VIDEO – [Durasi – 11m 26s] – [HADITH TEMATIK-NAFKAH] – Siri 6 – Amalan Wanita Di Rumah Suaminya & Khadim Bagi Wanita
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/VskIdLFC8E0 ]
Video penuh asal – Sahih Bukhari (Kitab Nafkah) –
• Sesi 2 – Menyimpan Makanan Setahun Untuk A…
[ KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH – https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ]
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – AMALAN (KERJA) PEREMPUAN DI RUMAH SUAMINYA & KHADIM (PEMBANTU) BAGI PEREMPUAN
باب عَمَلِ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ شُعْبَةَ، قَالَ حَدَّثَنِي الْحَكَمُ، عَنِ ابْنِ أَبِي لَيْلَى، حَدَّثَنَا عَلِيٌّ، أَنَّ فَاطِمَةَ ـ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ ـ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم تَشْكُو إِلَيْهِ مَا تَلْقَى فِي يَدِهَا مِنَ الرَّحَى، وَبَلَغَهَا أَنَّهُ جَاءَهُ رَقِيقٌ فَلَمْ تُصَادِفْهُ، فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لِعَائِشَةَ، فَلَمَّا جَاءَ أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ ـ قَالَ ـ فَجَاءَنَا وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْنَا نَقُومُ فَقَالَ ” عَلَى مَكَانِكُمَا ”. فَجَاءَ فَقَعَدَ بَيْنِي وَبَيْنَهَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى بَطْنِي فَقَالَ ” أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى خَيْرٍ مِمَّا سَأَلْتُمَا، إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا ـ أَوْ أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا ـ فَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، فَهْوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ ”.
باب خَادِمِ الْمَرْأَةِ
حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي يَزِيدَ، سَمِعَ مُجَاهِدًا، سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ أَبِي لَيْلَى، يُحَدِّثُ عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، أَنَّ فَاطِمَةَ ـ عَلَيْهَا السَّلاَمُ ـ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم تَسْأَلُهُ خَادِمًا فَقَالَ ” أَلاَ أُخْبِرُكِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكِ مِنْهُ، تُسَبِّحِينَ اللَّهَ عِنْدَ مَنَامِكِ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَتَحْمَدِينَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَتُكَبِّرِينَ اللَّهَ أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ ” . ـ ثُمَّ قَالَ سُفْيَانُ إِحْدَاهُنَّ أَرْبَعٌ وَثَلاَثُونَ ـ فَمَا تَرَكْتُهَا بَعْدُ، قِيلَ وَلاَ لَيْلَةَ صِفِّينَ قَالَ وَلاَ لَيْلَةَ صِفِّينَ.
Amalan (Kerja) Perempuan Di Rumah Suaminya .
Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Laila katanya: Ali menceritakan kepada kami bahawa Fatimah datang kepada Nabi s.a.w. untuk mengadu kepadanya apa yang dialaminya kepada tangannya kerana mengisar gandum dan dia (Fatimah) mendapat tahu bahawa hamba telah sampai kepadanya (Nabi). Tetapi dia tidak bertemu dengan Nabi s.a.w. Diapun menyebutkan perkara itu kepada ‘Aishah (minta ‘Aishah ceritakan kepada Nabi s.a.w.). Bila Nabi s.a.w. datang, ‘Aishah pun menceritakan kepadanya. Ali berkata, “Maka Nabi s.a.w. pun datang kepada kami ketika mana kami telahpun mengambil tempat tidur kami. Kamipun ingin bangun bila Baginda datang. (Baginda bersabda), “Tetaplah duduk di tempat kamu masing-masing”. Baginda pun datang duduk di antaraku dan dia (Fatimah) sehingga saya terasa kesejukan kakinya di perut saya. Baginda pun bersabda, “Mahukah kamu berdua aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu minta itu iaitu apabila kamu pergi ke tempat tidur (ataupun kamu pergi ke tilam kamu), maka kamu bertasbihlah sebanyak 33 kali, kamu bertahmid (memuji Allah dengan ucapan “alhamdulillah”) sebanyak 33 kali dan bertakbirlah 34 kali. Itu lebih baik bagi kamu berdua daripada khadim (pelayan)”. .
Khadim (Pelayan) Bagi Perempuan
Diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Abi Laila dia menceritakan daripada Ali bin Abi Talib bahawa Fatimah r.ha. datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta daripadanya seorang khadim (pembantu). Baginda berkata, “Mahukah engkau, aku ceritakan kepada engkau sesuatu yang lebih baik untuk engkau daripadanya iaitu engkau bertasbih (mengucapkan subhanallah) pada ketika hendak (sebelum) tidur 33 kali, engkau kata alhamdulillah 33 kali, engkau takbir (Alllahuakbar) 34 kali”. Kemudian berkata Sufian, “Salah satu dari tiga bentuk ucapan itu adalah 34 kali (iaitu takbir)”. Kata Ali, “Selepas itu aku tidak meninggalkannya lagi”. Ada orang bertanya, “Walaupun malam perang Siffin itu?”. DIa berkata, “Walaupun pada malam perang Siffin” .
