atau enggan mengambil tanggungjawab terhadap orang sekelilingnya sedangkan maksud manusia dijadikan ialah untuk menjadi khalifah di muka bumi dengan membina tamaddun dan memimpin dunia.
8. Pengikut tasawwuf mendakwa orang yang menyimpan makanan untuk esok berburuk sangka dengan tuhan dan tidak bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal kepada Allah s.w.t. Mereka merujuk kepada hadith Nabi yang mengatakan Nabi tidak menyimpan sesuatu (makanan) sehingga esok. Imam as-Suyuti menjelaskan hadith Nabi tidak menyimpan sesuatu untuk esok adalah berkaitan keperluan dirinya tetapi Baginda menyimpan untuk orang yang di bawah tanggungannya. Maksud Nabi tidak menyimpan sesuatu untuk dirinya ialah berkaitan perkara-perkara mewah (melebihi keperluan) dan Baginda tidak menyimpan sesuatu yang mana orang lain lebih memerlukannya.
9. Bagaimanakah perbelanjaan kepada anak-pinak harus diuruskan? Perbelanjaan ini hendaklah diberi mengikut keperluan dan juga kemampuan kita. Ianya mungkin diberi setiap hari, setiap minggu, setiap bulan atau sekali setahun. Bagaimana ianya dilaksanakan adalah atas kebijaksanaan kita.
10. Nabi s.a.w. menyimpan buah tamar atau hasil dari jualan buah tamar dari kebun Yahudi Bani Nadhir yang menjadi harta fai’ (harta yang dirampas dari musuh Islam tanpa berlaku peperangan).
Hadith Kedua
11. Hadith ini ialah versi penuh kepada hadith pertama di mana di dalamnya terkandung kenyataan Nabi s.a.w. menyimpan makanan untuk keperluan keluarganya untuk tempoh setahun. Hadith ini juga menunjukkan bahawa kita boleh menyibukkan diri dan mengambil berat untuk mencari atau memperolehi harta untuk tujuan menyara keluarga.
Kewajipan Memberi Perbelanjaan Kepada Ahli Keluarga (Isteri Dan Anak-Pinak)
Hadith Pertama – Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, Nabi s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik sedekah itu yang meninggalkan kekayaan selepas diberikan. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulakan dengan orang yang engkau tanggung”. “Perempuan (si isteri) berkata: Sama ada engkau memberi makan kepada saya, atau engkau ceraikan saya. Si hamba berkata: Berilah makan kepada saya dan gunalah saya untuk apa-apa pekerjaan. Si anak berkata: Beri makanlah kepada saya, kepada siapa engkau akan biarkan saya?”. Mereka berkata, “Wahai Aba Hurairah! Adakah engkau dengar ini daripada Rasulullah s.a.w.?”. Katanya, “Tidak! Ini daripada pundi-pundi Abu Hurairah” (Sahih al-Bukhari, Hadith no.5355).
Hadith Kedua – Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik sedekah itu ialah sedekah yang meninggalkan kekayaan di belakang. Dan mulakan dengan orang yang engkau tanggung” (Sahih al-Bukhari, Hadith no. 5356).
[RINGKASAN] Kewajipan Memberi Perbelanjaan Kepada Ahli Keluarga (Isteri Dan Anak-Pinak)
Hadith Pertama
1. Sebaik-baik sedekah ialah selepas memberi sedekah masih ada harta yang berbaki yang mana orang yang bersedekah tidak memerlukan bantuan kebendaan dari orang lain.
2. Tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah, iaitu, tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima. Kita boleh juga mengatakan, orang yang mengajar adalah lebih baik dari orang yang belajar, orang yang memerintah lebih baik dari orang yang diperintah atau orang yang membuat (atau pengeluar) sesuatu barang adalah lebih baik daripada pengguna. Antara sebab umat Islam lemah ialah kita berpada sebagai “tangan yang di bawah”, yang menerima, yang miskin, yang diperintah dan seumpamanya.
3. Mulakan bersedekah (berbelanja) dengan orang yang kita tanggung, iaitu isteri, anak-anak dan sesiapa yang di bawah tanggungan kita. Jika kita tidak menunaikan tanggungjawab sebagaimana perintah Nabi s.a.w. ini, kemungkinan berikut akan berlaku, i. isteri akan meminta dia diberi makan (belanja) atau dia diceraikan, ii. hamba meminta supaya dia diberi makan supaya dia boleh bekerja dan berkhidmat kepada tuannya, iii. anak akan berkata, beri makanlah kepadanya, kalau tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memberi makan kepadanya. Ayah yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada anaknya boleh meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada anaknya sehingga menyebabkan dia benci kepada ayahnya.
4. Islam suka umatnya supaya kuat dan bermanfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia ialah yang paling berguna kepada orang lain.
5. Ada orang bertanya kepada Abu Hurairah adakah (bahagian kedua, iaitu: kata-kata isteri, hamba dan anak) dia dengar daripada Nabi s.a.w. Abu Hurairah menidakkannya sambil mengatakan ianya adalah dari dirinya sendiri. Ada dua kemungkinan daripada penafian Abu Hurairah, iaitu,
i. memang ianya dari Abu Hurairah sendiri atau,
ii. sebenarnya ianya juga datang daripada Nabi s.a.w. tetapi dibantah secara gurauan oleh Abu Hurairah kerana seoah-olah mereka “mempertikaikannya”.
Hadith Kedua
6. Sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang masih mengekalkan orang yang memberi sedekah itu sebagai orang yang kaya (yang tidak memerlukan bantuan kebendaan dari orang lain).
7. Dalam satu hadith, Nabi s.a.w. melarang dari menyedekahkan semua harta tetapi menghadkannya kepada satu pertiga sahaja dari harta seseorang. Tetapi ada Sahabat yang memberi semua hartanya untuk Islam dan Nabi s.a.w. tidak membantah. Ini adalah kerana Baginda tahu bahawa Sahabat tersebut mempunyai kesanggupan di segi mental dan fizikal. Adalah diketahui bahawa dari hadith-hadith seumpama ini bahawa had untuk bersedekah, berwasiat dsb adalah satu pertiga daripada keseluruhan harta.
8. Mulakan bersedekah dengan orang yang kita tanggung.