[RINGKASAN] Amalan (Kerja) Perempuan Di Rumah Suaminya & Khadim (Pembantu) Bagi Perempuan
1. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang peranan wanita di rumah iaitu,
i. pendapat pertama, isteri tidak perlu melakukan apa-apa kerja rumah. Semua tugas rumahtangga seperti memasak, membasuh pakaian dsb adalah menjadi tanggungjawab suami. Jika suami tidak boleh melakukannya sendiri, dia hendaklah mengupah orang lain untuk menunaikan tanggungjawab ini.
ii. Pendapat kedua ialah suami boleh meminta isterinya supaya melakukan urusan dalam rumah. (Nota: Inilah pendapat Imam al-Bukhari). Wanita bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga manakala suami pula bertanggungjawab untuk urusan di luar rumah seperti mencari rezeki, berjuang di jalan Allah dsb. Jika suami membenarkan isterinya melakukan kerja di luar rumah ianya adalah dibolehkan. Pendapat pertama tadi tidak menepati sunnah Nabi.
2. Ayat al-Quran, al-Baqarah, ayat 228, yang bermaksud, “…Dan mereka (isteri-isteri itu) berhak mendapat manfaat sama seperti tanggunjawab yang mereka tanggung dengan cara yang makruf…”, menunjukkan wanita juga mempunyai kewajipan, bukan sekadar mengambil manfaat sahaja dari suaminya. Seorang isteri bertanggungjawab meringankan beban suami selepas suaminya bertungkus-lumus bekerja dan mencari rezeki di luar.
3. Fatimah r.ha. mengadu yang kerjanya mengisar gandum menyebabkan tangannya melecur. Beliau memohon dari Nabi s.a.w. supaya diberi seorang pembantu yang boleh meringankan tugasnya. Nabi s.a.w. tidak memberikan pembantu yang diminta tetapi mengajarkannya suatu amalan yang lebih baik dari seorang prmbantu. Baginda s.a.w. menyarankan anaknya supaya membaca “Subhanallah” (33 kali), “Alhamdulillah” (33 kali) dan “Allahuakbar” (34 kali) sebelum tidur.
4. Hadith ini menunjukkan Nabi s.a.w. ingin supaya wanita bekerja dan menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Isteri janganlah membebankan suami dengan urusan rumah tangga selepas suami berhempas pulas bekerja mencari rezeki di luar. Pendapat bahawa suami wajib melakukan urusan rumah tangga (seperti memasak, membasuh pakaian dsb) adalah tidak tepat.
5. Banyak contoh di kalangan Sahabiyah yang menunjukkan isteri membantu suami sama ada dalam hal menguruskan rumah tangga atau bekerja membantu suami. Asma’ binti Abu Bakar, kakak kepada ‘Aishah dan isteri Zubair bin Awwam, diriwayatkan bekerja di luar rumah menjunjung air dan rumput untuk makanan haiwan ternakan mereka. Isteri Ibnu Mas’ud mengusahakan hasil kraftangan dan dia membantu suaminya. Isteri-isteri yang meringankan beban suaminya, dengan sekurang-kurangnya menyelesaikan urusan rumah tangga adalah lebih baik di sisi agama. Hubungan suami isteri akan bertambah erat kerana terdapat kerjasama dan saling tolong menolong antara suami isteri ini.
6. Nabi s.a.w. mengajarkan anak dan menantunya (Saidina Ali) supaya bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebelum tidur. Ini adalah isyarat bahawa zikir kepada Allah boleh memberi kekuatan kepada seseorang dan bila diberi kekuatan kita tidak memerlukan lagi kepada pembantu. Nabi s.a.w. juga ingin menggalakkan kita supaya berdikari. Kita juga boleh mengatakan bahawa Nabi s.a.w tidak ingin mengambil kesempatan dari kedudukannya sebagai pemimpin dengan memberi hamba tawanan kepada Fatimah sebagai pembantu. Ganjaran zikir kepada Allah adalah lebih baik kerana ganjaran di akhirat adalah lebih baik dari ganjaran di dunia. Dengan berzikir sebagaimana yang Nabi s.a.w. ajar, seseorang akan mendapat ganjaran di akhirat dan juga diberi kekuatan dan pertolongan di dunia ini lagi.
7. Dari hadith ini, Nabi tidak menyuruh Saidina Ali melakukan kerja-kerja rumah atau menyuruhnya mencari pembantu untuk Fatimah. Ini menunjukkan isteri bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga. Adalah tidak tepat pendapat bahawa semua tanggungjawab dalam rumah tangga terletak ke atas suami. Walaupun begitu pendapat bahawa suami bertanggungjawab ke atas urusan rumah tangga memang ada di dalam kitab-kitab lama. Pendapat sebegini akan menyebabkan kehidupan menjadi susah, sekaligus bercanggah dengan semangat agama yang inginkan kemudahan.
8. Hadith Kedua – Tasbih, tahmid dan takbir ada kelebihannya yang tersendiri dan ianya elok diamalkan.
